Sunday 31 August 2014

Lambaian Kaabah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah Ya ALLAH, penulis masih diberi izin olehNya untuk menulis sesuatu pada blog ini. Kekuatan & ilham yang dikurniakan ALLAH membuatkan penulis tak pernah merasa jemu untuk menaip kata menjadi bicara indah buat tatapan generasinya. Al-Hamdulillah, berkat sokongan & dorongan dari semua sahabat penulis masih setia pada blog kesayangannya walau cerita tak seindah harapan manusia. Namun penulis harus gagahkan diri memberi peringatan buat dirinya yang sering alpa dengan dunia.

Al-Hamdulillah pejam celik pejam celik kita sudah berada pada bulan September & Zulhijjah. Tanda kita semakin mendekat pada bulan umat Islam beribadah haji di tanah suci Makkah. Bulan umat Islam mengerjakan haji di Makkah. Bulan ini ada dua insan istimewa yang bakal penulis ceritakan tentang mereka. Istimewanya kerana mereka mulai menginjak dewasa sudah tiba pada umurnya & bakal menyambut ulang tahun kelahiran mereka. Insan istimewa itu adalah adik lelaki penulis bernama Asraf Wajdi tarikh lahirnya 5 September 1995 & sahabat baik penulis bernama Nur Farhanani Che Aznan bertarikh 19 September 1990. Cepat benar masa berlalu.

Setiap kali tiba musim haji, penulis merenung jauh pada masa hadapannya. Adakah ruang untuk aku bergelar tetamu ALLAH suatu hari nanti. Impian melihat & menikmati kebesaran ALLAH ketika Kaabah berada di hadapan matanya sangat menggamit hati. Impian itu tersimpan kemas dalam qalbunya mengharap suatu saat dia bisa menjejak kaki ke Makkah. Andai penulis punya kesempatan itu, dia pasti tidak akan melepaskan peluang mahu mendoakan kebahagiaan insan-insan yang disayanginya kerana ALLAH. Saat melihat saudara-mara bersiap-siap untuk menjadi tetamu ALLAH, hatinya dipagut sayu yang amat dalam, bilakah peluang ini menyusuriku? Sabar duhai hati, insyaALLAH yakin pada janjiNya, kamu bakal bertemu Ilahi.



Teman-teman yang disayangi ALLAH...usah risau jika kita tidak berkemampuan untuk menjejakkan kaki ke Makkah menjadi tetamu ALLAH, tetapi risaukan terlebih dahulu amalan-amalan yang kita lakukan adakah diterima oleh ALLAH? Perbaiki diri kita untuk menjadi hamba & khalifahNya yang lebih baik. Andai ALLAH memberi kesempatan kepada kita untuk menjadi tetamuNya, Alhamdulillah. Andai tidak, insyaALLAH kita bertemuNya di alam yang lebih kekal abadi. ALLAH amat menyayangi kita duhai hati. Jika tidak mana mungkin kita dapat hidup dilimpahi dengan nikmat yang pelbagai ini. Jadilah hamba yang sentiasa bersyukur, redha & bersangka baik dengan ALLAH, InsyaALLAH ada bahagian untukmu.

Lambaian kaabah menggamit memori penulis saat dia menghantar saudara maranya ke lapangan terbang. Tergambar kegembiraan di wajah ibu saudaranya yang berpeluang menjadi tetamu ALLAH. Ya, penulis yakin semua umat Islam punya impian menjadi tetamu ALLAH di Makkah. Moga kita berpeluang mengerjakan haji di Makkah sebelum mata terpejam rapat, sebelum roh terpisah dari jasad, sebelum segala-galanya terlambat, sebelum malaikat maut datang menjemput.

Mari kita baca puisi yang pernah penulis nukilkan dalam blog ini suatu ketika dulu bertarikh 24 Oktober 2012 http://qalamwardahzinnirah.blogspot.com/2012/10/merindui-untuk-menjadi-tetamu-allah.html. Sungguh penulis pernah menukilkan kata-kata tentang lambaian kaabah pada blognya 1 tahun yang lalu. Apa pun sahabat-sahabat bisa membacanya melalui link ini  http://qalamwardahzinnirah.blogspot.com/2012/10/aku-merinduimutuhan-allah.html

Setakat ini dahulu bicara ringkas penulis untuk hari ini. Moga kehadiran 'post' kali ini terus mengajak hati penulis & sahabat-sahabat untuk mengingati ALLAH. Sungguh indah hidup berlandaskan Islam & cintaNya. kerana pengharapan & kebergantungan penuh pada ALLAH memberi ruang yang besar untuk kita terus hidup tenang, bahagia & bebas dari belenggu manusia. Islam itu mudah & tak pernah menyusahkan penganutnya. Islam itu indah buat yang mengamalkannya. Islam itu sempurna & sebaik-baik agama yang ada di sisi ALLAH. Jadi tunggu apa lagi, ayuh kita hidupkan diri kita dengan mengamalkan segala suruhan ALLAH & meninggalkan segala laranganNya. Ingat ALLAH amat menyayangi diri kita. 

Moga impian kita untuk menjadi tetamu ALLAH di tanah suci Makkah akan termakbul jua berkat doa seluruh umat Islam terutamanya sahabat-sahabat yang membaca blog ini. Doakan senjata umat Islam. Usah risau, usah takut, usah sedih, ingatlah sesungguhnya ALLAH sentiasa bersama kita.

Salam kasih sayang kerana ALLAH & siiru 'alaa barakatillah...


Friday 29 August 2014

Bicara Sang Rama-rama

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH, penulis memulakan tulisan ini selepas lama blog ini menyepi, sunyi dari kata-kata. Mungkin ada yang nak dikongsi tetapi hanya berlegar di imaginasi. Alhamdulillah, dengan namaNya salam Jumaat kareem buat semua pembaca setia blog ini. Terima kasih yang tidak terhingga buat semua insan yang menyokong kewujudan blog yang serba kekurangan ini.

Memandangkan hari ini adalah hari Jumaat, penulis ucapkan salam Jumaat kareem kepada semua sahabat. Moga Jumaat kali ini memberi ruang & peluang kepada penulis & sahabat-sahabat untuk mendekatkan lagi diri kepada ALLAH. Tidak kiralah apapun pangkat kerja kita di dunia, kita tetap sama pada pandangan ALLAH yang membezakan hanyalah TAQWA. Walau berjuta ujian yang kita tanggung, percayalah itu tanda ALLAH amat menyayangi kita. Bersangka baiklah dengan ALLAH.

Izinkan penulis bercerita tentang sebuah kisah yang tentu disukai oleh ramai manusia terutamanya insan-insan yang menghargai kewujudan makhluk ALLAH yang lain. Tentu ramai yang menyukai haiwan bernama rama-rama. Teringat penulis pada salah satu kata-kata sahabatnya tentang rama-rama. “Rama-rama tak pernah tahu warna sayapnya, tetapi orang tahu betapa indahnya dia. Dia juga seperti dirimu, kamu tidak tahu betapa indahnya dirimu, tetapi ALLAH paling tahu betapa istimewanya dirimu di mataNya ketika engkau taat & patuh pada suruhanNya, ikhlas dengan semua yang engkau alami, tersenyum tika saat sukar, tegar dalam ujian, & tetap teguh dalam iman yang engkau miliki. Semoga kalian adalah insan terpilih& terindah di hadapanNya.”

Ya ingin sekali penulis menjadi si rama-rama yang indah bukan hanya luarannya cantik tetapi juga indah dalam hatinya. Pagi-pagi tadi penulis bersama-sama anak muridnya seramai 25 orang sempat menikmati video tentang kitaran hidup rama-rama sambil mendengar suara merdu anak-anak menyanyikan lagu si rama-rama. “Dari ulat jadi kepompong, tidur lena dalam kelongsong, tidak lama kepompong pecah, jadilah rama-rama yang indah, rama-rama terbang merata, sungguh indah aneka warna, hisap madu di taman bunga tapi sayang hidup tak lama.”      
Subhanallah...ciptaan ALLAH Maha Hebat mengatasi akal fikiran manusia. Kehadiran & kewujudan rama-rama bukan sekadar untuk menghiasi bumi & bertasbih pada ALLAH semata, tetapi kehadiran mereka memberi peluang kepada manusia untuk sentiasa berfikir akan kebesaran ALLAH. Biarpun hidup sang rama-rama tidak lama, dia tetap memberi nikmat buat insan yang mencintai keindahannya. Kisah si rama-rama yang indah bermula dari hanya seekor ulat, bertukar dalam kepompong & berubah menjadi rama-rama yang sangat cantik mengingatkan kita pada kisah kelahiran manusia bermula dari bayi, kanak-kanak, dewasa, tua hinggalah meninggal dunia. Kitaran hidup ini adalah sunnatullah yang hakikatnya membuatkan kita semakin mendekat pada ALLAH.

 Jika berpeluang ingin sekali penulis menjejakkan kaki ke taman rama-rama yang dipenuhi dengan rama-rama yang indah & pasti menenangkan jiwanya. Menikmati keindahan alam adalah pengalaman yang paling berharga buat penulis, kerana dengannya penulis dapat merasakan ALLAH sangat dekat denganNya. Tergambar betapa ALLAH sangat menyayanginya dengan mengurniakan pelbagai macam nikmat. Pandanglah rama-rama dengan pandangan kasih sayang dah tentu kita akan temui ketenangan, pandanglah ujian & mehnah dengan pandangan redha sudah tentu akhirnya kita temui titik penyelesaian & tenang dalam membuat keputusan.

Ketepikan dahulu ego kita, jauhkan hati dari buruk sangka kata nak jadi macam rama-rama yang indah & baik dalaman serta luarannya. Rama-rama sangat indah, & tengok ia suka mendekati keindahan iaitu bunga yang cantik. Samalah seperti kita fitrah penciptaan manusia adalah indah & sangat suka mendekati keindahan. Bohong jika kita sukakan keburukan & busuk. Wujudnya rama-rama menghias alam sama seperti manusia kewujudannya menambah seri dunia bukan untuk memusnahkan bumi.


Mari kita tengok puisi apa yang sempat penulis rakam untuk kisah kita hari ini? Puisi bertajuk ‘Bicara Sang Rama-rama’ bakal menghiasi blog kali ini. Jom baca sama-sama!

Dirimu lahir
Menghias keindahan dunia
Menyeri bersama si bunga
Walau mulamu
Penuh kehodohan terselit
Sejuta kecantikan rama-rama

Si cantik rama-rama
Ingin aku terbang
Sebebas dirimu menjelajah alam
Hinggap menghisap madu
Melebar keindahanmu
Walau persinggahanmu sebentar cuma

Dirimu
Kurang mengerti
Adakah aku cantik penciptaanya
Hingga ada mahu menangkapku
Benarkah aku makhluk kecil
Memberi makna manusia memikir
Aku tahu
Mengabdi serta bertasbih padaNya
Tuhan yang menciptaku

Duhai manusia
Kalian bertuah
Lahir punya akal fikiran
Punya kasih sayang
Punya sifat kehambaan
Punya segala-gala
Sedang aku si rama-rama penuh kekurangan
Bakal menempuh saat kematian

Bicara sang rama-rama
Tentang manusia tak pernah henti
Tentang diri bukan memuji
Mahu menjentik hati insani
Memikir semula cinta Ilahi
Tak pernah padam pada makhluk-makhlukNya.

Setakat ini dahulu perkongsian penulis pada hari Jumaat yang mulia ini. Moga memberi manfaat buat diri yang merindui saat bertemu Ilahi. Moga kehadiran artikel ini memberi peluang kepada penulis untuk menelan tazkirah pengisian rohani. Ya ada masa senggang blog ini yang dibukanya. Meneliti kembali apa yang pernah penulis coret dalam blog ini. Sebelum terlupa izinkan penulis ucapkan selamat menyambut tarikh kemerdekaan Malaysia kali ke-57. Moga kemerdekaan ini memberi makna & pengajaran berharga buat kita.

Usah lupa mengucap syukur pada ALLAH yang telah mengurniakan nikmat keamanan pada negara kita, negara Malaysia. Kita masih mampu melakukan segala kerja kita, kita juga masih mampu menikmati kebahagiaan bersama-sama keluarga, bisa bercuti, bisa membuka jendela tanpa ada tujahan bom-bom dari musuh. Usah lupa untuk mengucap syukur padaNya atas segala nikmat & anugerah ALLAH kepada kita semua. Ada masa kita berjumpa lagi pada masa akan datang, insyaALLAH...


Siiru ‘alaa barakatillah. May ALLAH bless all of the Muslim.

Thursday 21 August 2014

Sabar & Redha dalam Kerjaya

Bismillahirrahmanirrahim....

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Salam Jumaat Kareem kepada semua pembaca yang dikasihi kerana ALLAH...

Al-Hamdulillah...syukur padaMu Ya ALLAH, penulis masih punya kesempatan untuk mengukir kata dalam blog ini setelah lama ia sunyi dari kata-kata. Ya kesibukan melanda diri, yalah kini penulis memegang amanah sebagai muaddibah. Tugasnya bukan hanya mengajar anak-anak. Kami seolah-oleh ibu ke dua bagi anak-anak di sini. Bukan nak mengungkit atau mengeluh cuma mahu berkongsi pengalaman betapa sukarnya mahu menjadi seorang guru yang mendidik bukan hanya seorang anak tetapi berpuluh-puluh anak dalam satu masa. Al-Hamdulillah Ya ALLAH Engkau telah memberi penulis peluang merasai bagaimana perasaan ibu mengurus anak-anak, terima kasih ya ALLAH kerana memberi ruang kpd penulis untuk merasai manisnya punya anak-anak yang ramai walaupun belum tiba masanya. 

Sungguh jujur penulis katakan kerja & amanah sebagai muaddibah ini mengajar penulis sabar & ikhlas dalam perjuangan pendidikan anak-anak. Untuk kali ke-2 penulis kehilangan suaranya, tapi dia cuba untuk sabar bila tengok anak-anak ini bahagia bermain bersama-sama. ALLAHURABBI besar sungguh pengalaman yang Engkau anugerahkan kepada penulis. Hanya ketika ini penulis terbuka hati untuk mengisi blognya yang dah lama sunyi. Mungkin dirasakan pengalaman ini sangat manis & pahit untuk ditelan dalam kehidupannya. Mungkin juga gelagat anak-anak yang sangat membahagiakan hatinya membuatkan penulis terpanggil bercerita tentang tugas sebagai muaddibah.

Agak penat tetapi menyeronokkan bila kita letak ALLAH di hadapan. Apa-apa yang berlaku ALLAH akan tolong. InsyaALLAH. Penulis cuba untuk meneruskan amanahnya sebagai muaddibah dengan sebaik mungkin sebab ini adalah amanah ALLAH, walau perlu berpenat lelah tidak mengapa asal diri mampu menjadi salah satu penyumbang kepada pembentukan peribadi anak-anak muslim. Sikit pun jadilah, daripada tak buat langsung.

Melihat kejernihan wajah anak-anak yang sedang lena dibuai mimpi penulis tersenyum sendiri. Kemarahannya lenyap terus setelah memerhati  mereka. Walau senakal mana mereka, anak-anak ini tetap menjadi amanah kami. Cuba untuk ikhlaskan hati dalam mendidik anak-anak sekali gus mendidik diri.Tiba-tiba merindui insan2 kecil yang hidup dalam kamus hidup penulis!







Kerjaya yang memungkinkan penulis berjauhan dengan keluarga tersayang. Dek kerana itu rindu sentiasa bermain di dada penulis. Cukuplah gambar-gambar ini menggambarkan betapa rindunya penulis pada mereka. Ya, kerana perjuangan harus penulis tabah & ikhlaskan hati.Tetiba penulis terjumpa satu puisi yang direka dah lama dalam fail 'notebooknya'. Ya, mungkin memberi pengajaran buat semua. Jom hayati bersama!

Mehnah Sang Mujahidah

Pagi itu
Menjadi saksi
Pengabdian seorang hamba abdi
Tekunnya menghayati
Setiap bait-bait dari Ilahi
Air matanya menangisi
Dosa noda yang bertakhta di hati.

Hidupnya
Di curah demi ketinggian Islam
Dipenuhi duri tajam
Diharungi penuh kesabaran
Demi mengejar mardhatillah
Dunia dan akhirat

Hati itu rupanya
Di cucuk dek senjata tajam
Di tabur bermacam tohmahan
Di tikam dek berbagai persoalan
Diulit rasa kesedihan
Di sibuk dek berbagai taklifan
Biar pada akhirnya
Kalimah Tuhan
Menutur laju tanpa paksaan
Jadi teman paling setia disisi.

Hidupnya
Bersulam dengan ujian
Hidupnya
Berperang dengan kemungkaran
Hidupnya
Bersemi dengan keimanan
Jasadnya
Diabadikan untuk Tuhan

Itulah mehnah sang mujahid perindu cinta Tuhan.

Saturday 16 August 2014

Muaddibah Kerjaya Pertamaku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah, penulis masih berdiri di bumi ALLAH...masih dapat menghirup udara Islam sekelilingnya...masih punya kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan cabaran. Al-Hamdulillah, nikmat Islam & iman tersemat kemas di hati bukan hanya Islam di I/C mesti perlu Islam keseluruhan mukmin sejati.

Kali ini penulis suka berkongsi tentang situasi yang di hadapinya sekarang. Ya mungkin boleh memberi pengajaran kepada diri ini yang lemah & hina selain memberi gambaran kenangan kepada generasi-generasi penulis akan datang bagaimana kehidupan nenek moyangnya dulu. Sekarang dia bergelar muaddibah atau dengan kata lain pendidik di Negeri Sembilan bumi bernilai. Di sini penulis memulakan langkah sebagai mahasiswi universiti. Di sini penulis kenal banyak perkara baru dalam kehidupannya.

Kali ini dia kembali ke bumi bernilai bukan sebagai mahasiswa semata tetapi sebagai bakal graduasi universiti mencari sedikit pengalaman untuk di bawa bekal dalam kehidupan. Muaddibah kerjaya pertama penulis bersama-sama dengan 3 orang sahabat satu universiti. Seronok bergelar sebagai muaddibah atau pendidik dalam tempoh ini. Berhadapan dengan pelbagai ragam anak-anak yang comel berumur seawal usia 4 tahun hingga 6 tahun.

4 tahun di universiti banyak mengajarnya menjadi manusia yang bukan hanya memikirkan keperluan & urusan sendiri tetapi juga memikirkan situasi masyarakat sekeliling. Setelah hampir seminggu berada di sini & mendapat gelaran muaddibah penulis & sahabat-sahabat sekerja mendapat taujihat serta tausiyat daripada senior di tempat kerja kami.

Mari kita teliti apa kata-katanya hingga penulis bertekad mahu menghabiskan masanya selama 3 tahun di sini. InsyaALLAH itupun jika ALLAH memberinya kesempatan tersebut. Pendidikan yang mahu di bina di pusat asuhan ini bukan hanya pendidikan biasa tetapi pendidikan yang berteraskan matlamat membina peradaban manusia. Dek kerana itu bukan gelaran cikgu, ustazah, atau ‘teacher’ yang digunakan  di sini tetapi gelaran muaddibah untuk mereka yang mengajar di sini. Muaddibah ini bertujuan mendidik hingga melahirkan pelajar-pelajar yang beradab dalam kehidupan mereka.

Beberapa isi penting yang sempat dirakam oleh penulis semasa mendengar taujihat daripada seniornya antaranya seperti berikut:

1) Pesanan untuk muaddibah menjaga hubungan baik dengan ibu bapa & sahabat-sahabat sekerja.

2) Sebenarnya kerja muaddibah ini adalah salah satu kerja untuk para muaddibah melatih diri berorganisasi.

3) Mengamalkan konsep saling membantu & bekerjasama dalam setiap kerja yang di amanahkan oleh ALLAH.

4) Muaddibah yang ada adalah PILIHAN ALLAH untuk menyambung perjuangan Islam dalam dunia pendidikan. Ini kerana pendidikan awal kanak-kanak bakal membentuk peribadi muslim yang sebenar.

5) Adab pergaulan & ikhtilat perlu dijaga untuk memelihara keindahan Islam.

6) Pesanan terakhir & penting adalah MELETAKKAN ALLAH DI HADAPAN DALAM SEMUA PERKARA YANG DIHADAPI OLEH SETIAP INDIVIDU MUSLIM.

Ya inilah penangan bila kita meletakkan ikhlas kerana ALLAH dalam perjuangan, segala-galanya baik bagi diri kita. Sungguh kata-kata sahabatnya membekas di hati, paling berbekas bila mana sahabatnya menyebut letak ALLAH di hadapanmu.

Dalam keasyikan meneliti setiap bait kata nasihat sahabat penulis mendengar beberapa isi matlamat kewujudan pusat asuhan ini. Pertama, anak-anak yang dididik di sini mestilah boleh berbahasa Inggeris & bahasa Arab. Ke dua, anak-anak mestilah dalam proses pendidikan berterusan iaitu membentuk mereka mempunyai adab yang baik. Ke tiga, anak-anak & muaddibah mesti mengamalkan salam kepada semua orang. Ke empat, menonjolkan kewibawaan & bakat-bakat baru dalam kalangan anak-anak didik muaddibah seperti petah berbicara, aktif dalam pertandingan kalam jamai’e, nasyid, syarahan, bercerita & sebagainya.

Nasihat yang sangat membekas di hati penulis hingga membuat dia tersentap seketika ialah, muaddibah belajar menjadi ibu sebelum menjadi ibu. Ya, kami berdepan dengan anak-anak yang ramai & sudah tentu mempunyai pelbagai ragam. Kami perlu melayan mereka dengan kasih sayang tetapi terselit ketegasan. Segala tindak-tanduk kami menjadi tontonan & ikutan anak-anak yang comel ini. Sangat bahagia bersama-sama dengan kanak-kanak yang suci dari dosa, tidak pandai menipu dalam kata-kata, suka sangat berterus terang, suka bercerita & mahu di ambil perhatian.

Muaddibah yang membentuk peribadi anak-anak ini. Al-hamdulillah penulis belajar mendidik anak sebelum dia bakal bergelar isteri & ibu, sekurang-kurangnya pengalaman  ini memberi gambaran awal kepada penulis tentang kehidupannya nanti. InsyaALLAH, akan ditajdid niat keberadaan penulis menjadi muaddibah di sini. Dia punya matlamat & impian tersendiri. Jika berkesempatan nanti kita bercerita pula tentang impiannya. Buat masa ini penulis ingin sekali  membantu ibu bapanya dari sudut kewangan dek kerana itu dia mahu bekerja walau terpaksa berjauhan dengan keluarga. Namun, niat utamanya agar dia tidak terus senyap dalam perjuangan Islam ini. Jika jalan ini yang memberi penulis ruang untuk terus berjuang & berjuang hidup dalam perjuangan Islam, jalan ini yang penulis terima & kenan redha serta ikhlaskan hati. Sungguh hatinya takut untuk menghadapi harinya yang mendatang sebagai muaddibah. Muaddibah bukanlah tugas yang mudah membentuk anak-anak menjadi manusia yang beradab & mengamalkan Islam dalam kehidupan.

Penulis terpanggil untuk meluahkan rasanya dalam bentuk bait kata indah bernama puisi. Mungkin dengan cara ini sahabat-sahabat pembaca boleh menghayati & menelusuri kehidupan penulis sebagai muaddibah baharu. Karya bertajuk, “Tingkah Sang Pendidik” bakal menghiasi ‘entri’ kali ini:

Kasih sayangmu
Mencurah melimpah anak bangsa
Bangga melihat keberadaannya
Bahagia menuntut keperitan
Menduga iman nan menggugah
Tingkah sang pendidik

Pendidik itu
Ibarat sang mentari
Terus memberi sinaran
Terus menyumbang kejayaan
Walau perit menelan
Duri tajam datang menikam

Kini
Baru ku mengerti
Harus bagaimana tingkah pendidik
Membimbing insan cerdik
Bukan hanya akal malahan rohani
Mencorak ketinggian budi bangsa
Berkorban itu lumrahnya
Sabar itu senjatanya
Penyayang itu sifat zahirnya
ALLAH itu kekuatannya
Tegas itu tersirna disebalik kelembutannya

Tingkah sang pendidik
Tak pernah patah berjuang
Melahir anak bangsa cemerlang
Berpaksi pada Tuhan
Hidupnya penuh duri
Dilalui tanpa keluhan
Tersemat kemas
Matlamat menuju ALLAH
Memberi terus memberi
Buat kesejahteraan ummah

Penulis tinggalkan sahabat-sahabat pembaca dengan puisi di atas moga memberi manfaat buat insan yang mendambakan keredhan ALLAH dalam kehidupannya. “Just go through what happen to me now, even though it is so hard to accept it.” Setakat ini dahulu coretan perkongsian penulis dalam blog untuk hari ini. Penulis doakan moga sahabat-sahabat pembaca blog ini sentiasa dilimpahi kasih sayang & dianugerahkan HIDAYAH ALLAH dalam kehidupan agar hidup kita sama-sama terpandu dalam Islam. Biarlah indah kita dengan Islam, biarlah cantik kita dengn hiasan akhlah Islamiyyah.


Siiru ‘alaa barakatillah...


Tuesday 12 August 2014

Cahaya Sang Mentari

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...dengan kuasa ALLAH penulis diberi nafas yang panjang menikmati nikmat terbesar dalam kehidupannya sebagai muslim iaitu nikmat iman & Islam. ALLAH Maha Besar kuasanya mengatasi kekuatan & kekuasaan hambaNya.

Al-Hamdulilllah kesempatan hari ini penulis nak bercerita tentang alam ciptaan ALLAH Yang Maha Hebat. Dah lama penulis tidak memerhati alam terutamanya, pantai, air terjun, hutan, kehijauan & kebiruan alam yang sangat mengasyikkan & membuat fikiran berfikir tentang alam. Rindu pada keindahan alam yang sangat menenangkan. Menghilang dari tekanan hidup. Hari ini kita nak bercerita tentang matahari. MATAHARI makhluk ciptaan ALLAH yang sangat berguna untuk alam.

Malam ini penulis tak nak bercerita panjang mungkin boleh kita ekspresikan setiap bait kata dalam bentuk puisi. Puisi kata indah yang sangat mudah untuk di bina bila ada minat & ilham dari ALLAH. Jom kita hayati puisi tersebut yang bertajuk ‘Seni Sang Mentari’.

Matahari
Cahayamu menerangi alam
Tersirna keagungan Tuhan
Melangkau pelusuk bumi
Menyimbah kepanasan menghias alam
Bersama cahaya bergemerlapan

Matahari
Inginku tiru dirimu
Memantul cahaya pada semua
Walau diri panas terbakar
Mewarna kehidupan manusia
Walau diri terkorban akhir
Anugerah matahari tiada taranya

Duhai muslimah
Berlagaklah seperti matahari
Cahayanya mampu menunduk pandangan
Mampu mencair hati yang kering
Memberi harapan buat ummah
Tanpa cahayanya gelaplah dunia
Tanpa matahari dunia hilang seri

Matahari
Ciptaan ALLAH Maha Agung
Kehadirannya bukan menyeksa
Bukan hanya memanas dunia
Kehadirannya bersemi hikmah
Buat hambaNya mendekat pada ALLAH
Buat khalifahNya jauh merenung
Merenung kebesaranNya

Matahariku
Tetaplah engkau di situ
Berjasa pada penduduk
Hingga nanti ALLAH memanggilmu
Berhenti melaksana tugas muliamu
Kembali pada Tuhan

Setakat ini dahulu coretan penulis untuk hari ini, moga memberi manfaat pada ummah. Moga kita sentiasa tidak lupa untuk memerhati & berfikir tentang alam. Mohon maaf atas kekhilafan untuk ‘post’ kali ini. Gayanya ringkas hanya mahu menyampai hasrat di hati mahu terus menikmati keindahan alam ini. Alam ALLAH banyak mengajar penulis untuk terus bersyukur dengan nikmat & musibahnya.

Siiru ‘alaa barakatillah...

Monday 11 August 2014

Puisi Buat Adam


Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-hamdulillah...Ya ALLAH penulis masih punya kesempatan ini...kesempatan untuk terus mengisi blog kesayangan penulis yang pasti banyak menyedarkan hati tentang nikmat & musibah yang ALLAH kurniakan kepadanya. Kesempatan untuk terus bergelar sebagai muslimah hingga akhir hayat hidupnya di dunia. 

ALLAHUAKBAR...Banyak peristiwa & momen yang berlaku sepanjang blog ini sunyi dari kata-kata & mainan jiwa. Mungkin sebab itu blog ini senyap seketika, namun kehadiran musibah & ujian ALLAH tak pernah mematahkan semangat penulis untuk terus menulis walaupun dikata orang dia banyak bermain dengan jiwa, banyak cerita tentang dirinya, banyak membuka kisah sendiri...tapi inilah hakikat kehidupan. Al-Hamdulillah, penulis dah dapat kerja sebagai pendidik untuk tempoh 3 tahun perancangannya berkerjaya sebelum berhasrat menyambung pelajaran peringkat 'master' pada umur 27 tahun. Apa pun ALLAH lebih hebat perancanganNya.

Baiklah, mari kita tengok apa cerita blog kita hari ini? Rasa janggal pulak dah lama tinggalkan blog, jadi hati terdetik nak tengok blog yang tak di 'update'. Selepas agak lama membelek 'folder' dalam 'notebook' kesayangan penulis yang banyak sangat berjasa, terjumpa dengan satu puisi dari iLuvIslam  yang sangat menarik untuk dikongsi bersama. Yalah agar kita muslimah tetap boleh menjaga sifat muslimahnya & agar muslimin tetap boleh memelihara sifat musliminnya & mengelakkan diri dari bahaya zina.

Mungkin agak sensitif bagi sesetengah orang bila mula membaca puisi ini tapi sedarlah wahai muslimin & muslimat sekurang-kurangnya kehadiran puisi ini akan menyedarkan kita betapa pentingnya menjaga & memelihara maruah diri kita. Ingat kembali apa tujuan kita hidup? Renung kembali bagaimana cinta kita kepada ALLAH? Kita sibuk mengejar cinta manusia sedangkan cinta ALLAH entah ke mana....kijar dulu cinta ALLAH, InsyaALLAH cinta yang lain akan menyusul. Sucikan cinta kita daripada noda & dosa agar boleh dibawa cinta berteman sampai ke syurga.

Adam...
Kalau kami tidak membalas salammu, kami dikatakan sombong,
Kalau kami diam apabila ditanya, dikata berlagak pula,
Kalau kami tidak senyum kepadamu, dipanggil poyo,
Kalau kami tidak membalas smsmu, dikatakan kerek.


Adam...
Perempuan bagaimanakah yang engkau mahu jadikan isteri?
Adakah seorang perempuan yang dengan senang hati memberi salam kepada semua lelaki?
Atau perempuan yang melunakkan suara apabila bersuara?
Serta perempuan yang murah senyum dan tawanya untuk semua?
Ataupun...
Perempuan yang sentiasa berkepit dengan telefonnya,
Tidak hirau sekeliling semata-mata meluangkan masa untuk bersms denganmu?
Begitukah calonmu wahai Adam?

Ketahui wahai Adam,
Sesungguhnya, perempuan itu manja,
Suka dibelai, Suka dikasih,
Namun, Adam...
Tahukah kamu apa erti batas pergaulan?

Janganlah sewenang-wenangnya engkau memanggil kami sombong, berlagak, poyo atau kerek.
Kerana...
Kami begitu untuk menjaga aib kamu,
Membantu kamu menghindari diri dari belengu dosa,
Menjauh dari kehinaan,
Kerana kami merupakan fitnah dunia,
Fitnah bagi kamu.

Adam...
Kami ini insan yang lemah,
Janganlah kau cemar iman kami,
Janganlah kau rosakkan mujahadah kami,
Janganlah kau kotori kasih dan cinta kami pada Ilahi,
Kerana kami sedang berperang melawan nafsu,
Sedaya upaya menahan diri daripada godaanmu.

Adam...
Andai kau kasih dan sayang pada kami,
Andai kau mahu membela nasib kami,
Andai kau mahu perempuan solehah menjadi suri dalam taman hati,
Ibu kepada bakal pejuang agama,
Doalah buat kami,
Doalah jua buat dirimu,
Agar ada redha Allah dalam setiap amalanmu dan kami...


Kerana Adam adalah pembela kami.
 (ARTIKAL ILUVISLAM)
Setakat ini dahulu perkongsian penulis pada malam ini, moga memberi manfaat pada ummah...moga menjentik hati kita untuk terus mencintai ALLAH.... Siiru 'alaa barakatillah...
Jadilah seperti ini ya...bahtera perkahwinan menjanjikan keredhaan ALLAH...

Moga bahtera cinta kak Amal & suami berkekalan hingga ke syurga abadi. Ameen.