Thursday 13 November 2014

Baitul Muslim

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah salam Jumaat kareem buat semua pembaca blog ini yang dikasihi kerana ALLAH. Tali persaudaraan Islam kita akan kekal hingga qiamat. Al-Hamdulillah ALLAH memberi kita peluang untuk menghirup udaraNya dengan percuma pada hari Jumaat yang mulia ini. Al-Hamdulillah tidak terhingga kerana hingga detik ini nikmat terbesar Islam & iman ALLAH anugerahkan kepada penulis & sahabat2 masih sebati dengan jiwa kita.

Hari Jumaat hari penuh kasih sayang. Bicara tentang manusia takkan pernah lari dari cinta. Cinta yang memungkinkan segalanya indah. Duka, lara, benci, sedih semua terpadam dek penangan cinta.cinta itu suci sebenarnya di sisi individu muslim...mempertaut dua hati keranaNya. Cinta itu abadi selamanya mempererat hubungan manusia dengan Penciptanya. Dek kerana cintaNya hidup kita kekal bahagia dunia & di akhirat sana.

Sudah lama rasanya penulis tidak membedah buku. Satu hari sebuah buku kini kembali bersama sebuah buku bertajuk, “Berdua Lebih Baik- karangan: Rohani Abd Rahman, terbitan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.” Buku ini benar-benar memikat pembacaan penulis bila mana dia dapat menghabiskan bacaan buku ini sebanyak 180 halaman dalam masa semalaman sahaja. Buku yang hanya dipinjam dari seorang sahabat betul memberi manfaat.



Kesibukan memegang amanah sebagai muaddibah tidak pernah menghalang apa yang menjadi kesukaannya iaitu membaca. Bukan menghalang Cuma masanya membaca menjadi terhad seketika. Dah lama benar tak baca buku, rasa janggal pun ada tapi usah risau duhai hati, buku tetap menjadi peneman setiamu. Membelek buku helaian demi helaian memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada akal fikiran & hati penulis. Tambahan bila membaca tentang Islam.

Banyak sekali ilmu baharu yang diperolehinya dari pengalaman penulis buku ini. Buku ‘Berdua Lebih Baik’ adalah pengalaman penulis buku tersebut. Ya penulis akui bila dia membaca buku tentang pengalaman-pengalaman penulis2 yang ada dia mudah jatuh cinta pada buku tersebut kerana realiti yang dipaparkan dalam buku ini. Buku ini sungguh mengajarnya, jodoh itu rahsia ALLAH & tidak salah untuk kita berusaha, cuma bagaimana acuan & wasilahnya? Tepuk dada tanya iman kita.

Sedikit ringkasan atau nota penting yang boleh penulis petik dari buku ini:

-Ikhtiar mencari jodoh yang baik adalah dengan mendekatkan diri kepada ALLAH. Di samping amalan wajib laksanakan bersama amalan-amalan sunat. Bagaimana cara terbaik mendekatkan diri kepada ALLAH? Pertama: Berzikir atau dengan kata lain amalan-amalan sunat. Ke dua: Qiamullai (menghidupkan malam dengan mengingati ALLAH). Ke tiga: Doa & terus berdoa. Ke empat: Mendirikan solat sunat Istikharah tapi usah salah anggap kerana solat istikharah bukan untuk mencari jodoh semata-mata. Ke lima: Pancinglah jodohmu dengan bersedekah. Ke enam: Usah lupa untuk sentiasa meningkatkan amal ibadah.

-Bagaimana dengan persiapan diri? Pertama: Hiasi diri dengan berakhlak mulia. Ke dua: Mari kita sama-sama memperbaiki penampilan diri kerana penampilan kita mencerminkan siapa diri kita. Kita ini membawa nama Islam jadikanlah Islam itu terserlah indah pada penampilan & keseluruhan kehidupan kita. Ke tiga: Membina kerjaya yang mantap (memperbaiki kewangan & perbelanjaan diri). Ke empat: Meningkatkan ilmu di dada. Ke lima: Bila kita mahu mendirikan rumah tangga tidak kiralah muslimah atau muslimin utamakan perbincangan dengan ibu bapa. Ke enam: Kawan atau sahabat memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi seseorang. Jadi pilihlah kawan yang dapat memberi nasihat bila kita terleka, dapat menyuluh jalan gelap saat kita tersasar.

Bukan mudah mahu membina Baitul Muslim andai fardu muslim masih tunggang-langgang berkecamuk dengan pelbagai rasa yang mengundang sukar di penghujung jalannya. Perbaiki fardu muslim dulu baru kuat nak bina Baitul Muslim. Sesetengah berbicara, kalau macam tu sampai bila aku tak kahwin. Itu hanya persepsi negatif. Pada pandangan penulis pembentukan peribadi individu muslim itu penting untuk melayakkan dia membina baitul muslim yang mengharap redha ALLAH semata-mata. Baitul muslim itu juga bergantung pada niat individu itu sendiri. Jika baik niatnya maka baiklah hasil & usahanya jika bukuruk sebaliknya pula yang akan ditempuhinya.

Membaca pengalaman-pengalaman peribadi penulis buku ini banyak menyedarkan penulis blog yang jodoh itu benar umpama rezeki. Kita menjemput rezeki dengan bermacam usaha, bekerja mendapatkan rezeki semua diusahakan sedangkan dalam bab jodoh terkadang penulis alpa untuk berusaha. Berusaha bukan bermakna penulis sebagai muslimah Islam harus menjual dirinya. Dirinya tetap mahal & berharga ibarat mawar berduri yang tidak bisa disentuh sewenangnya oleh tangan-tangan manusia.

Buku ini juga memberi jalan & ruang kepda penulis untuk berfikir lebih matang & membuka mindanya tentang bab jodoh. Ya, dia akui berdua itu lebih baik, namun harus bagaimana dicorakkan dua hati bersatu menjadi sinergi? Itu yang bermain di fikirannya sekarang.



Berkahwin, mendirikan rumah tangga, mengadakan walimah urus itu urusan sementara & barangkali mudah dengan izinNya. Namun, urusan pembinaan keluarga muslim selepas penyatuan dua hati bernama suami & isteri itu yang harus di fikir panjang & dirancang sebaiknya.

Bagaimana mahu dicorak anak-anak generasi Islam akan datang? Apa matlamat akhir sebuah perkahwinan? Mahu derita di dunia atau bahagia di akhirat? Bagaimana tanggungjawab isteri & suami harus dilunasi bagaimana? Nak kahwin? Sudah tentu semua orang punya impian untuk membina sebuah mahligai perkahwinan yang bahagia dunia & akhirat. Hanya orang muslim yang luar biasa itupunya perancangan buat ummah bukan bersifat seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.



Setakat ini sahaja coretan rinkas penulis tentang ceritera hatinya pada hari Jumaat ini. Mohon doa sahabat-sahabat semua semoga hari konvokesyen penulis & sahabat-sahabat berjalan lancar dengan izinNya. Detik indah bergelar graduasi bakal dikongsi & menghiasi blog ini nanti. Al-hamdulillah akhirnya tamat pengajian ijazah sarjana muda tunggu masa nak sambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi bukan untuk membangga diri tetapi kerana minat yang mendalam terhadap ilmu yang ada anugerah Ilahi ini.


Siiru ‘alaa barakatillah...salam Jumaat kareem


No comments:

Post a Comment