Wednesday 28 January 2015

Duhai Air...Berhentilah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Subhanallah...Astaghfirullah...
Kuasa Tuhan Maha Hebat
Sekali arah
Hujan turun melebat
Air mengalir laju
Tanpa tanda berhenti
Sungguh tiada penghalang
Merubah tanah subur
Dipenuhi air
Semua tenggelam bersama
Tiada terkecuali tiada tersisa
Yang beriman yang kafir
Semua sama merasa
Maha Hebat kuasa Tuhan
Musibah ini menimpa
Tersirat makna hikmah
Memberi ibrah akal memikir
Menunjuk ALLAH Maha Kuasa
Duhai air...berhentilah
Berhentilah mengalirkannya
Berhentilah membuat penduduk bumi derita
Berhentilah mensucikan alam semesta
Dengan kuasaNya...



Bait kata di atas direka sudah tersimpan lama sejak hujan lebat membasahi bumi serambi Makkah bulan Disember yang lalu membawa kepada banjir besar di Kelantan. Al-Hamdulillah dengan izinNya ALLAH memberi ruang kepada penulis untuk menjenguk blognya yang dah lama sunyi tanpa kata-kata. Syukur al-Hamdulillah, peluang keemasan ini digunakan sebaiknya untuk dia bercerita tentang isu banjir besar yang berlaku di Kelantan baru-baru ini. Berita tentang banjir sudah makin berkurang, namun derita & kesukaran ditanggung sendiri oleh mangsa-mangsa banjir termasuk keluarga penulis yang turut merasai pengalaman banjir untuk pertama kalinya dalam hidup mereka. 



Maha Besar ALLAH, ujianNya banyak mengajar kami bersabar & redha dengan kehendak ALLAH. Belajar menerima ujian agar kami senang & tenang serta tidak gelabah untuk menerima kesenangan pada akhir kehidupan sebagai hambaNya. Subhanallah hanya orang yang diuji merasai betapa manisnya teguran & kasih sayang ALLAH. Setiap manusia punya ujian & masalah yang berbeza atas kita bagaimana mahu mendepaninya? Mari kita renung kalam bicara penulis yang terkemas rapat dalam tulisan pen selama ini, kini dizahir dalam blognya!

"Ya ALLAH...selamatkanlah keluargaku yang ditimpa musibah. Selamatkanlah semua mangsa banjir. Engkau Maha Mengetahui sedang kami tidak mengetahui. Ampuni dosa kami Ya ALLAH! Andai kehadiran musibah ini untuk mendekatkan kami kepadaMu & menyucikan jiwa kami, maka Engkau campakkanlah rasa redha & sabar dalam hati kami. Kuatkanlah kami untuk menghadapinya."

Doa ini dipanjatkan setelah mendengar berita dari mulut mama tentang rumah kami dinaiki air dengan kata lain banjir. Sedih bercampur resah bila mendapat tahu mama & keluarga di kampung terperangkap di rumah & bantuan tidak kunjung tiba ketika ini. Bayangan...bagaimana mereka hidup dalam keadaan sentiasa bergerak dalam air yang bercampur lumpur pekat, bergerak dalam rumah yang dipenuhi air. Penulis hanya mampu bertawakkal tinggi, menyerahkan urusan keselamatan keluarganya pada ALLAH.

Hati meronta-ronta mahu pulang ke bumi serambi Makkah, menjenguk keluarga & membantu mereka. Namun, kerjanya di perantauan membutuhkan pengorbanan  & terkadang menitis air mata tanpa sedar, mengundang duka tersembunyi di sebalik redup wajahnya. Rohnya ketika itu melayang laju di kampung tanpa di duga.

Rasa seolah sekelip mata musibah ini menimpa keluarganya & majoriti rakyat di negeri Che Siti Wan Kembang. ALLAH Maha Adil, ALLAH Maha Tahu berlakunya banjir besar yang hampir menenggelamkan keseluruhan bumi serambi Makkah. Kita sebagai manusia usah mencari sebab & menimbulkan pertikaian yang tidak logik. Cukup kita mengambil pelajaran dari apa yang telah berlaku & memperbaiki kesilapan diri sendiri sehingga mengakibatkan kita di timpa musibah ini. Kenapa kita? Kenapa bukan orang orang lain? Jawapan itu ada pada Pemilik alam ini iaitu ALLAH Yang Maha Berkuasa.

ALLAHURABBI...tidak terbayang bagaimana kerosakan & kerugian yang dialami oleh masyarakat amnya & keluarga penulis sendiri khususnya. Bagaimana pula bantuan yang dihulurkan oleh majoriti negeri di Malaysia? Mampukah mereka bertahan? ALLAH Maha Memelihara & ALLAH Maha Menolong. ALLAH tidak sesekali meninggalkan hambaNya yang khusyuk meminta, yang berserah diri padaNya, yang berusaha sedaya mampunya.

Ya ALLAH...hati penulis memberontak mahu pulang ke kampung halaman ketika itu. "Izinkan sahabat-sahabatku bertemu keluarga mereka. Jika dalam banyak-banyak doaku waktu ini, andai hanya satu yang Engkau perkenankan terlebih dahulu...maka aku mohon padaMu Ya ALLAH...Engkau bukakanlah pintu kemudahan seluas-luasnya kepada sahabat-sahabatku untuk pulang ke kampung halaman, bertemu, membantu meringan beban keluarga, & mengubat rindu di perantauan. Permudahkanlah urusan dunia & akhirat sahabat-sahabatku. Diriku tidak mampu berada dekat di sisi insan-insan yang ku sayang keranaMu...tidak juga ku mampu berkongsi suka duka mereka...tidak juga ku mampu menjadi yang terbaik di sisi mereka... Ku yakin penuh i'tikad Engkau mampu memberikan yang terbaik untuk sahabat-sahabatku. Engkau Maha Memelihara hati kami, peliharalah hati-hati sahabat-sahabatku dari segala sifat mazmudah. Suburkan hati mereka dengan sifat mahmudah. Limpahkan mereka dengan kebaikan yang berpanjangan." Doa ini di baca menjadi zikir sepanjang musibah ini berlaku. Dapat penulis bayangkan betapa galaunya hati sahabat-sahabat yang punya keluarga di Kelantan yang menjadi mangsa banjir ketika itu. 

& al-Hamdulillah dengan izinNya doa ini terzahir di rumah ALLAH  & ALLAH Maha Mendengar. Dengan sekali izin, penulis & dua orang sahabatnya dapat pulang ke kampung halaman dalam misi bantuan mahasiswa kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri yang terlibat. Subhanallah...sujud syukur penulis ALLAH mendengar permohonannya ketika itu walau kami singgah di Kelantan hanya 4 hari, tetapi ianya cukup berbaloi berada di rumah 2 hari 1 malam merasai peritnya menjadi mangsa banjir.

Cukuplah ALLAH bagiku, tiada Tuhan selain ALLAH sebaik-baik penolong , sebaik-baik penjaga & sebaik-baik pelindung.



Monday 19 January 2015

Jalinan Kasih Sayang

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Pertama kali
Kami bertentang mata
Bukan debaran yang dirasa
Ikatan kasih sayang terbina
Tiada paksa tiada benci pada mulanya
Hanya ukiran sekuntuk senyum
Menjalin kasih kami seadanya

Ukhuwwah
Banyak sekali diperkata dibahas bersama
Banyak sekali mengisi perjuangan
Menjadi rukun tersenarai
Dalam bicara Fathi Yakan
Bukan calang-calang kata
Menghubung kasih sesama manusia

Biar
Watak kami berbeza
Tingkah kami juga berbeza
Perbezaan itu diraikan bersama
Indahnya ukhuwwah terbina
Jalinan kasih yang tiada taranya
Moga berkekalan hingga ke syurga
Moga alunan doa & al-Fatihah mengiring hari bahagiamu sahabat
Moga terlakar kenangan indah kita bersama
Di pintu syurga Firdaus.

Dedikasi istimewa buat insan yang baru dikenali penulis menjalin persahabatan di teratak muaddibah, saudari Nur Afifah Ibrahim berkongsi tarikh kelahiran yang sama 30 NOVEMBER 1991 & penulis 30 NOVEMBER 1990. Tarikh lahir kami sama & kami punya 'chemistry' yang sama. Untung, al-hamdulillah dah lama gak penulis mencari orang yang sama tarikh lahir dengannya, kerana dengan itu dia dapat belajar mengenali dirinya melalui orang lain. Jom tengok gambar kami masa kami keluar beriadhah bersama-sama di Dataran Nilai!




Moga ALLAH mempermudahkan segala urusan dunia & akhirat Nur Afifah bt Ibrahim.
Hidup bahagia ya sahabatku. Enjoy yourself as a muslimah!

Saturday 17 January 2015

Muslimah Itu Indah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan izinNya penulis diberi ruang kali ke 279 untuk memenuhi ruangan blognya. Al-Hamdulillah ALLAH Maha Penyayang terhadap hambaNya sehingga memungkinkan penulis merasai betapa nikmat & bertuahnya dia bergelar sebagai wanita Islam. Islam mengindahkan gelarannya sebagai wanita, mengangkat martabatnya daripada hina kepada mulia kerana pada 'mata' ALLAH manusia itu semuanya sama kecuali iman & taqwanya. Jadi, beruntunglah duhai sahabat, kerana kalian adalah muslimah yang menjadi dambaan syurga & mungkin dicemburui bidadari syurga.



Bersyarat? Kita sebagai muslimah mestilah menjaga maruah diri & agama. Menjadi yang terbaik di sisi agama bukan baik hanya pada mata penduduk bumi semata, tetapi juga baik pada pandangan penduduk langit juga. Sungguh penulis bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang wanita Islam. Walau sekuat mana ujian yang harus dilaluinya, dia harus kuat & tabah dengan kekuatan yang diberikan ALLAH kepadanya. Usah kita takut & gentar bila ada kata yang berbicara mengatakan muslimah itu 'poyo', ketinggalan zaman, jumud, tak ikut peredaran zaman & sebagainya, asalkan kita menjaga & tetap memelihara apa yang dikehendakiNya & menjauhi apa yang dilarangNya.

Bukan mudah sebenarnya nak jadi muslimah dambaan syurga, perlu kuat mujahadah, butuh berjuta pengorbanan, rintangan & cabaran serta ujian yang dihadapinya juga luar biasa hebat. Orang biasa diuji hanya satu kali, tetapi mereka yang mengaku muslimah, ujiannya berulang kali bukan bermakna ALLAH benci tetapi itu tanda ALLAH Maha Penyayang terhadap hambaNya. Hanya orang yang memahami hakikat Islam sebenar yang bisa memahami hakikat kehidupannya.

Usah kita kalut & sibuk dengan kata-kata manusia, tetapi tengok serta telitilah 'kata-kata' & pandangan ALLAH, insyaALLAH kita akan melalui kehidupan ini dengan tenang & bahagia penuh kesederhanaan. Nak dapat syurga ALLAH bukan semudah memetik jari, juga nak jadi muslimah bukan hanya pada pakaian yang menutup aurat, juga nak dapat yang muslimah bukan senang-senang kita nak melamarnya, tetapi penuh adab & tertib. Barulah terhasil perkara yang baik, barulah terlahir matlamat yang jelas. Cubalah kita dekatkan diri kita dengan ALLAH, insyaALLAH kita akan jadi muslimah yang terlalu rindukan pertemuan denganNya...yang mendambakan kasihnya di setiap helaan nafas kita. 



Usah takut untuk mengatakan tidak kepada 'couple', usah takut untuk mengelak diri dari zina, usah biar diri kita terleka dengan mainan dunia. Kerana kita muslimah indah dengan perhiasan agama. Semua perempuan beragama Islam layak digelar muslimah bila mana dia mengamalkan seluruh kehidupannya dengan Islam bermula dari tidur hinggalah dia tidur semula.  Itulah muslimah, walau ditakuti & di anggap remeh oleh sesetengah manusia kerana pakaiannya, tingkahnya, bicaranya, adab & akhlaknya, diamnya, ketegasannya, namun dia tetap menjadi muslimah yang disebut-sebut pendudk langit. Ingin sekali penulis menjadi muslimah dambaan syurga & dicemburui bidadari syurga. Ameen, insyaALLAH. Mohon doa semua sahabat yer :-) :-) 


Just be yourself my dear friends! No need for you to be other person. ALLAH truly love the person especially women who always be herself with the way of Islam. ALLAH never forget about us as a muslimah, & ALLAH will always make us, muslimah better than other man. Just do your job as hamba & khalifah ALLAH verry well, barakah will always follow you my dear! & Remember to always pray &praise to ALLAH for the Islam that we make as our most important religion. Make us happy, keep calm & smile.


Wednesday 14 January 2015

Bahana Gadjet

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH  Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...


Al-Hamdulillah...ALLAH masih memberinya ruang untuk mencoret rasa di blog kesayangannya ini. Lama benar dia 'bercuti' dari menulis & banyak kisah-kisah yang tergendala dek kerana 'line' internet yang lembab mengganggu penulisannya. Al-Hamdulillah kesempatan menikmati hidup sebagai muslimah benar-benar mendekatkan dirinya kepada ALLAH saat bahagia & teruji. Apa-apa pun semua kembali kepada ALLAH. 


Nikmat bergelar seorang muaddibah yang memikul tanggungjawab & amanah maha besar mendidik anak bangsa dengan didikan yang benar & berlandaskan Islam menjadikan ini adalah pengalaman manis dalam hidupnya. Kembali bekerja sebagai muaddibah? Ya kerana panggilannya yang unik. Ya kerana penulis mahu melunaskan hutangnya dengan ALLAH Yang Maha Kuasa. Biar nanti dia bisa tenang bila menghadapNya. Bahagia menjadi ibu kepada lima belas orang anak sebelum masanya penulis benar-benar bergelar ibu.


Jom kita telesuri terlebih dahulu kisah yang dipaparkan oleh penulis petang ini! Kisah yang mungkin menyedarkan jiwa ramai manusia pada akhir pembacaannya. Sedih tak bila dalam ramai-ramai sahabat hanya kita yang masih ditakuk lama, menggunakan telefon bimbit NOKIA 3310? Tak percaya? Masih ada yang setia pada yang lama, eksotik & unik. Hanya ALLAH Yang Maha Tahu apa yang bergolak dalam jiwanya.


Bayangkan daripada beberapa kawannya yang masih tidak punya telefon pintar, hinggalah semuanya berpeluang memiliki telefon pintar ini kecuali dia. Sebelum ini perbualan rancak tanpa gangguan gadjet yang bernama telefon pintar kali ini ia benar-benar mengganggu. Kehadirannya membuatkan penulis mula melakar sebab kenapa dia masih tiada keinginan untuk memiliki telefon pintar sendiri.


Bangun pagi membelek telefon pintar, tengah rehat melihat telefon pintar, bahkan sedang berbual masing-masing sempat lagi menyentuh skrin telefon pintar tersebut. Mana penulis tak tersinggung. Astaghfirullahal'azim. Penulis bukan cemburu cuma agak terasa hati dengan situasi ini memandangkan dia satu-satunya muaddibah yang tiada gadjet canggih itu. Maklum sahaja dengan hanya menyentuh telefon pintar itu, semua maklumat berada di hujung jari. komunikasi dua hala semakin terhad.


Biarlah si pemilik telefon pintar ini sedar sendiri bagaimana sedih & terlukanya hati sahabat ini. Dia simpan & terus simpan moga suatu saat ALLAH memberi hidayah betapa indah & manisnya ukhuwwah walau tanpa gadjet yang mahal. Sepatutnya bukan gadjet yang kawal kita, tapi kita yang kawal gadjet. Mungkin kewujudan telefon pintar ini banyak memudahkan kita. Mungkin kehadiran telefon pintar itu, komunikasi dengan yang jauh terjaga namun tanpa sedar merenggangkan hubungan sahabat di depan mata. Biarlah dia bahagia dengan telefon lamanya, biarlah dendam & amarah itu terlerai dengan hadiah al-Fatihah & doa buat sahabat-sahabatnya.


Lagipun apa gunanya menaruh prasangka, cuma menambah dosa & sakit di dada. Biar baik sangka &berlapang dada menjadi mainan hidupnya biarpun sakit yang terpaksa ditelannya. Pesanan ikhlas dari hati penulis, hargailah insan-insan yang wujud di sekeliling kita sebelum ALLAH mengambilnya dari kita tanpa kita sedar yang suatu ketika kita kehilangannya secara tiba-tiba. Kisah tragis tentang telefon pintar & yang seumpamanya banyak mengajar penulis bersabar dengan ujian ini walau pahit terpaksa ditelan olehnya.


Bersambung nanti yer!


Ujian juga bila ramai sahabat ralit & asyik melayan telefon pintar masing-masing. Ujian bagi iman yang terkadang menaik & sekali-sekala menurun. Doanya pada semua sahabat agar mereka memahami isi hati sahabat lain yang ibarat katak di bawah tempurung seperti penulis. Boleh sahaja penulis membeli telefon pintar tersebut tetapi hatinya keras menyekat hak nafsunya yang menjadi keperluan pada zaman ini. Biar hilang cemburu di dada dengan cara yang berbeza. Namun, hilang rasa cemburu itu bukan dengan cara mendapatkannya tetapi dengan cara mengistiqamahkan hati melangkah ringan ke rumah ALLAH & memenuhi hakNya. Di dalamnya terdapat ketenangan yang tiada tandingan. Hanya muslim yang sering menjejak kaki ke rumah ALLAH merasai betapa manisnya punya kesempatan & peluang bergelar tetamuNya.


Cukuplah ALLAH menjadi pengubat hatinya, tetapi sampai bila penulis harus tabah & sabar seperti ini? Bukan tak mau memilikinya tetapi kewujudan telefon pintar ini benar-benar memberi sudut pandang negatif kepada dirinya. Negatif kerana telefon pintar itu telah merampas kebahagiaanya manis berukhuwwah. Negatifnya kerana is merubah nilai persahabatan yang terjalin menjadi semakin hambar & pudar. Walau terkadang air mata bercucuran membasahi pipi pada setiap hari yang dirasakan perlu menangis. Namun, tangisan itu benar-benar menjadikannya insan yang mahu dekat dengan ALLAH pada setiap hela nafasnya.

Mungkin pada sesetengah orang ini adalah perkara biasa & fenomena biasa buat apa nak simpan rasa cemburu. Kebendaan dunia je pun! Namun, penulis menilai pada sudut pandang sebuah persahabatan gara-gara telefon pintar yang canggih pada mata ramai manusia. Perkara remeh kenapa mesti dikongsi & dibangkitkan dalam blog ini? Tetapi sungguh permasalahan ini yang meruntuh & membinasakan hubungan persahabatan @ ukhuwwah yang jelas terbina keranaNya.

Mohon perhatian kepada penulis blog ini & semua sahabat, kehadiran entri ini bukan untuk meluah rasa semata @ memburuk nama manusia yang bernama sahabat, tetapi hasrat hati hanya mahu menegur dengan rasa kebertanggungjawaban yang tak mampu dilakukan penulis dalam bentuk percakapan hanya bisa diungkap dengan kata-kata penulisan. Bukan mahu buat sahabat tersinggug, tetapi ini hakikat yang dilalui oleh penulis. Hakikatnya amat perit untuk ditelan kerana mana mungkin dia kehilangan sahabat hanya kerana gadjet yang tumbuh merata ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Penulis hanya mahu kita sama-sama sedar...kita ini manusia punya hati & perasaan yang perlu sama dijaga bukannya robot yang dibuat sesuka hatinya atau gula-gula yang selepas mendapatkannya, dibuang pembungkusnya. 

Mungkin juga sebab penulis sering memendam rasa sendiri, melayan perasaan yang berbolak-balik, memungkinkan semuanya terjadi. Mudah terasa atau dengan kata lain sensitif walau hanya sekecil perkara. Penulis cuba untuk memperbaiki dirinya yang tercalit seribu macam kelemahan & keburukan walau agak sukar bertatih dari mula. 

Ya benar langkah terakhir, dia harus berfikiran positif tentang sahabat-sahabatnya, bukan niat mereka untuk membuat hatinya terguris, mungkin juga penulis yang terlampau berfikiran negatif sehingga menutup makna kebaikan & hikmah disebalik ujian ALLAH ini. Ya dengan berfikiran positif dia bakal mendapat kebaikan & ketenangan yang tak mampu manusia berikan kecuali dengan izin ALLAH. Biarlah dia bahagia serta bersyukur dengan telefon bimbit NOKIA 3310, dengan notebook ACER, dengan kamera COOLPIX pemberian kakak, broadbang CELCOM, dengan buku-buku yang menjadi peneman setianya pemberi maklumat paling tepat di sisinya & yang paling penting dia bahagia kerana dia punya rasa bertuhan.

Sebelum menamatkan perkongsian hari ini izinkan penulis menitip pesan, usah kita leka dengan gadjet dunia hingga kita lupa insan-insan sekeliling kita & terkadang lupa kita punya hati sahabat yang harus dijaga. Bagaimana perasaan mereka jika kewujudan & kehadiran mereka tidak dilayan & kurang kasing sayang selepas kita sibuk melayan gadjet-gadjet yang ada. Tak salah kita jadi manusia yang 'up-to date' ada wassup, facebook, blog, twitter, instagram, kamera canggih dalam 'phone', telefon pintar yang punya pelbagai aplikasi yang maklumat dunia ada di hujung jari kita, namun usah kita leka dengannya hingga kita terlupa insan-insan yang kita sayang memerlukan kasih sayang kita yang dulu berkebuk kita bicara tentang ukhuwwah. Usah kita lupa untuk mendekat diri kita kepadaNya walau kita punya banyak gadjet yang canggih. Jangan sampai terlupa memenuhi hakNya.

Setakat ini dahulu coretan hati penulis untuk malam ini. Moga memberi suntikan kesedaran & menyentap hati peri pentingnya kita menjaga hubungan sesama manusia. Moga memberi manfaat berguna buat ummah yang dahagakan nasihat & perkongsian.

Siiru 'ala barakatillah....