Tuesday 6 June 2017

Sanah Helwah Ukhti Mahbubah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ucapan syukur atas nikmat terindah yang ALLAH anugerahkan kepada kita iaitu antaranya nikmat iman dan Islam. Al-Hamdulillah kita telah memasuki bulan tarbiah bulan madrasah Ramadhan. DenganNya kita hidup terpandu. DenganNya kita sentiasa ada tempat bergantung. DenganNya kita bisa menghadapi hidup ini bersama tegar. Al-Hamdulillah, moga nikmat-nikmat ini sentiasa memayungi kehidupan kita. Bertuah dan bersyukurlah kita hidup dalam nikmat iman dan Islam yang hanya dinikmati oleh insan yang benar-benar muslim dan mukmin. Jom, kita mengajak diri kita dan semua manusia untuk mengenal ALLAH! Walau di mana kita berpijak, ingat biar ALLAH yang menjadi segalanya untuk kita.

Andai dihitung nikmat-nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita sudah tentu tidak terkira betapa banyaknya nikmat-nikmat itu. Jadi, ajaklah diri untuk berusaha menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa bersyukur. Biar terkadang kita jatuh hanyut dalam ujian-ujian yang menimpa. Biar terkadang kita tersasar dari landasan ketahuilah ALLAH Maha Penyayang dan sentiasa memerhati kehidupan kita. Ya, kita bukan manusia yang sempurna ada kalanya baik dan ada masa jahat seketika, tetapi itu bukan penghalang untuk kita berubah memperbaiki diri menjadi hambaNya yang lebih baik. Bukan selamanya kita mahu menjadi pengikut syaitan dan bukan selamanya kita menjadi baik.

Al-Hamdulillah...penulis dikurniakan sahabat yang baik di sekelilingnya. Punya sahabat baik juga merupakan satu nikmat. Sahabat-sahabat yang membantunya untuk terus hidup dalam panduan Islam. Inilah antara nikmat yang disyukurinya. Nikmat punya sahabat baik yang sentiasa mengajak kepada kebaikan. Itulah nikmat yang paling membahagiakan dalam hidupnya. Bila terleka, ada yang mengingatkan. Bila jatuh, ada yang membangkitkan. Bila sedih, ada yang meneman memberi semangat kebenaran. Bila gembira bahagia, ada yang sudi berkongsi kebahagiaan ini. Bila tersasar dari landasan, ada yang menariknya kembali ke landasan yang benar.

Tanggal 8 Jun 1990, lahir seorang puteri dalam sebuah keluarga bahagia. Puteri comel ini diberi nama Nor Amira binti Ibrahim. Lahir sebagai anak ke-2 dalam empat beradik. Semuanya perempuan. Nor Amalina binti Ibrahim, Nor Amira binti Ibrahim, Nor Atiqah binti Ibrahim dan yang bongsu Nor Athirah binti ibrahim. Keluarga bahagia ini sangat gembira dan bersyukur di atas kurniaan ALLAH. Anugerah anak perempuan yag sangat berharga, walau ayahnya tahu kelak anak-anak perempuannya akan menjadi milik menantu-menantunya.

Angah Mira.

Dia membesar dengan baik. Pergaulannya terjaga. Menjadi anak solehah buat ibu dan ayahnya. Menjadi sahabat yang baik dan ‘happy-go-lucky’ untuk teman-temannya. Nor Amira bt Ibrahim bersahabat dengan penulis menyulam persahabatan mereka sejak berusia 11 tahun lagi. Belajar bersama-sama sehingga mereka masih bersahabat bila melangkah masuk ke alam remaja di SMU (A) MAAHAD MUHAMMADI (P) PASIR PEKAN, KELANTAN.

Dia seorang yang baik hati, rajin membantu dan sering merendah diri. Perwatakannya yang baik memungkinkan dia diserap masuk menjadi pengawas sekolah bersama-sama penulis blog ini. Bermulalah kepimpinan mereka sebagai pengawas sekolah. Pahit manis dalam persahabatan di era sekolah menengah di telan bersama-sama. Kenangan menjadi pengawas sekolah  bersama-sama Nor Amira Ibrahim dan beberapa orang sahabat lagi  sentiasa terngiang-ngiang di ingatan terutama bila menjelangnya ulang tahun kelahiran Nor Amira Ibrahim.

Kisah persahabatan mereka tidak terhenti setakat itu, bahkan bersambung di alam universiti di mana mereka menyambung pelajaran di universiti tempatan yang sama cuma berbeza fakulti dan bidang. Sorang bidang Quran dan Sunnah. Sorang bidang Bahas Arab dan Komunikasi. Biarpun sibuk dengan tugasan di universiti, mereka masih berhubung seperti biasa sama ada lewat telefon atau berjumpa sesama mereka. Bila tiba alam kerjaya, mereka juga memilih untuk menjadi muaddibah, kerjaya yang sama untuk beberapa tahun lamanya.

Angah Mira dan suami.

Hampir 17 tahun mereka menyulam persahabatan. Tamat belajar di universiti, Nor Amira binti Ibrahim mengambil keputusan untuk menikah. Sahabat mana tak bahagia tengok sahabatnya bakal menamatkan zaman bujang dengan teruna pilihan hatinya. 6 Jun 2015, mereka sah bergelar suami dan isteri. Selamat ulang tahun perkahwinan kali ke-2 tahun duhai sahabat dunia akhirat, Nor Amira binti Ibarim. Moga rumahtangga yang kalian bina kini disirami sakinah mawaddah wa rahmah sentiasa dan kekal bahagia hingga ke syurga. Penulis masih ingat, penulis siap buat video hadiah sempena perkahwinan sahabatnya ini. Tiada hadiah yang berharga mampu penulis berikan cuma hadiah doa dan video mampu disediakan.

 bersama baby iyyadh.

Al-Hamdulillah...berkat kehidupan berumahtangga, Nor Amira binti Ibrahim dan suami dikurniakan cahaya mata penyejuk hati penyeri rumah tangga diberi nama Iyyadh Abdullah Akhtar. Bertambah bahagia mereka punya hero kecil ini. Al-Hamdulillah...dia bahagia. Itu yang selalu penulis doakan untuknya. Kehidupan mereka sentiasa diberkati ALLAH, melimpah dengan rezeki pemberian dariNya. Melimpah dengan kasih sayang kerana ALLAH. Al-Hamdulillah...


keluarga bahagia.

Sanah helwah ke-27 ukhti mahbubah, Nor Amira binti Ibrahim. Sudah 27 tahun dirimu hidup di dunia ini pastinya banyak menabur bakti. Pastinya banyak amal kebajikan yang melimpahi kehidupanmu. Aku sahabatmu. Terima kasih untuk persahabatan kita yang bersulam selama hampir 17 tahun. Ya 17 tahun lama tu. Kini kita berjauhan punya kehidupan tersendiri yang harus diuruskan dengan baik.

Tanggal 8 Jun 2017, cukup sudah umurmu 27 tahun. Pada usia ini, kamu sudah punya anak, suami, dan kerjaya membina keluarga bahagia disirami sakinah, mawaddah wa rahmah. Walau kita berjauhan beribu batu, namun ulantahun kelahiranmu yang ke-27 ini , diriku masih punya kesempatan dan ruang untuk mengucapkan ‘happy birthday, sanah helwah’ padamu, sahabat. Bukan sekadar ucapan hari lahir biasa akan ku nukilkan juga kata bicara pengubat rindu kita berjauhan sebagai pengganti diri yang sentiasa merinduimu sahabat.

Setiap kenangan pahit dan manis yang pernah kita lalui bersama-sama sebagai sahabat sentiasa terpahat indah dan biarlah menjadi bahan bualan anak cucu generasi kita nanti. Indahnya bersahabat bila bersulam kerana ALLAH. Bermula dari diri kita hinggalah ahli keluarga kita, kita saling mengenali antara satu sama lain. Moga ada generasi kita yang turut mewarisi persahabatan ini. 10 Jun 2014, penulis pernah menukilkan ucapan selamat hari lahir buat sahabatnya, Nor Amira binti Ibrahim kali ke-24 tahun dalam bicara santai blognya. Kali ini penulis mengulang ucapan sanah helwah istimewa buat sahabatnya Nor Amira untuk kali ke-27 tahun. Tahun 2017 ini ucapan dengan rentak berbeza mungkin.
Sungguh, penulis blog ini menghargai kehadiran dan kewujudan sahabat-sahabatnya. Walau di mana pun mereka berada, ucapan rindu pada sahabat sentiasa meniti di bibir. Bila rindu pa nak buat, bertanya khabar atau membaca apa-apa dari tulisan mereka di media sosial. Bila rindu AL-Fatihah dihadiahkan pada sahabat moga kehidupan mereka baik-baik sahaja hendaknya.

Nukilan kata bicara pengubat rindu ini penulis hadiahkan buat sahabat yang disayangi kerana ALLAH, Nor Amira binti Ibrahim. Tiada hadiah yang mampu ku beli untuk setiap detik ulangtahun kelahiranmu, harapnya hadiah kata bicara ini mampu menggantikan segala hadiah lain:

Sahabatku tercinta
17 tahun sudah
Kita menyulam ikatan persahabatan
Ukhuwwah kerana ALLAH
Bersahabat sampai syurga
Kita laungkan bersama-sama
Kini usia kita melangkah 27 tahun
Sudah punya keluarga sendiri
Sibuk melayan bahagianya hidup kita
Hingga terkadang kita terleka
Bagaimana rentaknya sahabat kita
Sihatkah dia? Tenangkah dia?
Bahagiakah dia? Sedihkah dia?
Sedang rindu bertamu segera
Membuat kenangan menjelma tiba-tiba

Sahabatku tersayang
Ucapan doa juga Al-Fatihah
Ku kirim lewat rinduku yang menggunung
Mengharap moga ALLAH sentiasa
Memayungi kehidupanmu sekeluarga
Mengharap moga kamu baik-baik aja
Mengharap moga kita tidak sesekali lupa
Kita pernah menyulam tali ini
Menjadi tali ukhuwwah kerana ALLAH

Sahabatku kasih
Selamat ulangtahun kelahiranmu ke-27
Seluruh doa juga kebaikan ku kirim
Buatmu bahagia setiap detik dan masa
Ingatlah ALLAH sentiasa ada bersama-sama kita
Ingatlah kita pernah melakar bahagia sedih bersama-sama
Terima kasih untuk persahabatan ini
Mohon maaf juga untuk semua kekhilafanku.

No comments:

Post a Comment