Wednesday 24 August 2016

Sahabat Sampai Syurga

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...syukur Ya ALLAH di atas segala nikmat dan kasih sayangMu yang sentiasa melimpahi penulis blog ini. Penulisan dunia yang abstrak memungkinkan penulis melangkah lebih jauh dalam dunia ini. Kisah hidup, pengalaman dan pahit manis sesebuah kehidupannya banyak mengajar dia menjadi manusia. Bukan manusia semata tetapi manusia yang punya amanah sebagai hamba & khalifahNya.

Andai berkesempatan ingin dia coret segala kisah hidupnya bukan untuk membangga diri, tetapi hanya mahu hidup memberi sekurang-kurangnya memberi pada yang memerlukan. Memberi pada yang mahu mengetahui betapa bersyukur dan bahagia bila meletakkan ALLAH pada setiap langkah pertama kita dalam kehidupan.

Islam itu sangat indah, duhai teman. Lebih indah dari isi dunia yang hanya fatamorgana ini. Lebih indah dari ciptaan-ciptaan teknologi manusia, kerana dengan Islam tamadun terbina gemilang. Dengan Islam kita punya matlamat hidup yang jelas yang bisa memberi kita petunjuk menuju jalan kebenaran. Keindahan itu ingin penulis garapkan dalam penulisannya supaya tiada manusia yang bisa mempertikaikan Islam yang menjadi pegangan hidupnya. ALLAH Tuhan kita, Muhammad s.a.w. nabi kita, al-Quran panduan hidup kita, kaabah kiblat kita, jihad jalan juang kita, mati cita tertinggi kita.

Sesekali menatap deretan nombor telefon bimbit sahabat-sahabatnya, dia sebak menunggu masa menitis air mata kerinduan. Rasa macam sudah terlalu lama dia tidak mempedulikan sahabat-sahabatnya. Biasanya, dia akan menghantar mesej kata-kata tanda ingatan pada sahabat-sahabatnya. Kali ini dia seolah-olah sepi tanpa kata, membisu seribu bahasa sejak sibuk menguruskan kehidupan berumah tangga.

Satu per satu sillih berganti wajah sahabat-sahabatnya terbayang di mata, “Adakah diriku merindui mereka?” Bagaimana keadaan sahabat-sahabat? Bahagiakah mereka? Deritakah mereka? Ada diriku ambil peduli? Astaghfirullahal’azim...lama benar dirinya tidak bertanya khabar, bertukar cerita dengan sahabat-sahabatnya. Adakah diriku yang menjauhkan diri dari mereka ataukah sahabat-sahabat yang terpaksa menjauhkan diri dariku kerana kami sudah bertukar status?

Banyak sekali persoalan yang bermain di fikiran saat meneliti satu per satu nombor telefon bimbit dan nama-nama sahabatnya yang tersenarai dalam telefon. Kalian melupakanku? Atau bagaimana? Sungguh diri ini sangat merindui kenangan pahit manis bersama sahabat daripada berjuang di sekolah rendah, berhijrah sekolah menengah, masuk alam universiti dan seterusnya alam kerjaya. Semuanya dipenuhi dengan kenangan bersama-sama sahabat. Rindu benar pada sahabat-sahabatnya Cuma Al-Fatihah dikirim lewat doa kepada sahabat-sahabat sebagai pengubat rindu.

Adakah diriku masih punya peluang bersama sahabat-sahabat? Andai bisa diputar masa, ingin dia ulang kembali kenangan bersahabat di sekolah menengah. Sahabat yang banyak mengajar erti hidup, sahabat yang banyak mengubah persepsi negatif tentang manusia lain. Daripada kawan biasa hinggalah bertukar menjadi sahabat dunia akhirat. Semuanya berlegar di ruangan mata. Masih kuat di ingatannya pada tiga orang sahabat karib di sekolah menengah. Kami bersahabat agak lama hinggalah masing-masing membawa diri meneruskan kehidupan & impian tersendiri.

Masuk alam universiti, sahabat dan kawan-kawannya semakin bertambah. Orang kata berkawan biar seribu, bermusuh biar satu. Cari & pilihlah kawan yang sebaiknya kerana dalam memilih kawan, automatik kita terbias sikap & perangai kawan-kawan kita. Sahabat ini ibarat cermin diri, nak tahu siapa kita, tengoklah dengan siapa kita berkawan. Alam belajar yang penuh dengan cabaran dan sangat menyeronokkan. Belajar sama-sama, makan sama-sama. Tidur sama-sama. Layan drama bila stress menyiapkan ‘assignment’ pun sama-sama.

Ingatan makin kuat pada seorang sahabat dunia & akhirat penulis dengan nama manjanya, Wira. Dia anak jati negeri Kedah Darul Aman. Kami berkenalan di awal tahun pengajian kami di universiti. Dia mengajak penulis belajar bersama walaupun dia tahu kami berlainan kelas. Dia sahabat yang sangat baik & memahami. Sekarang dah selamat mendirikan rumah tangga dan bakal mempunyai seorang bayi comel nanti. Penulis tak sabar menunggu kelahiran anak buahnya nanti. Dia sahabat tempat penulis berkongsi cerita. Dia sahabat tempat penulis berkongsi suka & duka. Dia sahabat yang sentiasa buat penulis tersenyum.

Pada akhir pengajian di universiti, ALLAH sekali lagi mengurniakan kepada penulis seorang sahabat dengan panggilan manjanya, Ayu. Kami memilih untuk praktikal bersama-sama di Banting, Selangor. Bertitik tolak dari itu, kami menjalin persahabatan. Juga merupakan anak kelahiran Kedah Darul Aman. Jadi, penulis tidak kekok bersama orang Kedah. Alah bisa tegal biasa. Ayu juga al-hamdulillah telah berumah tangga dan dikurniakan cahaya mata bernama Lubna yang subhanallah sangat comel macam anak orang arab.

Di alam pekerjaan pula, ALLAH Maha Pemurah kepada penulis kerana telah mengurniakan sahabat-sahabat yang ramai. Kami rakan sekerja dengan amanah muaddibah. Susah senang kami tetap bersama-sama. Dunia pekerjaan yang sangat membutuhkan pengorbanan ketika itu. Mengenali watak anak-anak berusia dalam lingkungan 4, 5, & 6 tahun sangat menguji diri seorang muaddibah dan saling membahu antara kami adalah antara kenangan yang sangat manis yang tak mungkin penulis lupakan. Kenangan bersama sahabat-sahabat muaddibah dan anak-anak sentiasa bermain di mata setiap kali merindui mereka.

Atas permintaan salah seorang sahabat ‘muaddibah ohsem’ yang begitu merindui kenangan kami waktu bersama-sama berjuang dalam dunia pendidikan, penulis abadikan gambar-gambar kenangan kami di sini untuk tatapan Ukhti Siti Sapiah bt Mohd Hudri dan sahabat-sahabat lain. Harapnya terubat sudah rindu ukhti ya. Memahami dan menghormati permintaan sahabat memungkinkan penulis menukilkan bicara ini,

Rindu itu fitrah, duhai sahabat. Biar kita telah jauh terpisah beribu batu, namun kasih sayang antara kita takkan pernah padam. Ya, dengan sahabat, diri ini kenal dengan kebaikan, dengan sahabat pinjaman ALLAH diri ini yang terkadang jatuh tersunkur kembali bangkit. Sahabat juga anugerah terindah bagi penulis. Kalian banyak melakarkan kenangan pahit manis bersama-sama, dari sesukar-sukar perkara, sesusah-susah kehidupan hinggalah ALLAH memberikan kesenangan. Biarlah kali ini, penulis menghargai kewujudan sahabat-sahabatnya kerana kita bersahabat sampai syurga. Bukan kerana harta atau kecantikan semata tapi kita bersahabat sampai syurga kerana ALLAH semata. Ingat tau!”

Gambar-gambar kenangan menyusul di bawah yer!

Setakat ini dahulu coretan rindu penulis buat sahabat-sahabat terchinta. Moga persahabatan kita berkekalan hingga ke syurga abadi. Menghargai insan-insan yang menyayangi kita itu perlu untuk lebih mengeratkan hubungan ukhuwwah & kasih sayang antara sahabat. Hadiah Al-Fatihah penulis kirimkan buat insan-insan bernama sahabat yang hadir mewarnai kanvas kehidupannya penuh warna-warni, cantik & abstrak. Terima kasih untuk kasih sayang kalian. Moga kehadiran entri ini memberi sentuhan rasa & pengubat rindu pada yang merindu.


Siiru ’ala barakatillah...jumpa lagi pada entri seterusnya ya!

Monday 22 August 2016

Sebuah Rumah Banglo Mewah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan limpah kurniaanNya, penulis masih diberi kesempatan & kekuatan untuk meneruskan penulisan blognya. Kehadiran blog ini yang dulunya hanya kerana terpaksa memenuhi keperluan tugasan kuliahnya semasa zaman belajar di universiti, kini menjadi hobi & minat kesukaannya. Dia mahu berkongsi betapa bahagia & bertuahnya menjadi muslimah beragama Islam.

Biar apa orang nak kata tentang kita, yang penting kita tahu niat & hala tuju kehidupan kita hanya kerana mahu meraih cinta ALLAH semata. Ya, jika kehadiran blog ini semakin mendekatkan dirinya dengan ALLAH & semakin memberi sinar cahaya pada manusia-manusia lain, inilah jalan yang penulis pilih. Kerna kita hidup diberi pilihan, mahu yang baik atau yang buruk itu terpulang pada diri setiap insan. Bukan?

Baik, hari ini penulis memilih entri bertajuk, ‘Sebuah Rumah Banglo Mewah’. Kenapa penulis ada rumah macam tu? Takdelah, penulis pun tinggal di rumah kampung yang biasa-biasa sahaja yang menjadikan rumahku syurgaku adalah ahli keluarga & pengisian di dalam rumah tersebut. Siapa punya impian nak ada sebuah rumah banglo mewah? Setiap orang mesti punya impian tersendiri, tapi hari ini penulis bukan nak bercerita tentang impiannya. Penulis ingin sampaikan analogi menarik tentang sebuah rumah banglo mewah ini.

Kalau tak tulis kat blog nanti, dah lupa ceritanya. Pertemuan dengan seorang sahabat kepada sahabat penulis di bumi bernilai yang penuh menyimpan kenangannya selama hampir lima tahun hidup bermusafir membuahkan satu perkongsian yang menarik antara kami. Penulis mendengar penuh khusyuk.

Betul kata orang, kawan baru yang kita jumpa sentiasa memberi ilmu kepada kita. Dia sempat berkongsi satu analogi yang menarik. Memetik katanya, dia bertalaqqi di sebuah pondok dengan seorang syeikh dari negara arab. Satu hari syeikh tersebut menceritakan bagaimana kisah dia berkahwin.

Pantas syeikh tersebut menceritakan satu analogi menarik tentang perbandingan antara orang bujang dan orang yang telah berkahwin. Kata syeikh tersebut: “Orang bujang melihat alam perkahwinan umpama memerhati & menjenguk sebuah rumah banglo mewah. Sedangkan orang yang telah berkahwin adalah orang yang telah berada dalam rumah banglo mewah tersebut. Macam kita manusia biasa bila tengok rumah banglo mewah dari luar, mesti kita akan terhendap-hendak, menjenguk sana dan sini, mencari tingkap kaca mahu melihat apa yang ada dalam banglo mewah tersebut. Kata orang bujang, “Bestnya kalau aku yang berada dalam banglo mewah ini. Dapat rasai kemewahannya, sejuk dingin, aman, nyaman, besar, bahagia je. Apa yang ada kat dalam tu yer?” Rasa ingin tahu membuak-buak dalam dada seperti kanak-kanak kecil perasaan ingin tahunya. Mahu saha orang bujang ini menyelinap masuk ke dalam rumah banglo mewah itu.

Tetapi sayang, dia bukan pemilik rumah banglo mewah itu. Dia hanya memerhati dari luar. Beza pula dengan orang yang telah berkahwin, yang telah berada dalam perut rumah banglo mewah tersebut. Pahit manis dalam rumah banglo mewah itu harus ditelannya walaupun terpaksa. Dia dah rasa semuanya. Bahagia, gembira, marah, sedih, murung, kosong, penat & macam-macam perasaan berada dalam rumah banglo mewah tersebut.

Analogi yang sangat menarik. Terima kasih awak. Kehadiran kata-kata ini membuka minda & ingatan penulis tentang hidup ini kita hanya bergantung padaNya. Takdir ALLAH menentukan bagaimana perjalanan kehidupan kita nanti. Jadi, sahabat-sahabat yang masih bujang, usah khuatir rumah banglo mewah untuk kalian sentiasa ada. Usah khuatir tentang jodohmu. InsyaALLAH dengan izinNya tamatlah zaman bujangmu. Usah khuatir penulis sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian. Kitakan sahabat.

Meniti kenangan di zaman bujang penulis.

Masa bujang yang indah bersama sahabat-sahabat.

Sungguh merindui detik indah bersama.

Bersyukur & hargailah zaman bujang, kalian. Ya, kalian masih punya kesempatan & waktu untuk berbakti pada ibu ayah kandung sebaiknya. Kalian yang bujang juga masih punya kesempatan untuk mengejar impian masing-masing. Masih punya masa bermanja  & bersahabat dengan adik-beradik kalian. Masih punya waktu untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Juga masih punya kesempatan menjalin ukhuwwah yang sedia ada dengan sahabat-sahabat kalian sebaiknya. Tinggalkan kenangan bujang kalian dengan penuh kenangan pahit manis supaya nanti kalian tidak menyesal di kemudian hari bila telah memegang amanah sebagai suami atau isteri.

Ada hikmahnya kalian belum bertemu jodoh. Ada indah & istimewanya kalian masih dengan gelaran bujang. Supaya nanti kalian siap untuk menghadapi alam perkahwinan yang penuh dengan ujian. Usah bersedih ya. Penantian seorang hamba akan berakhir dengan kurniaan & anugerah dari ALLAH yang tidak di sangka-sangka.

Mari kita semua perhalusi surah at-Tholaaq ayat 2 & 3 yang bermaksud:

2. ...dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),
3. serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Buat sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumah tangga & telah selamat diijab kabulkan serta sudah punya cahaya mata sendiri, ini pesanan untuk kita bersama. Pertama, penulis mohon jasa baik kalian untuk terus mendoakan sahabat-sahabat kita yang belum bertemu jodoh akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Terus mendoakan sahabat-sahabat kita walaupun kita telah bahagia sebagai isteri atau suami. Doa kan senjata mukmin, sekurang-kurangnya kita sentiasa mendoakan sahabat-sahabat kita walaupun kita tak dapat memberi sesuatu yang zahir doa juga satu bentuk pemberian.

Kenangan majlis perkhahwinan penulis.

Ke-2, bersyukur & hargailah insan-insan yang menyayangi dan sentiasa berada di samping kalian. Jangan tunggu dah terhantuk baru terngadah, jangan tunggu dah hilang atau pergi baru kita menyesal kerana tidak menyayangi mereka kerana ALLAH. Kalian beruntung sebab dah kahwin, dah ada kehidupan sendiri jadi keberuntungan itu usah dipersiakan. Suami, isteri, anak-anak, keluarga mertua, adik-beradik, keluarga sendiri, ipar duai, semuanya anugerah ALLAH. Kehadiran mereka bukan untuk disakiti walaupun mereka terkadang menyakiti biarlah kita menjadi manusia yang sentiasa menyayangi, menghargai manusia lain.

Ke-3, buat sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumah tangga, mohon jasa baik kita sebagai sahabat yang telah berkahwin, usah sesekali kita melupakan sahabat kita secara sengaja atau tidak sengaja. Ingat tak dulu, bukan main susah kita nak bina ukhuwwah dan mengekalkan persahabatan kita. Kenapa sekarang, bila kita dah berkahwin, ruang untuk sahabat telah tertutup rapat. Adakah sebab kita dah ada ‘teman rapat’ iaitu suami atau isteri, kita melupakan semua sahabat kita semudah kita melupakan kesilapan kita? Jangan pernah lupakan ukhuwwah kita.

Setakat ini dahulu coretan penulis untuk malam ini. Maaf andai ada yang terguris hati, maaf atas khilaf yang dibuat diri ini. Penulis cuma mahu mengingatkan dirinya tentang kehidupan yang sementara ini. Sebuah rumah banglo mewah menjadi entri yang sangat terpahat di dalam hati penulis, kerna penulis dapat analogi ini dari sahabat yang baru ditemuinya. Analogi ini sangat berharga & dipahatnya  di blog ini. Penuh kenangan untuk menasihati hati sendiri & sahabat-sahabat yang mencari kata semangat.


Siiru ‘alaa barakatillah...jumpa lagi di lain entri. Terus doakan moga penulis diberi kekuatan, ilham, kemampuan, masa dalam kesibukan untuk meneruskan penulisan blog ini. 

Thursday 18 August 2016

ALLAHURABBI...ALLAH Tuhan Kami

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...Terima kasih Ya ALLAH...ucapan syukur yang tiada bandingan buat Tuhan sekalian alam, ALLAHURABBI yang telah banyak mengurniakan nikmat masa , kesempatan, pengorbanan, kekuatan dan kasih sayang untuk penulis meneruskan penulisan blog kesayangannya. Al-Hamdulillah, peluang yang ada mengukir senyum buat penulis. Al-Hamdulillah...dia bangun dan menikmati nikmat terbesar iman & Islam.

Lama sudah blog ini menyepi. Hilang tanpa kata-kata & rasa buat seketika. Bukan tidak punya masa, bukan mencari alasan semata padahal tersusun indah bait-bait kata dalam barisan bukunya. Penuh tercatat segala perkara yang ingin dikongsi bersama-sama. Rindunya pada penulisan blog ini hanya ALLAH Yang Tahu. rindu yang hanya ALLAH bisa membacanya.

Apa yang penting, ALLAH Tuhan kami sentiasa dekat & tidak pernah berenggang dalam kehidupan manusia terutamanya muslim. Apa cerita penulis hari ini? Cerita tentang ALLAHURABBI. ALLAH Tuhan kami. Kehidupan seharian pejam celik bangun tidur tidak dapat tidak mesti bergantung pada ALLAH walau macam mana pun keadaan kita. Betul tak?

Manusia fitrahnya sentiasa diuji. Cabaran, ujian, musibah, yang mendatang terkadang membuat kita jatuh tersungkur. Kesedihan, kemarahan, kemurungan, kadang-kadang menghiasi kehidupan kita membuatkan kita tertekan & kosong bukan? Rasa tiada siapa dapat membantu kita. Kita sebenarnya terlupa. Sebenarnya, di saat susah & senang kita, ada ALLAH Yang Maha Penyayang, ada ALLAH Yang Maha Melihat.

Ingatlah masa kita senang, segala nikmat melimpah ruah dalam kehidupan kita. Nikmat oksigen, kesihatan, rezeki, kerja, harta, anak-anak & banyak lagi. Kehidupan kita berjalan lancar tetapi adakah kita patut melupakanNya? Ketika susah, diri dirasakan keseorangan, termenung jauh memikirkan siapakah yang bisa membantu aku saat aku kesempitan ini? Semua yang dilakukan seolah-olah terlihat sia-sia. Kesihatan terganggu, harta tergadai, masalah bertimbun, anak kurang ajar, suami isteri bergaduh, ketika itu siapa yang kita cari?

Ya benar, ALLAH juga menjadi tempat kita mengadu. ALLAH jua menjadi tempat kita memohon pertolongan & perlindungan. ALLAH juga menjadi tempat kita bergantung segala harapan ketika kesempitan. Apa salahnya, ketika dikurniakan kesenangan, ALLAH menjadi tempat kita bersyukur & semakin mendekatkan diri kita padaNya.

ALLAHURABBI...ALLAH Tuhan kami. Andai kehidupan yang diharungi ini sentiasa ada rasa bertuhan , alangkah indahnya dunia. Bertambah seri di akhirat sana. Alangkah bahagianya muslim itu bila dia senang, sentiasa bersyukur tidak melupakan Tuhan. Alangkah bahagianya muslim itu, bila dia susah, sentiasa redha & berlapang dada mengingati Tuhan.

Dia tahu ALLAH yang mengaturkan segalanya. Dia tahu & yakin perancangan ALLAH Maha Hebat. Andai dia merancang, dia yakin, ALLAH ada bersama telah lama merancang. Hai...alangkah bahagianya hidup mukmin ini. Pagi, petang, siang & malamnya sentiasa punya kesempatan untuk mengingati Tuhan. Ya, dia tidak selamanya baik, dia tidak selamanya kuat menahan nafsunya. Ada ketikanya iman jatuh merudum lemah terjerat dek perangkap syaitan laknatullah. Seketika, dia kelihatan jauh dari Tuhan mencari-cari & meraba-raba di mana letaknya cahaya keimanan. 

Ketika ini, jom muhasabah diri! Ya fitrah manusia tidak pernah sempurna walau kita sentiasa mencari kesempurnaan dalam kehidupan, tidak selamanya baik. Sekejap iman kita di atas, juga seketika iman kita di bawah. Itu fitrah & hakikat manusia. Andai di bawah kayuhlah iman kembali di atas. Suburkan iman & kebaikan dengan pembersihan jiwa (tazkiyatun nafs). Andai jatuh kita bisa kembali bangun dengan izinNya. Ajak diri beristighfar, berzikir & solat sunat taubat. 

Setakat ini dahulu coretan penulis untuk malam ini. Ingatlah walau di manapun kaki kita berpijak, hanya ALLAH yang menjadi tempat kebergantungan kita. Barulah luka semalam bisa dipulihkan. Barulah sakit semalam, bisa sembuh, barulah sedih semalam kembali bahagia, barulah hujan yang turun sentiasa memberi nikmat senyuman pada diri kita. 

Jumpa lagi pada entri akan datang :) :) :)