Tuesday 18 November 2014

Hadiah Terindah Nov 2014

Detik ini
Menjadi saksi hari bahagia
Menunai janji ayahanda
Menukar impian bonda
Beraksi di pentas belajar
Bersama redha Tuhan

Al-Hamdulillah...
Keringat mencurah
Suka duka sering menemani
Pengorbanan itu sentiasa menuntut
Perit menahan sabar
Letih bercampur susah
Di pentas dunia universiti

Hadiah terindah
Anugerah besar dari Ilahi
Penantian berakhir di sini
Bukan mahu membangga diri
Niat cuma mahu berkongsi
Jerit perih seorang insan
Bergelar mahasisiwa universiti

Langkah ini
Langkah permulaan
Menuju redha Ilahi
Mengorak langkah lebih jauh lagi
Meneroka merintis
Ilmu ALLAH Maha Luas ini
Biar langkah ini menerus
Biar usaha ini tidak terhenti
Demi mengejar cinta Ilahi

Sempena Majlis Konvokesyen USIM, NILAI KE-12 November 2014...

Gambar2 dengan kawan sekelas.


'Last posing' before convocation.

Si bongsu bersama anak sepupu menjelang majlis konvokesyen penulis

Penulis bersama Wira...

Posing depan kamera bersama adik lelakinya

Terima kasih mama untuk semua pengorbanan mama. Hadiah untuk mama.

Sahabat2 sejak sekolah menengah konvo bersama.

'Nice moment' bersama adik usrah.



Thursday 13 November 2014

Baitul Muslim

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah salam Jumaat kareem buat semua pembaca blog ini yang dikasihi kerana ALLAH. Tali persaudaraan Islam kita akan kekal hingga qiamat. Al-Hamdulillah ALLAH memberi kita peluang untuk menghirup udaraNya dengan percuma pada hari Jumaat yang mulia ini. Al-Hamdulillah tidak terhingga kerana hingga detik ini nikmat terbesar Islam & iman ALLAH anugerahkan kepada penulis & sahabat2 masih sebati dengan jiwa kita.

Hari Jumaat hari penuh kasih sayang. Bicara tentang manusia takkan pernah lari dari cinta. Cinta yang memungkinkan segalanya indah. Duka, lara, benci, sedih semua terpadam dek penangan cinta.cinta itu suci sebenarnya di sisi individu muslim...mempertaut dua hati keranaNya. Cinta itu abadi selamanya mempererat hubungan manusia dengan Penciptanya. Dek kerana cintaNya hidup kita kekal bahagia dunia & di akhirat sana.

Sudah lama rasanya penulis tidak membedah buku. Satu hari sebuah buku kini kembali bersama sebuah buku bertajuk, “Berdua Lebih Baik- karangan: Rohani Abd Rahman, terbitan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.” Buku ini benar-benar memikat pembacaan penulis bila mana dia dapat menghabiskan bacaan buku ini sebanyak 180 halaman dalam masa semalaman sahaja. Buku yang hanya dipinjam dari seorang sahabat betul memberi manfaat.



Kesibukan memegang amanah sebagai muaddibah tidak pernah menghalang apa yang menjadi kesukaannya iaitu membaca. Bukan menghalang Cuma masanya membaca menjadi terhad seketika. Dah lama benar tak baca buku, rasa janggal pun ada tapi usah risau duhai hati, buku tetap menjadi peneman setiamu. Membelek buku helaian demi helaian memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada akal fikiran & hati penulis. Tambahan bila membaca tentang Islam.

Banyak sekali ilmu baharu yang diperolehinya dari pengalaman penulis buku ini. Buku ‘Berdua Lebih Baik’ adalah pengalaman penulis buku tersebut. Ya penulis akui bila dia membaca buku tentang pengalaman-pengalaman penulis2 yang ada dia mudah jatuh cinta pada buku tersebut kerana realiti yang dipaparkan dalam buku ini. Buku ini sungguh mengajarnya, jodoh itu rahsia ALLAH & tidak salah untuk kita berusaha, cuma bagaimana acuan & wasilahnya? Tepuk dada tanya iman kita.

Sedikit ringkasan atau nota penting yang boleh penulis petik dari buku ini:

-Ikhtiar mencari jodoh yang baik adalah dengan mendekatkan diri kepada ALLAH. Di samping amalan wajib laksanakan bersama amalan-amalan sunat. Bagaimana cara terbaik mendekatkan diri kepada ALLAH? Pertama: Berzikir atau dengan kata lain amalan-amalan sunat. Ke dua: Qiamullai (menghidupkan malam dengan mengingati ALLAH). Ke tiga: Doa & terus berdoa. Ke empat: Mendirikan solat sunat Istikharah tapi usah salah anggap kerana solat istikharah bukan untuk mencari jodoh semata-mata. Ke lima: Pancinglah jodohmu dengan bersedekah. Ke enam: Usah lupa untuk sentiasa meningkatkan amal ibadah.

-Bagaimana dengan persiapan diri? Pertama: Hiasi diri dengan berakhlak mulia. Ke dua: Mari kita sama-sama memperbaiki penampilan diri kerana penampilan kita mencerminkan siapa diri kita. Kita ini membawa nama Islam jadikanlah Islam itu terserlah indah pada penampilan & keseluruhan kehidupan kita. Ke tiga: Membina kerjaya yang mantap (memperbaiki kewangan & perbelanjaan diri). Ke empat: Meningkatkan ilmu di dada. Ke lima: Bila kita mahu mendirikan rumah tangga tidak kiralah muslimah atau muslimin utamakan perbincangan dengan ibu bapa. Ke enam: Kawan atau sahabat memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi seseorang. Jadi pilihlah kawan yang dapat memberi nasihat bila kita terleka, dapat menyuluh jalan gelap saat kita tersasar.

Bukan mudah mahu membina Baitul Muslim andai fardu muslim masih tunggang-langgang berkecamuk dengan pelbagai rasa yang mengundang sukar di penghujung jalannya. Perbaiki fardu muslim dulu baru kuat nak bina Baitul Muslim. Sesetengah berbicara, kalau macam tu sampai bila aku tak kahwin. Itu hanya persepsi negatif. Pada pandangan penulis pembentukan peribadi individu muslim itu penting untuk melayakkan dia membina baitul muslim yang mengharap redha ALLAH semata-mata. Baitul muslim itu juga bergantung pada niat individu itu sendiri. Jika baik niatnya maka baiklah hasil & usahanya jika bukuruk sebaliknya pula yang akan ditempuhinya.

Membaca pengalaman-pengalaman peribadi penulis buku ini banyak menyedarkan penulis blog yang jodoh itu benar umpama rezeki. Kita menjemput rezeki dengan bermacam usaha, bekerja mendapatkan rezeki semua diusahakan sedangkan dalam bab jodoh terkadang penulis alpa untuk berusaha. Berusaha bukan bermakna penulis sebagai muslimah Islam harus menjual dirinya. Dirinya tetap mahal & berharga ibarat mawar berduri yang tidak bisa disentuh sewenangnya oleh tangan-tangan manusia.

Buku ini juga memberi jalan & ruang kepda penulis untuk berfikir lebih matang & membuka mindanya tentang bab jodoh. Ya, dia akui berdua itu lebih baik, namun harus bagaimana dicorakkan dua hati bersatu menjadi sinergi? Itu yang bermain di fikirannya sekarang.



Berkahwin, mendirikan rumah tangga, mengadakan walimah urus itu urusan sementara & barangkali mudah dengan izinNya. Namun, urusan pembinaan keluarga muslim selepas penyatuan dua hati bernama suami & isteri itu yang harus di fikir panjang & dirancang sebaiknya.

Bagaimana mahu dicorak anak-anak generasi Islam akan datang? Apa matlamat akhir sebuah perkahwinan? Mahu derita di dunia atau bahagia di akhirat? Bagaimana tanggungjawab isteri & suami harus dilunasi bagaimana? Nak kahwin? Sudah tentu semua orang punya impian untuk membina sebuah mahligai perkahwinan yang bahagia dunia & akhirat. Hanya orang muslim yang luar biasa itupunya perancangan buat ummah bukan bersifat seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.



Setakat ini sahaja coretan rinkas penulis tentang ceritera hatinya pada hari Jumaat ini. Mohon doa sahabat-sahabat semua semoga hari konvokesyen penulis & sahabat-sahabat berjalan lancar dengan izinNya. Detik indah bergelar graduasi bakal dikongsi & menghiasi blog ini nanti. Al-hamdulillah akhirnya tamat pengajian ijazah sarjana muda tunggu masa nak sambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi bukan untuk membangga diri tetapi kerana minat yang mendalam terhadap ilmu yang ada anugerah Ilahi ini.


Siiru ‘alaa barakatillah...salam Jumaat kareem


Monday 10 November 2014

Dedikasi Cinta Muaddibah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah sekali lagi ALLAH memberi peluang kepada penulis untuk terus bercerita dalam blog ini. Alhamdulillah, nikmat terbesar nikmat iman & Islam sentiasa memayungi kehidupan penulis sebagai muslimah. Berharap & terus berdoa moga ALLAH memberi kekuatan kepada penulis menyampaikan hasrat & niat dengan tekad yang betul.

Al-Hamdulillah ucapan syukur tidak terkira kerana memberi ruang kepadanya untuk berkarya daripada tiada seorang pun pengikut hinggalah bertambah menjadi 53 orang. Ha, bukan niat nak membangga diri, cuma mahu berkongsi, usaha ke arah kebaikan ini walau ada yang membenci tetap ada suatu detik orang yang menyukainya. Hari ini penulis terpanggil bercerita tentang dedikasi cinta muaddibah.

Sungguh kerjaya penulis sekarang banyak membuka mata penulis untuk menyumbang sesuatu buat generasi Islam ini. Walau senipis kulit bawang, dia perlu berbuat sesuatu agar hidupnya di dunia tidak sia-sia. Dedikasi cinta ini khusus untuk 'anak-anaknya' seramai 12 orang. Bergelar muaddibah benar-benar mengajar penulis memahami watak & perwatakan si ibu. Bukan mudah nak melayan karenah 12 orang anak-anak. Bukan mudah nak mengajar 12 orang anak ini...tetapi demi Islam kerana ALLAH penulis harus kuat untuk menghadapi ujian ini. Ini ujian bagi dirinya. 

Tanggal 11 November 2014 adalah hari ulang tahun kelahiran ke-6 anak muridnya yang bernama Muhammad Syafiq Imran. Rindu pada wajah si kecil ini, memaNggil penulis untuk memaklumkan kepada ibunya agar membawa anak ini datang ke sekolah esok sambil menyambut hari ulang tahun kelahirannya. Tidak sabar mahu mendengar cerita Imran, mahu melihat keletah nakalnya, mahu mendengar suara lucunya, mahu memerhati setiap gerak langkahnya. Kanak-kanak ini memberi pengajaran berharga kepada penulis. Banyak yang dipelajarinya dari anak-anak. 

Untung sahaja ALLAH memberi peluang ini kepada penulis, boleh dia menambah ilmu tentang pendidikan anak-anak yang merangkumi dunia & akhirat. Tidak rugi kita mendekati & berkawan dengan anak-anak kecil. Malah kita dapat banyak pengalaman manis & pahit dengan mereka. Al-Hamdulillah Ya ALLAH penulis antara insan terpilih yang dapat mendekati mereka secara langsung. Jom tengok aksi anak ini yang bernama Syafiq Imran!


Time study macam nilah dia...

Wah...sedapnya makan kek

Kecil-kecil cili padi...

Tak sabar muaddibah nak menatap wajah 'anak'nya keesokan hari. Tak sabar nak sambut hari lahir 'anak'nya dengan ucapan yang membahagiakannya. Tak sabar nak coret kenangan manis bergelar sebagai muaddibah. Selamat Hari Lahir yang ke-6 Syafiq Imran. Tahniah kepada ibu & ayah yang telah mendidik anak ini dengan baik. Dia anak yang baik & sangat comel pada pandangan penulis jika di asuh sebaiknya dapat menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah s.a.w. Ameen...insyaALLAH.

Setakat ini dahulu coretan ringkas penulis tentang pengalamannya bersama anak-anak yang ramai. Menjadi ibu sebelum bergelar ibu. Indah & menarik untuk di simpan dalam lipatan kenangan. Moga memberi pengajaran & faedah berguna kepada semua terutamanya kepada generasi yang bakal di lahirkan penulis & juga para pembaca yang budiman. 

Sunday 9 November 2014

Hadiah Buat Ayah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH penulis memulakan bicara penulisannya semoga terus menusuk ke dalam sanubari kita semua. Al-Hamdulillah...ALLAH masih memberi penulis peluang untuk meneruskan penulisan blog ini. Suatu keberuntungan bagi penulis bila dapat meneruskan bait cinta dakwah Islam dalam blognya walau dia tahu dia hanya berkongsi cerita tentang kehidupannya. Pengalamannya, jejak musafirnya di bumi ALLAH ini, jendela kehidupannya benar-benar memberi ruang kepada penulis untuk bercerita di sini.

Hari ini masih lagi berkisar tentang cerita ayahanda kesayangan penulis. Ayah yang takkan sesekali penulis lupa tentang ceritanya. Dia sangat istimewa untuk penulis & anugerah terindah dari ALLAH buat penulis. Walau siapa pun ayah, ayah adalah ayah penulis hingga ke akhir kehidupan. Kisah tentang ayah takkan pernah berhenti, sungguh panjang & tak mampu diucapkan oleh penulis. 

Hari ni nak bagi satu lagi puisi istimewa buat ayah. Hadiah buat ayah. Akhirnya, insyaALLAH hujung minggu ini penulis bersama-sama kawannya akan bergraduasi & bakal berkonvokesyen 16 November 2014 nanti. Doakan moga hari tersebut berlangsung dengan jayanya. Bukan niat nak membanggakan diri, sekadar mahu berkongsi rasa gembira dapat menamatkan pengajian selama lebih kurang 4 tahun ini. Hadiah ini buat ayah. Sedihnya, ayah tidak dapat datang bersama meraikan hari bahagia penulis di universiti. Hanya adik-beradik & bonda tersayang datang menemani penulis. Ayah lekas berbicara mahu menghilang rasa sebak di dada puterinya, "Nanti, siapa nak jaga rumah ini? Semua dah pergi, ayah tak perlulah kamu risau. Nanti konvo adik kamu tu, ayah pergilah sana." "Ayah selamat hari lahir. Hadiah terindah buat ayah hari kovokesyen puteri ayah nanti." "Terima kasih, ha...moleklah tu. Bagi hadiah terus."

Ada nada sebak di akhir bicara ayah. Penulis terdiam seketika mencari semangat di sebalik kata-kata. Ayah satu-satunya lelaki yang berjaya menawan hati penulis. Adik-adik lelaki & abangnya antara penghias kehidupan penulis. Banyak yang penulis belajar tentang lelaki melalui keluarganya. Adik-adik lelaki benar-benar menguji keimananya, menduga kesabarannya, terkadang menguap rasa marah yang menyala, & dari situ penulis belajar mengenali lelaki. 

Puisi ini buat ayah:

Ayah
Terima kasih...terima kasih
Kasihmu tidak pernah terkurang
Walau jarang terserlah
Pengorbananmu tidak pernah putus
Walau kami terkadang tidak memahami
Marahmu tidak pernah salah
Walau menjemput rajuk kami
Sedihmu tidak pernah terlakar
Walau air mata peneman mengalir

Ayah,
Insan terindah anugerah ALLAH
Buat kami anak-anakmu
Walau terkadang kenakalan kami
Mengundang duka & marahmu
Ayah,
Diriku melakar hadiah
Lama menjadi impian ayah
Melihat puterimu ayah
Memegang ijazah bergraduasi
Memenuhi harapan murnimu

Hadiah ini istimewa buat ayah
Biar terlaksana impianmu
Biar menenang jiwamu
Biar menambah bahagiamu
Biar mengurang deritamu
Ayah,
Ini bukti ayah berjaya mendidik puteri ayah 
Ini bukti ayah dah cuba terbaik untuk anak ayah
Ayah,
Terus mendoakan anak-anakmu
Agar terus bisa melangkah
Bersama redha ALLAH
Menuju syurga abadi

Setakat ini sahaja, coretan hati penulis untuk hari ini. Cerita tentang hero penulis yang banyak memberi inspirasi untuknya membesar menjadi muslimah yang sebenar. Siiru 'alaa barakatillah.


Saturday 8 November 2014

Pelangi Kasih Ayah

Bismillahirrahmirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ALLAH masih memberi ruang pada penulis untuk melakar penanya di sini. Hanya mengisi ruang & minat mendalam pada penulisan. Mahu berkongsi sebahagian rentak hidup sebagai muslim. Memegang amanah sebagai khalifahNya, hamba ALLAH, anak, pelajar, kakak, sahabat, jiran, saudara seIslam, penulis terpanggil untuk mencoret sesuatu dalam blognya. Bukan untuk dibanggakan tetapi untuk tatapan dirinya yang sentiasa alpa. Lama benar kalam ini menyepi, bukan buntu dari idea tetapi masa sangat mencemburuinya ditambah kekangan internet & masalah 'notebook'nya segalanya tertangguh.

Al-Hamdulillah, kembali bertenaga selepas mendapat ruang menulis di sini. Tidak pernah penulis kisah jika blog ini tiada pembacanya, kerana akhirnya dia sendiri yang perlu menatap setiap bait kata yang ditulisnya. Memberi pengajaran pada diri yang sentiasa lemah dalam meneruskan perjuangan ini. Hari ini penulis terpanggil nak bercerita tentang seorang lelaki, Ya LELAKI PERTAMA dalam hidupnya. 

Tanggal 7 November 1953, lahirlah seorang bayi lelaki dalam sebuah keluarga. Bayi lelaki ini diberi nama Yaakob bin Seman. Dia membesar menjadi kanak-kanak yang sangat bertanggungjawab & berdikari. Hidupnya penuh dengan kesusahan. Dia berbeza dari kanak-kanak lain. Saat orang lain sibuk bermain dengan kawan-kawan, dia terpaksa mengorbankan masanya dengan bekerja. Lelaki inilah yang menjadi hero pertama penulis. Lelaki ini ayahanda penulis. 7 November 2014 genaplah umurnya 61 tahun. Ya, jelas kelihatan garis-garis kedut di wajahnya. Namun dia tetap kelihatan tegap di mata penulis. Dia ayah yang sangat banyak berkorban untuk anak-anaknya. Bila bicara tentang ayah, air mata penulis begitu senang mengalir, bukan kerana ayah tak sayang dia, tetapi kerana kasih sayang ayahlah penulis dapat menjadi muslimah seperti sekarang.

Pernah penulis impikan seorang suami seperti ayah, pernah penulis andaikan jika semua lelaki seperti ayah, dah tentu tiada lagi kejahatan bermaharajalela...tiada lagi kesusahan & keresahan memeluk jiwa anak-anak. Biar pada hakikatnya ayah tegas & garang wataknya, tetapi bicara kata ayah mampu membuat hati penulis tersentap ketika. Setiap kata nasihatnya sentiasa di ingatan penulis. Ayah selalu pesan jaga diri di rantau orang. Jaga maruah keluarga, jaga ALLAH walau kat mana pun kamu berada. Itulah ayah yang sentiasa dekat di hati anak-anaknya.

Jadi tidak salah rasanya penulis mengabadikan sebuah puisi buat ayahanda tercinta. Hero yang terhebat anugerah ALLAH pada penulis. Ayah, selamat hari lahir yang ke-61 semoga ayah sentiasa sihat ya. Ayah jangan lupa jaga kesihatan tau, berpantang apa yang patut, makan ubat betul-betul. Ayah, puteri ayah ini merindui suara merdu ayah mengalunkan kalamullah, suara tegas ayah memberi nasihat, wajah ayah yang menenangkan, tingkah ayah yang penuh berhemah, bicara ayah yang sangat mendamaikan. Ayah, terima kasih untuk segalanya...puteri ayah ini memohon seribu kemaafan di atas segala khilafnya...saya sayang ayah kerana ALLAH.

Kasihmu
Tidak pernah terkurang
Walau sukar dilafazkan
Marahmu
Seakan merobek segala senyuman
Menambah luka terkadang
Tidak berkesudahan
Suara merdumu
Mengalun kalimah kalamullah
Mainan bangun tidur anak-anak

Keringatmu
Tumpah melimpah
Walau dirimu dihimpit sukar
Walau dirimu dikelilingi derita
Pelangi kasih ayah
Terlakar indah penuh bercahaya
Tiada terkurang mahu terlebih
Mewarnai corak kanvas cahaya mata
Bersama cinta Sang Pencipta

Ayah,
Selamat Ulang Tahun Kelahran ke-61
Ucapan ikhlas dari anakandamu
Moga bahagia menjadi mulik ayah
Tiada hadiah mampu diberi
Tiada kata mampu diucap
Tiada rasa mampu diterjemah
Hanya doa untuk ayah
Pengganti diri yang jauh

Ayah,
Keberadaanmu berharga
Mencorak kami menjadi manusia
Mengenal kami pada Tuhan Sang Pencipta
Memimpin kami ke syurga
Mengajar kami pahit manis dunia
Dia sebaik-baik ayah yang kami ada