Monday 2 March 2015

Jatuh Cinta ‘Suami Pertama’

Bismillahirrahmanirrahim...  
              
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah, dengan izinNya penulis masih mampu berdiri di bumi ini sebagai hamba & khalifahNya. Al-Hamdulillah sejujurnya limpahan syukur tidak terkira buat Tuhan yang sentiasa mengulit jiwanya, yang sentiasa mencurah kasih sayang padanya, yang sentiasa menganugerahkan nikmat-nikmat yang tidak berbilang banyaknya, yang sentiasa mengingatkannya dengan teguran ujian & mehnah dariNya. Entah bagaimana mahu penulis abadikan rasa syukurnya...rasa cintanya kepada ALLAH Yang Maha Esa. Dia abadikan rasa cinta sebagai hamba ALLAH dalam blog yang banyak memberinya peluang berkongsi dengan manusia lain.

Sensasi sekali entri yang di bawa oleh penulis kali ini. Nak tahu ceritanya? Ayuh bersama meneruskan perjalanan mata untuk singgah sebentar di blog yang serba kekurangan ini. Bukan masa yang tiada, bukan kerana sibuk dengan urusan sebagai muaddibah juga bukan kerana malas yang membelenggu jiwa, Cuma terkadang ujian ALLAH menjelma dengan lambatnya ‘internet connection’ membuatkan semuanya tergendala. Ya, dengan internet dia bisa menggunakan blognya semaksimum mungkin. Doakan moga perjalanan blog ini tidak terhenti di pertengahan jalan hanya kerana duri-duri berselerakan di sepanjang destinasinya.
Jatuh cinta ‘suami pertama’, entri yang di bawa oleh penulis kali ini bukan bermakna dia sudah bergelar isteri & nak tahu siapa suami pertamanya? Ayuh hayati bersama bait kata di bawah!

Ketika umurnya masih belasan tahun
Dia berta’aruf dengan di ‘dia’
Dalam tarbiyah jasadiyyah, ruhiyyah & ‘aqliyyah
Tiada kata mampu diucapnya

Saat bicara bai’ah menutur laju
ALLAH menjadi saksi setianya
Walau ketika itu dia kurang mengerti
Dia menjadi suami setia
Membimbing pendampingnya pada ALLAH semata
Nama Islam dijunjung bersama
Mahu melahirkan generasi rabbani
Islam is the way of life

Saat teruji dia tidak mudah melatah
Malah mengajar erti sabar & tadhiyyah
Saat bahagia & kenangan indah tercipta
Rasa syukur beriringan mendampinginya
Saat berukuwwah dia mengajar
Bina ukhuwwah kerana ALLAH
InsyaALLAH segalanya indah

10 rukun bai’ah berlegar di ingatannya
Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Berkorban
Taat, Tetap Pendirian, Tegas, Persaudaraan, Percaya
Amanah pada 'si suami' dilaksana
Perjuangan Islam terus membasahi bumi ini
Biar nanti darahnya mengalir tanpa henti
Tergadai nyawa demi agama

Aku punya suami bernama perjuangan Islam
Dakwah, tarbiah wehdatul fiqr, wehdatul amal
Menjadi mainan yang paling menyeronokkan
Menghiasi titik akhir
Bertemu husnul khatimah

Mohon sahabat-sahabat yang menziarahi blog ini untuk memahami makna ‘suami pertama’ bagi penulis. Ya benar dia jatuh cinta pada ‘suami pertama’nya yang banyak memberinya peluang mendekatkan diri kepada ALLAH & tidak dilupa mendekatkan diri kepada masyarakat (hablunminallah & hablunminannas). Siapa insan bertuah yang digelar suami itu? Ya, itulah perjuangan Islam. Dia berkenalan dengan perjuangan Islam sejak di bangku sekolah menengah agama lagi. Pada mulanya dia kurang mengerti kenapa perlu hidup dalam perjuangan Islam sehinggalah dia menemui buku bertajuk ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ karangan Fathi Yakan.
Amanah automatik ada di bahunya. Amanah yang pinta dilaksanakan, amanah yang bakal membawanya ke syurga atau menghumbannya ke neraka, amanah yang di dalamnya terdapat jutaan kasih ALLAH pada hambaNya. Di sini penulis kenal erti amanah pada tanggungjawab. Belajar dari satu perkara kepada satu perkara yang baharu. Amanah yang harus dipikulnya hingga kiamat yang bakal disoal & dipertanggungjawabkan kelak. Bunyinya seakan-akan mengerikan tetapi itulah hakikat kehidupan. 

Dekatkanlah dirimu dengan ALLAH insyaALLAH, ALLAH akan mendekatkan dirimu pada sesiapa yang ALLAH kehendaki. & penulis yakin perjuangan Islam & dakwah Islamiyyah ini antara salah satu punca dia menjadi dirinya seperti sekarang. Dengan didikan agama yang berterusan bila penulis melakukan kesilapan & kesalahan atau dosa, terbias ketidakselesaan pada dirinya. Bukan nak kata dia baik tetapi ini semua hasil bergelumangnya dia dengan perjuangan Islam. Al-hamdulillah...beruntungnya insan yang bergelumang dengan perjuangan Islam & jihad. Bicara tentang jihad ramai yang menggeruninya. Ramai sekali yang memandang serong padanya. Padahal dengan jihad inilah, Islam tersebar hampir 1/3 seluruh dunia pada sejarah zaman dahulu.

Banyak pengalaman & perkara yang penulis belajar bila dia menginfaqkan diri dalam dunia perjuangan Islam, paling terzahir padanya adalah dia bawa ALLAH ke mana sahaja dia berada. Hanya dia yang tahu & ALLAH Maha Mengetahui apa yang terdetik di hatinya. Pahit manis ditelan bersama, bohong jika tiada resah di jiwa,bohong jika tidak pernah jatuh tersungkur, bohong jika tidak pernah rasa kecewa & terseksa, bohong jika dia tidak pernah rasa tertekan dengan hidupnya. Semua perasaan buruk terkadang singgah di fikirannya. Itu fitrah manusia, Cuma bagaimana penulis menghadapi & mendepani setiap mehnah yang menjengah jendela kehidupannya. Ia bergantung kepada diri kita sendiri, bagaimana kita berhadapan dengannya sama ada dengan fikiran positif atau fikiran negatif.? Tepuk dada tanya bagaimana hati, pemikiran & tingkah kita.

Izinkan penulis berkongsi dengan sahabat-sahabat semua tentang sebuah buku yang membuka mata hatinya tentang Islam iaitu ‘Apa Ertinya Saya Menganut Islam’ karangan Fathi Yakan. Buku ini sangat bermanfaat kepada individu-individu Islam yang mahu mendalami Islam secara menyeluruh. Buku ini di bahagikan kepada dua bahagian utama iaitu: 

BAHAGIAN PERTAMA Apa Ertinya Saya Menganut Islam                        
1. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah.
2. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadat.
3. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak.
4. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Berkeluarga.
5. Saya Mestilah Mampu Mengawal Diri.
6. Saya Mestilah Yakin Bahawa Masa Depan Di Tangan Islam.

BAHAGIAN KEDUA Apakah Ertinya Saya Menggabungkan Diri Dengan Harakah Islamiah
1. Saya Mesti Hidup Untuk Islam.
2. Saya Mesti Beriman Bahawa Beramal Untuk Islam Adalah Wajib.
3. Tanggungjawab, Ciri-ciri dan Persediaan Harakah Islamiah.
4. Saya Mestilah Memahami Cara-cara Beramal Untuk Islam.
5. Saya Mesti Memahami Sejauh Manakah Makna Penggabungan
Dengan Harakah Islamiah.
6. Saya Mesti Memahami Makna Pemutusan Amal Islami.
7. Saya Mestilah Memahami Syarat-syarat Baiah dan Keanggotaannya.

Ya isi kandungan buku ini banyak memberi ruang kepada penulis untuk berfikir semula bahawa kehidupannya bukan untuk memikirkan tentang dirinya sahaja, tetapi juga berfikir & memberi ruang kepada diri memikirkan tentang insan-insan lain yang berhak ke atas keberadaannya di dunia ini. Hidup bukan untuk mementingkan diri sendiri, tetapi ALLAH ciptakan kita untuk saling berkongsi, untuk saling berbagi, untuk saling melengkapi. & perjuangan Islam ini sugguh melengkapkan sebahagian dari kembara hidupnya sebagai hamba ALLAH & khalifahNya. Tinggal lagi ilmu itu harus di amal & dipraktikkan sebaiknya agar ia tidak diumpamakan sebagai pohon yang hidup segan mati tak mau.

Pada ‘suami pertama’ terzahir banyak perkara, sungguh kasih sayang ALLAH tidak pernah putus bila dia semakin berusaha mendekati perjuangan Isalm & harus diingatkan perjuangan Islam tidak dihamparkan dengan hamparan permaidani merah yang mewah, juga tidak disajikan dengan makanan yang sedap lagi lazat, juga tidak sentiasa senang seperti tingkah dunia. Perjuangan Islam ini penuh dengan duri, tersusun indah segala macam mehnah, terzahir kepahitan & kesusahan pada perjuangan Islam namun nantikan manisnya pada akhir kehidupan insan yang bergelumang dengan perjuangan Islam ini.

Ingatlah duhai mujahid & mujahidah Islam, perjuangan Islam ini tidak sesekali memerlukan kita, tetapi kitalah yang sangat memerlukannya. Tanpanya kita seolah-olah hilang cahaya yang menerangi perjalanan kita. Tanpanya kita hidup di dunia dengan akal fikiran yang kosong & dipenuhi keresahan. Jadi, penulis mengajak dirinya & sahabat-sahabat yang setia menjengah blog ini untuk istiqamah di jalan ini. Kita insan yang dipilih ALLAH untuk memastikan mata rantaian perjuangan Rasulullah s.a.w tidak terhenti di pertengahan jalan, jadi teruskan usaha berada di jalan ini (thabat) walau berjuta dugaan menimpa dirimu.

Al-Hamdulillah usai sudah coretan hati penulis tentang jatuh cinta pada ‘suami pertama’. Moga coretan ini membekas di jiwa insan-insan yang dahagakan cinta ALLAH. Usah risau ALLAH sentiasa bersama-sama kita melihat & memerhati segala tindak-tanduk kita bukan bermakna ALLAH mengongkong tetapi kerana sayangnya ALLAH kepada kita hingga DIA mahu yang terbaik untuk kita, DIA telah menetapkan sebaik-baik qada’ & qadar serta takdir kepada kita.


Setakat ini dahulu coretan hati penulis di blog hari ini. Siiru ‘alaa barakatillah. Salam sayang kerana ALLAH.

No comments:

Post a Comment