Sunday 9 November 2014

Hadiah Buat Ayah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH penulis memulakan bicara penulisannya semoga terus menusuk ke dalam sanubari kita semua. Al-Hamdulillah...ALLAH masih memberi penulis peluang untuk meneruskan penulisan blog ini. Suatu keberuntungan bagi penulis bila dapat meneruskan bait cinta dakwah Islam dalam blognya walau dia tahu dia hanya berkongsi cerita tentang kehidupannya. Pengalamannya, jejak musafirnya di bumi ALLAH ini, jendela kehidupannya benar-benar memberi ruang kepada penulis untuk bercerita di sini.

Hari ini masih lagi berkisar tentang cerita ayahanda kesayangan penulis. Ayah yang takkan sesekali penulis lupa tentang ceritanya. Dia sangat istimewa untuk penulis & anugerah terindah dari ALLAH buat penulis. Walau siapa pun ayah, ayah adalah ayah penulis hingga ke akhir kehidupan. Kisah tentang ayah takkan pernah berhenti, sungguh panjang & tak mampu diucapkan oleh penulis. 

Hari ni nak bagi satu lagi puisi istimewa buat ayah. Hadiah buat ayah. Akhirnya, insyaALLAH hujung minggu ini penulis bersama-sama kawannya akan bergraduasi & bakal berkonvokesyen 16 November 2014 nanti. Doakan moga hari tersebut berlangsung dengan jayanya. Bukan niat nak membanggakan diri, sekadar mahu berkongsi rasa gembira dapat menamatkan pengajian selama lebih kurang 4 tahun ini. Hadiah ini buat ayah. Sedihnya, ayah tidak dapat datang bersama meraikan hari bahagia penulis di universiti. Hanya adik-beradik & bonda tersayang datang menemani penulis. Ayah lekas berbicara mahu menghilang rasa sebak di dada puterinya, "Nanti, siapa nak jaga rumah ini? Semua dah pergi, ayah tak perlulah kamu risau. Nanti konvo adik kamu tu, ayah pergilah sana." "Ayah selamat hari lahir. Hadiah terindah buat ayah hari kovokesyen puteri ayah nanti." "Terima kasih, ha...moleklah tu. Bagi hadiah terus."

Ada nada sebak di akhir bicara ayah. Penulis terdiam seketika mencari semangat di sebalik kata-kata. Ayah satu-satunya lelaki yang berjaya menawan hati penulis. Adik-adik lelaki & abangnya antara penghias kehidupan penulis. Banyak yang penulis belajar tentang lelaki melalui keluarganya. Adik-adik lelaki benar-benar menguji keimananya, menduga kesabarannya, terkadang menguap rasa marah yang menyala, & dari situ penulis belajar mengenali lelaki. 

Puisi ini buat ayah:

Ayah
Terima kasih...terima kasih
Kasihmu tidak pernah terkurang
Walau jarang terserlah
Pengorbananmu tidak pernah putus
Walau kami terkadang tidak memahami
Marahmu tidak pernah salah
Walau menjemput rajuk kami
Sedihmu tidak pernah terlakar
Walau air mata peneman mengalir

Ayah,
Insan terindah anugerah ALLAH
Buat kami anak-anakmu
Walau terkadang kenakalan kami
Mengundang duka & marahmu
Ayah,
Diriku melakar hadiah
Lama menjadi impian ayah
Melihat puterimu ayah
Memegang ijazah bergraduasi
Memenuhi harapan murnimu

Hadiah ini istimewa buat ayah
Biar terlaksana impianmu
Biar menenang jiwamu
Biar menambah bahagiamu
Biar mengurang deritamu
Ayah,
Ini bukti ayah berjaya mendidik puteri ayah 
Ini bukti ayah dah cuba terbaik untuk anak ayah
Ayah,
Terus mendoakan anak-anakmu
Agar terus bisa melangkah
Bersama redha ALLAH
Menuju syurga abadi

Setakat ini sahaja, coretan hati penulis untuk hari ini. Cerita tentang hero penulis yang banyak memberi inspirasi untuknya membesar menjadi muslimah yang sebenar. Siiru 'alaa barakatillah.


No comments:

Post a Comment