Friday 29 November 2013

Sanah helwah & Zhu ni sheng ri kuai le for myself ^__^

Salam seindah rekayasa alam ciptaan ALLAH...

Al-Hamdulillah, penulis ucapkan syukur padaNya kerna dengan rahmat & kasih sayangNya penulis masih lagi bernyawa di bumi Ilahi. Masih mengharap sekelumit redha & rahmat dariNya. Pejam celik pejam celik penulis sudah menghampiri tarikh kelahirannya pada 30 November 2013. Esok sudah tarikhnya. Berdebar menunggu hari esok sama ada penulis masih punya masa atau tidak untuk merasai nikmat dunia ini.

Diceritakan sedikit ya, tentang penulis. Tanggal 30 NOVEMBER 1990 lahirlah seorang bayi perempuan yang sangat comel menjadi puteri sulung dalam keluarganya. Puteri yang lahir ini bakal membawa legasi keluarga. Bagaimana dicorakkan dia begitulah dia masa remajanya. Dia membesar dalam keluarga yang serba sederhana, tidak pernah dilimpahi dengan harta hanya dia kenal adalah kasih sayang ibu ayahnya yang melimpah ruah terhadapnya.

Dia lahir & membesar dengan baik hasil didikan tegas oleh seorang ayah yang bernama Yaakob bin Seman. Ayah yang mengajarnya membaca al-Quran daripada alif ba ta hinggalah dah khatam. Ayah yang menemaninya saat dia teruk dibuli rakan sekelas. Ibu pula tentunya orang paling bahagia kerana dapat melahirkan seorang puteri yang comel sepertinya. Tentu sahaja dia mahu puteri sulungnya berjaya dunia & akhirat.





Dia membesar dalam lingkungan biah yang baik hinggalah dia mesuk ke alam sekolah menengah. Di sekolah menengah semua kawannya adalah perempuan, jadilah dia insan yang tak suka budak lelaki. Katanya lelaki ini melecehkan dan sukar untuk dipercayai. Itu yang ditanam oleh ayahnya sejak dia kenal sekolah menengah. Ayah selalu pesan jangan nak bercinta masa belajar padah nantinya. Belajar biar abis dulu barulah boleh nak fikir tentang kawin. Jadi anak sulung apa boleh buat, memang penulis seorang yang suka mendengar kata ibu dan ayahnya tapi terkadang dia menunjuk belangnya mengikut jejak ayahnya yang bila di kata A maka A lah jawabnya. Pendiriannya tetap.

Terima kasih mama & ayah yang telah membesarkan penulis hingga menjadi seperti sekarang. Terima kasih atas segala curahan kasih sayang mama & ayah. Penulis sangat menghargainya.

  

Menganyam Rindu Di Perantauan


Subhanallah…rindu itu bertamu lagi pada adik2 yang di sayangi terutama pada gelagat yang paling penulis rindu iaitu Ahmad Hambali bin Yaakob. Saban hari dia sentiasa menghantar mesej pada kakak sulungnya bertanyakan khabar bila kakak mahu pulang. Sebak di dada tiada tertahan saat memandang setiap kata mesej dari adik bongsunya. Tambahan mereka sangat rapat. Bila sahaja penulis pulang ke kampung halaman sudah tentu banyak aktiviti mereka luangkan bersama.

Ni antara gambar2 yang merakam gelagat lucu adik bongsu penulis. Sungguh rasa rindu itu makin menebal.






Antara aktiviti yang mereka luangkan bersam-sama pada waktu petang biasanya penulis akan meluang masa bermain badminton, atau bola dengan adik bongsunya di halaman rumah. Lepas maghrib, penulis dan adik bongsu biasanya membaca & mentadabbur al-Quran bersama-sama. Lepas isyak pula mereka lebih senang bersama-sama sama ada tengok drama atau menyiapkan kerja-kerja sekolah si adik. Mungkin masa yang sangat terhad di gunakan sepenuhnya oleh seorang kakak untuk bersama-sama si adik menyebabkan mereka mudah akrab dan rasa kehilangan bila sudah berjauhan.

Sungguh rasa rindu itu tidak tertahan, ingin sahaja penulis pulang ke kampung halaman mendakap dan mengkhabarkan betapa hatinya sudah rawan menunggu masa bertemu si adik yang di rindui. Itulah penangan cinta adik-beradik. Bila berjauhan rasa rindu mula membekas di jiwa. Bila nampak di mata mudah sahaja mencari gaduhnya.

Dialog adik bongsu masih penulis simpan kemas dalam ‘handphone’ nya. Nak tau apa rasa bila baca mesej dari adik bongsu? Jom kita baca dialog di bawah:

Adik: “Kak yong apo khabar?”
Penulis: “Chat alhamdulillah. Hambali?”
Adik: “Hambali chat. Kak yong wat gapo tu?”
Penulis: “Kak yong duk wat kijo sekolah banyok. Hambali duk wat gapo?”
Adik: “Hambali po kalo, duk tengok tv, cerito kartun kesukaan Hambali.”
Penulis: “Hambali rindu & sayang kak yong dok?”
Adik: “LOVE.”
Penulis: “Ingat tak ‘birthday’ kak yong bilo?”
Adik: “Ingatlah.”
Penulis: “Hambali nok bagi hadioh gapo ko kak yong?”
Adik: “Erm…mesej…hehehe. Kak yong bilo nok balik kampung, nati Hambali boleh bagi hadioh ko kak yong?”

Terus penulis terkedu tanpa bahasa, hanya hatinya yang berbicara, Kak Yong banyak kerja yang nak di selesaikan di sini. Tak dapat nak balik selalu. Sebak lagi. Lagi bertambah sedih bila adik perempuan penulis yang selalu telefon keluarga di kampung mengkhabarkan adik bongsunya bertanya bila kakak sulungnya nak balik kampung.Itulah realiti bila berjauhan dengan keluarga, itu juga yang di hadapi oleh ramai mahasiswa universiti.




Salam sayang dari kakakmu.


Zhu ni sheng ri kuai le Fadzil Hanapi ^__^


Tarikh 2 Disember 1998 lahirlah seorang bayi lelaki yang diberi nama Fadzil Hanapi. Bertambah meriah keluarga itu dengan kehadiran seorang lagi anak lelaki. Kelahirannya di nanti oleh seorang kakak. Yalah, siapa tak suka ada adik yang ramai bakal menghiasi kehidupannya sebagai anak sulung. Terima kasih Ya ALLAH kerana Engkau telah mengurniakan kepada penulis seorang adik lelaki lagi. Jadi, penulis sekarang punya 3 orang adik lelaki yang sangat dia sayang. Walau terkadang sayang itu terselindung di balik kemarahan di atas kenakalan adik-adik lelakinya.

Fadzil Hanapi adalah adik ke tiga penulis. Dia memang seorang adik yang pelik. Bila datang rajinnya, dia akan melakukan semua kerja yang disuruh, tetapi bila datang masa dia malas dia hanya mampu duduk dan mendengar kakak-kakaknya membebel dek kenakalannya. Biasalah budak baru nak kenal dunia.

Dia juga antara adik yang sukar dimengertikan sikapnya. Sekejap baik, sekejap kurang baik. Dia pernah ponteng dari sekolah dan keluar dari asrama tanda protes tidak suka dimasukkan ke sekolah tersebut. Puas ibu memujuk akhirnya, dia sendiri memilih sekolah yang mahu dia belajar. Dia memang kuat memberontak jika hajatnya tidak dipenuhi tapi dialah antara adik yang senang disuruh buat sesuatu. Memang masa nak buat, dia akan membebel tapi dia tetap buat. Contohnya, penulis suka suruh dia buat air milo, sebab dia suka mintak penulis buat air teh. Tengah buat memang dia marah, tapi dia buat je. Lama-lama marahnya sejuklah.

Dia antara ahli keluarga kami yang lahir paling akhir. Kalau nak sambut kelahirannya, dialah yang paling ‘last’. Dia pelik daripada adik-beradik yang lain. Perkara yang paling dia suka adalah suka mengusik adik yang bongsu sampai nangis. Dah nangis nanti ada yang kena marah. Walau bergaduh macam mana pun diorang akhirnya berbaik semula. Masa baik Ya ALLAH…macam belangkas, tapi bila dah gaduh seharian tak bertegur sapa. Penulis paling suka tengok Fadzil Hanapi & Ahmad Hambali main. Semangat kesukanan mereka tinggi. Paling ‘best’ adik ke tiganya ini suka buat lawak walau terkadang dia jarang buat lawak dalam keluarga penulis.


Sempena hari kelahirannya yang ke-15 yang tak sempat penulis sambut pada tahun ini, esok lusa sudah tarikhnya, penulis nak ucapkan selamat hari lahir buat Fadzil Hanapi moga di kelahiran kamu ini ada keberkatan yang ALLAH kurniakan buat kamu. Moga kamu jadi anak soleh yang sentiasa di dambakan oleh ma & ayah. Ingatlah Fadzil walau ke mana pun kamu pergi jangan lupa salasilah keluarga mu. Kak yong akan sentiasa mendoakan yang terbaik buat kamu. Maaf tidak sempat membeli sebarang hadiah untuk Fadzil cukup mungkin kak Yong sedekahkan Al-Fatihah untukmu duhai adik yang disayangi kerana ALLAH.




Dia antara adik penulis yang sangat sukar di ambil gambarnya, tapi bila dah depan kamera, amboi ‘posing’nya mengalahkan model majalah. Biarlah penulis dedikasikan rasa cinta & sayangnya pada adik2 melalui penulis blog. Mana tahu lepas ni lagi ramai orang yang akan sayang pada keluarganya.
Bila cerita fasal keluarga teringat penulis pada surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.




Salam hari Jumaaat yang Mulia

Salam kasih sayang buat semua penghuni bumi dan alam...

Di sini penulis mahu berkongsi salah satu kata2 yang dinukilkan oleh Ustaz Mohd Azrul Azleen Abd. Hamid dalam majalah solusi isu ke 62 dalam kolum Intisari Pedoman dari Sirah.

"Mencintai tak semestinya untuk memiliki. Sebaliknya memberi tanpa berharap untuk diberikan sesuatu. Sekiranya kebahagiaan yang dicari, berilah terlebih dahulu. Kebahagiaan bukan berasal daripada orang lain, tapi ia datang dari dalam diri sendiri. Oleh itu, pandanglah diri sendiri dengan mata hatidaripada memandang orang lain dengan iri hati. Hati yang suci membawa bahagia, hati yang iri membawa sengsara."

Terima kasih kerana kata2nya sungguh membuat penulis tenang dengan ujian yang menimpa. Bila kita nak orang yang kita sayang bahagia sudah tentu kita juga perlu memberi bahagia. Sama juga bila kita nak ALLAH sayang kita melebihi segala-galanya kita juga WAJIB sayang ALLAH melebihi segala-galanya.


Tuesday 26 November 2013

Dedikasi Cinta Buat Pengantin Baru

Musim cuti sekolah telah bermula. Bermula juga musim ramai orang mengadakan majlis perkahwinan. Tahun akhir di universiti memungkinkan segalanya berlaku. Tahniah penulis ucapkan buat sahabat yang telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 24/11/13 yang lepas. Moga perkahwinan kalian berkekalan hingga ke syurga. Mohon maaf kerna tidak sempat memenuhi undangan walimah kalian.

Bicara ini dititipkan buat kalian kerana telah berjaya menelusuri hidup sebagai muslim soleh & muslimah solehah. Kalian telah bergelar suami isteri setelah lama mengimpikan hidup berumah tangga punya peneman dan pendamping setia dalam meneruskan perjuangan ini.





Tahniah buat Najat Nabihah Zainal dan pasangan. Moga bahtera perkahwinan kalian
berkekalan hingga ke syurga.

Di bawah hadiah untuk kalian:






Monday 25 November 2013

Tragedi 24/11/13 episod 2

ALLAH sangat menyayangi penulis & sahabat2 kerana kami ibarat mendapat nyawa semula selepas bertarung dalam kemalangan yang melibatkan kereta kancil milik sahabat penulis dan kereta persona. Al-Hamdulillah, Engkau masih memberi peluang kepada kami untuk merasai nikmatnya menghirup udaraMu. Kisah ini sekadar perkongsian buat manusia yang masih mengingat ALLAH yang tahu menghargai pengalaman dan ujian2 dariNya.

Kemalangan ke-2 buat penulis betul2 membekas di hatinya. Kemalangan ini berlaku juga dalam sekelip mata sedang penulis dan tiga orang lagi sahabat merasa bahagia kerana akhirnya kami ketemu jalan ke rumah sahabat lain dengan niat mahu menghadiri kenduri kahwinnya, serta merta bunyi dentuman kuat dari belakang kereta kami menyapu hilang senyuman kami. Sehingga sekarang debar penulis masih belum hilang.

Kami dilanggar dari belakang menyebabkan pemandu mengambil inisiatif menggunakan 'hand brek' untuk memberhentikan kereta. Berkecai hadiah untuk diberikan kepada pengantin baharu. Hati kami? Ketika itu sangat terkejut. Pelanggaran tersebut menyebab kereta milik sahabat penulis rosak teruk. Mujur sahaja kami dalam keadaan baik, cuma seorang mangsa di masukkan ke tempat kecemasan.

Hikmah tragedi ini sangat banyak, pengalaman yang tidak mungkin penulis lupakan terkandung di dalamnya pelbagai pengajaran antaranya, ikatan persahabatan antara kami teruji di situ, suatu kuasa hebat mendorong kami untuk saling tolong menolong itulah indahnya ukhuwwah berpaksikan kerana ALLAH. Bukan itu sahaja kenangan ini mengajar kami bersabar dan tidak cepat melatah dalam menghadapi ujianNya. Bersyukur sangat kerana kami tidak cedera teruk cuma pening2 lalat dan ada antara sahabat penulis yang dikejarkan ke wad kecemasan keran menghadapi sedikit masalah iaitu sakit tulang belakang dan kaki kanannya tidak mampu bergerak.

Alhamdulillah setelah lama menunggu dan mendapatkan rawatan sahabat penulis yang dipanggil kak wanie pulih dengan baik. Dia keluar dari hospital lebih kurang dalam jam 12.30 pagi. ALLAH memberi pengajaran bahawa penulis & sahabat2nya tidak selalunya bahagia dan sihat walafiat. Ada masa kita turut di ujiNya. ALLAH nak tengok bagaimana kebergantungan kita padaNya.

Kebetulan atau takdir? Masih bermain-main di minda penulis. Pentingnya di sini kebergantungan muslim kepada ALLAH Yang Maha Kuasa. Penulis tak nak bercakap panjang, jom tengok gambar2. Kamera yang sepatutnya merakam hari bahagia sahabat kini di guna untuk merakam detik cemas kami di ujiNya.

Kereta mangsa...

Kereta milik pelanggar

Sahabat penulis yang di tahan di wad kecemasan...

Sempat ambik gambar kat depan bilik CT Scan...

Penulis sabar menunggu sahabatnya yg masih berada dalam 'CT Scan room'

Penceria suasana. Terima kasih Chah & Fiah sebab sudi tunggu kami kat luar.

Walaupun tak sempat nak bergambar dengan pengantin kat rumahnya
kat hospital pun jadilah...terima kasih Najat. Happy Wedding to you..

Last but not least, Wardah Zinnirah please remember that one day you will meet ALLAH its means that you must died but you do not know when your date. So, be prepared before Malaikat Jibril call you. 

Moga insan2 ini, Zawiah Abdullah, Syahirah Mohd Sopi & Noor Azielawani Mohd Azmi serta QalamWardahZinnirah bisa mengambil ibrah dari kisah & kenangan ini. Ingat sahaja ALLAH sentiasa menguji hambaNya yang beriman kerana ALLAH menyayangi kita. ALLAH tegur tanda Dia rindu, ALLAH uji tanda Dia sayang ^__^


Tragedi 24/11/13 episod 1

Catatan puisi ini di HUKM jam 1.06 pagi Hospital UKM, Jalan Ya'acob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras, 
56000 Kuala Lumpur 


Manisnya Ukhuwwah

Hari itu
Menjadi saksi persahabatan kami
Dalam riang tawa
Kami bersorak gembira
Menerima berita
Sahabat kami bakal bergelar isteri si teruna

Namun
Dentuman kuat itu
Merenggut semua menjadi duka
Mengingat kami pada Tuhan Yang Esa
Kejadian pahit itu
Mengajar kami mengingat sesuatu
ALLAH itu Maha Merancang lagi Maha Penyayang

Persahabatan 
Itu teruji lagi
Melihat sahabat sakit tidak terperi
Diriku gundah bercampur sedih di hati
Kenapa sahaja tidak
Aku menggantikan kesakitannya
Hanya sabar peneman kami
Hanya ALLAH pelindung kami
Hanya selawat penenang kami

Diriku
Merangkak mencari kekuatan
Disebalik ujian datang  bertimpa
Aku harus sabar
Aku harus kuat\
Kerna ku yakin ALLAH memelihara
Kerna ku yakin hikmahNya bersama

Sahabat
Hatiku lega menahan derita
Saat dirimu tersenyum
Melafaz kata bahagia
Ibarat hilang segala duka
Terbeban di qalbu paling dalam

Sahabat
Sekalung terima kasih ku lafaz
Atas pengorbanan & keikhlasan kalian
Keletihan kalian bakal terbalas
Kesungguhan kalian bakal terpateri kemas
Saat ALLAH memanggilmu
Meniti syurgaNya
Itulah manisnya ukhuwwah kerana ALLAH

Sungguh kenangan ini terpahat kemas di benak fikiran penulis setelah dua kali hatinya teruji dengan kemalangan pada bulan kelahirannya bulan November. Moga rahmah & berkatNya sentiasa bersama kalian.

QalamWardahZinnirah nak jadi penulis

Al-hamdulillah, ALLAH masih memberi peluang kepada penulis untuk menghirup udara milikNya & masih diberi masa untuk hidup di dunia ini. Lama rasanya tidak mengisi kekosongan di blog penulis.

23 November 2013, penulis menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif Islam yang dianjurkan oleh perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia. Bengkel yang dianjurkan adalah percuma lagi menambah keinginan penulis untuk mendalami dunia penulisan cerpen & novel. Ingin sekali namanya juga turut terpahat kemas di buku-buku yg di jual di mana2 kedai buku. Tentu hebat & menyenagkan hati bila kita dapat menyumbangkan sesuatu buat masyarakat sekeliling kita.

Bengkel itu hanya dihadiri oleh beberapa orang individu sahaja lebih kurang dalam 2o orang dan penceramahnya adalah seorang penulis hebat bernama Nisah Hj Haron. 

http://annyss.blogspot.com/

Beliau merupakan seorang penulis sepenuh masa setelah berhenti dari kerjayanya sebagai seorang peguam. Pelik tapi benar dari bidang peguam terjun pula ke bidang penulisan. Katanya mahu merawat masyarakat yang sedang 'sakit tenat' dan mahu meluah rasa tidak berapa setuju kepada filem-filem terbitan dalam negeri yang ada dengan cara profesional iaitu menerbitkan novel2 atau cerita yang menjelaskan secara terperinci tentang hukum2 dalam Islam terutamanya dalam bab syariat undang2.

Penulis itu menambah minat & kecenderungan Wardah Zinnirah untuk menulis memandangkan dia tiada kemahiran dalam menyampaikan sesuatu dakwah atau lebih tepat berbicara dengan insan lain. Cukup dengan penulisan mampu mengubah diri dan masyarakat untuk kembali kepada Islam.

Dalam banyak2 tips yang Pn. Nisah Hj. Haron kongsikan, penulis cukup ingat dan masih terngiang2 di telinganya suara beliau menyampaikan tips paling penting dalam nak jadi seorang penulis.

Pertama: Penulis mesti mempunyai niat dan matlamat yang jelas dalam bidang penulisannya. Matlamat ini bakal menentukan hasil bagaimana yg dia harapkan dalam penulisannya. Adakah hanya mahu mendapat nama semata @ mahu membetulkan diri & masyarakat ke arah Islam yang sebenar.

Ke dua: Nak jadi penulis mesti kena jaga bahasa. Jika bukan penulis yang jaga martabat bahasa Melayu siapa lagi yang mahu menjaga & memeliharanya. 'Jaga bahasa' di sini bermaksud menggunakan bahasa dan ejaannya dengan betul bukan dengan menggunakan singkatan. Biarpun ada mulut yang mengata nak jadi budak skema ke, tapi kewibawaan bahasa itu harus di pertahankan.

ke tiga: Usah peduli orang kata. Bina prinsip yang tersendiri. Maksudnya jika baik niat dan cara kita walau akhirnya usaha kita dibenci orang usah kita ambil tahu, pedulikan sahaja. Kita lihat sendiri sirah Rasulullah s.a.w yg mana baginda s.a.w adalah insan yang paling baik di muka bumi ini taoi masih dibenci dan dilempar dengan pelbagai tohmahan. Sedang kita hanya insan biasa. Anggap sahaja ini ujian bagi kita.

ke empat: Nak jadi penulis selain dari minat menulis penulis juga perlu minat membaca. Jadikan membaca sebagai budaya kita kerana cinta pada ilmu dan buku tidak merugikan kita malah menambah manfaat berlipat kali ganda.   

Ke lima: Letakkan semangat & keinginan yang tinggi untuk menulis. Jika hanya ingin tidak diusahakan tiada hasilnya juga. Bakat & kelebihan yg ALLAH anugerahkan kepada kita usah di persia-siakan manfaatnya.

Di bawah penulis masukkan beberapa gambar yang sempat di rakam semasa bengkel berlangsung.








Thursday 21 November 2013

Andai Jodoh Datang Bertamu ^__^

Persoalan yang sering bermain di minda si teruna & dara.

Al-hamdulillah...syukur penulis panjatkan kepada ALLAH yang telah memberi peluang & ruang untuk dia menghirup udara di bumi ALLAH ini. Bertambah syukur bila ALLAH memberi peluang kepada penulis untuk menghirup udara di hari Jumaat yang penuh mulia ini. 

Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Hari Jumaat juga menunjuk perpaduan umat Islam ketika solat Jumaat. Berada di saff yang cukup cantik dan menggerunkan musuh. Moga Jumaat ini memberi seribu rahmat kepada penulis dan umat Islam keseluruhannya. Moga kita bisa diberi kesempatan untuk bertemu dengan Jumaat akan datang. 

Hargailah setiap detik & saat yang kita lalui walau kita tahu suatu saat ita akan dihimpit dengan ujian dan kesusahan. Penulis tak nak berceloteh panjang cukup sekadar mahu berkongsi satu sajak yang bertajuk, "Andai Jodoh Datang Bertamu." Jom sama-sama kita telusuri! 



Andai Jodoh datang bertamu
Tiada masa untuk dirimu menolak
Tiada waktu untuk dirimu menginjak
Tiada masa untuk kamu menidak

Andai jodoh datang bertamu 
Seiring istikharahmu
Usah resah dalam keputusan
Usah bertingkah menidak mahu
Allah Maha Tahu
Isi hati dan kemampuanmu
Allah Maha Kuasa
Perancang sebaik tuhanmu

Andai jodoh datang bertamu
Usah lupa persiap dirimu
Jadi muslimah solehah
Di sisi Tuhan Yang Maha Penyayang
Di sisi Allah Yang Maha pemurah

Allah Maha Tahu
Setiap kata yang terlafaz di hatimu
Setiap zikir yang bermain di bibirmu
Setiap doa yang terungkap 
Yakinlah
Andai jodohmu belum tiba
Ada sirna yang mewarna
Pada penghujung penantianmu

Serentak dengan bait kata yang penulis lafazkan di sini juga, penulis mendapat khabar berita ada sahabatnya yang cedera kerana kemalangan jalan raya. Masih tidak diketahui apa yang terjadi padanya cuma mohon sekelumit doa dari sahabat2 semua untuk mendoakan keselamatan sahabat penulis. Moga sahabat penulis yang sedang di uji dengan kemalangan akan memperoleh pahala & kemudahan dunia dan akhirat. Mari kita sedekahkan al-Fatihah padanya moga kasih sayang ALLAH sentiasa bersama-samanya.

Setiap insan ujiannya berbeza cuma pandangan positif dan negatif memberi sudut pandang yang berbeza & mempengaruhi  diri seseorang. Usah memandang semua ujian ALLAH itu susah dan menyukarkan tapi pandanglah ujian ALLAH itu sebagai tanda kasih sayangNya pada hamba-hambaNya yang beriman.


Kisah di sebalik Nama Qalam Wardah Zinnirah




Al-Hamdulillah...malam ini ALLAH memberi kesempatan & ruang kepada penulis untuk melakar sesuatu yang bermanfaat buat diri sebelum mata terpejam, sama ada akan terjaga esok harinya atau meninggalkan dunia buat selama-lamanya.Perkongsian yang tidak seberapa dari makhluk ALLAH yang merasakan dirinya bertanggungjawab terhadap keberlangsungan dakwah Islam.

Setiap bait kata yang terungkap di sini adalah tidak lain tidak bukan hanya untuk mengingatkan diri betapa kerdilnya di hadapan ALLAH Yang Maha Kuasa. Moga perkongsian ini bisa membangkitkan rasa cinta diri & sahabat2 terhadap ALLAH.

Kisah disebalik nama Qalam Wardah Zinnirah...penulis telusuri sejak mulai mahu menyiapkan satu blog untuk tatapan peribadinya. Kenapa nama ini yang dipilih? Soalan yang selalu menerjah fikiran penulis saat ramai sahabat2 bertanya tentangnya. Qalam dalam bahasa yang bermaksud kata atau kalam yang memainkan peranan penting dlm hidup manusia, cumanya penulis tidak mampu menutur kalam yang berbisa seperti sahabat2 lain hanya kalam tulisan mampu digubah untuk keberlangsungan dakwah Islam

Ada apa dengan nama Wardah? Wardah sangat sinonim dengan muslimah yang bermaksud bunga mawar. Seindah bunga mawar seindah itu jugalah ciptaan ALLAH yang diberi nama wanita @ perempuan @ muslimah. Penulis sangat menyukai mawar & sering menganggap dirinya ibarat sekuntum bunga mawar yang harum mewangi di taman Firdausi. InsyaaALLAH...Berhati2 dengan mawar andai leka seketika luka yang menusuk tangan kita...Berhati2 dengan mawar andai tersalah pilih, busuklah harumannya. Jadilah mawar yang sentiasa menebar harum wangiannya, memberi kemudahan kepada semua.





Kisah Zinnirah pula, penulis sangat mengkagumiseorang serikandi Islam yang bernama Zinnirah yang hidup matinya kerana ALLAH sehingga sanggup meninggalkan keindahan dunia demi tertegaknya Islam. Subhanallah...kisah sang mujahidah Islam yang bertarung nyawa demi kebangkitan Islam. Kita pula bagaimana? Adakah masih di situasi yang selesa? Penulis mahu meletakkan matlamatnya menggapai syahid di jalan ALLAH walau saat itu ramai yang membencinya. Jom, kita hayati lirik nasyid Zinnirah dari UNIC

Hadirmu bersama kuntuman senyuman
Walau dirimu hamba tawanan
Kau jadi impian Firdausi
Kau jadi pingitan hiasan duniawi
Walau tak pernah melihatmu...Zinnirah

Matamu jadi taruhan
Gantian lara nilaian iman
Ayuh bersama kita susuri
Perjalanan derita ini
Terlindung sudah indahnya maya
Mata hatimu tetap menyala
Oh...Zinnirah
Kau umpama bintang di malam hari
Menerangi alam maya
& ditemani cahaya purnama
Selaut kasih kau hamparkan untuk Ilahi
Tiada sempadan & tiada bertepi

Menerangi alam maya
& diteman purnama
Cinta murni yg kau dambakan untuk Ilahi
Tiada sempadan & tiada bertepi

Oh...Zinnirah
Kau serikandi sunyi sendiri
Di medan ngeri & bersuara sepenuh berani
Kasih suci yg kau hulurkan untuk Ilahi
Menagih korban kasih abadi

Hadirmu bersama senyuman
Walau diri hamba tawanan
Kau jadi pedoman
Zinnirah
Kau gadis pilihan
Hiasan dunia
Penyeri di firdausi.

Ya ALLAH...penulis berharap moga hatinya sekuat Zinnirah. Ya ALLAH...penulis berharap moga dirinya bisa jadi muslimah solehah dambaan syurga. Bukan hanya dirinya menjadi seperti Zinnirah tapi penulis berharap moga sahabat2nya bisa mencontohi akhlak serikandi akhlak. 

Salam semulia kasih ALLAH pada insan yang bergelar hamba serta khalifahNya.






Wednesday 20 November 2013

Ceritera Hati di Petang Hari

Pengangkutan utama penulis untuk bergerak dari kampus ke tempat kediamannya adalah bas. Sepanjang hampir 4 tahun bergelar mahasiswi di universiti, penulis banyak kali menggunakan perkhidmatan bas. Tidak dinafikan pemandu bas sangat berjasa kepada penulis. Tahniah dan syabas penulis ucapkan buat semua pemandu bas. Terima kasih atas jasa dan budi baik kalian penulis dan kebanyakan pelajar dapat sampai ke tempat belajar dengan baik.

Hanya ucapan terima kasih dan iringan doa buat semua pemandu bas agar ditambah rezeki dan di limpahi dengan kasih sayang ALLAH yang mampu penulis nukilkan. Yalah, pemandu bas turut sama mendapat pahala seperti orang yang berjihad menuntut ilmu kerana mereka memudahkan pelajar dan menghantar pelajar ke tempat menuntut ilmu. Penulis nak bagitau kat sini, walau apa pun pekerjaan kita asalkan halal sudah tentu memberi pahala yang berlipat ganda buat kita.

Pesanan penulis buat diri ini yang sentiasa lupa juga buat semua sahabat usah kita memandang hina pada makhluk ALLAH yang lain walau pada hakikatnya semua manusia sama pada pandangan ALLAH kecuali mereka yang bertaqwa. Pemamdu bas pun insan mulia jika dia seorang yang sangat bertaqwa di sisiNya. Jadi, walau siapa pun kita ingatlah kita berasal dari tanah. Usah mudah melatah saat orang bawahan melakukan salah. Usah cepat meradang saat orang menunjuk belang. Usah suka melayan rasa saat marah datang menerpa. Didik hati menjadi insan positif dan berjiwa besar.

Berbalik pada kisah kita tadi, penulis sebenarnya nak kongsi satu cerita tentang bas. Sepanjang naik bas tak pernah lagi penulis terlibat dengan kemalangan. Kali ini ALLAH menguji iman penulis dan kawan2. Seperti biasa petang tadi penulis dan kawan2 lain beratur menaiki bas. Melihat pemandu bas terus terlintas di hati penulis moga ALLAH mengurniakan sejuta ganjaran & pahala kepadanya.

Kisah ini hanya sekadar untuk memberi ruang pada penulis mencoret sesuatu buat tatapan dirinya kelak dan pengajaran bagi orang yang sentiasa berfikir tentang nikmat kejadian serta hikmah di sebalik ujian.

Perjalanan kami baik sehingga menyebabkan penulis sempat terlelap sebelum terdengar jeritan pelajar2 yang dalam bas,"Pak cikkkk berhentiiii." Hati penulis berdebar kencang saat bas yang dinaiki terbabas dan melanggar sebuah kereta. Tidak dapat dibayangkan perasaan penulis waktu itu. Pertama kali terlibat dalam kemalangan jalan raya. Hanya satu yang difikir ketika itu, "ALLAH permudahkan urusan kami."

Ni gambar2 yang sempat diberikan oleh salah seorang pelajar yang turut berada dalam bas ketika itu:





Al-hamdulillah...penulis dan pelajar2 lain tiada yang cedera cuma panik seketika, terkejut dengan apa yang terjadi. Paling tidak penulis sangka adalah, nak bagitau dunia ni kecik, sahabat kepada pemilik kereta yang dilanggar adalah ustaz penulis masa sekolah menengah dulu. Sempat berbual dan bertanya khabar tentang ustaz Baharuddin. Masih segar di ingatan ustaz Baharuddin yang mengajar subjek Balaghah masa penulis berada di tingkatan enam beberapa tahun dulu. Mujur sahaja ustaz masih mengingati penulis, ustaz tanyakan juga sahabat2 penulis waktu di sekolah menengah dulu. Ustaz sempat berjenaka, "Tak sangka kita jumpa kat sini pulak. Kecik betul dunia ini. Kamu dah besar panjang nampaknya, dah tahun akhir pengajian. Belajarlah rajin2 yer."

Sungguh kenangan ini yang tidak mungkin akan dilupakan oleh penulis. Sekurang-kurangnya memberi pengajaran kepada penulis rahmat ALLAH ada di mana-mana dan ada hikmah di setiap sebalik ujian dan mehnah dariNya. 

PESANAN BUAT SEMUA: Hati2 di jalan raya yer! Ingat ALLAH yang memberi kita tubuh badan ini sebagai amanah bukan untuk musnah di jalan raya. 


Jom Tengok Filem Hebat Sang Murabbi ^_^

Sang Murabbi (Mencari Spirit Yang Hilang)


Al-Hamdulillah ALLAH telah memberi kesempatan kepada penulis untuk menonton dan turut mencari spirit yang hilang saat menonton filem ini. Kali ini dah masuk tiga kali penulis menonton filem ini. Jom kita tengoknya, jap ea, penulis bagi 'link' sekali supaya mudah pembaca mencarinya.


Filem ini sangat bagus untuk semua mereka yang bergelar seorang pendakwah. Kalian bakal merasai semangat yang luar biasa saat Allahyarham Ustaz Rahmat Abdullah bergelumang dengan medan dakwahnya di Indonesia. Setiap detik & hela nafasnya adalah untuk Islam. Tiada lain hanya kerana ALLAH. Tiada kata yang mampu penulis gambarkan saat meneliti setiap bait patah kata Ustaz Rahmat yang berjuang demi menegakkan kesedaran Islam dalam kalangan masyarakatnya. 

Jom, teman-teman kita hayati setiap watak2 yang wujud dalam filem ini. Filem ini banyak memberi pengajaran kepada penulis. Sekali sekali kita tengok filem yang membuka pemikiran kita berfikir sejenak tentang Islam, tentang penyebaran Islam di negara kita sendiri. Bagaimana?

Antara pengajaran yang didapati dalam filem "Sang Murabbi" ni adalah: 1) Bagaimana hubungan seorang murabbI khalifahNya dengan ALLAH yang sangat dekat? Setiap hela nafas dan gerak tingkahnya adalah kerana ALLAH & untuk ALLAH. Ibadahnya dengan ALLAH sangat dijaga & Allahyarham Ustaz Rahmat Abdullah sangat menitikberatkan tentang kesabaran, keikhlasan & pengorbanan dalam memperjuangkan Islam. Beliau mahu mengejar cinta ALLAH walau pada hakikatnya ramai yang membenci Islam.

2) Beliau turut menjaga hubungan dengan manusia & makhlukNya yang lain. Setiap bait katanya sangat indah dan dilontarkan dengan suara yang penuh berhikmah dan lembut. Allahyarham Ustaz Rahmat Abdullah berjaya membawa watak sebagai seorang muslim yang baik dan mengamalkan Islam sepenuhnya. Dalam konteks keluarga beliau berjaya menjadi abang yang baik, penyayang & bertanggungjawab bila mana beliau berhikmah dalam menegur sikap nakal adiknya menyabung ayam dan suka bergaduh. Dalam konteks masyarakat, beliau berjaya membawa watak tokoh yang menjadi tempat rujukan masyarakat bila mana ada orang yang ingin mendapatkan nama untuk anak perempuannya, Ustaz Rahmat Abdullah langsung memberikan nama 'Fani Afnan Jannati' yang bermaksud setangkai dahan di syurga.

3 perkara yang paling penulis ingat pertama adalah, bagaimana Allahyarham Ustaz Rahmat memberitahu kepada adiknya tentang 2 perkara yg perlu kita ingat ialah, 'kebaikan orang terhadap kita, & keburukan kita terhadap org lain.' 2 perkara yang perlu kita lupa, 'kebaikan kita terhadap orang lain & keburukan orang terhadap kita. Kedua, dialog beliau yang terpahat terus di hati penulis adalah,"CINTA BUTUH PENGORBANAN, WAKTU, TENAGA, & HARTA. ITULAH CINTA DALAM MENYAMPAIKAN DAKWAH ISLAMIYYAH." Last but not least, bicara Ustaz Rahmat pada saat akhir hayatnya, "Pejuangkan Islam kerana ALLAH."

ALLAHYARHAM USTAZ RAHMAT ABDULLAH

Antara babak gambar yang sempat penulis ambik dari 'google image' jom tengok sama, mana tau terbuka hati sahabat untuk melihat dan meneliti filem ini:




   
Jom, sahabat2 kita tengok filem 'Sang Murabbi' ini yang banyak memberi pengajaran kepada diri, banyak mengalirkan tapak ketenangan dalam Islam, banyak mencurah kelembutan pada hati yang keras hanya kerana CINTA DAKWAH.

Tuesday 19 November 2013

Hayya Nuhibbu Lughah al-'Arabiyyah ^__^

Hari ini penulis nak kongsi betapa gembira dan bahagianya kerana mempunyai seorang pensyarah arab yang sentiasa mengajak pelajar-pelajarnya mempraktik bahasa Arab dalam kalangan pelajarnya. Hari ini juga penulis dan kawan-kawan sekelas di dedahkan dengan kepentingan penggunaan bahasa Arab dalam salah satu seminar yang bertajuk, Seminar Wahyu Asas Tamadun (SWAT) 2013 yang berlangsung selama 2 hari bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai. 

Subjek bahasa Arab penulis dan kawan2 sekelas ambil sangat menarik kerana kami bukan sahaja didedahkan dengan penggunaan bahasa Arab dalam kelas tetapi juga di dalam seminar2 yang pensyarah kami ikuti. Kami sangat teruja saat pembentang2 kertas kerja membentangkan peri pentingnya bahasa Arab dalam memahami isi al-Quran.

Ini mengajar penulis dan kawan2 untuk lebih mencintai bahasa Arab memandangkan kami dalam bidang bahasa Arab. Sungguh kami benar2 tertarik dengan bahasa yang bukan hanya untuk kami memahami bahasa Al-Quran tetapi juga untuk menambah penguasaan bahasa arab yang kami sepatutnya kuasai sejak dari tahun pertama pembelajaran di universiti. Nak tengok gambar pensyarah penulis yang bernama Dr. Mahmood,



Lagi penulis teruja, hampir empat tahun belajar di universiti akhirnya penulis sudah punya sahabat dari Jordan yang bernama Wazeerah. Hasrat penulis untuk mempunyai sahabat dalam kalangan orang Arab tercapai. Sekurang2nya persahabatan kami boleh mengerat ukhuwwah antara dua negara. 

Penulis cukup gembira...alhamdulillah, kerana impiannya mahu punya teman berbangsa arab telahpun tercapai walau hanya seorang. Moga suatu saat semakin bertambahlah teman @ kawan @ sahabat penulis dalam kalangan orang Arab. Nak tengok gambar dia, jom!


Akhir qalam, tambahkan ilmu, tambahkan rasa cinta kita pada bahasa Arab agar kaita bisa memahami setiap hukum ALLAH dan isi al-Quran. Salam kasih buat insan pencinta ALLAH.