Saturday 24 June 2017

Selamat Hari Lebaran 1438H

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan nama ALLAH penulis masih berkesempatan untuk meneruskan penulis blog ini. Al-Hamdulillah syukur dan pujian untuk segala nikmat yang ALLAH kurniakan pada hambaNya ini. Bulan Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya untuk tahun 1438H ini. Sedih, sayu semua perasaan ini bercampur baur melahirkan rasa yang entah bagaimana mahu diungkapkan. Ramadhan datang seolah-olah dalam sekelip mata perginya dalam keadaan sedetik cuma. Pejam celik dah sampai penghujung Ramadhan. Esok lusa dah nak raya eidulfitri. 

Al-Hamdulillah Ramadhan tahun 1438H ini penulis berkesempatan menyambutnya dengan kehadiran cahaya mata buah hati pengarang jantung puteri sulung bernama Nur Khadijah Zulaikha binti Noriskandar. Al-Hamdulillah tahun lepas berpuasa dan beraya berdua kini bertambah tiga orang sangat berbeza suasananya. Moga Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Ramadhan yang pergi sangat memberi kesan pada hati penulis dirasakan seolah-olah kehilangan separuh jiwanya. Ramadhan tahun ini benar menyentuh hatinya tambahan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menjaga anak perempuannya yang punya pelbagai ragam. Hujung bulan ini cukuplah 6 bulan Nur Khadijah Zulaikha dibesarkan oleh mama baba dan 6 bulan juga dia melihat dunia yang penuh fatamorgana ini. Al-Hamdulillah Ya ALLAH terima kasih atas anugerah terindah ini walau terkadang dia sering menguji kesabaran mama.


Di kesempatan yang ALLAH berikan ini, izinkan penulis mencoret kata ucapan Selamat Hari Raya Eidulfitri Maaf Zahir dan Batin terutama untuk keluarga tersayang nun jauh di bumi serambi Makkah. Sungguh penulis sangat merindui kalian dan penulis tak kan pernah sesekali lupa setiap detik kita pernah bersama sama ada dalam keadaan duka atau bahagia. Kalian mencoret kanvas hidup penulis sebelum penulis punya suami dan cahaya mata. Kalian sangat berharga untuk penulis kerana kalian pernah mencoret pelbagai rasa dalam kehidupan penulis sebelum ini dan sekarang. Ingatlah walau kita hidup berjauhan, doa dan Al-Fatihah tak pernah penulis putus hadiahkan untuk kalian keluarga tersayang. Setiap kali Syawal tiba, penulis tak pernah lupa kenangan bagaimana kita menyambut 1 Syawal. Ayah dan ma pasti akan sentiasa membawa kita ke masjid bila tiba 1 Syawal. Lepas tu kita ziarah kubur nenek dan atuk. Kemudian terus kita pergi beraya ke rumah saudara-mara. Hari raya seterusnya kita tinggal kat rumah je tunggu tetamu datang beraya pulak. Tak pun kalau takde orang datang kita tengok tv sama-sama masa tu kita dah jelajah semua rumah saudara-mara. Salam rindu di perantauan.



Tak dilupa ucapan hari raya ini juga ditujukan kepada keluarga mertua. Al-Hamdulillah...Terima kasih kerana kalian sudi menerima penulis dalam kehidupan kalian. Penulis bersyukur dianugerahkan keluarga mertua yang baik dan penyayang. Kalian sangat baik buat penulis. Kalian sudah penulis anggap macam keluarga sendiri dan sudah tentu penulis doakan yang terbaik untuk kebahagiaan dunia akhirat kalian. Maaf andai banyak khilaf penulis pada kalian sama ada yang tidak disengajakan atau yang disengajakan. Terima kasih sekali lagi kerana sudi menerima penulis blog ini dalam hidup kalian. Maaf andai kewujudan penulis banyak memberi susah dan menambah beban pada kalian. Selamat Hari Raya Eidulfitri buat keluarga mertua. Kalian sangat baik untuk penulis.


Terakhir, ucapan Selamat Hari Raya Eidulfitri ini juga diucapkan khusus untuk semua pembaca blog ini sama ada yang menjadi pengikut setia atau yang sekadar singgah sementara. Maaf andai penulis banyak terkhilaf bahasa. Impian nak jadi penulis suatu masa nanti,mohon doa kalian. Terima kasih kerana menyokong penulisan yang serba kekurangan ini. Moga Syawal yang tiba memberi suntikan semangat kepada kita untuk meneruskan amal ibadah di bulan-bulan seterusnya. Syawal bulan penuh kesyukuran setelah sebulan kita berpuasa dan perbanyakkanlah ucapan syukur dan tahmid kepada ALLAH. Moga kita tergolong dalam kalangan yang sentiasa mengingati ALLAH. Sambutlah 1 Syawal 1438H ini dengan penuh kesederhanaan dan tidak melupakan insan yang dalam kesusahan.

Salam Syawal 1438H... 

Tuesday 6 June 2017

Sanah Helwah Ukhti Mahbubah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ucapan syukur atas nikmat terindah yang ALLAH anugerahkan kepada kita iaitu antaranya nikmat iman dan Islam. Al-Hamdulillah kita telah memasuki bulan tarbiah bulan madrasah Ramadhan. DenganNya kita hidup terpandu. DenganNya kita sentiasa ada tempat bergantung. DenganNya kita bisa menghadapi hidup ini bersama tegar. Al-Hamdulillah, moga nikmat-nikmat ini sentiasa memayungi kehidupan kita. Bertuah dan bersyukurlah kita hidup dalam nikmat iman dan Islam yang hanya dinikmati oleh insan yang benar-benar muslim dan mukmin. Jom, kita mengajak diri kita dan semua manusia untuk mengenal ALLAH! Walau di mana kita berpijak, ingat biar ALLAH yang menjadi segalanya untuk kita.

Andai dihitung nikmat-nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita sudah tentu tidak terkira betapa banyaknya nikmat-nikmat itu. Jadi, ajaklah diri untuk berusaha menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa bersyukur. Biar terkadang kita jatuh hanyut dalam ujian-ujian yang menimpa. Biar terkadang kita tersasar dari landasan ketahuilah ALLAH Maha Penyayang dan sentiasa memerhati kehidupan kita. Ya, kita bukan manusia yang sempurna ada kalanya baik dan ada masa jahat seketika, tetapi itu bukan penghalang untuk kita berubah memperbaiki diri menjadi hambaNya yang lebih baik. Bukan selamanya kita mahu menjadi pengikut syaitan dan bukan selamanya kita menjadi baik.

Al-Hamdulillah...penulis dikurniakan sahabat yang baik di sekelilingnya. Punya sahabat baik juga merupakan satu nikmat. Sahabat-sahabat yang membantunya untuk terus hidup dalam panduan Islam. Inilah antara nikmat yang disyukurinya. Nikmat punya sahabat baik yang sentiasa mengajak kepada kebaikan. Itulah nikmat yang paling membahagiakan dalam hidupnya. Bila terleka, ada yang mengingatkan. Bila jatuh, ada yang membangkitkan. Bila sedih, ada yang meneman memberi semangat kebenaran. Bila gembira bahagia, ada yang sudi berkongsi kebahagiaan ini. Bila tersasar dari landasan, ada yang menariknya kembali ke landasan yang benar.

Tanggal 8 Jun 1990, lahir seorang puteri dalam sebuah keluarga bahagia. Puteri comel ini diberi nama Nor Amira binti Ibrahim. Lahir sebagai anak ke-2 dalam empat beradik. Semuanya perempuan. Nor Amalina binti Ibrahim, Nor Amira binti Ibrahim, Nor Atiqah binti Ibrahim dan yang bongsu Nor Athirah binti ibrahim. Keluarga bahagia ini sangat gembira dan bersyukur di atas kurniaan ALLAH. Anugerah anak perempuan yag sangat berharga, walau ayahnya tahu kelak anak-anak perempuannya akan menjadi milik menantu-menantunya.

Angah Mira.

Dia membesar dengan baik. Pergaulannya terjaga. Menjadi anak solehah buat ibu dan ayahnya. Menjadi sahabat yang baik dan ‘happy-go-lucky’ untuk teman-temannya. Nor Amira bt Ibrahim bersahabat dengan penulis menyulam persahabatan mereka sejak berusia 11 tahun lagi. Belajar bersama-sama sehingga mereka masih bersahabat bila melangkah masuk ke alam remaja di SMU (A) MAAHAD MUHAMMADI (P) PASIR PEKAN, KELANTAN.

Dia seorang yang baik hati, rajin membantu dan sering merendah diri. Perwatakannya yang baik memungkinkan dia diserap masuk menjadi pengawas sekolah bersama-sama penulis blog ini. Bermulalah kepimpinan mereka sebagai pengawas sekolah. Pahit manis dalam persahabatan di era sekolah menengah di telan bersama-sama. Kenangan menjadi pengawas sekolah  bersama-sama Nor Amira Ibrahim dan beberapa orang sahabat lagi  sentiasa terngiang-ngiang di ingatan terutama bila menjelangnya ulang tahun kelahiran Nor Amira Ibrahim.

Kisah persahabatan mereka tidak terhenti setakat itu, bahkan bersambung di alam universiti di mana mereka menyambung pelajaran di universiti tempatan yang sama cuma berbeza fakulti dan bidang. Sorang bidang Quran dan Sunnah. Sorang bidang Bahas Arab dan Komunikasi. Biarpun sibuk dengan tugasan di universiti, mereka masih berhubung seperti biasa sama ada lewat telefon atau berjumpa sesama mereka. Bila tiba alam kerjaya, mereka juga memilih untuk menjadi muaddibah, kerjaya yang sama untuk beberapa tahun lamanya.

Angah Mira dan suami.

Hampir 17 tahun mereka menyulam persahabatan. Tamat belajar di universiti, Nor Amira binti Ibrahim mengambil keputusan untuk menikah. Sahabat mana tak bahagia tengok sahabatnya bakal menamatkan zaman bujang dengan teruna pilihan hatinya. 6 Jun 2015, mereka sah bergelar suami dan isteri. Selamat ulang tahun perkahwinan kali ke-2 tahun duhai sahabat dunia akhirat, Nor Amira binti Ibarim. Moga rumahtangga yang kalian bina kini disirami sakinah mawaddah wa rahmah sentiasa dan kekal bahagia hingga ke syurga. Penulis masih ingat, penulis siap buat video hadiah sempena perkahwinan sahabatnya ini. Tiada hadiah yang berharga mampu penulis berikan cuma hadiah doa dan video mampu disediakan.

 bersama baby iyyadh.

Al-Hamdulillah...berkat kehidupan berumahtangga, Nor Amira binti Ibrahim dan suami dikurniakan cahaya mata penyejuk hati penyeri rumah tangga diberi nama Iyyadh Abdullah Akhtar. Bertambah bahagia mereka punya hero kecil ini. Al-Hamdulillah...dia bahagia. Itu yang selalu penulis doakan untuknya. Kehidupan mereka sentiasa diberkati ALLAH, melimpah dengan rezeki pemberian dariNya. Melimpah dengan kasih sayang kerana ALLAH. Al-Hamdulillah...


keluarga bahagia.

Sanah helwah ke-27 ukhti mahbubah, Nor Amira binti Ibrahim. Sudah 27 tahun dirimu hidup di dunia ini pastinya banyak menabur bakti. Pastinya banyak amal kebajikan yang melimpahi kehidupanmu. Aku sahabatmu. Terima kasih untuk persahabatan kita yang bersulam selama hampir 17 tahun. Ya 17 tahun lama tu. Kini kita berjauhan punya kehidupan tersendiri yang harus diuruskan dengan baik.

Tanggal 8 Jun 2017, cukup sudah umurmu 27 tahun. Pada usia ini, kamu sudah punya anak, suami, dan kerjaya membina keluarga bahagia disirami sakinah, mawaddah wa rahmah. Walau kita berjauhan beribu batu, namun ulantahun kelahiranmu yang ke-27 ini , diriku masih punya kesempatan dan ruang untuk mengucapkan ‘happy birthday, sanah helwah’ padamu, sahabat. Bukan sekadar ucapan hari lahir biasa akan ku nukilkan juga kata bicara pengubat rindu kita berjauhan sebagai pengganti diri yang sentiasa merinduimu sahabat.

Setiap kenangan pahit dan manis yang pernah kita lalui bersama-sama sebagai sahabat sentiasa terpahat indah dan biarlah menjadi bahan bualan anak cucu generasi kita nanti. Indahnya bersahabat bila bersulam kerana ALLAH. Bermula dari diri kita hinggalah ahli keluarga kita, kita saling mengenali antara satu sama lain. Moga ada generasi kita yang turut mewarisi persahabatan ini. 10 Jun 2014, penulis pernah menukilkan ucapan selamat hari lahir buat sahabatnya, Nor Amira binti Ibrahim kali ke-24 tahun dalam bicara santai blognya. Kali ini penulis mengulang ucapan sanah helwah istimewa buat sahabatnya Nor Amira untuk kali ke-27 tahun. Tahun 2017 ini ucapan dengan rentak berbeza mungkin.
Sungguh, penulis blog ini menghargai kehadiran dan kewujudan sahabat-sahabatnya. Walau di mana pun mereka berada, ucapan rindu pada sahabat sentiasa meniti di bibir. Bila rindu pa nak buat, bertanya khabar atau membaca apa-apa dari tulisan mereka di media sosial. Bila rindu AL-Fatihah dihadiahkan pada sahabat moga kehidupan mereka baik-baik sahaja hendaknya.

Nukilan kata bicara pengubat rindu ini penulis hadiahkan buat sahabat yang disayangi kerana ALLAH, Nor Amira binti Ibrahim. Tiada hadiah yang mampu ku beli untuk setiap detik ulangtahun kelahiranmu, harapnya hadiah kata bicara ini mampu menggantikan segala hadiah lain:

Sahabatku tercinta
17 tahun sudah
Kita menyulam ikatan persahabatan
Ukhuwwah kerana ALLAH
Bersahabat sampai syurga
Kita laungkan bersama-sama
Kini usia kita melangkah 27 tahun
Sudah punya keluarga sendiri
Sibuk melayan bahagianya hidup kita
Hingga terkadang kita terleka
Bagaimana rentaknya sahabat kita
Sihatkah dia? Tenangkah dia?
Bahagiakah dia? Sedihkah dia?
Sedang rindu bertamu segera
Membuat kenangan menjelma tiba-tiba

Sahabatku tersayang
Ucapan doa juga Al-Fatihah
Ku kirim lewat rinduku yang menggunung
Mengharap moga ALLAH sentiasa
Memayungi kehidupanmu sekeluarga
Mengharap moga kamu baik-baik aja
Mengharap moga kita tidak sesekali lupa
Kita pernah menyulam tali ini
Menjadi tali ukhuwwah kerana ALLAH

Sahabatku kasih
Selamat ulangtahun kelahiranmu ke-27
Seluruh doa juga kebaikan ku kirim
Buatmu bahagia setiap detik dan masa
Ingatlah ALLAH sentiasa ada bersama-sama kita
Ingatlah kita pernah melakar bahagia sedih bersama-sama
Terima kasih untuk persahabatan ini
Mohon maaf juga untuk semua kekhilafanku.

Saya Rindu Ayah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Mah Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan nama ALLAH penulisan ini bermula. Dengan nama ALLAH penulis dapat lagi bernafas di bumi yang sementara ini. Nafasnya Cuma seketika, hanya menumpang di dunia, bakal menjadi penghuni abadi di akhirat sana. Bertuah kita, lahir sahaja ke dunia ayah melaungkan azan dan iqamat ke telinga kita tanda kita adalah individu muslim. Beruntung kita kerana dibesarkan dalam suasana Islam. Bertuah kita dibesarkan dalam Islam dan suasana iman yang baik. Al-Hamdulillah...

Saya rindu ayah, bicara hati mengungkap kata yang benar. Entah bagaimana rasa rindu itu mahu dita’arifkan hanya mampu mengucap kata rindu pada ayah teruatama di bulan penuh kemuliaan ini, bulan Ramadhan al-Mubarak. Benar saya rindu ayah. Rindu ketika ayah menjadi imam solat maghrib, isyak dan solat terawih kami. Rindu di saat ayah mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran pada setiap detik di bulan Ramadhan. Rindu pada kata tegas marah ayah. Raut wajah yang sangat dirindui ketika ini, raut wajah ayah hero pertama penulis mengenalkannya pada cinta dan sayang. Menjadikannya sebagai manusia yang berguna. Mengajar ilmu agama yang mencukupi.

Majlis menyambut menantu di Tampin.

Ayah, insan yang sentiasa dirindui jauh susuk tubuhnya di kampung halaman digelar serambi Makkah. Susuk tubuh itu kian lemah dimamah usia yang semakin tua. Ayah tidak sekuat dulu. Jelas wajahnya sudah berkerut seribu namun suaranya tidak pernah berubah membaca dan terus mendalami ilmu al-Quran. Diriku sangat mengkagumi ayah. Ayah puterimu sedang merinduimu. Dulu waktu puterimu masih bujang, banyak sekali kata titipan pesan buat puterimu, kini puterimu sudah punya keluarga sendiri dan masih kuat di ingatan puterimu apa yang dipesan oleh ayah.

Buruk baik ayah, ayah tetap ayah kandung penulis. Cuma al-Fatihah diriku kirim lewat doa yang ku baca untuk ayah agar kehidupan ayah sentiasa dilimpahi dengan kasih sayang ALLAH. Moga ayah sentiasa bahagia dan tenang menghadapi kehidupan sekarang. Moga ayah cepat sembuh dari kesakitan. Moga ayah bisa kuat dan tahan dengan segala ujian. Moga ayah bisa teguh di saat diri dirempuh badai yang maha dahsyat.

Biarlah kata ini ku garap untuk tatapan insan bernama ayah. Moga ayah membacanya nanti. Terima kasih ayah atas segala kasih sayang yang tercurah pada anak-anakmu walau kasih sayangmu terbatas dengan egomu. Terima kasih ayah untuk segala tunjuk ajar yang ayah berikan kepada kami sehingga kami bisa menjaadi manusia seperi sekarang. Terima kasih ayah kerana mengajar kami dengan penuh kesabaran dan pengorbanan agar kami tidak lupakan Tuhan ALLAH Yang Maha Esa. Terima kasih ayah untuk segala jerit perih yang ayah terpaksa lalui demi membesarkan kami. Sungguh kepayahan, kesukaran dan kesusahan ayah dalam membesarkan kami hanya dapat ALLAH membalasnya dengan balasan syurga untuk ayah. Terima kasih ayah kerana telah memberikan yang terbaik untuk kami walau berjuta kesusahan terpaksa ayah lalui demi kami. Terima kasih ayah untuk setiap bilasan rotan yang pernah singgah di badan kami banyak memberi pengajaran berguna untuk kami. Terima kasih ayah untuk segala kata nasihat yang ayah curahkan kepada kami, insyaALLAH terpahat kemas dalam hati kami. Terima kasih untuk segalanya ayah.

Ayah menyapa YTM Tunku Besar Tampin.

Untuk kesekian kalinya, puterimu mohon maaf atas segala kekhilafan baik sama ada yang di sengajakan atau yang tidak disengajakan. Maaf andai puterimu tidak bisa menjadi anak solehah untukmu. Maaf andai puterimu ini tidak mampu menjadi yang terbaik untuk ayah. Maaf andai puterimu ini banyak menyakiti hatimu membuat resah di dadamu menambah tegang hatimu. Maaf ayah untuk segala yang pernah puterimu ini lakukan. Harap ayah dapat maafkan puteri ayah ini.

Ayah adalah antara insan yang sangat bermakna dalam kehidupan penulis. Tanpanya, tiadalah penulis di dunia. Banyak perkara telah ayah lalui demi membesarkan kami berlima. Banyak perkara yang telah ayah ajarkan kami sejak kami kecil hinggalah kami menjadi manusia sekarang. Ayah juga yang membawa penulis mengenal cinta. Cinta pada ALLAH itu yang utama barulah datang cinta yang lainnya. Ayah sangat tegas dalam bab cinta. Kami di didik untuk belajar bersungguh-sungguh tanpa sibuk mengejar cinta monyet di alam persekolahan. Ayah cukup pantang bila anak-anaknya terjebak dalam dunia percintaan, sebab itu kami membesar dalam dunia kami dengan acuan agama yang betul.
Ayah sangat menitik beratkan bab agama. Kami di ajar untuk mengaji daripada alif, ba, ta hinggalah dapat khatam al-Quran di tangan ayah. Kami disuruh belajar solat daripada ikut-ikutan hinggalah kami boleh menguasai praktikal dan amali solat. Kami juga di ajar bab adab. Adab dengan orang tua, adab dengan rakan sebaya, adab dengan guru dan sebagainya.

Ayah tersayang. 

Kini, puterimu ini telah punya keluarga sendiri. Saat ayah menjadi wali bagiku adalah momen yang sangat perit bagi puterimu. Mana taknya dia harus menerima hakikat bahawa dia bukan lagi milik ayah sepenuhnya. Sejak itu rasa rindu yang bertamu merupakan rindu yang benar. Rindu seorang anak perempuan pada ayah tersayang. Hampir dua tahun menyulam perkahwinan, wajah ayah sentiasa bermain di fikiran. Nasihat ayah sentiasa bermain di ingatan. Suara tegas ayah masih terngiang menambah rindu yang semakin dalam.
Setiap kali teringatkan ayah, penulis pasti akan mengingati lirik nasyid yang didendangkan oleh Aeman. Mari sama-sama kita menghayati bait-bait kata yang disusun menjadi lagu ini!
Ketika berjauhan
Masih kurasa hangat kasihmu ayah
Betapa ku rindukan
Redup wajahmu hadir menemaniku
Terbayang ketenangan yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan
Walau hatimu sering terluka tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan diriku sendirian

Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku erti kekuatan
Terpancar kebanggaan dalam senyummu melihatku berjaya
Bila ku kegagalan tak kau biarkan aku terus kecewa
Dengan kata azimat engkau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan
                                                                    
Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan diriku sendirian
Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku erti kekuatan
Terbayang ketenangan yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan
Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan diriku sendirian
Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian

Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku erti kekuatan
Tak dapat ku bayang hidupku ayah tanpa engkau di sisi

Semua kasih sayang yang kau curahkan tersemat di hati

Qana’ah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...terima kasih ya ALLAH di atas nikmat dan kurniaanMu Yang Maha Luas. Hanya padaMu kami berserah dan kepadaMu jua kami kembali. Semuanya bermula dengan namaMu Ya ALLAH, insyaALLAH semuanya didapati indah. Semuanya butuh kekuatan yang tinggi barulah hidup sentiasa diberkati. Semuanya memerlukan pengorbanan barulah hidup penuh ketenangan. Tiada sengketa benci dan juga dendam yang ada Cuma kasih sayang, ketenangan dan kebahagiaan.

Al-Hamdulillah...terima kasih Ya ALLAH atas peluang dan ruang yang ALLAH anugerahkan kepada penulis untuk terus dapat menulis dalam ruangan blog ini. Hari ini izinkan penulis bercerita tentang perkataan arab ‘qana’ah’. Apa itu qana’ah? Kenapa qana’ah itu penting dalam kehidupan muslim? InsyaALLAH penulis akan huraikan bersama ilmu yang masih berbaki ada di dadanya. Qana’ah merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab yang bermaksud sifat bersederhana dalam kehidupan dan apa jua keputusan hidup yang dibuat oleh manusia.

Lelaki atau perempuan yang mempunyai sifat qana’ah ini pasti hidupnya penuh dengan kesederhanaan. Kesabaran dan pengorbanan yang tinggi sangat diperlukan oleh hati yang bersifat qana’ah. Kebergantungan kepada ALLAH melebihi dari segala-galanya. Sifat inilah yang cuba diterapkan dalam jiwa penulis supaya nanti bila dia dikurniakan nikmat yang melimpah dia tetap bersyukur dan bersifat dengan sifat qana’ah. Bila dia dikurniakan dengan musibah dan ujian yang bertimpa dia tetap bersabar dan bersifat dengan sifat qana’ah.

Kenapa qana’ah itu antara sifat atau perkara penting dalam kehidupan muslim? Jawapannya mudah ini kerana qana’ah atau bersederhana adalah perkara yang dituntut dan digalakkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Tengok pada contoh teladan sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w, baginda s.a.w sangat bersederhana dalam hidup dan tidak bermegah-megah jauh sekali riak dan membangga diri dengan apa yang ada pada baginda s.a.w. Hanya sifat qana’ah menghiasi peribadi Baginda s.a.w.

Alasan ke-2, sifat qana’ah dalam diri individu muslim dapat mencambah rasa dekatnya kebergantungan kita kepada ALLAH tidak kira di waktu kita susah ataupun senang. Membangkit rasa perhambaan dan mendekatkan diri padaNya secara berterusan.
Qana’ah antara sifat yang cuba penulis terapkan dalam dirinya memandangkan dia sedang menghadapi fasa kesusahan dan kesukaran dalam hidupnya. Yalah, sekurang-kurangnya bila ada sifat qana’ah tentu mendidik dia bersederhana contohnya dalam membeli-belah. Beli apa yang mampu, jika tidak mampu bersabarlah dulu insyaALLAH nanti ALLAH akan gantikan yang lebih baik berkat kesabaran kita. Kekadang, bila tengok WhatsApps, facebook, dan media sosial lain tentang banyaknya pilihan tudung, pakaian, dan buku tambahan barang-barang ‘baby’ penulis punya perasaan untuk memilikinya tetapi apakan daya kewangannya hanya mencukupi untuk kehidupan seharian. Tidak mengapa. Bersabarlah.

Biasalah manusia, tengok benda baru bertambah dengan cantik dan minatnya pasti dia punya rasa untuk memiliki. Tengok orang pakai baju-baju baru, kita pun nak pakai. Tengok orang pakai tudung-tudung yang cantik, kita pun nak bergaya. Tengok orang cantik dengan pelbagai jenis produk, kita pun mahu memiliki dan merasai kecantikan itu. Tengok buku-buku baru keluar di pasaran, bagi pencinta buku seperti penulis sudah tentu dia tergoda mahu memiliki buku-buku tersebut. Lumrah manusia katakan tetapi penulis tak boleh ikutkan sangat hatinya yang mahukan semua.

Ingatlah duhai diri bukan semua yang kita mahukan, akan dapat dalam sekelip mata. Kadang-kadang memakan masa yang cukup lama dan kadang-kadang kita akan memperolehnya tanpa usaha. Bersabarlah duhai diri. Sifat qana’ah ini dapat memacu hawa nafsu untuk bersederhana dan tidak bermewah cukup dengan apa yang ada. Tengok orang dapat merantau ke negara orang, kita pun teringin sama. Kadang ada rasa cemburu tapi tak mengapa sifat qana’ah itu menyapa dan menyedarkan dirinya hanya hamba ALLAH yang lemah. Bukan bererti dia mahu merendahkan dirinya sesuka hati tetapi sifat qana’ah ini membatasi segala kekurangan diri menyedarkan hati perlu lebih tarbiah lagi.

Cukuplah diri ini mengucap syukur dan bersederhana dalam kehidupannya sekarang. Didik diri untuk sentiasa bersifat qana’ah di saat nikmat ALLAH melimpah. Usah riak andai kita lebih segala-galanya dari orang lain dan usah terlalu merendah diri andai kita serba sederhana. Ini kerana yang sederhana itu terkadang lebih bahagia dan lebih disayangi pleh ALLAH Yang Maha Esa hanya berkat kesabaran kita.

Pemandangan yang cantik.

Biar orang lain lebih segala-galanya dari kita, asal kita tau untuk bersyukur pada ALLAH Yang Maha Kuasa. Biar orang lain bermewah dengan harta-harta mereka, asal kita cukup dengan apa yang ada. Biar orang lain bahagia dengan cara mereka, kita juga punya jalan tersendiri untuk mencapai kebahagiaan hakiki. Biar orang lain memandang serong akan kesusahan dan kesukaran kita, asal kita ada ALLAH yang sentiasa memberi semangat untuk kita menghadapi kesusahan dan kesukaran itu dengan cara solat dan sabar. Biar apa kata orang pada kita, asal ALLAH tahu apa yang terkandung dalam hati dan benak fikiran kita. Biarkan mereka, asal ALLAH sentiasa ada untuk kita.


Setakat ini dahulu coretan hati penulis untuk kali ini. Moga kehadiran entri ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada kita untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih bersyukur dan lebih baik dari semalam. Kita bukan sekadar tunggu hidayah ALLAH itu datang kepada kita baru kita nak berubah menjadi lebih baik tetapi kita juga harus punya langkah pertama untuk berubah ke arah kebaikan.