Wednesday 16 July 2014

Usah Terburu-buru & Usah Bertangguh

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...kesempatan masih ada buat penulis meneruskan penulisannya walau mungkin perkongsiannya kali ini sedikit hambar dek ujian yang bertalu-talu menyinggah diri. Ya, hakikatnya manusia tak bisa lari dari ujian & ujian itu tanda ALLAH Maha Menyayangi hambaNya, ALLAH tidak akan sesekali meninggalkan hambaNya sendirian. Al-hamdulillah berkat kasih sayangMu Ya ALLAH, penulis masih berdiri sebagai hamba & khalifahNya.

Harapannya moga sahabat-sahabat yang sudi ziarah blog ini juga begitu, walau dihimpit ujian bertalu dalam kehidupan ingatlah ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Bersangka baik sahaja, moga ada hikmah & kebaikannya. Sebelum qalamwardahzinnirah ini dipanjangkan izinkan penulis mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam Ramadhan kareem 19 Ramadhan 1435H.

Ya, sedar tidak sedar kita telah memasuki pertengahan & hampir kepada penghujung Ramadhan. Terdetik kesedihan di jiwa bila mana dirasakan Ramadhan tahun ini sangat sebentar. Pemusafiran penulis Ramadhan ini penuh membawa erti meneliti kehidupan sebagai musafir yang serba kekurangan, hidup penuh kesederhanaan. Menumpang teduh di hujung dunia, bertenggek kasih pada sahabat-sahabat yang sudi memberi ruang pada diri rehat sebentar sebelum meneruskan pemusafirannya. Dalam keasyikan menikmati peritnya sebuah musafir & berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain, ujian ALLAH datang memberi petanda bahawa langit tidak selalunya cerah, bahagia bukan untuk selamanya kecuali jika sudah di alam syurga di sana bahagianya abadi.

ALLAH mahu menguji hambaNya bukan untuk menyeksanya tetapi untuk memberi kita manisnya mencintai ALLAH melebihi segalanya. Mari kita tadabbur surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

286. Allah tidak memberati (membebani) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

ALLAH tahu hambaNya dapat mengatasi & bersabar dengan ujian yang dikurniakanNya. Dek kerana itu, penulis cuba untuk bertahan dengan ujian ini. Biarlah hanya ALLAH yang mengetahui apa yang tersirat di sebalik kisah ujian hidupnya, Cuma di sini penulis memohon jasa baik kalian sahabat-sahabat yang disayangi ALLAH untuk kirimkan sekelumit doa & al-Fatihah buat diri yang lemah ini. Selebihnya usah lupa kirimkan doa & al-Fatihah buat saudara-saudara seIslam kita yang memerlukan kiriman doa walau hanya dari jauh, kerana doa itu senjata bagi mukmin.

Ujian penduduk Gaza, Palestin jauh lebih hebat dari penulis yang hanya ibarat tusukan jarum sedang mereka di sana berjuang hingga ke titisan darah untuk mempertahankan negara tercinta. Di sana sini kemusnahan berlaku, mereka perlu melalui ujian ini ketika Ramadhan kareem menunjukkan diri. Sedang kita sibuk melilau-lilau mencari juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan, sedang mereka berbuka kemudian syahid menuju syurga Ilahi. Pertemuan dengan ALLAH amat ditunggu oleh mereka. Ya ALLAH peliharalah saudara-saudara kami di seluruh negara terutamanya di Gaza, Palestin.

Baiklah, perkongsian hari ini adalah usah terburu-buru & usah bertangguh. Tentang apa yer? Kata-kata ini penulis ambil dari buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bertajuk, “Edisi Istimewa: Aku Terima Nikahnya. (Titipan erti sebenar perkahwinan medan memberi yang paling mulia)” Sedang asyik mengemas rumah kakak ipar sebentar tadi, penulis terjumpa dengan buku ini. Menarik untuk dibaca menggabungkan ketiga-tiga buah buku karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil iaitu, ‘Aku Terima Nikahnya’, ‘Bercinta Sampai ke Syurga’, & ‘Murabbi Cinta’.


Kehadiran buku ini seolah-olah menjawab segala pertanyaan yang bertalu-talu datang kepada penulis. Seperti kebiasaan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil suka menulis pengalaman hidupnya sebagai panduan untuk pembaca-pembacanya. Ya sejujurnya penulis suka baca pengalaman penulis-penulis lain. Dia membawa realiti kepada pembacanya, membawa hakikat kehidupannya tak lari dari susah & senang. Penulis tenggelam dalam kisah yang di bawa oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.


Kesimpulan tentang buku ini, ia sangat baik untuk mereka yang bakal mendirikan rumah tangga & yang telah melalui gerbang perkahwinan kerana buku ini bercerita tentang pengalaman hidup seorang manusia yang mahu mencapai keredhaan ALLAH dalam kehidupannya. Penulis pernah menemu ramah  Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam salah satu Seminar MUSLIM yang dianjurkan oleh Akademi Sinergi di USIM suatu masa dulu. Tertarik dengan pembawakan & cara penyampaian ustaz yang penuh berhikmah menjadikan ustaz adalah salah satu contoh penulis baginya. Mari kita tengok gambar2 ihsan dari Akademi Sinergi yang di ambil penulis dari mereka:





Buku ini dibaca hanya untuk mengisi masa terluang yang ada, kerana dengan membaca hatinya tak mudah berfikir apa-apa yang negatif, ia boleh mengelakkan penulis terus berfikir tentang ujian yang dilaluinya. Penulis cuba untuk hadirkan rasa redha dengan apa yang telah ALLAH sediakan untuknya. Ya, membaca adalah salah satu cara mengalihkan fikirannya.

Apa kata kalian layari sendiri laman web Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Penulis letakkan bersama link laman web ustaz di sini bagi memudahkan sahabat semua: http://saifulislam.com/

Buku tersebut baru sahaja dibaca, tertarik pada halaman 3 buku ini iaitu, ‘...Terimalah seseorang, seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredhai...’ itulah makna sebenar sebuah perkahwinan. & dalam buku ini Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ada menulis bahawa perkahwinan bukan masa untuk kita menerima, tetapi perkahwinan adalah masa untuk kita memberi & terus memberi. Bila rasa memberi itu terus menguasai diri, kita takkan sesekali mengharap sesuatu yang sempurna dari pasangan kita. Bukan begitu?

Pada halaman berikutnya iaitu halaman 11, ustaz meneruskan penulisan dengan menitip kata, “...perkahwinan sebenarnya menggabungjalinkanantara cinta, kasih sayang, tanggungjawab & peranan.” Perkahwinan itu bukan hanya sekadar majlis yang meriah, akad nikah atau ‘honeymoon’ semata tetapi ia ada kaitan dengan hati menggabungkan dua menjadi satu menghasilkan sinergi yang maha hebat.

Tak perlu tunggu nak ber’sms’, ‘couple’, makan sama-sama, tengok wayang terus dapat kahwin. Tak perlu tunggu bertunang bertahun-tahun lamanya, syariat ALLAH tak dijaga akhirnya putus di tengah jalan diri yang merana. Tak, bukan itu budaya umat Islam yag sebenar. Jika benar mahu disunting seorang wanita untuk dijadikan isteri persiapkan dirimu duhai lelaki untuk berjumpa & mengambil hati keluargnya kerana ingat bukan hanya wanita itu yang kamu hendak kahwini tetapi keluarganya juga kamu kena kenali & dekati. Keluarganya juga kamu harus ‘kahwini’.

Itu maksud sebenar usah terburu-buru & usah bertangguh. Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam buku ini pada halaman 24, “Jangan mengambil langkah untuk berpasangan, jika sudah pasti dalam setahun dua jangka masa terdekat ini tiada kemungkinan untuk kalian berkahwin.” Amaran dari ustaz sendiri. Dah baca? Jadi pandai-pandailah kita menilai diri kita bagaimana kemampuan kita ke arah itu. Sungguh selepas membaca buku ini, penulis lebih bersikap terbuka menerima apa yang telah dibacanya, kerana di sana ada betulnya. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bukan berniat menghalang sesebuah perkahwinan tetapi ustaz nak kita para remaja Islam terutamanya berfikir dengan matang sebelum melangkah ke alam perkahwinan yang penuh dengan ujian ini.

Jika kita diberi pilihan memilih insan yang mencintai kita atau insan yang kita cinta, bagaimana kalian mahu memilihnya? Pilihan sesungguhnya amat perit untuk dibuat keputusan yang mana menyenangi hati semua pihak. ALLAH sentiasa ada untuk mendengar setiap rintihan & permohonan kita. Jadi, jika kita buntu, istikharah jawapan terbaik petunjuk dari ALLAH Yang Maha Penyayang. Lakukanlah istikharah dalam kehidupanmu seharian, moga setiap keputusan yang dibuat selari dengan kehendak & takdir ALLAH yang penuh rahsia.

Pesanan buat diri & sahabat semua yang belum & bakal melangkah ke alam rumah tangga, usah berhenti berdoa & berdoa moga ALLAH mengurniakan pasangan yang baik untuk kita. & bukan hanya berdoa, berusahalah untuk menjadi yang terbaik & hambaNya yang sangat merindui pertemuan dengan ALLAH. Betulkan terlebih dahulu niat perkahwinan kita, biarlah kerana mahu mengejar cinta ALLAH, biarlah cinta yang dibina bisa membawa kita ke syurga. Ameen, insyaALLAH. Jadi usah terburu-buru & usah bertangguh dalam urusan perkahwinan khususnya dan urusan-urusan lain.

Setakat ini dahulu perkongsian penulis untuk hari ini. Moga memberi manfaat pada pembacanya. Moga melimpahkan rasa kasih & sayang kita pada ALLAH Tuhan kita. Mohon maaf atas segala kekhilafan penulis ya kerana manusia tak pernah sempurna. Kalian ada sebarang komen atau cadangan? Usah segan silu untuk menemui penulis dalam wardahzinnirah@rocketmail.com atau melalui blog ini. Sudilah perbetulkan apa yang salah, & kongsilah apa yang betul moga kita sama-sama memperoleh manfaatnya.


Salam Ramadhan Kareem...siiru ‘alaa barakatillah...                    

No comments:

Post a Comment