Friday 25 July 2014

Satu Hari Sebuah Buku (SOLUSI ISU 69)

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...Ya ALLAH penulis masih punya kesempatan & kekuatan untuk meneruskan penulisan dalam blog kesayangannya setelah beberapa hari ini dia ketandusan idea & ilham. Al-Hamdulillah nikmat Islam & iman masih menjadi miliknya & sepatutnya dia menjadi hamba ALLAH yang bersyukur.

Kasih sayang ALLAH sentiasa melimpah padanya walau terkadang perit menelan ujianNya kerana dia yakin setiap musibah yang menimpanya adalah semata-mata tanda ALLAH menyayanginya. Al-Hamdulillah penulis kini telah berada di kampungnya, menunggu Syawal di sambut bersama-sama keluarga tercinta. Sekali lagi dia bisa menghirup udara segar kampung, mendengar burung-burung berkicauan, kambing-kambing mengembek, ayam-ayam berkokok, apa yang penting kehijauan kampung yang sentiasa terpelihara.

Baiklah, hari ini penulis nak kongsi tentang apa ya? Sudah lama rasanya penulis tidak berkongsi tentang bahan bacaannya dek kerana kesibukannya melayan kehidupan mungkin. Namun, buku tetap menjadi teman setia penulis, tanpa buku mungkin tiada idea & ilham untuk dia tuliskan dalam blog ini. Sudah agak lama dia meninggalkan bedah buku. Sekarang tiba masa untuk dia kembali membaca & membedah buku-buku yang dia ada.

Membaca akan melapangkan dadanya, membaca menambah pengetahuannya, membaca menjadikannya asyik dalam dunia pembacaan, membaca menjadikannya insan yang berilmu, membaca menjadikan dia boleh menyampaikan sesuatu dalam blog atau kepada sahabat-sahabatnya. Baca & baca tak rugi pun walau seketika. Hari ini kita ‘share’ tentang buku majalah Solusi isu ke 69 yang bertemakan ilmu sedekah paling barakah.

Memetik kata-kata yang ada pada muka hadapan majalah ini, “Memerangi kejahilan sama pentingnya dengan memerangi kedegilan. Jika kedegilan diperangi dengan senjata, kejahilan pula mesti diperangi dengan ilmu. Bahkan banyak kedegilan berpunca daripada kedangkalan ilmu. Sebab itu tinta para ulama setara dengan darah para syuhada. Malah, ada kalanya lebih utama ketajaman pena daripada ketajaman pedang.”

Seperti kebiasaan majalah SOLUSI menambah banyak ilmu pengetahuan baharu kepada pembacanya. Isunya tidak hanya tertumpu pada isu semasa sahaja, tetapi mencakupi seluruh isu kehidupan. Bermula dari Tafsir: Jangan Sampai ALLAH Murka, Beduk di Ketuk: DNA Rasuah vs DNA Babi, Hai Anak: Besarkan Puasa Daripada Hari Raya, Mithali: Nasihat Ayah Mithali Mendamba Kasih Ilahi, Warisan: Kelestarian Pondok Moden Membina Generasi Pelapis, Selebriti: Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti, Jejak Sahabat: Sebernas Keluarga Anas, Kembara: Memoir dari Beijing, Sihat ‘Afiat: Rahmat Susuan Ibu, Kiasan: Umpama Memakai Baju Besi, Tekno Da’i: Letakkan Gajet & Berkomunikasilah & banyak lagi isu yang dibincangkan dalam majalah tersebut.

Halaman 97 hingga 118 adalah khas untuk Ramadhan yang terbaik. Mencari gali tentang Ramadhan yang bakal berakhir lagi lebih kurang dua hari. Hari ini dah 28 Ramadhan 1435H. Sedar tak sedar Ramadhan tahun ini bakal berakhir tak lama lagi. Terkadang rasa terkilan jugak sebab rasa macam banyak lagiperkara yang penulis belum lakukan di bulan Ramadhan ini. Sekelip mata sahaja bulan Ramadhan tahun ini.

Mari kita telusuri perbezaan antara ilmu & harta pada halaman 6 salam editor! Mari kita belajar sesuatu bahawa ilmu adalah lebih baik daripada harta tetapi kenapa masih ramai mahu mengejar harta semata? Tepuk dada tanya iman kita.

PERBEZAAN & PERBANDINGAN
ILMU                                             
HARTA
-Ilmu adalah pusaka nabi-nabi
-Harta adalah pusaka Qarun & Firaun
-Ilmu dapat memelihara kamu
-Kamu yang memelihara harta
-Orang yang berilmu ramai temannya
-Orang yang berharta ramai musuhnya
-Ilmu apabila dinafkahkan akan bertambah
-Harta apabila dinafkahkan akan berkurangan akhirnya
-Orang yang berilmu akan diseru dengan nama yang mulia
-Orang yang berharta akan diseru dengan nama bakhil
-Orang yang berilmu akan diberi syafaat di akhirat nanti
-Orang yang berharta akan dihisab hartanya kelak
-Ilmu tidak akan binasa
-Harta pula akan binasa
-Ilmu itu melembutkan hati
-Harta pula mengeraskan hati
-Berilmu mendakwa kehambaan
-Berharta mendakwa ketuhanan

Majalah Solusi sentiasa sarat dengan ilmu-ilmu berguna untuk para pembacanya. Jadi penulis mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua sahabat & pembaca blog ini untuk kita sama-sama membaca buku berilmiah seperti majalah solusi ini. Hanya RM10...ya mungkin dengan cara kita menginfaqkan duit RM10 untuk membeli majalah ini akan terus mendekatkan diri kita kepada ALLAH Yang Maha Esa. Jika kita tidak berkemampuan, cukup sekadar kita meminjam dari kawan tidak salahkan kita berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat kita mengalir juga pahala pada semua?

Setakat ini dahulu perkongsian penulis untuk hari ini. Moga memberi manfaat pada ummah walau sekelumit cuma usahanya. Teruskan usaha kita untuk meningkatkan amalan-amalan pada akhir Ramadhan ini. Salam Ramadhan Kareem 28 Ramadhan 1435H. 

Siiru ‘alaa barakatillah...

Wednesday 23 July 2014

Ibrah Kalamullah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...kasih sayang ALLAH sentiasa memayungi kehidupan kita. Al-Hamdulillah penulis masih punya kesempatan untuk terus menulis & menulis dalam blog ini. Walau sibuk melayan karenah anak-anak saudara yang comel & aktif iaitu Suri Tihani Qisya, Mia Tifal Kaisara & Tsaqif Zikry, penulis mencari ruang untuk membolehkan dia terus menulis & mengisi blognya dengan cerita kisah kehidupannya. Al-Hamdulillah...ucapan syukur ini dilafaz untuk semua nikmat & ujian dariNya.




Menjadi seorang ibu bukanlah kerja yang mudah. Pengalaman sekejap menemani anak-anak saudara penulis betul-betul mengajarnya menjadi seorang wanita cuba memahami perasaan seorang ibu yang berkerjaya. Apa pun menemani & melayan karenah mereka sangat menyeronokkan menambah nostalgia waktu kecil penulis. Mungkin ini perasaan bergelar seorang ibu nanti. Buatkan susu, mandikan mereka, teman mereka bermain, teman mereka berbual, menemani mereka makan, bergelak ketawa dengan mereka sungguh membahagiakan.

Bukan mudah juga mahu membentuk anak yang mendengar kata. Anak yang bakal meneruskan generasi yang mencintai Al-Quran & mematuhi segala perintah ALLAH serta menjauhi segala laranganNya. Masih ingat dengan kalamullah surah at-Tahrim ayat 6 yang mencerita tentang keharusan memastikan ahli keluarga terpelihara dari api neraka yang bermaksud:

6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Ibrah Kalamullah memberi peluang kepada penulis untuk terus menghayati setiap bait kata dari ALLAH ini. Leka dengan ayat-ayat suci al-Quran saat membaca & mentadabburnya memberi ruang kepada hati untuk memahami isi al-Quran. Bila baca al-Quran selalu sahaja tepat pada masanya dengan kata lain, ALLAH seolah-olah menegur penulis secara langsung di saat membaca & menghayati maksud di sebalik ayat yang dibacanya. Contoh terdekat bila penulis diuji dengan ujian yang maha berat memaksanya membuat pilihan dalam kehidupan dia tersu membelek al-Quran. Al-Hamdulillah kasih sayang ALLAH pastas membalut kesedihannya pantas juga mengajarnya menjadi manusia yang kuat dengan izinNya.

Ibrah Kalamullah di bulan Ramadhan ini sungguh bermakna terutama ketika penulis membaca surah an-Nuur & surah al-Furqan. Mari kita bedah surah an-Nuur terlebih dahulu! Banyak pengajaran yang diperoleh semasa memahami isi surah ini. Tiba-tiba teringat pada kata-kata seorang sahabat, “Pesan murabbi surah an-Nuur adalah antara surah yang perlu diajar pada anak perempuan untuk mengetahui dosa pahala sesuatu perkara yang dilakukannya...”



Ya benar surah an-Nuur banyak mutiara berharga terutamanya buat wanita muslimah. Antaranya ayat 26 & 27 yang bermaksud:

26. (lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

27. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke alam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

Maka benarlah kata-kata ALLAH...orang yang baik untuk orang yang baik. Janji ALLAH adalah benar & penulis percaya serta yakin dengan kalamullah. Bila baik diri kita jadi ada peluang untuk kita memperoleh teman hidup yang baik. Bagaimana kita, begitulah pasangan kita nanti. ALLAH juga mengajar hamba-hambaNya adab sopan dalam memasuki rumah tidak lain dengan memberi salam terlebih dahulu. Jelas lagi bersuluh Islam itu indah & penuh dengan keindahan cuma terkadang ramai yang tidak menyedarinya. Tahu tapi tidak mahu mengamalkannya.

ALLAH juga berpesan pada hambaNya dalam surah an-Nuur ayat 30 & 31 untuk mejaga pandangan merangkumi perempuan & lelaki. Mari kita telusuri maksud ayat di atas!

30. Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.

31. dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Ha..apa lagi mulalah bertindak dengan menundukkan pandangan & menjaga maruah diri. Bukan bermaksud kita menundukkan pandangan hingga berjalan terlanggar tiang, tidak juga bermakna kita menjadi manusia yang tak boleh segala-galanya. Galakan menutup aurat juga ada di masukkan dalam ayat ini. Apa lagi yang mahu kita ingkarkan sudah terang lagi bersuluh ALLAH memerintahkan kita untuk menutup aurat bukan bermakna kita tak boleh nak melakukan aktiviti seharian kita. Ini tanda ALLAH amat menyayangi diri kita.

Ada hikmah disebalik pesanan ini agar kita tidak terus terjebak dengan segala dosa & memelihara diri daripada melanggar peraturan ALLAH. Memang pada pandangan sesetengah manusia ia adalah peraturan yang sangat berat tetapi tidak bagi seorang individu yang mengaku mengucap kalimah syahadah.

Antara ayat lain yang ingin penulis ‘highlight’kan di sini adalah ayat 32 & 33 surah an-Nuur yang mungkin agak menyentuh isi hati sesetengah pihak termasuklah penulis sendiri... Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:

32. dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.

33. dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah Yang telah dikurniakan kepada kamu. dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. dan sesiapa yang memaksa mereka, maka Sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Bab jodoh yang mana adalah ketentuan ALLAH. Membina bahtera perkahwinan bukanlah semudah kita mengelip mata, bukan juga semudah kita bertatih ketika membesar menjadi kanak-kanak. Jodoh memerlukan usaha, istikharah & kebergantungan pada ALLAH yang maha kuat. ALLAH yang menumpahkan fitrah rasa cinta dalam diri kita, jadi tidak salah untuk kita terus meminta & berdoa padanya agar rasa cinta kita mendekatkan diri kita pada ALLAH Yang Maha Cinta.

Bila jodoh sudah tiba, usah kita menolak takdirNya. Kahwinilah insan yang selayaknya, pilihlah yang punya agama & punya rasa tanggungjawab, tak adalah nanti berlaku perkara yang tidak diingini kelak. Penulis berbicara seolah-olah punya pengalaman tersendiri. Kehidupan memberinya banyak pengalaman baru & mendekati insan-insan sekelilingnya mengajar penulis untuk berhati-hati dalam memilih pasangan.

Menjangkau usia 24 tahun, memungkinkan banyak persoalan tentang ‘bila nak kahwin’ terkadang menghantuinya. Penulis masih punya banyak impian, impian ke bintang yang mahu dicapainya sebelum bergelar seorang isteri & membina rumah tangga sendiri. Mahu membentuk diri menjadi lebih baik, mahu menyumbang pada kemenangan Islam, & mahu belajar banyak perkara dalam pengembaraannya. Bukan tak mahu kahwin, bukan tak usaha...tapi semuanya mengikut ketentuan ALLAH. Bila ALLAH kata ya, maka kahwinlah!

Benar kalamullah, jika tidak mampu untuk mendirikan rumah tangga cukuplah kita memelihara diri kita hanya untuk pasangan yang sah kita & mendekatkan diri kita pada cinta ALLAH. Bila kita tak kahwin sekarang bukan bermakna kita tak boleh bercinta. Ya, kita masih boleh bercinta dengan adik-beradik, mak ayah yang penting bercinta dengan ALLAH. Walau perasaan cinta suami isteri itu tidak sama setidak-tidaknya kita masih bisa memelihara diri daripada melakukan perkara maksiat. Bersabar duhai hati kerana sabar itu indah.

Panjang kita berbicara hari ini, baiklah setakat ini dahulu ibrah Kalamullah yang boleh penulis kongsikan dengan semua pembaca merangkap sahabat-sahabat penulis. Moga memberi manfaat pada ummah & sebelum terlupa mari sama-sama kita doakan untuk rakyat Gaza & hadiahkan al-Fatihah pada mangsa-mangsa tragedi MAS MH17.


Siiru ‘alaa barakatillah...salam ramadhan kareem 26 Ramadhan 1435H...

Monday 21 July 2014

Menjemput Lailatul Qadr

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah Ya ALLAH...dengan kuasa Maha BesarMu penulis masih bisa meniti harinya sebagai muslimah. Nikmat iman & nikmat Islam yang tak pernah putus menghiasi kehidupannya menjadi lebih berharga pada pandangan ALLAH. Moga nikmat ini terus memayungi kehidupan penulis & semua pembaca blog ini. Ucapan syukur menutur tanda kita hambaNya yang menghargai setiap detik & nikmat anugerahNya.

Umat Islam itu amat unik bila dia ditimpa musibah dia jadi hambaNya yang redha & tersenyum meniti setiap musibah & ujian yang dihadapinya. Bila dikurniakan nikmat & kesenangan dia menjadi hambaNya yang bersyukur dengan anugerah yang ALLAH berikan padanya. SABAR & SYUKUR menjadi senjata mukmin yang benar-benar mengerti maksud tersirat di sebalik rasa sabar & syukur ini. Semuanya kerana ALLAH.

Hari ini tajuk perbincangan kita tentang menjemput lailatul qadr. Memandangkan kita sudah berada di penghujung Ramadhan, elok rasanya kita sama-sama menghidupkan malam-malam terakhir di bulan Ramadhan dengan amalan-amalan sunat. Bukan hanya untuk mengejar lailatul qadr semata tetapi untuk mendapatkan keredhaan & keberkatan dalam kehidupan kita akan datang.

Hari ini dah 25 Ramadhan 1435H...subhanallah cepat benar masa berlalu begitu menghambat kita untuk terus beribadah mengingati ALLAH. Lailatul qadr malam yang padanya lebih baik dari seribu bulan hingga senarai surah kalamullah ada surah al-Qadr. Mari kita sama-sama hayati maksud di sebalik surah al-Qadr!

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);
5. sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Hanya insan terpilih mampu menjemput lailatul qadr. & insan terpilih itu hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Namun, lailatul qadr itu milik semua umat Islam yang mengungkap kalimah syahadah. Ibadah-ibadah yang dilakukan bukan sekadar mahu mengejar lailatul qadr tetapi lakukanlah ibadah itu adalah kerana ALLAH, insyaALLAH keredhaan ALLAH sentiasa mengiringi kita.

Benar lailatul qadr adalah sebaik-baik malam segala permohonan & pengaduan hambaNya didengar terus oleh ALLAH. Benar istimewanya Ramadhan pada lailatul qadr yang dianugerahkan ALLAH pada hambaNya. Namun, sedihnya ramai yang tidak menyedari akan hakikat kewujudan lailatul qadr di bulan Ramadhan. Buktinya, ramai yang mulai sibuk menghitung hari menyambut bulan kemenangan umat Islam iaitu bulan Syawal. Kemeriahan membeli-belah untuk hari raya Aidilfitri mencemari kesucian & kemurnian lailatul qadr. Masing-masing sibuk nak buat biskut-biskut raya yang pelbagai jenis untuk persiapan hari raya nanti.

Sedangkan ramai lagi umat Islam di luar sana yang kehadiran Ramadhan sangat di nanti, di sambut meriah, waktu akhir Ramadhan ramai yang menangisi kepergiannya. Kita nak kejar lailatul qadr atau kita nak jemput lailatul qadr? Kejar macam sukar je macam pemain bola nak kejar bola untuk dimasukkan ke dalam gol. Susah kot. Bagaimana jika kita menjemputnya? Kita tengok ibarat kita menjemput sahabat-sahabat & saudara-mara kita untuk ke majlis perkahwinan kita. Tentu ramai nak hadirkan & tentu dengan sendirinya jemputan itu dipenuhi untuk menghormati sahabat yang menjemputnya.

Begitulah ibarat ringkas antara menjemput & mengejar lailatul qadr. Ya benar kemeriahan persiapan hari raya Aidilfitri itu kita tak boleh lupakan untuk bulan Syawal akan datang, tetapi nikmat berada di malam-malam akhir Ramadhan itu juga harus dijemput sama kerana Ramadhan hanya datang sekali dalam setahun. Kita tidak pasti Ramadhan akan datang dapat kita nikmati ataupun tidak kerana kematian pasti akan menjemput kita cuma menunggu masa ALLAH memerintahkannya.

Jom tengok puisi kat bawah ini!  
                    
Menjemput Lailatul Qadr

Ramadhan kareem...
Dirimu bakal meninggalkan aku
Pergi membawa nikmat terindahmu
Kenangan lailatul qadr
Mengimbau serta menenangkanku
Andai bisa diputar masa
Ingin aku sentiasa hidup dalam Ramadhan
Mengikat ukhuwwah hamba & Tuhan
Menabur kebaikan yang maha melimpah
Menyebar kasih sayang sesama ummah
Tika ini,,,
Diriku berteleku panjang
Akhirmu Ramadhan
Membawa kesedihan berganda
Namun Engkau gantikan ia
Bersama Ramadhan punya Syawal 
Menanti kemeriahan di bulan kemenangan
Lailatul qadr...
Kami mahu menjemputmu
Menghidupkan akhir malammu
Bersama cinta & sayang Ilahi
Bersama rasa kehambaan pada Rabbul Izzati
Temukanlah kami Ya ALLAH...


Setakat ini dahulu coretan hati penulis sempena 25 Ramadhan 1435H. Teruskan usaha menghidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan amalan-amalan yang mendekatkan diri kita kepada ALLAH Yang Maha Esa. Teruskan usaha untuk mengubah diri menjadi lebih baik kerana ALLAH Maha Penyayang. Moga memberi manfaat pada ummah, moga mencurah kebaikan yang berganda buat diri yang mahu sentiasa mengingati ALLAH. Kehadiran blog ini hanya cebisan rasa rindu bertemu Tuhan, hanya perkongsian sekelumit kehidupan yang berwarna-warni dengan nikmat & ujian dariNya. 

Siiru ‘alaa barakatillah...salam Ramadhan Kareem  25 Ramadhan 1435H.  


Sunday 20 July 2014

Kembara al-Qaryah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah dengan nama ALLAH penulis masih punya ilham & nyawa untuk terus memberi ruang pada blognya menjadi coretan hati buat tatapan dirinya insan lemah yang mengharap keredhaan ALLAH. Tidak dilupa buat generasi bakal meneruskan perjuangannya kelak & seterusnya sahabat-sahabat pembaca setia blog ini. Terima kasih kerana menziarahi blog ini walau hanya membelek ‘page’ utamanya sahaja.

Selawat & salam tidak dilupa buat Nabi Muhammad s.a.w yang telah mengorbankan seluruh jiwa raganya untuk umat manusia merasai manisnya punya iman & Islam di dada. Baginda s.a.w tidak pernah lelah memberi pada ummahnya tidak kira apa pun pemberian tersebut walau hanya memberi senyum. Alangkah indahnya andai Rasulullah s.a.w bersama dengan kita di waktu ini, tetapi yakinlah Rasulullah s.a.w memang sentiasa ada di hati kita jika kita sentiasa mengingati Nabi Muhammad s.a.w.  

Al-Hamdulillah seharian bercuti & mengembara bersama-sama sahabat, Siti Zawiroh Daud cukup memberi ruang kepada akal fikiran penulis untuk memikir anugerah nikmat pemberian ALLAH kepadanya. Menikmati halaman kampung di rumah kak Nik Siti Hajar Nik Salleh memberi satu aura baru kepada penulis. Ya, dia rindukan alunan lembut yang menampar pipinya di kampung sendiri...dia rindukan juga bunyi burung-burung yang berkicau riang di halaman kampungnya. & sungguh kembara al-Qaryah ini dapat mengubat kerinduannya pada kampung.

Begitu banyak anugerah ALLAH yang kita sering terlupa untuk mensyukurinya, antaranya nikmat keamanan yang ada ketika ini di Malaysia walau Malaysia kini dihambat tragedi-tragedi yang tidak diduga menggugah kerisauan semua. Ya, kita punya keamanan masakan tidak kita masih bisa membuka pintu jendela setiap pagi menjelma, mendengar kokokan ayam yang membuat lena kita terganggu seketika, berjalan-jalan menuju ke sekolah & tempat kerja. Bahkan kita masih punya waktu & kesempatan untuk pergi bercuti bersama-sama keluarga. Sedang rakyat Gaza, Palestin tidak punya kesempatan itu.

Al-Hamdulillah, kembara al-Qaryah pada akhir Ramadhan ini memberi ketenangan berganda pada penulis & sahabatnya. Banyak yang dia dapat sepanjang pengembaraan itu walau hanya satu hari. Sampai sahaja kami ke destinasi kembara al-Qaryah pada tengah malam, kami disambut riang oleh keluarga kak Hajar & suaminya. Malam yang menenangkan dengan kepelbagaian bunyi cengkerik & haiwan-haiwan kecil seolah-olah mengalukan kehadiran kami ke kampung Rembau, Negeri Sembilan itu.



Lebih kurang jam 4.30 pagi, kami bersahur bersama-sama dengan berlaukkan ayam & ikan serta nasi. Al-Hamdulillah, dapat juga kami bersahur mengambil pahala mengamalkan sunnah. Usai solat subuh & membaca al-Quran, kami mengambil keputusan untuk menikmati alam ciptaan ALLAH di kampung tersebut.

Pagi yang amat segar dengan udara sangat sejuk, suasana sangat mendamaikan. Inilah nikmat pertama bila menjejak kaki ke kampung. Subhanallah meluncur laju dari mulutnya, bayangkan betapa sejuknya kami sehingga menggigil nak tahu kenapa? Sebab kat kampung tu ada banyak sangat pokok. Sebut je pokok apa semua ada tersedia di situ. Pokok rambutan, manggis, cempedak, mangga, rambutan, langsat, dokong, rambai, pulasan, petai, pokok lada, pisang, pelbagai jenis pokok bunga & tak dilupa ada kebun pokok rebung yang sangat luas.





Penulis mula jatuh cinta pada suasana hijau di kampung ini. Mereka hidup dikelilingi pokok. Itulah hikmah bila kita berjasa pada tanah. Bukan hanya hasil yang banyak dari pokok-pokok yang ditanam juga kita pasti menjadi manusia yang sangat bersyukur dengan nikmat anugerah ALLAH. Automatik hati kita jadi dekat dengan ALLAH bila kita dekat dengan alam sekitar & memakmurkannya.

Kesempatan berada di kampung itu, penulis & sahabat ambil dengan pengajaran berharga di ‘samping menyelam kami sempat juga minum air’ (istilah bahasa tau). Jangan salah sangka kami berpuasa tau pada bulan Ramadhan. Kami juga dipelawa untuk memetik beberapa buah seperti, rambutan, dokong, rambai, langsat, pulasan, & manggis. Buah yang dipetik kadang-kadang memerlukan kudrat penulis untuk memanjat tangga. Mula-mula agak gerun memanjat tangga yang tinggi, tapi demi sahabat digagahkan jugak diri walau pada mulanya penulis hanya dipaksa menggunakan tangga tersebut.

Tau apa perasaan penulis selepas mendapatkan buah yang dikehendaki? Al-Hamdulillah rasa puas hati sangat misi seorang pengembara berjaya terlaksana, dia dapat mengatasi rasa takutnya pada ketinggian selama ini. Seronok sebenarnya berada di kampung ini kerana sudah pasti suasananya berbeza dengan bandar. Udara segar dapat dari pokok-pokok yang sangat banyak, suasana hijau menghiasi kawasan halaman rumah, bunyi-bunyi haiwan ibarat irama & lagu yang tak dapat dipisahkan. Bukan membingitkan susana tetapi mendamaikan jiwa bagi manusia yang berfikir akan hikmah kejadian alam ciptaan ALLAH ini.

Agak lama kami bertungkus lumus di halaman rumah kampung tersebut. Kami juga di bawa oleh Kak Hajar untuk meninjau keindahan kebun rebung yang tersusun cantik di hujung halaman rumah tersebut. Subhanallah, sekali lagi penulis terpana dengan kerimbunan pokok-pokok rebung yang ibarat saujana mata memandang. Sempat juga bertembung dengan babi hutan. Oh, baru tahu bagaimana wajah sebenar haiwan ciptaan ALLAH ini. Apa yang pasti kebun rebung tersebut sangat indah & mendamaikan. Sahabat baik penulis pula sibuk mengatakan kebun tersebut agak menyeramkan kerana luas & agak gelap suasananya.





Tidak dilupa kami turut berkesempatan untuk menikmati keindahan tanaman bunga yang mekar indah seperti bunga mawar yang menjadi bunga kebanggan penulis, & beberapa jenis bunga yang lain. Warna-warni bunga telah mengindahkan lagi halaman rumah kampung tersebut.




Apa pun semua ini berbalik pada nikmat pemberian ALLAH kepada kita. Penulis bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak kampung. Dia berharap tidak melupakan kebahagiaan & ketenangan kampungnya. Andai diberi kesempatan kepada penulis, dia ingin sekali punya suami yang punya salasilah keluarga dari kampung & punya kebun yang amat luas. Ini supaya penulis sentiasa dapat dekat dengan nikmat pemberian ALLAH ini, ini supaya dapat mengekalkan rasa syukurnya sebagai anak kampung.

Kampung & lautan alam ciptaan ALLAH yang dapat mendekatkan penulis dengan dengan ALLAH secara terus tanpa ada halangan atau benteng kerana yang menciptakan kampung & lautan adalah Rabb Tuhannya.  Dek kerana itu, rasa cintanya sentiasa tertumpah pada lautan yang mendamaikan & kampung yang mengujakan. Ya benar, alam sekitar ini automatik mendekatkan penulis untuk terus mengingati ALLAH sebagai Tuhan yang menciptakannya & seantero dunia.

Inilah hasil kembara al-Qaryah. Ya, sebagai manusia banyak yang penulis belajar dari alam sekelilingnya. Dek kerana itu dia sangat suka mengembara bergelar musafir di bumi ALLAH. Penulis mahu dia masih punya kesempatan mengembara ke luar negara di masa akan datang. InsyaALLAH, ameen. Mohon doa sahabat-sahabat & pembaca setia blog ini ya.

Jika dengan mengembara ini akan menambah keimanannya pada ALLAH, & jalan inilah yang dipilih di samping jalan perjuangan dakwah yang tak mungkin dilupakannya kerana dalam jalan dakwah inilah penulis belajar menjadi hamba & khalifahNya. Di jalan dakwah inilah, penulis kenal siapa penciptanya, siapa sahabat-sahabatnya yang sentiasa mendorongnya melakukan kebaikan demi kebaikan. Terus melangkah dalam Islam hingga ketemu titik akhir sebuah kehidupan adalah menemui Tuhan dengan penuh ketenangan iaitu husnul khatimah (pengakhiran yang baik untuk permulaan yang sangat panjang yang lebih baik).

Banyak ujian yang menimpa penulis, mengajarnya menjadi manusia yang mensyukuri nikmat & musibah dariNya. & dengan ujian itulah penulis belajar untuk memahami kehidupan walaupun perit serta pahit pada permulaannya. Nasib baik ada ALLAH yang sentiasa memberi kekuatan, ada Rasulullah s.a.w yang sentiasa menemaninya, ada ibu ayah yang sentiasa memberi kata nasihat & kasih sayang, ada adik-beradik yang memeriah suasana, ada sahabat-sahabat yang tak pernah jemu menegur & melimpahkan cinta padanya, ada insan-insan yang sentiasa mendoakan kebahagiaan & ketenangannya walau penulis tidak pernah tahu siapa orangnya & ada alam yang mengajarnya banyak perkara.


Baiklah, setakat ini dahulu coretan kembara al-Qaryah untuk hari ini. Moga memberi manfaat pada ummah & pada hati-hati yang mahu mengingati ALLAH. Kembara al-Qaryah ini akan berakhir di sini & akan bersambung nanti bila penulis punya kesempatan waktu untuk terus menjelajah suasana kampung. Cintanya takkan pernah berhenti pada kampung ciptaan ALLAH. Sebelum terlupa, salam Ramadhan kareem 23 Ramadhan 1435H kepaa semua pembaca blog ini & teruskanlah menghadiahkan doa & al-Fatihah pada saudara-saudara seIslam kita di Gaza, Palestin serta seluruh umat Islam. Yakinlah dengan pertolongan ALLAH. 

Gunakan akhir Ramadhan ini dengan sebaiknya di samping kita sibuk mengejar lailatul qadr, usah lupa untuk terus mendoakan saudara-saudara kita walau di mana pun mereka berada, biar kita tidak menyesal dengan keberadaan kita di dunia yang tidah hanya memikir keperluan diri tetapi juga mengambil berat suasana & keadaan masyarakat sekeliling kita.

Terima kasih buat sahabat Wira yang menemaninya sepanjang kembara al-Qaryah...
Nice moment with Wira at the end of Ramadhan!

Siiru ‘alaa barakatillah...