Tuesday 5 August 2014

Dendang Lebaran

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...dengan izinNya penulis masih meneruskan penulisannya di blog ini. Ucapan syukur tidak terhingga kepada ALLAH kerana telah mengurniakan iman & Islam yang sentiasa menghiasi kehidupan penulis dan sahabat-sahabat. Anugerah terindah bergelar seorang muslim, jadi tidak salah untuk kita sentiasa mengucapkan syukur kepada ALLAH. Tidak dilupa selawat & salam kepada baginda s.a.w yang telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Namun usah sedih, kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap umatnya tak pernah putus.

Salam 10 Syawal 1435H bersamaan 6 Ogos 2014M. Sedar atau tidak kita telah melewati bulan Ogos, penggal akhir tahun untuk tahun 2014. Bulan Ogos terkenal dengan bulan kemerdekaan Malaysia 31 0gos 1957. Bukan bulan kemerdekaan yang ingin penulis ceritakan hari ini, penulis sebenarnya nak bercerita tentang bulan Syawal, bulan di mana kita menyambut hari raya Aidilfitri.

Tak banyak yang penulis kongsikan tentang suasana lebaran di kampung, cukup untuk penulis nyatakan di sini, lebaran di kampungnya tahun ini serba sederhana. Makanan utama hari raya kami di Kelantan jika mengikut adat keluarga kami adalah nasi dagang. Nasi yang berlauk ikan gulai kuning ataupun udang masak gulai bersamanya ada telur, & sambal. Tentunya sedap kerna ia masakan utama mama ketika hari raya pertama. Tak ketinggalan ketupat, tapai, & beberapa jenis biskut serta kuih muih yang lain. Paling penulis suka adalah kek. Kek adalah kuih yang sangat sedap aneka kek dibuat oleh mama kerana dia tahu anak-anaknya sangat suka makan kek.

Al-Hamdulillah hari raya tahun ini penulis masih diberi kesempatan menziarahi rumah saudara maranya di samping memenuhi undangan majlis perkahwinan sahabat. Ramai saudara penulis tidak menyangka dia telah tamat pengajian & hanya menunggu tarikh konvokesyennya. Maklum sahaja anak perempuan ini jarang menjengah ke rumah saudara maranya kecuali di bawa oleh mama ketika berhari raya. Dek kerana itu, hari raya pertama kami sekeluarga tidak lekat di rumah. Kerjanya singgah rumah saudara mara yang masih hidup. Saling kenal-mengenali bertegur-sapa, berbual-bual mesra berkongsi cerita. Penulis suka suasana tersebut terutamanya bila ada kanak-kanak yang menghiasi kemeriahan hari rayanya. Tak puas dia menyakat kanak-kanak tersebut.

Tahun ini kami sekeluarga tak berkesempatan bergambar hari raya memandangkan penulis terlupa membawa kameranya. Kamera tinggal kat rumah, jadi memang tak ambil gambarlah. Simpan sahaja kenangan tersebut di lubuk hati paling dalam kerana kenangan berhari raya bersama-sama keluarga adalah kenangan paling indah sepanjang hayatnya.

Di kesempatan ini penulis nak cerita sikit, alhamdulillah ‘English Test’ yang terpaksa di ambilnya telah melayakkan dia menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana muda dalam Fakulti Pengajian Bahasa Utama bidang Bahasa Arab & Komunikasi dengan kepujian. Keputusan peperiksaan tersebut dah keluar. Sekarang tunggu detik 15 &16 November 2014 untuk dia bergelar graduasi universiti. Berkat doa semua terutamanya ibu ayah & sahabat-sahabat serta mungkin insan yang dalam diam mendoakannya, dia memperoleh kejayaan ini. Terus mendoakan kejayaan penulis & sahabat-sahabat satu ‘batch’ dengannya berjaya menerima segulung ijazah di Hari Konvokesyen nanti. Ameen, InsyaALLAH. Berkeinginan membawa mama & ayah merasai bagaimana perasaan bila puteri sulungnya menggengam segulung ijazah.

Kalam hari ini tidak terhenti di sini sahaja, sebenarnya penulis sempat merekayasa sebuah puisi bertajuk, ‘Dendang Lebaran’. Jadi apa kata kita baca dulu bait kata indah ini! Puisi sebagai pengganti karangan yang panjang-panjang. Tentu kalian bosankan asyik menghadap blog QalamWardahZinnirah yang berjela dalam bentuk karangan. Jadi kita tukar selera sekali-sekala memandangkan tulis puisi ini antara hobi & minat penulis. Tak susah pun nak tulis puisi ini hanya butuh ilham & kekuatan serta kesungguhan, dah siap satu puisi seperti di bawah:

Datang duhai Syawal
Meninggal kenangan Ramadhan
Menangisi kepergian berpuasa
Meratapi keindahan beribadah

Hadir Syawal padanya
Pelengkap utama Ramadhan
Padanya ada bahagia
Padanya ada kemaafan
Padanya ada kasih sayang
Padanya ada kemenangan

Dendang lebaran
Menunjuk si menang
Bertambah ketaqwaannya
Menyerlah si kalah
Tenggelam bersama nafsunya
Kalah menang
Terzahir di akhir perjuangannya

Syawal
Hadirmu memberi seribu makna
Pengikat kasih sayang keluarga
Kenangan manis tercipta bersama
Menambah ukhuwwah sesama saudara

Usah terlupa
Dalam leka meraikan Syawal
Dalam senang menyambut lebaran
Ibadahmu usah ditinggalkan
Insan istimewa turut diraikan
Sebarkan kebahagiaan
Sebarkan kebaikan
Kepada semua insan
Kerna di hari lebaran
Semua berhak menikmati
Kemenangan bersama Tuhan

Dendang lebaran
Di pagi Syawal
Indah bersalut keredhaan Tuhan
Manis berbekal keimanan
Ceria bersama hubungan insan


Baiklah, setakat ini dahulu perkongsian penulis untuk hari ini. Moga ALLAH sentiasa berada di ingatan kita walau apa pun yang terjadi & bakal berlaku nanti. Moga ‘post’ ini memberi manfaat & kebaikan pada ummah. Siiru ‘alaa barakatillah...

*Mohon maaf buat masa ini 'post' penulis tidak mempunyai sebarang gambar kerana masalah teknikal rangkaian internet. Mungkin pada masa akan datang ada di hias bersama-sama gambar supaya pembaca tak hanya meneliti perkataan semata. Terima kasih atas sokongan semua.

No comments:

Post a Comment