Thursday 29 May 2014

Satu Hari Sebuah Buku (Solusi isu 68)

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat Kareem buat semua sahabat yang telah memberi ruang pada mata hati & fikiran untuk meneliti blog ini. Salam 1 Sya’ban 1435H buat semua yang mengenali diri khususnya & seluruh umat Islam amnya. Tinggal hanya satu bulan untuk kita melangkah ke bulan tarbiyah bulan Ramadhan bulan yang penuh dengan barakah. Tidak sabar rasanya penulis mahu menjalani kehidupan di bulan Ramadhan. Kalian bagaimana? Tepuk dada tanya imannya ya?

Baiklah, di pagi yang mulia hari Jumaat ini penulis mahu berkongsi sedikit pembacaan dalam buku majalah SOLUSI ISU 68. Majalah yang menjadi kegemaran penulis di saat kebosanan melayari kehidupan. Buku-buku dibelek senang hati untuk menambah ilmu yang hanya ibarat belahan kulit bawang. Bukan hanya menambah tetapi untuk dikongsi bersama-sama dalam blog ini. Awas! Bukan untuk menunjuk-nunjuk Cuma niatnya mahu berkongsi mana tahu dengan cara ini lagi ramai manusia yang nak beli buku-buku berilmiah seperti majalah Solusi. Mana tahu dengan cara ini lagi ramai yang nak buat baik lagi ramai yang minat nak baca buku & lagi ramai yang tertarik dengan Islam.

Isu 68 membincang tentang PESONA SEBENAR ISRAK & MIKRAJ. Memetik penulis pada muka hadapan buku majalah Solusi, “Perjalanan langit itu perlu dibumikan kerana itulah tujuan peristiwa itu dijadikan oleh ALLAH. Kaitkanlah apa yang telah dilalui oleh Rasulullah dengan apa yang telah, sedang & akan kita lalui. InsyaALLAH di situ nanti akan terserlah kekuatan & keberkesanan dalam pemikiran & tindakan.”



Peristiwa Israk & Mikraj bukan sekadar untuk menggembirakan hati Nabi Muhammad s.a.w tetapi juga pengajaran untuk ummah baginda s.a.w. Peristiwa Israk Mikraj telah dibincangkan dalam buku ini pada halaman 14 hingga 22. Israk & Mikraj adalah hadiah ALLAH kepada Rasulullah s.a.w setelah bertahun-tahun menanggung beban dakwah & menderita dihina & dikeji dengan bermacam cara. Pengajaran buat kita adalah setiap kepahitan pasti akan terselit kemanisan & setiap kesukaran pasti akan ada kemudahan pada akhirnya. ALLAH takkan sesekali membebani hamba-hambaNya.

Firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud:
1. Maha suci Allah Yang telah menperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Dalam majalah ini juga diceritakan perbezaan antara Israk Mikraj dengan Hijrah. Tersusun juga senarai hikmah anekdot Israk Mikaj bersama huraian yang cukup mencuit hati penulis. Antaranya, pengajaran yang boleh diambil daripada Israk Mikraj: 1) Siapa tawadhuk di muliakan ALLAH, 2) Iman yang kuat penawar kesedihan, 3) Malam adalah detik terbaik untuk mendekati ALLAH, 4) Hati bersih mampu mengendalikan teknologi yang canggih, 5) Rehat & rawat diri dengan solat, 6) Bergaul dengan penuh adab & diplomasi, 7) Solat ‘keajaiban’ terbesar.

Halaman 23 majalah Solusi membawa tajuk, “Tidak ada marah jika cintamu kerana ALLAH”. Kisah beduk di ketuk yang pernah dibaca oleh penulis dalam blog Ustaz Pahrol Mohamad Juoi blog genta-rasa sangat terkesan. Kisah tentang cinta si dara pada si teruna cinta perempuan kepada lelaki & cinta muslimin kepada muslimah. Bijak ustaz Pahrol merungkai masalah menukar dendam amarah kepada tenang & bersolusi. Ceritanya menarik sesuai untuk pembacaan remaja sekarang yang dalam dilema putus cinta. Apa kata Imam Global dalam bab ini? “Kita sering salah meletakkan cinta. Sedangkan ahli hikmah berpesan, cintailah sesiapa yang mencintai kita bukan orang yang kita cinta. InsyaALLAH, barulah cinta kita berbalas. Justeru, siapa lagi yang paling mencintai kita selain ALLAH? Oleh itu, siapa yang mencintai ALLAH pasti berbalas. & itulah keharmonian dalam bercinta.”

Ceritanya sangat menarik hati penulis untuk terus leka dengan mainan penulisan artikel ini. Cerita tentang cinta yang menjadi fitrah manusia mempunyai perasaan indah itu. & sungguh cinta itu tak pernah buta. Manusia yang membuat cinta itu buta kerana fitrah penciptaan rasa cinta adalah suci. Akhir kalam Imam Global menutup katanya, “Sungguh...hamba meminta dengan keterbatasannya, ALLAH memberi dengan kesempurnaannya.”

Halaman 40 tentang selebriti hebat dunia ilmuan iaitu, Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi tempat lahirnya di India. Negara yang tersenarai dalam impian penulis untuk menjadi musafir di sana, InsyaALLAH doakan ya. Beliau banyak menghasilkan karya-karya agung seperti, Awjaz al-Masalik ila Muwatta’ Malik. Ini adalah kita setebal enam jilid dan merungkai huraian kepada hadis-hadis yang terkandung dalam kitab Al-Muwatta’ karya Imam Malik.

Halaman yang paling menarik minat penulis untuk membacanya adalah halaman 108 hingga 110 tentang Kembara Travelog Di Bumi ALLAH oleh Dr. Mohd Sukki Othman bertajuk, “Seenak Syawarma di Rom”. Kembara di bumi ALLAH adalah antara artikel yang dinanti oleh penulis kerana melaluinya penulis dah boleh jadi pengembara alam pembacaan. Suatu saat penulis bakal sampai di Rom. Ameen. Banyak lagi tajuk-tajuk & bab-bab yang dirungkaikan dalam majalah Solusi Isu 68 ini. & pasti akan menambah pengetahuan kita sebagai seorang muslim. Jom, baca buku majalah Solusi! Itu pun jika sahabat-sahabat nak tahu lebih banyak tentak isi kandungannya. Nak tunggu penulis hurai semua alamatnya tak berpuluh-puluh muka surat diperlukan untuk meneliti setiap penulisan.

Di kesempatan yang ada, sebelum penulis menutup bicara pada hari yang mulia penuh barakah ini, penulis mohon pada sahabat-sahabat & sesiapa sahaja yang menjenguk blog QalamWardahZinnirah.blogspot untuk menghadiahkan al-Fatihah pada ibu & ayah yang telah membesarkan kita. Banyakkan berdoa pada hari Jumaat, banyakkan berselawat pada hari Jumaat, selitkan hari Jumaat kita dengan bacaan Surah al-Kahfi, mengikat tali persaudaraan & persahabatan dengan semua manusia supaya kita tak dibenci di dunia & tidak derita di akhirat sana. Peringatan buat diri yang punya banyak kelemahan & kekurangan.


Siiru ‘alaa barakatillah... 

No comments:

Post a Comment