Saturday 8 November 2014

Pelangi Kasih Ayah

Bismillahirrahmirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ALLAH masih memberi ruang pada penulis untuk melakar penanya di sini. Hanya mengisi ruang & minat mendalam pada penulisan. Mahu berkongsi sebahagian rentak hidup sebagai muslim. Memegang amanah sebagai khalifahNya, hamba ALLAH, anak, pelajar, kakak, sahabat, jiran, saudara seIslam, penulis terpanggil untuk mencoret sesuatu dalam blognya. Bukan untuk dibanggakan tetapi untuk tatapan dirinya yang sentiasa alpa. Lama benar kalam ini menyepi, bukan buntu dari idea tetapi masa sangat mencemburuinya ditambah kekangan internet & masalah 'notebook'nya segalanya tertangguh.

Al-Hamdulillah, kembali bertenaga selepas mendapat ruang menulis di sini. Tidak pernah penulis kisah jika blog ini tiada pembacanya, kerana akhirnya dia sendiri yang perlu menatap setiap bait kata yang ditulisnya. Memberi pengajaran pada diri yang sentiasa lemah dalam meneruskan perjuangan ini. Hari ini penulis terpanggil nak bercerita tentang seorang lelaki, Ya LELAKI PERTAMA dalam hidupnya. 

Tanggal 7 November 1953, lahirlah seorang bayi lelaki dalam sebuah keluarga. Bayi lelaki ini diberi nama Yaakob bin Seman. Dia membesar menjadi kanak-kanak yang sangat bertanggungjawab & berdikari. Hidupnya penuh dengan kesusahan. Dia berbeza dari kanak-kanak lain. Saat orang lain sibuk bermain dengan kawan-kawan, dia terpaksa mengorbankan masanya dengan bekerja. Lelaki inilah yang menjadi hero pertama penulis. Lelaki ini ayahanda penulis. 7 November 2014 genaplah umurnya 61 tahun. Ya, jelas kelihatan garis-garis kedut di wajahnya. Namun dia tetap kelihatan tegap di mata penulis. Dia ayah yang sangat banyak berkorban untuk anak-anaknya. Bila bicara tentang ayah, air mata penulis begitu senang mengalir, bukan kerana ayah tak sayang dia, tetapi kerana kasih sayang ayahlah penulis dapat menjadi muslimah seperti sekarang.

Pernah penulis impikan seorang suami seperti ayah, pernah penulis andaikan jika semua lelaki seperti ayah, dah tentu tiada lagi kejahatan bermaharajalela...tiada lagi kesusahan & keresahan memeluk jiwa anak-anak. Biar pada hakikatnya ayah tegas & garang wataknya, tetapi bicara kata ayah mampu membuat hati penulis tersentap ketika. Setiap kata nasihatnya sentiasa di ingatan penulis. Ayah selalu pesan jaga diri di rantau orang. Jaga maruah keluarga, jaga ALLAH walau kat mana pun kamu berada. Itulah ayah yang sentiasa dekat di hati anak-anaknya.

Jadi tidak salah rasanya penulis mengabadikan sebuah puisi buat ayahanda tercinta. Hero yang terhebat anugerah ALLAH pada penulis. Ayah, selamat hari lahir yang ke-61 semoga ayah sentiasa sihat ya. Ayah jangan lupa jaga kesihatan tau, berpantang apa yang patut, makan ubat betul-betul. Ayah, puteri ayah ini merindui suara merdu ayah mengalunkan kalamullah, suara tegas ayah memberi nasihat, wajah ayah yang menenangkan, tingkah ayah yang penuh berhemah, bicara ayah yang sangat mendamaikan. Ayah, terima kasih untuk segalanya...puteri ayah ini memohon seribu kemaafan di atas segala khilafnya...saya sayang ayah kerana ALLAH.

Kasihmu
Tidak pernah terkurang
Walau sukar dilafazkan
Marahmu
Seakan merobek segala senyuman
Menambah luka terkadang
Tidak berkesudahan
Suara merdumu
Mengalun kalimah kalamullah
Mainan bangun tidur anak-anak

Keringatmu
Tumpah melimpah
Walau dirimu dihimpit sukar
Walau dirimu dikelilingi derita
Pelangi kasih ayah
Terlakar indah penuh bercahaya
Tiada terkurang mahu terlebih
Mewarnai corak kanvas cahaya mata
Bersama cinta Sang Pencipta

Ayah,
Selamat Ulang Tahun Kelahran ke-61
Ucapan ikhlas dari anakandamu
Moga bahagia menjadi mulik ayah
Tiada hadiah mampu diberi
Tiada kata mampu diucap
Tiada rasa mampu diterjemah
Hanya doa untuk ayah
Pengganti diri yang jauh

Ayah,
Keberadaanmu berharga
Mencorak kami menjadi manusia
Mengenal kami pada Tuhan Sang Pencipta
Memimpin kami ke syurga
Mengajar kami pahit manis dunia
Dia sebaik-baik ayah yang kami ada

No comments:

Post a Comment