Friday 27 March 2015

Ya ALLAH...Rindunya keranaMu

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ucapan syukur menutur laju di bibir penulis. Sudah lama benar dia meninggalkan blog ini sepi tanpa bicara & perkongsian. Sungguh penulis merindui detik dia bersama blog ini. Ya ALLAH...terima kasih di atas kesempatan yang Engkau berikan. & kata rindu ini di dedikasi buat mama, ayah, adik-beradiknya yang jauh di mata tetapi sentiasa bermain di fikirannya. Menambah rindu yang bertimpa-timpa hanya Engkau pengubatnya.Biar sejauh manapun diri ini bergelar musafir di bumi ALLAH, cinta kasih & sayang tak pernah padam terhadap insan-insan yang banyak membantunya berdiri di jalan ini. 

Cebisan kenangan yang masih tersimpan semasa penulis pulang ke kampung. Al-Hamdulillah ada masa diluangkan bersama adik-adik tersayang. Tambahan kami memang punya kesukaan yang sama, menziarahi pantai-pantai yang ada di kawasan kediaman kami. Subhanallah...pantai2 ini menenangkan. ALLAHUAKBAR...tak terkata saat melihat pemandangan pantai, menikmati udara nyaman pantai, mendengar alunan merdu ombak memukul pantai. Sungguh penulis merindui aktiviti ini bersama-sama keluarganya.







Ya ALLAH...Rindunya keranaMu
Dek kerana rindu itu 
Ku lakar berkali-kali doa buat kalian
Ku sebar lewat angin betapa diri merindui
Tidak lupa hadiah al-Fatihah mengiringi

Karangan rindu di hati
Bisa diketahui Ilahi
Namun tidak difahami insani
Rindu ini demi Ilahi
Biar ke mana kaki melangkah
Harus mengingat diri
Kamu tidak sesekali
Bisa berdiri sekarang
Andai tiada yang membahumu
Andai kasih ALLAH
Tidak memayungimu 
Sudah pasti kamu jauh terpesong dari jalanNya...

Kesedihan mula merajai hati bila mendapat khabar sedih kehilangan anak saudara bongsu, Suri Tihani Qisya bt Shukri & kepemergian ayah Long bertemu ALLAH Yang Maha Esa. Dua insan terdekat dalam hidup penulis telahpun di ambil oleh ALLAH. Ya penulis tahu...mereka juga insan yang dipinjamkan ALLAH kepadanya. Terkejut saat menerima berita sedih ini...namun hati harus redha dengan kepemergian mereka ke alam lain. Damailah kalian di sana. Penulis juga menunggu masa menemui Tuhan Yang Maha Penyayang. Terdetik di hatinya bagaimana keadaannya ketika sakaratul maut nanti? Bagaimana dia saat jenazahnya dikafankan & disolatkan?

Mari sama-sama kita hadiahkan surah Al-Fatihah & doa "Allahumma ighfirlahum warhamhum wa 'aafihim wa'fu'anhum...Setakat ini dahulu catatan hati penulis hari ini yang mahu dikongsi bersama-sama sahabat. Siiru 'alaa barakatillah.


Monday 2 March 2015

Meraih Mardhatillah

Bismillahirrahmanirrahim...                

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...dengan nikmat iman & nikmat Islam penulis masih menghirup udara pemberianNya yang percuma, bisa melangkah ke sana ke mari melaksana tugasan & amanahnya, bisa setia menatap skrin ‘notebook’nya untuk mengisi kekosongan yang ada. Al-Hamdulillah Ya ALLAH di atas peluang & kesempatan yang Engkau anugerahkan kepada penulis. Usah kita lupa untuk menjadi hambaNya yang bersyukur dengan segala nikmat & musibah dariNya.

Di kesempatan yang ada dengan ruang masa yang cukup terhad ini izinkan penulis meneruskan bicara tentang perjuangan Islam. Sedang asyik menaip sesuatu untuk blog sambil telinga mendengar & menangkap alunan nasyid dari kumpulan Shoutul Harakah, benar menyentap jiwanya! Alangkah sedikit usahanya untuk terus berada di medan perjuangan Islam ini. Alangkah rugi jika dia tidak meneruskan langkahnya di jalan mulia ini! Mari kita hayati bersama-sama bait kata lirik nasyid di bawah ini agar memberi satu suntikan baru kepada diri penulis dan sahabat-sahabat semua!



Langkah Pejuang
Album :
Munsyid : Shoutul Amal
http://liriknasyid.com

Dengan Bismillah pejuang melangkah
Berpaksi ikrar lafaz syahadah
Arahnya pasti bersatu hati
Redha Allah cita tertinggi

Langkah yang diatur bijak tangkas dan perkasa
Lafaz yang ditutur benar berhemat dan berpada
Tindakan berhikmah mentaati pimpinan
Membara semangat kerana kebenaran

Kata dikota janji ditunaikan
Gigih usaha jalankan kewajipan
Kalah dan menang adat berjuang
Kejayaan terindah meraih Mardhatillah

Iman tunjang kekuatan
Islam syiar kebanggaan
Ukhwah tali kesatuan
Berjuang penuh keyakinan

Istiqamah jati diri
Teruskan Risalah Nabi
Mulia hidup dan mati
Pejuang takkan berhenti

Istiqamah


Ya, benar berjuang tidak akan pernah ada titik berhenti. Selangkah kita di jalan ini sejuta langkah membahu di sisi. Allah tidak akan sesekali membiarkan hambaNya berjuang sendiri. Ya benar pahit selalu ditelan oleh insan-insan yang jujur membawa risalah Islam, tapi bukan selamanya kita menelan kepahitan kerana pada pengakhiran kehidupan kita akan dapati ada cahaya kesenangan datang menjelang.

Ya sahabat-sahabat kita memilih jalan ini & ALLAH memilih kita bukan atas tiket kita baik, bukan juga atas sebab kita ini muslimah, bukan juga atas sebab kita ini Islam tetapi atas sebab kita ini adalah hamba & khalifahNya pemegang amanah hingga akhirnya. Duhai diri, usah rebah sebelum goyah, usah berhenti ketika di landa badai bencana, usah jatuh saat ujian bertimpa menjelma, kerana yakinlah pada tekad kerana ALLAH kita melangkah di medan perjuangan ini bukan memerlukan niat kerana manusia tetapi cukup meletakkan ALLAH semata.


Penulis bukan pandai berbicara tentang perjuangan Islam & sudah pasti sahabat semua lebih memahami maksud tersirat tentang perjuangan menegakkan Islam ini. Cukup dengan bicara bait kata lirik nasyid di atas mengajak kita memuhasah diri, bagaimana tingkah kita, bagaimana sumbangan kita pada menegakkan Islam di bumi Malaysia ini khususnya? Sibuk penulis berbicara tentang diri, sibuk penulis menaip pengalaman indah bergelar muslimah hingga terkadang lupa dia mengajak diri manusia-manusia yang menjengah blognya untuk terus mengingati ALLAH...untuk terus menjadi hambaNya yang sentiasa mendekatkan diri kepada ALLAH dengan hablunmnallah & hablumminannas.


Mari kita berhenti sejenak, berfikir & memuhasabah diri...apa tujuan aku hidup di dunia ini? Apa matlamat akhir aku belayar di dunia ini sedangkan dunia kekal abadi sedang menanti? Mari sahabat kita perkasa diri, kita terus thabat di medan perjuangan Islam ini kerana bukan mudah untuk kita terus mujahadah tetap berada dalam keredhaan ALLAH yang abadi.

Setakat ini bicara dari hati, moga ALLAH terus thabatkan dirinya & sahabat-sahabat dalam medan perjuangan Islam ini. Medan perjuangan Islam bukan hanya dalam siasah, pendidikan, sosial, ekonomi semata-mata, tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia daripada kita mula-mula berada dalam rahim ibu sehinggalah kita kembali padaNya. 

Siiru ‘alaa barakatillah.

12 Jamadil Awal 1411H – 12 Jamadil Awal 1436H

Bismillahirrahmanirrahim...                

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH penulis memulakan perkongsiannya dalam blog ini. Al-Hamdulillah peluang dan ruang yang sangat berharga ini masih diberi berterusan kepadanya selagi ruh ada pada badan. Al-Hamdulillah ucapan syukur ini sebagai tanda kasih & sayangnya kepada ALLAH Yang Maha Esa...yang menciptakannya & menjadikannya hidup dihiasi dengan Islam. Iman & Islam sentiasa mengindahkan kehidupannya. Al-Hamdulillah...ruang yang ada digunakan sepenuhnya untuk blog ini. Mana tahu selepas ini tiada lagi kesempatan untuk kali ke-2 @ ke-3...

Kenapa tiba-tiba hari ini bercerita tentang nombor? Tarikh bulan Islam? Kenapa ya? Cuba kita fikir sama-sama & jom baca cerita di bawah! Apa pandangan kalian? Ada sebarang komentar & cadangan? Mohon terus menghubungi penulis blog ini.

Tarikh 12 Jamadil Awal 1411 bersamaan 30 November 1990 lahirnya seorang lagi hamba ALLAH memeriahkan suasana pasangan suami & isteri yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 24 Februari 1990. Puteri sulung itu disambut riang oleh kedua-dua mama & ayahnya. Nenek & saudara-saudara lain juga tumpang gembira. Ya, anak anugerah daripada ALLAH. Anugerah yang maha berharga, kerna ibu bapalah yang mencoraknya membuatkan corakan itu indah atau sebaliknya itu terpulang.

Zaman kanak-kanaknya sedikit berbeza dengan kanak-kanak lain yang sebayanya. Kenapa berbeza? Ya dia banyak menghabiskan masa kecilnya di rumah, tiada masa untuk bermain di luar pada waktu petang, pulang sahaja dari sekolah, rumah menjadi tempat destinasi utamanya. Waktu petangnya dipenuhi dengan jadual mengaji al-Quran. Ketegasan & kegarangan ayahnya dalam memastikan puteri sulungnya dapat membaca al-Quran dengan baik telah membuahkan hasilnya setelah dalam usia 12 tahun dia dapat menghabiskan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Rotan milik ayah masih basah di ingatannya saat malas membaca al-Quran. Rotan itu yang akhirnya memberi pengajaran terbesar kepada penulis betapa ketegasan ayah dalam membentuk peribadi anak perempuannya membuah hasil berganda buatnya.

Dia membesar daripada seorang kanak-kanak yang pasif hinggalah dia memasuki sekolah menengah ugama Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan di bumi serambi Makkah. Sekolah yang hanya didiami oleh pelajar-pelajar puteri. 7 tahun dia membesar di sekolahnya, keperibadian, identiti, akhlaknya di bentuk di sini. 7 tahun juga dia memegang amanah sebagai pengawas sekolah. Masih basah di ingatannya bagaimana dia ditemuramah untuk dilantik sebagai ‘polis sekolah’. & akhirnya dia memegang amanah itu. Daripada seorang pasif, tugasnya sebagai pengawas sekolah telah sedikit memberi titik perubahan kepada dirinya.

Kuasa sahabat yang mencerminkan watak dirinya telah memberi impak positif kepada dirinya. Sahabat-sahabat sekeliling banyak membantunya memperbaiki diri & terus memegang watak sebagai dirinya. Walau terkadang terpaksa menelan pahit digelar pelajar yang skema & ‘lurus’ dia terima gelaran itu dengan redha sebab dia tahu waktu itu kata-kata manusia bukan boleh mempengaruhi dirinya. Dengan kata nasihat, motivasi & kata semangat dari sahabat-sahabat yang baik serta guru-guru yang tak pernah putus meninggalkan pesan positif dia terus membina dirinya. Akademiknya bukan ibarat pelajar cemerlang & bukan sentiasa mendapat anugerah pelajar cemerlang, tetapi al-Hamdulillah dia boleh menerima pembelajarannya walau pertengahan. Ada jatuh & bangunnya itu fitrah bila bergelar sebagai pelajar tidak selamanya berjaya & tidak selamanya gagal.

7 tahun kenangan pahit manis ditelannya semasa di alam remaja. Zaman remaja adalah zaman segalanya ingin dicuba, pada masa tersebut hangat cinta monyet diperkatakan, maklumlah zaman darah muda. Al-hamdulillah, dia bisa menangkis cinta monyet itu hanya kerana dia memegang prinsip ayahnya yang sentiasa berpesan usah bercinta masa belajar. Dia sentiasa berdoa moga berterusan seperti ini sehinggalah dia sah memegang amanah sebagai seorang isteri. Biarlah cintanya di abadikan kepada ALLAH, ibu ayah, adik-beradik & seorang lelaki yang bakal bergelar imamnya nanti. InsyaLLAH.

“Ya ALLAH, ku mohon peliharalah cinta suci ini hanya untuk insan yang selayaknya aku cintainya. Ya ALLAH ku mohon tambahkanlah cintaku terhadapMu agar aku tidak terus leka dengan keindahan dunia.” Dia simpan cinta suci itu buat insan yang bernama suami yang bakal memimpinnya & keluarga melangkah tenang ke syurgaNya.

Akhirnya al-hamdulillah dia dapat melangkah ke alam universiti. Bergelar & memegang amanah sebagai mahasiswi universiti. Impian ibu dan ayah terlaksana akhirnya berkat rahmat kasih sayang ALLAH & berkat doa ibu ayah. Seketika dia berteleku tergamam saat melihat ramai insan yang benama lelaki membanjiri fakultinya. Sepanjang tujuh tahun belajar tak pernah berdepan dengan pelajar berlainan gender, bagaimana dia mahu berhadapan dengan mereka?

Nak tak nak dia terpaksa menghadapi situasi itu. Buat masa ini hanya ALLAH Yang Maha Tahu bagaimana perasaannya tambahan ketika membuat pembentangan tugasan yang diberikan oleh pensyarah-pensyarahnya. 25 tahun sudah dia menikmati kehidupannya di dunia sebagai muslimah wanita Islam. Al-hamdulillah ALLAH memberinya ruang bernafas dalam Islam menghayati betapa indah & manisnya bergelar muslim. Bertuah kita dilahirkan dalam Islam membesar juga dalam suasana Islam.

Detik 12 Jamadil Awal 1436H bersamaan 3 Mac 2015 @ detik 12 Jamadil Awal 1411H bersamaan 30 November 1990 adalah ulang tahun kelahiran ke-25 milik insan pemilik blog ini.  Menunggu ucapan & doa daripada sahabat-sahabat. Sudah 25 tahun lahir sebagai Islam & dia berharap agar dia istiqamah dalam perjuangan Islam ini. Andai dia tidak sempat menamatkan umurnya pada usia 63 tahun...andai lebih awal dia meninggalkan dunia ini dia sangat berharap dapat menamatkan hayatnya di dunia ini dengan sebak-baik pengakhiran (husnul khatimah).

Elok rasanya dia mengingati mati pada tarikh kelahirannya kerana mana tahu ALLAH mengambilnya lebih awal. Mengingati mati bukan bermakna putus asa dengan kehidupan dunia tetapi menjadikan kita manusia yang cemerlang dunia & akhirat. Dah 25 tahun hidup apalah sangat sumbangan dia untuk Islam hanya sekadar menulis di blog, cukupkah bekalnya untuk di bawa di akhirat kelak? Hanya menutup aurat, cukupkah dia memberi contoh muslim yang benar-benar Islam? Astaghfirullah...ampunkanlah hambaMu ini.

Di kesempatan ini, izinkan penulis memohon jasa baik sahabat-sahabat yang dikasihi ALLAH untuk mendoakan penulis walau sedikit sempena tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-25. Andai tiada masa, cukup untuk kalian menghadiahkan al-Fatihah kepada penulis. Cukup untuk kalian doakan dia thabat di jalan perjuangan Islam, di jalan yang ALLAH telah memilihnya sebagai hamba & khalifahNya. 25 tahun bukan masa yang singkat, ya daripada bayi meniarap, merangkak & bisa berjalan hinggalah dia bergraduasi & sekarang memegang amanah sebagai muaddibah kepada anak-anak yang dia ajarkan. Sepatutnya 25 tahun ini dia bisa menyumbang sesuatu yang berharga  untuk agamanya, Islam.


Setakat ini sahaja coretan hati penulis untuk hari ini. InsyaALLAH jika berkesempatan kita akan bertemu di lain hari dengan ceritera CINTA AGUNG yang lebih menarik. Ameen. Salam kasih sayang kerana ALLAH S.W.T. Siiru ‘alaa barakatillah. 


Jatuh Cinta ‘Suami Pertama’

Bismillahirrahmanirrahim...  
              
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah, dengan izinNya penulis masih mampu berdiri di bumi ini sebagai hamba & khalifahNya. Al-Hamdulillah sejujurnya limpahan syukur tidak terkira buat Tuhan yang sentiasa mengulit jiwanya, yang sentiasa mencurah kasih sayang padanya, yang sentiasa menganugerahkan nikmat-nikmat yang tidak berbilang banyaknya, yang sentiasa mengingatkannya dengan teguran ujian & mehnah dariNya. Entah bagaimana mahu penulis abadikan rasa syukurnya...rasa cintanya kepada ALLAH Yang Maha Esa. Dia abadikan rasa cinta sebagai hamba ALLAH dalam blog yang banyak memberinya peluang berkongsi dengan manusia lain.

Sensasi sekali entri yang di bawa oleh penulis kali ini. Nak tahu ceritanya? Ayuh bersama meneruskan perjalanan mata untuk singgah sebentar di blog yang serba kekurangan ini. Bukan masa yang tiada, bukan kerana sibuk dengan urusan sebagai muaddibah juga bukan kerana malas yang membelenggu jiwa, Cuma terkadang ujian ALLAH menjelma dengan lambatnya ‘internet connection’ membuatkan semuanya tergendala. Ya, dengan internet dia bisa menggunakan blognya semaksimum mungkin. Doakan moga perjalanan blog ini tidak terhenti di pertengahan jalan hanya kerana duri-duri berselerakan di sepanjang destinasinya.
Jatuh cinta ‘suami pertama’, entri yang di bawa oleh penulis kali ini bukan bermakna dia sudah bergelar isteri & nak tahu siapa suami pertamanya? Ayuh hayati bersama bait kata di bawah!

Ketika umurnya masih belasan tahun
Dia berta’aruf dengan di ‘dia’
Dalam tarbiyah jasadiyyah, ruhiyyah & ‘aqliyyah
Tiada kata mampu diucapnya

Saat bicara bai’ah menutur laju
ALLAH menjadi saksi setianya
Walau ketika itu dia kurang mengerti
Dia menjadi suami setia
Membimbing pendampingnya pada ALLAH semata
Nama Islam dijunjung bersama
Mahu melahirkan generasi rabbani
Islam is the way of life

Saat teruji dia tidak mudah melatah
Malah mengajar erti sabar & tadhiyyah
Saat bahagia & kenangan indah tercipta
Rasa syukur beriringan mendampinginya
Saat berukuwwah dia mengajar
Bina ukhuwwah kerana ALLAH
InsyaALLAH segalanya indah

10 rukun bai’ah berlegar di ingatannya
Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Berkorban
Taat, Tetap Pendirian, Tegas, Persaudaraan, Percaya
Amanah pada 'si suami' dilaksana
Perjuangan Islam terus membasahi bumi ini
Biar nanti darahnya mengalir tanpa henti
Tergadai nyawa demi agama

Aku punya suami bernama perjuangan Islam
Dakwah, tarbiah wehdatul fiqr, wehdatul amal
Menjadi mainan yang paling menyeronokkan
Menghiasi titik akhir
Bertemu husnul khatimah

Mohon sahabat-sahabat yang menziarahi blog ini untuk memahami makna ‘suami pertama’ bagi penulis. Ya benar dia jatuh cinta pada ‘suami pertama’nya yang banyak memberinya peluang mendekatkan diri kepada ALLAH & tidak dilupa mendekatkan diri kepada masyarakat (hablunminallah & hablunminannas). Siapa insan bertuah yang digelar suami itu? Ya, itulah perjuangan Islam. Dia berkenalan dengan perjuangan Islam sejak di bangku sekolah menengah agama lagi. Pada mulanya dia kurang mengerti kenapa perlu hidup dalam perjuangan Islam sehinggalah dia menemui buku bertajuk ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ karangan Fathi Yakan.
Amanah automatik ada di bahunya. Amanah yang pinta dilaksanakan, amanah yang bakal membawanya ke syurga atau menghumbannya ke neraka, amanah yang di dalamnya terdapat jutaan kasih ALLAH pada hambaNya. Di sini penulis kenal erti amanah pada tanggungjawab. Belajar dari satu perkara kepada satu perkara yang baharu. Amanah yang harus dipikulnya hingga kiamat yang bakal disoal & dipertanggungjawabkan kelak. Bunyinya seakan-akan mengerikan tetapi itulah hakikat kehidupan. 

Dekatkanlah dirimu dengan ALLAH insyaALLAH, ALLAH akan mendekatkan dirimu pada sesiapa yang ALLAH kehendaki. & penulis yakin perjuangan Islam & dakwah Islamiyyah ini antara salah satu punca dia menjadi dirinya seperti sekarang. Dengan didikan agama yang berterusan bila penulis melakukan kesilapan & kesalahan atau dosa, terbias ketidakselesaan pada dirinya. Bukan nak kata dia baik tetapi ini semua hasil bergelumangnya dia dengan perjuangan Islam. Al-hamdulillah...beruntungnya insan yang bergelumang dengan perjuangan Islam & jihad. Bicara tentang jihad ramai yang menggeruninya. Ramai sekali yang memandang serong padanya. Padahal dengan jihad inilah, Islam tersebar hampir 1/3 seluruh dunia pada sejarah zaman dahulu.

Banyak pengalaman & perkara yang penulis belajar bila dia menginfaqkan diri dalam dunia perjuangan Islam, paling terzahir padanya adalah dia bawa ALLAH ke mana sahaja dia berada. Hanya dia yang tahu & ALLAH Maha Mengetahui apa yang terdetik di hatinya. Pahit manis ditelan bersama, bohong jika tiada resah di jiwa,bohong jika tidak pernah jatuh tersungkur, bohong jika tidak pernah rasa kecewa & terseksa, bohong jika dia tidak pernah rasa tertekan dengan hidupnya. Semua perasaan buruk terkadang singgah di fikirannya. Itu fitrah manusia, Cuma bagaimana penulis menghadapi & mendepani setiap mehnah yang menjengah jendela kehidupannya. Ia bergantung kepada diri kita sendiri, bagaimana kita berhadapan dengannya sama ada dengan fikiran positif atau fikiran negatif.? Tepuk dada tanya bagaimana hati, pemikiran & tingkah kita.

Izinkan penulis berkongsi dengan sahabat-sahabat semua tentang sebuah buku yang membuka mata hatinya tentang Islam iaitu ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ karangan Fathi Yakan. Buku ini sangat bermanfaat kepada individu-individu Islam yang mahu mendalami Islam secara menyeluruh. Buku ini di bahagikan kepada dua bahagian utama iaitu: 

BAHAGIAN PERTAMA Apa Ertinya Saya Menganut Islam                        
1. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah.
2. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadat.
3. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak.
4. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Berkeluarga.
5. Saya Mestilah Mampu Mengawal Diri.
6. Saya Mestilah Yakin Bahawa Masa Depan Di Tangan Islam.

BAHAGIAN KEDUA Apakah Ertinya Saya Menggabungkan Diri Dengan Harakah Islamiah
1. Saya Mesti Hidup Untuk Islam.
2. Saya Mesti Beriman Bahawa Beramal Untuk Islam Adalah Wajib.
3. Tanggungjawab, Ciri-ciri dan Persediaan Harakah Islamiah.
4. Saya Mestilah Memahami Cara-cara Beramal Untuk Islam.
5. Saya Mesti Memahami Sejauh Manakah Makna Penggabungan
Dengan Harakah Islamiah.
6. Saya Mesti Memahami Makna Pemutusan Amal Islami.
7. Saya Mestilah Memahami Syarat-syarat Baiah dan Keanggotaannya.

Ya isi kandungan buku ini banyak memberi ruang kepada penulis untuk berfikir semula bahawa kehidupannya bukan untuk memikirkan tentang dirinya sahaja, tetapi juga berfikir & memberi ruang kepada diri memikirkan tentang insan-insan lain yang berhak ke atas keberadaannya di dunia ini. Hidup bukan untuk mementingkan diri sendiri, tetapi ALLAH ciptakan kita untuk saling berkongsi, untuk saling berbagi, untuk saling melengkapi. & perjuangan Islam ini sugguh melengkapkan sebahagian dari kembara hidupnya sebagai hamba ALLAH & khalifahNya. Tinggal lagi ilmu itu harus di amal & dipraktikkan sebaiknya agar ia tidak diumpamakan sebagai pohon yang hidup segan mati tak mau.

Pada ‘suami pertama’ terzahir banyak perkara, sungguh kasih sayang ALLAH tidak pernah putus bila dia semakin berusaha mendekati perjuangan Isalm & harus diingatkan perjuangan Islam tidak dihamparkan dengan hamparan permaidani merah yang mewah, juga tidak disajikan dengan makanan yang sedap lagi lazat, juga tidak sentiasa senang seperti tingkah dunia. Perjuangan Islam ini penuh dengan duri, tersusun indah segala macam mehnah, terzahir kepahitan & kesusahan pada perjuangan Islam namun nantikan manisnya pada akhir kehidupan insan yang bergelumang dengan perjuangan Islam ini.

Ingatlah duhai mujahid & mujahidah Islam, perjuangan Islam ini tidak sesekali memerlukan kita, tetapi kitalah yang sangat memerlukannya. Tanpanya kita seolah-olah hilang cahaya yang menerangi perjalanan kita. Tanpanya kita hidup di dunia dengan akal fikiran yang kosong & dipenuhi keresahan. Jadi, penulis mengajak dirinya & sahabat-sahabat yang setia menjengah blog ini untuk istiqamah di jalan ini. Kita insan yang dipilih ALLAH untuk memastikan mata rantaian perjuangan Rasulullah s.a.w tidak terhenti di pertengahan jalan, jadi teruskan usaha berada di jalan ini (thabat) walau berjuta dugaan menimpa dirimu.

Al-Hamdulillah usai sudah coretan hati penulis tentang jatuh cinta pada ‘suami pertama’. Moga coretan ini membekas di jiwa insan-insan yang dahagakan cinta ALLAH. Usah risau ALLAH sentiasa bersama-sama kita melihat & memerhati segala tindak-tanduk kita bukan bermakna ALLAH mengongkong tetapi kerana sayangnya ALLAH kepada kita hingga DIA mahu yang terbaik untuk kita, DIA telah menetapkan sebaik-baik qada’ & qadar serta takdir kepada kita.


Setakat ini dahulu coretan hati penulis di blog hari ini. Siiru ‘alaa barakatillah. Salam sayang kerana ALLAH.

Kehilanganmu

Bismillahirrahmanirrahim...   
             
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...berkat kasih sayang ALLAH penulis masih bernafas di ruang Islam memegang amanah sebagai khalifah & hambaNya. Ya ALLAH ku syukuri segala nikmatMu. Diriku terkadang alpa dengan dunia hingga terlupa apa matlamat akhir keberadaanku di bumi yang sementara ini. Sungguh blog memberi inspirasi kepada penulis untuk meneruskan langkahnya sebagai individu muslim. Al-Hamdulillah setelah lama menyepi & membiarkan blog ini kosong daripada kata-kata nasihat, dia akhirnya bangkit memenuhi masa terluang walau sedikit. Bukan masa sahaja yang menghambat tapi juga masalah rangkaian internet yang lambat memberi dia ruang untuk sentiasa beralasan. Bukan mudah untuk terus istiqamah kerana ia butuh mujahadah.

Al-Hamdulillah...cuti tahun baharu cina memberi peluang kepada penulis untuk pulang menziarahi keluarga di kampung. Perasaan tidak sabar melihat insan-insan tersayang makin menebal & telah terubat  bila sampai sahaja penulis di bumi serambi Makkah yang di sambut oleh tiga orang ‘bodyguard’ nya merangkap tiga orang adik lelakinya yang kebetulan semuanya ada di kampung. Penulisan ini di sambung ke kampung halaman bumi Kelantan yang dicintai kerana ALLAH. Sudah hampir sebulan Kelantan kehilangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Genap sebulan juga penulis memendam rasa sebak & sedih akan kehilangan ulamak hebat seperti beliau.

Ya al-hamdulillah, masih bergelar & memegang amanah sebagai muaddibah, mengajar anak-anak berumur 5 tahun. Benar mengajarnya erti kesabaran, benar mengajarnya erti terus-terang, benar mengajarnya erti pengorbanan, benar mengajarnya bagaimana kehidupan seorang kanak-kanak Islam. Moga kerjaya ini memberi ruang kepadanya untuk terus mengkoreksi diri yang sentiasa lemah & bersalut dosa ini. Masing-masing sudah punya kerjaya tersendiri, tak kiralah apa yang kita buat asalkan kita tidak lari dari matlamat akhir kita sebagai hamba ALLAH yang mahu menemuinya dengan ‘husnul khatimah’ sebaik-baik pengakhiran. Ameen, insyaALLAH.

Kehadiran bicara kali ini bukan untuk berbual kosong, punya matlamat & niat tersendiri. Masih basah di ingatan penulis saat dia asyik mendengar bicara seorang lelaki hebat berdirinya tidak lemah, kata-katanya penuh kelembutan tetapi tegas, mutiara-mutiara yang dijalin indah lahir dari hati yang bersih. Mengingatinya membuatkan penulis sebak seketika, bumi Serambi Makkah kembali menangis lagi setelah disergah oleh hamba ALLAH yang bernama air pada Disember 2014 yang lalu. Menangisi pemergian insan hebat bernama Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat pada 12 Februari 2015 yang lalu, jam lebih kurang 9:45 malam & paling menakjubkan jatuh pada hari Khamis malam Jumaat benar menyentuh qalbu penulis.

Air matanya laju menitis saat mendapat khabat berita pemergian ulamak besar, mantan Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS. Benar menyentuh hati, benar menggugat rasa, tidak disangka ulamak hebat ini cepat sekali diambil ALLAH. Beberapa kali penulis bertanya pada sahabat-sahabatnya tentang kesohehan berita ini. Ya benar Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah meninggalkan dunia ini menikmati hari bahagia di alam sana. Masih tidak dapat diterima berita ini sehinggalah dia mendapat kebenaran hilangnya insan hebat ini di bumi Malaysia.

Tidak banyak yang penulis tahu tentang Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Apa yang penulis tahu beliau adalah contoh pemimpin terbaik di abad ini. Ramai menangisi pemergiannya terutamanya rakyat Kelantan yang seolah-olah masih bermimpi akan kehilangan insan yang dikasihi oleh ramai manusia. Penulisan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat juga hebat penuh kata-kata hikmah yang mendidik jiwa, ke arah cintaNya. Moga suatu saat akan lahir insan seperti beliau lagi yang jasa pengorbanannya maha hebat untuk memastikan Islam tertegak di bumi ALLAH ini. Tanpa melengahkan masa, izinkan penulis mengisi blognya kali ini dengan bait kata ilham yang muncul saat memikirkan insan, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Puisi bertajuk, ‘Kehilanganmu’....mari kita ikuti bersama-sama!


“Kehilanganmu”

Di ketenangan malam itu
Suara alam
Seakan menangisi pemergianmu
Namun, makhluk langit menanti kehadiranmu
Tersenyum bahagia berarak sesak
Dirimu tenang di sana
Sedang kami dihimpit derita
Derita bukan kerana kehilanganmu
Kerana kesal kami tidak sering berdamping denganmu
Kerana resah kami melempar kata padamu
Tenang & damai dirimu di sana
Usai sudah perjuanganmu demi agama
Penat lelah terhenti rehatmu bermula
Sedang kami
Terus melangkah demi agama
Memperjuang menegak Islam di mana kami berpijak
Kehilanganmu
Sangat menyentuh emosi ramai manusia
Menitis laju mutiara tanpa dipinta
Menangisi meratapi tapi bukan itu pintamu
Teruskanlah perjuangan walau jasadmu telah dikuburi
Teruskanlah langkah demi Islam walau rohmu telah kembali
Usah biar kisah kehilanganmu
Membantut usaha jihad bersama
Walau dirimu telah pergi menemui Ilahi
Segala kata serta pengorbananmu
Mewangi di taman hati manusiawi

Dedikasi kasih cinta buat Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Walau jasadnya telah tiada kekal bersemadi di alam sana, walau wajahnya yang tenang sesekali takkan mampu kita tatapi lagi...ingatlah kasih & sayangnya seorang insan yang memegang amanah ALLAH kepada umat ini takkan pernah pudar. Segala usaha, pengorbanan & keringat beliau yang tumpah pada bumi serambi Makkah khususnya takkan pernah padam bersemadi dalam hati setiap insan yang menyayanginya kerana ALLAH.

Ingatlah sahabat, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat juga pinjaman ALLAH kepada kita. Sesungguhnya kepada ALLAH kita kembali & kepadaNya juga kita bergantung pengharapan. Buat insan yang pernah berlaku silap pada beliau usah putus asa rahmat ALLAH sentiasa ada untuk kita bertaubat dengan taubatan nasuha, untuk kita beristighfar hingga tiba pada pengujungnya. Manusia ya fitrahnya tidak lari daripada melakukan kesilapan tetapi kita usah lagi terjerumus dalam kesilapan tersebut untuk kali ke duanya.


Setakat ini sahaja coretan hati penulis tentang insan bernama Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sebelum menutup bicara mari sama-sama kita menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Al-Fatihah...buat keluarga allahyarham salam takziah penulis kirimkan lewat  bicara blog ini & buat seluruh rakyat Malaysia ambillah ibrah disebalik pemergian Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Manusia takkan selamnya di dunia, tiba masa Malaikat Maut menjemput kita tiada terlewat walau sesaat tiada tertangguh walau seminit. Moga penulisan kali ini bisa menjentik hati-hati manusia untuk terus mengingati ALLAH & berjuang menegakkan agama Islam. InsyaALLAH...siiru ‘alaa barakatillah.

PESANAN PENULIS:

Maaf andai kehadiran 'entri' ini lambat dari masa yang sebenar. Sejujurnya cerita ini sudah lama berkampung dalam 'notebook' kesayangan penulis cuma masa sangat mencemburuinya sehingga baru kali ini dia punya masa untuk menaip sesuatu di blognya. Akhir kata, mari kita sama-sama menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.