Thursday 17 July 2014

Malaysia ohh Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah...Jumaat di bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan. Kita telah memasuki fasa akhir Ramadhan kerana hari ini dah 20 Ramadhan 1435H. Salam Jumaat mulia penghulu segala hari. Moga permulaan hari ini dimulai dengan mengingati segala nikmat pemberian ALLAH terhadap diri kita. Sekejap masa berlalu, Ramadhan seolah-olah melambai pergi meninggalkan kita untuk meneruskan amalan seperti sebelum ini. Salam Jumaat kareem ya!

Al-Hamdulillah, nyawa masih di kandung badan. Kehadiran penulis pada hari Jumaat yang penuh mulia ini adalah sekadar mahu berkongsi rasa sebagai individu Muslim. Gunalah kepelbagaian teknologi ini untuk berkongsi kebaikan dengan semua manusia. Kebetulan blog ini telah direkayasa hanya untuk memenuhi tuntutan tugasan universiti, ada baiknya penulis menyambung kerja penulisan di blognya. Memenuhi minatnya yang mendalam terhadap penulisan, jadi, blog kesayangan ini terkadang menjadi tempat meluah rasa. Mohon maaf pada semua sahabat yang mungkin mengharap blog ini dapat mengubah diri menjadi lebih baik kerana ia sekadar perkongsian pengalaman hidup & pendapat penulis sendiri.

Nak masukkan fakta semata, penulis bukan ahli sejarawan, nak berbicara tentang pendidikan politik Islam pun penulis bukan pakarnya. Nak cerita tentang isu semasa, penulis bukannya pandai sangat pun. Penulis hanyalah hamba ALLAH yang ada sekelumit rasa amanah & tanggungjawab untuk sekurang-kurangnya menjentik hati penulis & sahabat-sahabat yang ziarah blog ini untuk sama-sama memperbaiki diri. Benar kata orang jika kita tidak mampu untuk ubah semua perkara, cukup sekadar kita menyumbang sesuatu walau sedikit untuk orang tahu tentang Islam & kebaikan.

Pagi tadi tersedar dari mimpi yang panjang, penulis digemparkan dengan berita pesawat Malaysia MAS MH17 terhempas di Ukraine. Innalillahi wainna ilaihi raji’uun. Beristighfar panjang penulis meneliti berita ini di kaca televisyen. Belum pun reda tentang berita kehilangan MH370 hampir lima bulan yang lalu, datang lagi berita tragis tentang pesawat Malaysia MH17 terhempas di Ukraine. Pihak media masih mencari kesahihan berita ini.

Sumber FB GAMIS

Mari sama-sama kita hadiahkan surah al-Fatihah kepada seluruh mangsa yang terlibat terutamanya yang beragama Islam. Kuatkan hati ahli keluarga mereka untuk menerima berita ini. Malaysia ohh Malaysia...lepas satu berita datang satu berita dan penulis simpulkan sebagai bencana daripada ALLAH. Ya peringatan buat hamba-hambaNya yang mahu berfikir. Mari kita selak semula beberapa peristiwa yang melanda Malaysia sebelum ini bermula dengan krisis air yang berpanjangan, tragedi pesawat MH370, El-Nino atau dikenali sebagai kemarau berjerebu, terbaru tragedi MH17, kematian di sana-sini sama ada disebabkan oleh kemalangan atau pembunuhan.

Malaysia ohh Malaysia...ini tanda peringatan buat umat Islam di sini. Bagaimana kita mentadbir bumi Malaysia adakah penuh dengan keadilan atau bagaimana? Tepuk dada tanya sekeliling kita? Bagaimana kita menjaga hubungan dengan ALLAH & hubungan sesama manusia? Bagi mereka yang mahu berfikir dan panjang akalnya sudah tentu dapat mengagak semua kejadian, tragedi yang berlaku adalah kerana kealpaan kita dalam menjaga & memelihara alam ciptaan ALLAH ini. Tak percaya mari kita belek kalamullah surah ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud:

41. telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Sedih menebak dada saat penulis kembali ke bumi Nilai, penuh pembangunan di sana-sini tetapi sayang keindahan hijau di bumi Nilai sebelum ini telah dinodai. Alam seolah-olah menangis dengan perbuatan kasar manusia yang tamakkan pembangunan hingga lupa memelihara kehijauan bumi. Bumi ditarah sesuka hati, andai pokok-pokok dan bukit itu bisa berbicara mereka tentu menjerit memberitahu kepada manusia betapa sakitnya bumi dengan kerakusan manusia mencari kekayaan & menggali kemewahan. Sudah tentu sekarang ini kedengaran esak tangis bumi dengan apa yang telah manusia lalukan tanpa berfikir tentang alam. Kita manusia bukan hidup seorang di bumi ini ada makhluk ALLAH yang lain menumpang hidup bersama-sama kita daripada flora, fauna & kehidupan lain. Jadi usah kita mementingkan diri. Usah bersikap seperti enau dalam belukar melepas pucuk masing-masing.





Ya semua yang terjadi ada kaitan antara satu sama lain. Tidak lain tidak bukan tanda ALLAH mahu memberi peringatan kepada kita bencana yang hadir bukan sekadar untuk kita tangisi tetapi untuk kita mengambil ibrah (pengajaran) daripada ada apa yang telah berlaku di bumi Malaysia ini. Bukankah manusia hadir untuk memakmurkan bumi ini? Bukankah penciptaan kita adalah untuk menjadi hamba & khalifahNya? Mari kita koreksi diri bersama-sama. Apa yang telah kita lakukan untuk menyelamatkan bumi ini? Apa sumbangan kita kepada pengekalan kehijauan bumi? Apa yang telah kita lakukan untuk menyebarkan keindahan & kebaikan Islam.

Sekadar perkongsian penulis untuk kita sama-sama berfikir semua peristiwa perit yang menimpa Malaysia adalah pengajaran berharga buat diri individu Muslim terutamanya.Sekali lagi mohon maaf atas segala kekhilafan penulis jika artikel ini menjentik hati sahabat-sahabat yang singgah di blog ini. Sungguh ini hanya perkongsian rasa daripada seorang muslimah untuk tatapan dirinya & moga memberi manfaat pada ummah sejagat walau sekelumit cuma. Jika punya kesempatan & umur masih dipanjangkan ALLAH, berjumpa lagi dengan penulis dalam penulisan akan datang. Sempena bulan Ramdhan yang penuh keberkatan ini, mohon kepada semua untuk terus berdoa & berdoa kepada ALLAH, kerana sebaik-baik pergantungan seorang muslim adalah pada Penciptanya iaitu ALLAH Maha Berkuasa.


Salam Ramadhan Kareem 20 Ramadhan 1435H...siiru ‘alaa barakatillah...

No comments:

Post a Comment