Saturday 20 December 2014

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim... 
               
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...ALLAH Maha Pengasih pada hambaNya yang kerdil penuh noda ini. Terus memberi ruang kepadanya meneruskan penulisan blog agar blognya tidak terus sunyi tanpa kata-kata. Al-Hamdulillah sekali lagi ALLAH memberi penulis peluang untuk meneruskan entri bertajuk, ‘Satu Hari Sebuah Buku’. Hari ini kita bedah buku lagi ya. Dah lama benar tak bedah buku, tak memberi respon & cadangan pada buku-buku yang wujud ibarat cendawan tumbuh selepas hujan ini.  

Walaupun kesedihan melanda kerana penulis bakal meninggalkan kampung halaman dan keluarga tercinta pada malam ini, namun semangat harus diteruskan jua. Hujan masih renyai-renyai di luar menemani penulis menyiapkan entrinya. Yalah, takkan nak bagi blog ini sepi je, jadi apa guna penulis bersusah payah menyiapkan blog ini. Jadi bergembiralah duhai hati, hari ini kamu mampu memberi sekelumit rasa sedar pada diri bahawa berfikiran positif ini memberi impak yang positif kepada tindakannya.

Kali ini penulis hadir dengan buku bertajuk, ‘Berfikir Faya Al-Fateh.- Karangan: Muhammad Syaari Abdul Rahman. –Terbitan: PTS Millennia Sdn. Bhd’ untuk dibedah bersama-sama. Apa yang menarik dalam buku ini? Apa yang syok sangat sampai penulis teruja membaca buku ini? Ha, mari kita terjah & jelajah buku ini bersama-sama! Buku ini terbahagi kepada 5 bahagian & dipecahkan kepada 11 bab. Menarik untuk peneroka sejarah. Mestilah buku ini menceritakan tentang Sultan Muhammad al-Fateh serta gaya pemikirannya. Nak tahu lebih banyak? Apa kata kalian membaca buku ini sendiri sambil-sambil kalian tahu serba sedikit tentang buku ini melalui entri penulis pada hari ini?



Banyak sebenarnya yang ingin penulis taip kembali dalam buku ini, tapi tak adilkan bagi penulis buku yang bersusah payah menyiapkan buku ini? Jadi kita ambil ringkasannya ja ya? Kisah Sultan Muhammad al-Fateh daripada sebelum kelahiran, lahirnya Muhammad al-Fateh hinggalah membesar menjadi remaja yang hebat dengan memegang gelaran Sultan pada usia yang muda, & bagaimana ayahandanya mendidik Muhammad al-Fateh semuanya terungkai dalam buku ini. Diselitkan bersama gambar-gambar & kata-kata hikmah daripada pelbagai buku hasil kajian penulis buku ini.

Hebatnya Sultan Muhammad al-Fateh, sehingga bila membaca buku ini fikiran penulis mula berimaginasi alangkah bagusnya jika penulis dapat melahirkan generasi sehebat Sultan Muhammad al-Fateh. Jadi, tiba-tiba penulis memasang niat & impian mendidik anak-anaknya nanti dengan didikan al-Fateh. Berfikir gaya al-Fateh automatik mengajak pembacanya benar-benar mendalami kisah di sebalik kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh membuka Kota Konstantinopel. Inilah peranan penting sebagai ibu & ayah yang bakal mencorakkan bagaimana anak-anaknya nanti.

Buku ini juga ada menghuraikan tentang pedoman pendidikan anak-anak pada halaman 38. ‘what you give you get back’ senario yang menjati sunnah alam. Apa-apa yang anak kecil lakukan kepada kita hari ini mungkin mencerminkan apa yang dahulunya perkara yang sama kita lakukan kepada ibu dan ayah kita ketika kecil. Kanak-kanak, insan hebat yang sentiasa penulis kagumi penciptaanya. Ya, penulis juga asal daripada kanak-kanak & sekarang sudah menginjak dewasa. Al-Hamdulillah...banyak sekali perkara & pengalaman yang penulis ambil daripada insan yang namanya kanak-kanak kerana sepanjang pengalaman kerjanya dia sentiasa ditemani kanak-kanak. Kanak-kanak ini sangat berterus terang, sukakan keindahan, sukakan pujian & penghargaan, suka meneroka perkara yang baru. Ingatlah, Nabi Muhammad s.a.w sendiri sangat menghormati kanak-kanak sehingga benar hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.” {HR BUKHARI}

Renungan yang tertulis indah di halaman 166 buku bertajuk, ‘Berfikir Faya Al-Fateh.- Karangan: Muhammad Syaari Abdul Rahman. –Terbitan: PTS Millennia Sdn. Bhd’ yang menarik untuk dikongsi dalam blog ini:

Renungi bersama kata-kata seorang pendeta pada abad ke-12 Masihi: “When I was a young man, I wanted to change the world. I found it was difficult to change the world, so I tried to change my nation. When I found I couldn’t change the nation, I began to focus on my town. I couldn’t change the town and as an older man, I tried to change my family. Now, as an old man, I realize the only thing I can change is myself, and suddently I realize that if long ago I had changed myself, I could have made an impact on my family. My family and I could have an impact on our town. Their impact could have changed the nation and I could indeed have changed the world.”

Penulis buku ini banyak mencadangkan pembaca membaca buku-buku karangan penulis Barat yang pada sisi pandang ada positifnya juga. Contoh yang boleh penulis ambil pada halaman 183 tentang ubah tabiat dengan formula M.P.P. iaitu M:Mindset, P:Paksaan & P:Pengulangan yang diterangkan dalam buku “Unleash Your Other 90%, Robert K.Cooper.” Hanya mereka yang berani mencabar kebiasaan & kelaziman diri akan menemui diri mereka yang baru. Seronoknya buku ini dipenuhi dengan perkongsian penulis buku ini tentang buku-buku ini. Kata-kata hikmah bertaburan dalam buku ini seolah-olah mengajak pembacanya terus hidup bermotivasi. Satu per satu penulis menemui suatu perkara baru dalam buku ini. Ya benar penulis buku ini benar-benar mengajak pembaca berfikir seperti gaya Muhammad al-Fateh.

Penulis blog berkenan menaip kembali sajak yang ditulis oleh Sultan Mehmed 2, “Fetih 1453”, 28 May 1453 yang ditaip indah dalam buku ini berhalaman 210. Moga memberi manfaat & titik permulaan untuk perubahan diri kita. Moga semangat yang ada pada Sultan Muhammad al-Fateh akan juga mengalir pada diri kita yang bergelar muslim ini.

“Wahai para askarku,
Kota manakah yang kita tidak mampu tawan,
Bukit tinggi manakah yang kita tidak pernah pijak,
Kita pernah mencabut semula lembing musuh yang menusuk dada kita
Kita pernah runtuhkan semua panji-panji musuh,
Yang di tempat di tempat yang sia-sia.
Dalam kalangan kita ada yang mati,
Ada yang terseksa demi sebuah kemenangan.

Hari ini,
Kita akan buktikan bahawa kita lebih bernilai,
Daripada datuk & moyang kita,
Ingat, tiada kemenangan tanpa keimanan,
Aku percaya kita boleh melepasi tembok-tembok batu ini,
Dengan kesungguhan & keazaman kita.
Esok,
Kita akan bangun pada awal pagi,
Menyaksikan sendiri fajar subuh paling indah,
Yang tidak pernah dilihat oleh hamba ALLAH,
& kita tatkala itu,
Tidak akan syahid selagi musuh belum melutut kepada kita.
“ALLAHU AKBAR”

Satu lagi bab yang sangat menarik perhatian penulis blog ini yang mahu dikongsi bersama sahabat-sahabat tentang halaman 211 hingga 215 buku ini bercerita dengan pengolahan menarik dari penulis buku pasal membacalah, kamu akan menguasai dunia. Bagaimana En. Muhammad Syaari Abdul Rahman, penulis buku ini mengajak pembacanya meneliti kehebatan beberapa tokoh termasuk Sutan Muhammad al-Fateh dek kerana pembacaan buku. Memetik kata-kata beliau dalam buku ini halaman 211, “ternyata membaca bukan segalanya, namun segalanya bermula dengan pembacaan.” Sangat menarik perhatian penulis blog ini.

Ya menyahut seruan ALLAH dalam surah al-‘Alaaq ayat 1-5 yang bermaksud:
1. bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk),
2. ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
4. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan, -
5. ia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya.

Seharusnya seorang Muslim yang punya akal yang sihat mempunyai kemampuan & kemahuan untuk membaca buku. Penulis sendiri menyedari bila dia sentiasa mendekati dan bertemankan buku hidupnya dirasakan lebih indah serta terisi. Membaca buku terkadang menaikkan semangatnya, memotivasikan dirinya untuk menjadi insan yang lebih baik, mengenali & mengetahui sejarah-sejarah dahulu yang jauh dari kita tetapi dekat sebenarnya melalui pembacaan kita, membangun akalnya & terkadang mengurangkan tekanannya. Jadi penulis mengajak dirinya & sahabat semua untuk terus bertemankan buku. Usah risau kalian takkan pernah rasa jemu malah terus jatuh cinta pada buku, tapi ingat hati-hati dalam memilih jenis buku.

Banyak sekali kisah sejarah yang dilontarkan penulis buku ini terhadap buku tersebut. Bila sebut tentang sejarah penulis teringat ketika zaman sekolahnya yang tak lari dari matapelajaran Sejarah. Terkenang kembali betapa payahnya mahu mengingati setiap fakta yang terdapat dalam matapelajaran Sejarah. Terimbau kembali betapa subjek Sejarah sentiasa membuatkan kami tertidur dalam kelas, mengulit tidur kami menjadi sangat lena. Masih segar bagaimana rungutan demi rungutan keluar dari mulut kawan-kawan sekelas mengatakan sejarah ini membosankan & sukar. Bagi penulis blog ini subjek Sejarah sangat dinantikannya. Persediaan rapi dibuat untuk belajar subjek Sejarah sebab Sejarah antara subjek yang memahami minatnya menulis. Karangan panjang lebar dikarang ketika menjawab peperiksaan kertas Sejarah ini. Minat pada subjek ini bukannya datang tiba-tiba tapi kerana terpaksa padanya menjadi biasa pada akhirnya.

Usah dibenci pada subjek Sejarah ini. Penulis tahu kebanyakan dari kita kurang meminati sejarah. Doktrin negatif ini yang disuntik oleh Barat dalam setiap individu Muslim supaya membenci sejarah. Padahal dalam sejarah lampau banyak perkara yang boleh kita ambil iktibar. Dengan sejarahlah wujudnya ketamaduhan hebat sekarang ini. Jadi belajarlah dari sejarah lampau, & kisah-kisah zaman terdahulu!

Buku ini harus dibaca oleh semua kerana apa yang membuat penulis blog ini cemburu kepada penulis buku tersebut adalah paparan gambar-gambar penulis buku ini sepanjang berada di Turki menyiapkan buku ini. Pengembaraan yang menakjubkan untuk dikongsi bersama generasi akan datang. Usah bertangguh, mari kita mengenali penulis buku ini iaitu En. Muhammad Syaari Abdul Rahman. Kenali beliau dan pemikirannya dengan lebih dekat di laman web peribadinya, www.iskandarfateh.com ataupun email ke rijal82@gmail.com.

Izinkan penulis menamatkan ‘bedah buku’nya yang terakhir sebelum melangkah bergelar musafir lagi dengan ucapan syukur al-Hamdulillah padaNya kerana telah memberi ruang kepada penulis untuk belajar dari apa yang dibacanya & dikongsi bersama sahabat semua. Ini buku terakhir yang dibacanya sepanjang berada di bumi Serambi Makkah. Ambillah seberapa banyak ibrah @ pengajaran dari buku ini. & moga ia memberi manfaat buat ummah walau kehadirannya Cuma senipis kulit bawang semata. Moga ini merupakan titik langkah untuk terus berada dalam kebaikan dan barakah dari ALLAH.


Siiru ‘alaa baratillah...                                        

Kisah Kasih Di Teratak Bonda

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Mah Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan izinNya penulis masih bisa meneruskan penulisannya walaupun dihimpit kesedihan bakal meninggalkan kampung halaman keesokan harinya. Tambahan sekarang musim tengkujuh, penulis rasa berat sangat nak meninggalkan kampungnya untuk kali yang ke seratus mungkin. Dia memang suka bermusafir, suka juga menjelajah negeri orang cuma sedih bila mengingatkan terpaksa berpisah dengan keluarga untuk meneruskan kerjanya berkhidmat dalam mendidik anak bangsa. 

Keadaan banjir di kebanyakan jajahan negeri Kelantan semakin runcing, tambahan bilangan mangsa banjir semakin meningkat. Allahurabbi beratnya ujian & musibah dari Tuhan mengajar penulis untuk bersyukur dengan nikmat pemberian ALLAH. Al-Hamdulillah setakat ini kampungnya tidak dilanda banjir cuma sukar untuk bergerak ke mana-mana memandangkan tersekat dengan banjir. Ya ALLAH...moga Engkau memberi kekuatan kepada semua mangsa banjir. Hanya doa & hadiah al-Fatihah mampu dilakukan oleh penulis setiap kali mendengar berita tentang mangsa banjir di Kelantan ini. ALLAH sayang kita sebab tu ALLAH uji. Bukan nak kata penulis tak berusaha membantu, tapi itu sahaja yang dia mampu mengikut kemampuannya setakat ini. Ya ada hikmah disebalik musibah banjir ini. ALLAH nak kita sentiasa ingat padaNya, ALLAH nak kita lebih dekat padaNya, ALLAH nak kita mengerti setiap ujian yang tiba bukan untuk membebankan kita tetapi untuk menjadikan kita lebih sabar & menambah pahala yang ada.

Memang benar, bercakap itu senang...macam mana jika penulis sendiri menghadapi situasi banjir ini? Bagaimana jika penulis sendiri melihat kemusnahan yang dihadapinya jika banjir yang melanda kampungnya? Hujan adalah rahmat dari ALLAH. Usah kita sesekali mempertikai kerja ALLAH. Apa yang perlu kita buat adalah jadilah hambaNya yang redha & syukur.

Kisah kasih di teratak bonda, bicara hati penulis untuk hari ini. Entah kenapa terdetik mahu berbicara tentang hal ini. Ya, mungkin sebab esok dah tak berada di kampung lagi, berhijrah & terus bermusafir. Baru sebentar tadi penulis menghabiskan masa hari ini menghadiri majlis perkahwinan anak salah seorang kawan ayahnya di Pantai Sri Tujuh, Tumpat. Wah, dalam keadaan banjir pun kenduri masih dibuat di kawasan perairan pantai!






Gambar2 sekitar majlis perkahwinan...

Ini belum lagi tengok gambar2 yang sempat penulis rakam semasa perjalanan pulang ke rumah. Kebanyakan rumah kampung berdekatan telah ditenggelaman air separas betis. Banyak juga yang telah dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir. Baru kali ini penulis tengok banjir dengan mata kepalanya sendiri. Sepanjang 24 tahun hidupnya, dia tidak pernah menghadapi banjir apatah lagi nak buat rakit main air banjir. Jadi pengalaman itu hanya ada pada mangsa banjir. Pasti mereka setiap hari dirundum resah menghadapi ujian ini, tapi usah risau ALLAH sentiasa ada untuk menjadi tempat kita mengadu & memohon pertolongan.




Aktiviti terakhir yang boleh dilakukan bersama 'family' sebelum terbang ke negeri lain esok. Doakan moga musafir penulis dan sahabat kali ini mendapat redha ALLAH & sentiasa dilimpahi kasih sayangNya. Ameen. Doakan moga semuanya berjalan lancar. Macam biasa sebelum menamatkan penulisan ini izinkan penulis merekayasa sebuah puisi untuk tatapan semua.

Kisah Kasih Di Teratak Bonda

Al-Hamdulillah...
ALLAH memberi peluang ini kepadanya
Mengqada'kan segala macam impian keluarga
Sebelum dia melangkah pergi jauh di perantauan
Redha & syukur itu perlu digenggamnya 
Agar dia tidak tersungkur tanpa bantuan
Agar dia tidak terus bermimpi indah semata

Kisah kasih di teratak bonda
Penuh kenangan pahit manis bersama
Bukan mahu menunjuk rasa semata
Bahkan mahu dia ingat sentiasa
Di mana asal-usulnya
Pulang ke kampung jua
Usah dilupa pada keluarga
Banyak menabur jasa serta pengalaman berguna
Mengajar diri menjadi manusia
Mendidik diri menjadi muslimah dambaan syurga

Sukar sekali
Mengerti jiwa yang bergelumang rasa
Namun percayalah
ALLAH mengetahui segalanya
ALLAH mahu yang terbaik untuk hambaNya
Agar kisah kasih di teratak bonda
Menjadi pengajaran berharga
Buat diri penulis & pembaca semua

Kisah ini
Tersemat kemas di hati
Bakal disulam
Menjadi kisah abadi nyata untuk diingati
Buat generasinya nanti

Friday 19 December 2014

Happy Holiday Dec 2014

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah Ya Rabb...Tuhan telah memberi ruang kepada penulis dan semua sahabat untuk meneruskan kehidupan ini. Salam Jumaat kareem buat semua yang singgah & meminjamkan mata untuk menatap bait kata dari qalamwardahzinnirah ini. Ucapan syukur tidak terhingga kerana dengan izinNya penulis masih bisa menghirup udaraNya secara percuma tanpa perlu bayaran berlipat kali ganda. ALLAH bagi kat kita semuanya percuma, jadi susah sangat ke kita nak jadi manusia yang bersyukur dengan nikmat pemberianNya? Tepuk dada tanya iman kita...

Hari ini hari Jumaat terakhir penulis berada di kampung halaman tercinta, bumi serambi Makkah. Hari ini hari ke-3 terakhir sebelum penulis berangkat meneruskan kerjayanya di bumi bernilai. Sungguh masa yang singkat berada di kampung halaman menghilang seketika rasa rindu penulis pada ahli keluarganya. Maklum sahaja dia puteri sulung dalam keluarganya. Rindu pada ‘hero-hero’ yang menghiasi kehidupan keluarganya bakal datang bila kembali bergelar musafir di perantauan nanti. Teringat penulis pada ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

216. kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara Yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Ya, benar dan tepat sekali ada ketikanya apa yang kita benci itu adalah yang terbaik bagi kita & apa yang kita suka terkadang membawa keburukan kepada diri kita. Penulis mengambil contoh penghijrahan & musafirnya keluar negeri untuk mengambil pengalaman bekerja di negari orang adalah sesuatu yang sukar untuk diterima jiwanya , tetapi digagahkan diri untuk menghadapinya. Mana tahu inilah yang terbaik untuk diri penulis. ALLAH tahu kemampuan hambaNya dek kerana itu ALLAH mengujinya dengan cara berjauhan dengan keluarganya. Ya bila berjauhan rasa rindu itu lebih bermakna, rasa sayang itu semakin menebal dan tiada terpadam.





Sekarang cuti sekolah, erm...memang ‘hero-hero’ penulis ada berkampung di rumah, Fadzil Hanapi & Ahmad Hambali Cuma mungkin masa bersama mereka hanya seketika. Sebelum terlambat izinkan penulis mengucapkan selamat bercuti kepada adik-adik yang masih bersekolah. Gunakan masa cuti kalian dengan sebaiknya ya. Cuti musim tengkujuh di bumi serambi Makkah sungguh menyeronokkan, yalah dapat meluangkan masa lebih mengenali & mendekatkan diri dengan keluarga.

Tak sempat lagi penulis meneruskan hasratnya membedah buku untuk pengisian dalam blog ini, hanya perkongsian kata-kata dalam blog ini memungkinkan ia terus meriah dengan kata-kata. Persinggahan di blog ini sangat mengujakan penulis, biarpun tiada yang membacanya, seolah-olah kita sedang bercerita dan meluahkan rasa. Ini baik untuk perkembangan akal diri penulis dan mengurangkan tekanan yang terkadang menekan hidupnya. Yalah, nama lagi manusia tidak dapat lari dari ujianNya, hanya kita yang butuh kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan tidak lari dari masalah yang terkadang mencengkam jiwa. Membaca buku, melayari blog, menjenguk ‘facebook’, menulis, melayan karenah adik-adik lelaki, membantu mama di dapur, jalan-jalan menjenguk bandar Kota Bharu, bermain badminton & bola sepak, membasuh baju & sebagainya menjadi rutin harian penulis bila bermastautin di kampung.

Perkara yang paling menyeronokkan penulis apabila dapat jalan-jalan menemani mama ke bandar. Nikmat ALLAH yang sangat penulis syukuri adalah mandi dan tidur. Kenapa mandi & tidur? Bila air yangdingin menyentuh badan subhanallah kesegarannya sangat nikmat tak terbayang dek kata-kata. Ya, mandi adalah salah satu terapi menghadapi tekanan & kemarahan. Ya, badan kita disejukkan oleh air yang mengalir tanpa henti. Tidur pula hobi yang sangat menyenangkan. Hanya baca doa, ambil bantal & lelapkan mata. Nikmat tidur malam adalah nikmat yang subhanallah hanya ALLAH Yang Maha Tahu. Tambah-tambah bila musim hujan menyimbah kampung penulis, lagi ‘best’ tidurnya. Tidur & mandi itu akan jadi ibadah bila diniatkan kerana ALLAH. Barakahnya juga ada bila kita tidur & menyucikan diri mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Hari Jumaat ini kita digalakkan menambah selawat pada baginda s.a.w. Bukan susah hanya gerakkan bibir & tenangkan hati. Jadi perbanyakkan selawat kita pada baginda s.a.w. Izinkan penulis menamatkan entrinya kali ini dengan sebuah puisi yang bertajuk ‘Sedingin Hati’. Ayuh kita nikmati bersama-sama! Maaf ya jika tidak bisa memenuhi kehendak pembaca semua. Ia kerana kewujudannya hanya untuk perkongsian hati penulis sahaja tidak lebih dari itu. Sebarang komen bisa berhubung dengan penulis J J

Sedingin Hati

Hati ini
Sentiasa bertingkah
Terkadang baik terkadang buruk
Melawan hawa sekuat tenaga
Pernah jatuh menyembah bumi
Bisa berdiri kembali
Kerana cinta Ilahi

Hati ini
Fitrahnya berbolak-balik
Bukan memaksa diri sentiasa berbuat baik
Namun mengajak diri menjadi hambaNya yang baik
Baik bukan bermakna tak pernah buat jahat
Pernah melakukan kejahatan
Pernah terjatuh di lembah kegelapan
Namun dia bisa kembali ke jalan terang
Bila menemui cinta Tuhan di hujung jalan

Ubati hatimu
Andai ia teruk menghampir mati
Andai ia tidak mengenal siapa rajanya
Andai ia keras bak hempedu
Pinta hatimu yang bersih
Agar hidupmu penuh terarah
Agar dirimu kenal CintaNya
Bukan hanya kenal
Bahkan terus mendekat padaNya

Sedingin hati
Begitu juga diri
Harus sentiasa diubati
Bukan ubat semata di farmasi
Ubatnya datang dari Ilahi
Cuba mujahadah...tazkiyatun nafsi
Gali keikhlasan hati
InsyaALLAH
Hijrahmu bakal terisi. 

Wednesday 17 December 2014

Hujan Itu RahmatNya

Dengan Nama ALLAH
Ana memulakan pena indah ini
Bersalut seribu macam rasa
Bersarang penuh sebak di dada
Pena ini menukil kata penuh makna tersirat
Membawa diri mengenal & mendekat
Pada Tuhan Yang Maha Esa

Ibrah buat diri
Bila rahmat ALLAH menyimbah tanah Serambi Makkah
Kiri kanan dipenuhi air
Bukan mendesak hambaNya susah
Bahkan menambah rasa dekat pada Tuhan
Musibah bakal bertukar rahmah
Bila melihat pada sudut pandang
Seorang hamba yang taat padaNya
Seorang hamba yang mengerti amanahnya
Seorang hamba yang merindui saat bertemuNya

Ya,
Bumi Cik Siti Wan Kembang bersimbah rahmat ALLAH
Buat apa kita nak takut
Buat apa kita nak risau
Itu tanda ALLAH rindu & sayang
Pada hamba yang mengerti benar
Setiap musibah tersenarai sejuta hikmah
Bersabar duhai diri
Ini tanda kasih Ilahi

Usah kita mendahului kerjaNya
Usah kita mengata tidak 
Usah kita mendabik dada marah melihat 
Air meningkat ke tahap bahaya
Bakal memusnah apa yang ada
Sifat muslim itu
Redha dengan ujian
Syukur dengan kesenangan
Hujan itu rahmatNya

Duhai sahabat
Gunakanlah masa ini sebaiknya
 Menadah tangan berdoa
Meminta & terus meminta padaNya
Agar dikurnia hati yang tenang bersamaNya
Agar dikurnia 'husnul khatimah' di penghujung usia
Agar bisa membumikan Islam di dada
Agar mampu menggongcang dunia
Bersama keindahan Islam di sisiNya

Dunia ini sementara
Pasti ada akhirnya
Sedarlah diri
Bagaimana bekalmu nanti?
Tepuk dada tanya iman di hati.

Air sungai kat belakang rumah dah naik...

Suasana ketika hujan yang mendamaikan...


Bila hujan memang seronok berhibernasi suasananya sejuk & dingin sekali...

Monday 15 December 2014

Satu Hari Sebuah Buku


Bismillahirrahmanirrahim... 
                                               
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah bersua kembali dalam entri terbaru penulis untuk hari ini. Al-Hamdulillah hujan mencurah-curah sejak tiga hari di kampung serambi Makkah penulis ini mengundang suasana suram & sejuk. Biasanya suasana begini sesuai untuk aktiviti berhibernasi. Al-Hamdulillah semangat penulis masih belum luntur dek suasana hujan yang menyejukkan & mendinginkan dirinya. Penulisannya harus diteruskan juga.

Al-Hamdulillah...bumi serambi Makkah bermandi hujan. Hujan rahmat penuh berkat menjemput redha ALLAH pada setiap saat. InsyaALLAH...dengan izinNya hari ini penulis akan membedah buku. Lama bergelumang dengan buku bertajuk, “Padanya Ada Cinta- untuk manusia Tuhan tidak pernah memberi kisah yang sia-sia.- Karangan: Bahruddin Bekri.- Terbitan: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.”

Buku ini dijumpai setelah puas meneliti dalam rak buku, buku apa lagi yang tidak di bacanya. Banyak juga buku yang belum dikhatamnya, namun pantas tangannya membelek helaian demi helaian buku ini sambil berkata, “Buku ni tentu milik adik perempuanku. Dia pun suka kumpul buku macamku.” Seronok membaca buku ini membawa penulis menelusuri setiap kisah yang dipaparkan dalam buku berhalaman 244. Kali pertama penulis mendengar & mengetahui nama penulis buku ini & dia bijak menawan hati pembaca dengan penggunaan kata ganti diri ‘saya’ dalam setiap watak yang dipaparkan.

Kebanyakan ceritanya hanyalah kisah masyarakat biasa tetapi diolah dengan luar biasa. Gaya bahasa, klimaks cerita, sungguh menarik penulis terus membacanya & paling utama setiap cerita ada pengajaran yang tersirat. Apa yang pasti setiap kisah padanya ada cinta ALLAH. ALLAH tak pernah lepas menyayangi & mencintai hamba-hambaNya. Buktinya setiap manusia dikurniakan bermacam jenis nikmat & musibah berupa menghirup udara, hidup aman, hidup aman, boleh bergerak bebas, punya keluarga, teman-teman, berfikir dengan waras, punya ketenangan & bermacam lagi.

Walaupun cerita dalam buku ini hanya ringkas terkadang hanya 2 muka surat, tetapi kisahnya memberi tarikan yang berbeza kerna kebanyakannya adalah pengalaman penulis buku itu sendiri. Bagaimana dia mengolah buku ini penuh dengan rasa cinta? Menjadikan setiap cerita tidak sia-sia & luar biasa? Tahniah & syabas penulis ucapkan kepada penulis buku ini yang juga merupakan penulis blog dingin.blogspot.com. ingin sahaja penulis blog ini menulis setiap bait kata yang dikarang dalam buku tersebut untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat.

Mari kita bedah buku ini! Penulis akan kongsikan hasil pembacaannya dan komentar tentang buku ini. Pertama, pada halaman 34 buku ini, sub topik, ‘Menjadi Pengarang yang Di sayang’. “Menulis itu perlu 80% dengan hati & 20% dengan akal. Pastikan kamu menulis dengan hati yang bersih, kerna itu yang terpamer kukuhpada tulisan kamu & itu yang dirasai oleh pembaca. Setiap penulisan perlukan tema mengangkat harapan.” Bestkan nasihat ini?

Halaman 43 buku tersebut juga menyentap sanubari penulis, “Jangan berputus asa kerna Tuhan lebih mengerti apa yang terbaik untuk kita. Teruskan berusaha bagi menjadi yang terbaik dalam semua perkara. Kita jangan sesekali mendahului kerja Tuhan.” Kita digalak meletakkan ALLAH di hadapan tetapi usah mendahului kerja Tuhan.

Sub topik, ‘Hati yang Sulit’ berhalaman 56 pula bercerita tentang sabar, “Perkara paling sulit dalam hidup adalah cuba mengerti sebab ujian Tuhan didatangkan kepada kita. Cukup sulit kerana jawapan itu hanya ada pada sabar & kamu sendiri tahu sabar itu sendiri sudah cukup sulit. Sabar terkadang hanya perlu seminit dua, terkadang berbulan, & terkadang hingga kamu mati, kamu terus bersabar.” Setiap bait kata banyak membina semangat penulis banyak juga menyedar diri penulis blog ini betapa dia masih banyak perkara yang perlu dipelajari dari kehidupannya & kehidupan insan lain.

Ya, setiap ceritanya mengetuk hati penulis, mengajak penulis berkongsi tentang hebatnya buku ini. Kisah tentang kehidupan manusia biasa yang sangan meruntun jiwa dek kerana pembawakan penulis buku ini cukup menarik. Jom, teruskan penjelajahan ini!

Halaman 60 buku ini, sub topik, ‘Berfikir ke Sana’ memetik kata-kata pada halaman ini, “Elak terlalu memikirkan hanya ke arah kita. Berfikir semoga Tuhan menerima amal kita yang seadanya, berfikir semoga Tuhan sentiasa memaafkan dosa-dosa kecil kita yang berulang, berfikir semoga Tuhan mengampunkan taubat kita yang sambil lewa, menerima ibadah kita yang separuh hati, solat kita yang tergesa-gesa & berfikir semoga Tuhan tahu yang kita sedang menunggu keikhlasan datang. Cubalah halakan fikiran kita ke sana.”

Dalam buku ini diceritakan juga peri pentingnya menjadi manusia yang sentiasa berfikiran positif & bersangka baik dengan semua makhlukNya. Jika kita nak orang sayang kat kita, kita kena bertindak memberi sayang terleboh dahulu. Jika kita nak orang buat baik kat kita, jadi kita kena buat baik kat orang dahulu. Itu fitrah.

Alam juga memainkan peranan. Halaman 94 sub topik, ‘Saat Langit Tersenyum’ mengajak pembaca memahami & membaca alam. Memetik karangan, “Langit itu harapan & langit mengisi hati sayan dengan harapan. Apabila menatap langit, saya sedar Tuhan menciptakannya supaya manusia tak mampu mengukur luasnya, kerana Tuhan mahu manusia tahu, yang harapan itu juga adalah sesuatu yang tidak terbatas, selagi langit itu tidak runtuh. Tetapi, pasti Tuhan mahu kita berfikir sendiri berkenaan perkara ini, melalui langit yang tersenyum & awan yang menatap.”

Pengajaran, jadilah manusia & hambaNya yang sentiasa bersyukur juga diselitkan dalam puluhan cerita buku ini. Gunalah peluang-peluang yang ada untuk jadi manusia yang bersyukur sebelum tiada lagi peluang untuk dirimu beraksi di bumi ini.

Kisah ini paling menarik, halaman 105 buku ini sub topik, ‘Direnung Mata, Disangka Hati’. Kenapa menarik? Ia kisah seorang lelaki merisik seorang wanita untuk dijadikan isterinya. Tau apa kata lelaki tersebut pada mulanya, “Sekiranya engkau tahu perkara itu, pasti engkau juga seperti aku.”

Sedihnya, bila perempuan itu sudah menjadi tunangan orang. Namun, tiada langsung garis luka pada wajah lelaki tersebut mengundang tanda tanya pada sahabatnya. Apa bicaranya? Mari teliti bersama, “Pada setiap solat, aku berdoa. Ya ALLAH, sekiranya perkara itu akan menjauhi aku daripadaMua, jadi jauhkanlah aku daripada perkara itu. Sekiranya, perkara itu membuatkan aku mendekatiMu, jadi dekatkan aku kepada perkara itu. Itu juga doa aku untuk perempuan itu.” Doanya kepada ALLAH adalah keyakinannya jadi dia tidak bersedih durja hanya redha & ikhlas semata.

Belajar daripada anak sekecil 5 tahun juga tersusun indah dalam buku ini. Halaman 188 , sub topik, ‘Selagi Ibu Masih Di sisi’ memetik kata-kata yang menarik untuk diabadikan dalam blog ini, “Jagalah ibu engkau baik-baik. Jangan hanya melihat, tetapi cuba memerhati ibu engkau, kerana pada kata melihat hanya ada ‘lihat’, tetapi pada kata perhati itu ada ‘hati’. Perhatikan ibu engkau dengan hati selagi dia masih ada di sisi. Jangan seperti aku yang hanya mampu memandang & memerhati nisannya.” Sungguh menyentuh hati penulis blog ini.

Mungkin kisah terakhir yang boleh penulis kongsikan di sini, selebihnya sahabat-sahabat boleh membacanya sendiri ya. Halaman 191, sub topiknya, ‘Rahsia Jodoh Saya’. Memetik kisah ini, “Jodoh, mati & rezeki itu rahsia ALLAH S.W.T. Yang namanya rahsia itu, sekiranya kita cari pun betul, sekiranya kita menunggu pun tidak salah kerana ia rahsia. Kita tidak tahu bila datangnya jodoh itu, sama ada jodoh datang pada waktu kita mencari ataupun pada waktu kita menunggu. Apa yang boleh kita lakukan adalah melengkapkan diri kita menjadi perempuan yang baik. Perempuan yang taat pada suruhan ALLAH kerana ada waktunya nanti, ALLAH akan datangkan petunjuknya, sama ada kita perlu mencari ataupun kita perlu menunggu.”

Subhanallah...Hebat sekali bicara perempuan ini. Bijak juga penulis buku ini mengatur watak perempuan solehah. Ya, fitrah manusia mahu mencintai & dicintai tetapi ingat sayang fitrah cinta itu ada batasnya menurut hukum ALLAH. Betapa ramai yang jatuh terjerumus ke lembah kehinaan hanya kerana cinta yang tak bertepatan dengan agama, jadi wahai muslimah elakkan dirimu dari cinta sementara yang hanya mengundang murka Yang Esa.

Panjang sungguh penulis berbicara tentang buku cinta ini! Izinkan penulis menamatkan entri kali ini dengan kata cinta, “Cinta milik hakiki & abadi hanya ALLAH yang satu. Biar kewujudan cinta kita mendekatkan diri kepada Yang Esa, biar cinta yang dibina keranaNya, insyaALLAH bahagia menghiasi kehidupan dunia & akhirat kita. Jemput dulu cinta ALLAH mendekati diri, insayALLAH cinta yang lain menyusul tiba nanti. ALLAH pemilik cinta, jadi kepada pemilik cinta kita memohon pertolongan.”


Moga kehadiran entri ini memberi manfaat buat ummah, menyedarkan diri betapa kerdilnya kita di pandangan ALLAH tanpa kasih sayangNya, siapalah kita di bumi ini. Jumpa lagi di lain masa...siiru ‘alaa barakatillah.