Wednesday 6 August 2014

Warkah Buat Dia

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...Ya ALLAH kasih sayangMu sekali lagi membangunkan penulis dari tidur yang lena. Bangun & sedar dengan menyebut namaMu Ya ALLAH. Ucapan syukur tak pernah lekang di bibir ya kerana dua nikmat terbesar ini iaitu nikmat Islam & iman yang sentiasa memberi cahaya & jalan kepada penulis untuk terus melangkah dalam setiap keputusan yang dilakukannya. Harapannya sahabat-sahabat juga seperti itu.

Limpahan kasih sayangNya mengajar penulis untuk terus menghargai setiap detik kehidupannya walau terkadang pahit untuk ditelan. Bukan hanya pahit tetapi berat untuk dilaluinya, hanya kebergantungan kepada ALLAH bisa membuat langkah penulis tak pernah berhenti dalam menghadapi ujian dariNya. Hubungan dengan ALLAH yang erat memaniskan perjalanan hidupnya sebagai muslimah. Bukan nak kata penulis blog ini sempurna, tidak sesekali. Penulis blog ini juga manusia biasa.

Cuma hubungan dengan ALLAH menjadikannya lebih kuat dalam hidup ini. Masih basah di ingatan penulis bagaimana pesan ayahnya, “Hidup di dunia ini kita kena kuat & sabar. Bila ada sahaja ujian datang bertimpa-timpa ingat, ALLAH menguji hambaNya kerana ALLAH nak kita dekat denganNya bukan ALLAH nak bagi bebanan kat kita.” Dek kerana itu penulis sentiasa perhatikan watak ayahnya yang apa pun yang ayah buat mesti ada ALLAH, ayah kuat setiap kali ujian datang padanya. Hidup ayah tak pernah sunyi dari musibah, daripada kecil hilang kasih sayang ibu ayah hinggalah tua sering sakit, namun apa ayah buat? Dia sabar & redha, semangatnya tinggi.

Baik, hari ini nak bercerita tentang ‘Warkah Buat Dia’. Warkah dengan kata lain surat. Buat dia untuk siapa? Ya untuk bakal pendamping penulis yang bergelar suami. Suami yang punya matlamat membawa keluarga hingga ke syurga. Moga memberi inspirasi kepada muslimah-muslimah di luar sana yang mendambakan seorang suami yang bertanggungjawab & beragama. Moga memberi jentikan hati pada muslimin-muslimin di luar sana yang mendambakan seorang isteri yang penyayang & memahami tingkah si pejuang agama. Mari baca warkah di bawah!

Aku hanya perempuan yang lemah. Fitrahnya mahu mencintai & dicintai. Namun aku tidak mahu ambil jalan mudah terjebak dengan cinta monyet & ‘couple’ semata kerana aku tahu ALLAH melarang aku menghampiri zina...bukan jalan ini yang aku ambil untuk berada dalam keredhaan ALLAH... aku menjaga diriku untuk seorang lelaki yang aku panggil suami & amaran ALLAH ‘jangan hampiri zina’ sentiasa menghantui aku...

Ya ALLAH andai aku diberi pilihan memilih Islam atau suami sudah tentu aku memilih Islam. Jika kehadiran suami akan menambahbaik laluanku dalam perjuangan Islam ini, aku terima kehadirannya Ya ALLAH. Ini kerana aku berkahwin bukan pada rupa @ hartanya tetapi pada KEINDAHAN & PERJUANGAN ISLAM yang terpamer pada dirinya...

Andai ditakdirkan aku tidak punya jodoh di dunia ini, aku redha Ya ALLAH, kerana aku lebih mengharap pertemuan di syurgaMu yang lebih indah...

Bila kehadirannya hanya mendatangkan keburukan pada aku & dirinya, jauhkan kami Ya ALLAH agar kami bisa menjaga maruah & agama kami terpelihara. Aku tidak mahu menjadi fitnah pada Islam...agama yang aku cinta...

Antara dua hati, hati mana yang harus aku jaga Ya ALLAH? Aku tidak mahu melukai mana-mana hati kerana aku tidak mahu dibenci olehMu Ya ALLAH. Takdirkanlah yang terbaik untukku & dia Ya ALLAH...

Andai istikharah itu melahirkan ketenangan dalam kehidupanku biarkan sahaja aku leka dengan cintaMu Ya ALLAH. Cinta yang abadi kekal hingga ke syurga firdausi...

Membina rumah tangga & perkahwinan itu bukan perkara yang mudah, bukan semudah kalian mengucap kata cinta...ia butuh kekuatan hati, kekuatan cinta pada Rabb, persiapan mental, fizikal & rohani. Membina keluarga yang mendapat keredhaan ALLAH bukan semudah aku membina mahligai di dunia...

Bila kehadiranku MENGANGGU hatinya, tidak membawa KEBAIKAN padanya,maka Kau pisahkanlah kami biarpun kami terluka...

Aku punya matlamat & impian ke bintang mahu melahirkan generasi-generasi yang menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w, yang kuat bisa meneruskan perjuangan Rasulullah UNTUK MENYEBARKAN ISLAM KEPADA SEMUA MANUSIA...jadi bila impian setinggi bintang, kena laksana sampai cemerlang. Bukan sekadar ibarat melepas batuk di tangga terus jatuh kecundang...

Bila aku TIDAK LAYAK dan bukan yang terbaik untuknya..maka Kau jauhkanlah aku darinya..

Bila bukan aku yang TERTULIS untuk melengkapkan separuh dari agamanya, maka JARAKKAN kami agar tidak timbul rasa yang mengundang KECEWA…

Pesanan terakhirku dalam ‘Warkah Buat Dia’ usah sibuk MENCARI siapa yang terbaik untuk menghiasi bahtera perkahwinan aku, tetapi cubalah MENJADI yang terbaik dalam kalangan muslimin @ muslimat yang ada...

...kerana ketahuilah, ajal maut, rezeki & JODOH pertemuan itu adalah rahsia ALLAH. Jodoh memang kita boleh usaha cari tapi ALLAH sebaik-baik perancang. Allah dah tentukan yang terbaik untuk setiap hambaNya, usah risau...

Aku bukanlah manusia yang sempurna cuma mengharap perkahwinan yang bakal terbina menyempurnakan keimanan & menambah cintaku pada ALLAH yang menciptakan CINTA.

Setakat ini sahaja coretan hati luahan rasa penulis untuk 11 Syawal 1435H. Mohon maaf atas segala kekhilafan dalam ‘post’ kali ini yang mungkin merobek rasa pembaca sekalian kerana ia hanya luahan rasa yang mahu dikongsi penulis dalam blog kesayangannya. Moga hati kita terus terisi dengan cinta ALLAH. Usah leka benar kita dengan cinta manusia kerana cinta manusia tak kekal lama yang kekal adalah cinta ALLAH Yang Esa.


Siiru ‘alaa barakatillah. Biitaufiq wannajah ♡♡♡


No comments:

Post a Comment