Wednesday 9 July 2014

Tangisan Si Kecil di Gaza

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Al-Hamdulillah, Ya ALLAH berkat kasih sayangMu penulis masih bisa menikmati keamanan di negara sendiri walau terkadang dia tidak sedar bilakah keamanan ini akan berpanjangan. Al-Hamdulillah Ya Rabb, Engkau sentiasa menitipkan rahmat terbesar untuk hambaMu yang hina ini nikmat iman & Islam yang terus membawa penulis menelusuri kehidupan dengan penuh ketenangan & pengharapan pada ALLAH. Al-Hamdulillah, penulis lahir di bumi Malaysia.

Namun dugaannya lebih mencabar. Penuh dengan liku menguji kehidupannya sebagai seorang muslimah. Apa yang dibuat difikir salah pada pandangan manusia, apa yang difikir di salah tafsir oleh kebanyakan manusia. Itulah fitrah manusia punya pendapat yang berbeza, punya pemikiran yang pelbagai persepsi kadang mengundang bencana, mengungkit kemarahan manusia. Namun kesabaran itu cepat menyerang hati. Sabar duhai hati, ini baru sikit ujian yang ALLAH datangkan padamu. Kata mahu jadi hamba ALLAH yang kuat.

“Ya ALLAH dengan kekuasaan & kebesaranMu lindungi & pelihara saudara-saudaraku di Gaza. Mereka berjuang hingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan tanah air tercinta. Bantulah mereka untuk meneruskan perjuangan ini. Hanya doa yang mampu aku kirim buat kesejahteraan mereka & aku yakin ALLAH memberi yang terbaik untuk kalian saudara-saudaraku yang jauh di mata tapi sentiasa dekat di hati. Hatiku sedih sekali saat melihat Gaza bermandi darah, tapi hati kecilku berbisik, moga syahid menjadi milik kalian semua. Ya ALLAH Engkau kuatkanlah iman saudara-saudaraku di sana. KuasaMu mengatasi kuasa manusia yang ada. Hancurkanlah musuh-musuh Islam dengan kekuasaanMu Ya ALLAH.”

Hari ini penulis terpanggil untuk berkongsi salah satu puisi rekayasa pemikiran & ilham kurniaan ALLAH, untuk mengungkap segala yang tersirat di hatinya. Hati penulis remuk saat membuka ‘facebook’nya. Remuk bercampur sedih dengan berita-berita tragis kematian saudara-saudara seIslamnya di Gaza. Sungguh penulis tak redha dengan apa yang rejim Zionis lakukan pada saudara-saudaranya.

Gambar-gambar syahid puluhan rakyat Gaza mengundang duka di hatinya. Mengundang marah pada musuh Islam tersebut. Teganya mereka membunuh manusia lain, hilang sudah sifat keperimanusiaan mereka. Sempat juga penulis membelek akhbar SINAR HARIAN EDISI KELANTAN bertarikh 10 Julai 2014 yang baru sahaja dibeli oleh ayahandanya. Muka depan akhbar TANGISAN GAZA.

Hari ni dah 12 Ramadhan 1435H, rakyat Gaza bersahur penuh ketaatan, berbuka pula menuju ke syurga. Subhanallah, tidak dapat penulis bayangkan keadaan mereka ketika ini, hanya iringan doa & air mata buat saudara-saudaraku di sana. Sungguh Ramadhan kali ini memberi peluang kepada seluruh umat Islam untuk terus membantu saudara-saudara seIslam di Gaza.

Memetik artikel di Sinar Harian halaman 2, “ Ketika umat Islam di seluruh dunia gembira menjalani puasa & tarawih, ribuan saudara Islam di bumi Palestin meratap hiba & menyelamatkan diri dari serangan roket bertubi-tubi sejak mlm kelmarin. Serangan dalam bulan Ramadhan ini bukan kali pertama dilancarkan Zionis. Serangan pertama pernah berlaku ketika Intifada Pertama pada 8 Disember 1987 hingga 13 September 1993 iaitu dalam tempoh enam tahun. Ini bermakna penduduk Gaza pernah berhadapan situasi getir ini sebanyak enam kali Ramadhan & serangan digelar Operasi Perlindungan Sempadan yaang berlaku Isnin lalu adalah kali ke tujuh.

Dalam serangan lebih 72 jam itu, dilaporkan oleh beberapa media bahawa angka korban mencecah lebih 40 nyawa dengan ratusan cedera parah selepas Zionis menyasarkan 160 kawasan di Genting Gaza dengan menggunakan 90 roket.”

Marilah kita sama-sama menghadiahkan surah al-Fatihah buat saudara-saudara seIslam kita di Gaza. Kirimkan bersama doa-doa kita buat mereka kerana doa itu senjata utama muslim.Mari baca puisi rekaan penulis khas & istimewa buat saudara-saudara seIslammya di Gaza:

Tangisan Si Kecil di Gaza

Bumi Gaza berdentum lagi
Maha hebat roketnya bertubi-tubi membunuh manusia
Tanpa belas kasihan di hati
Hatiku dirobek bercampur sedih
Saat menelusuri kisah hidupmu Gaza
Penuh derita mempertahan keberadaaanmu di bumi
Namun, kamu tak  mengalah
Jauh mengeluh berat saat diuji begini
Engkau dikurnia ALLAH kekuatan
Demi melihat Islam terus bersinar di bumi Gaza
Teruskan usahamu duhai saudara-saudaraku
Aku titip doa moga ALLAH sentiasa memelihara kalian

Kanak-kanak Malaysia
bahagia bersama dentuman mercun
Sedang kalian, si kecil menangis tanpa air mata
Mencari di mana ayah & bonda
Kami dahaga kasihmu
Kami mahu bersamamu duhai ibu ayah
Tapi kalian di mana?
Senyum si kecil penuh makna
Mahu berjumpa ib bapa di syurga
Kerna tingkah si kecil tak pernah menipu
Ya, tangisan si kecil di Gaza tak pernah berhenti
Terngiang-ngiang di telingaku
Moga syahid bersamamu
Bekalan doa kami kirim buatmu

Moga kalian kuat bersama ujian ini.




Setakat ini dahulu coretan hati yang bergelora dengan pelbagai rasa atas apa yang berlaku pada umat Islam di Gaza, Palestin. Moga memberi manfaat buat sahabat-sahabat yang singgah di blog ini. Fikirlah kita hidup di dunia ini hanya sementara & bukan hanya perlu fikir tentang diri kita. Biar ada sekelumit rasa dalam hati kita rasa persaudaraan kita dgn seluruh umat Islam di dunia ini. Itu tanda kepedulian kita pada ummah akhir zaman ini. Jika kita tak mampu berbicara macam orang lain buat dalam FB cubalah dengan doa2 & usaha2 lain. Bukan untuk menunjuk tapi tanda kita kasih pada saudara seIslam kita di Gaza. Tanda kita hamba ALLAH & khalifahNya yang amanah & bertanggungjawab.

Siiru ‘alaa barakatillah...salam Ramadhan kareem.

No comments:

Post a Comment