Sunday 24 February 2013

Jom kita cinta Rasulullah s.a.w


Cinta Rasulullah s.a.w

Salam seindah wangian cinta Kekasih ALLAH…Nabi Muhammad s.a.w
Al-Hamdulullah…ALLAH masih memberi aku kesempatan untuk meluah rasa cintaku kepada Rasulullah s.a.w.

Kita selalu katakan kita sangat mencintai dan merindui susuk tubuh milik Rasulullah s.a.w
Kita selalu bisikkan pada diri kita nak jadi umat Rasulullah s.a.w yang baik
Kita selalu menyambut maulidur Rasul setiap kali tiba bulan Rabiul Awal
Kita teringin menatap wajah Rasulullah s.a.w dalam mimpi tidur kita…
Tapi…apa usaha yang mampu kita lakukan setiap kali kita rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w? Adakah kita hanya mampu menutur rasa sayang dan rindu tetapi tak mampu berbuat apa-apa? Tepuk dada tanya iman kita.

Bila kita cinta pada ALLAH…kita cuba melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya…kita solat, puasa, zakat, menjauhi perkara syirik, berpuasa bulan Ramadhan , buat baik pada mak ayah, dan kita cuba buat  semua amalan-amalan ibadah yang wajib, dan dihias pula amalan-amalan sunat.Betul tak???

Bila kita cinta pada IBU AYAH…kita berusaha melakukan apa yang ibu dan ayah kita suruh kan? Kita buat apa yang ibu dan ayah kita suka…tolong ibu memasak, tolong ayah basuh kereta, tolong ayah bersihkan halaman rumah, belajar bersungguh-sungguh, ikut segala perintah ayah dan ibu dan semestinya kita cuba untuk menjauhkan diri dari menimbulkan kemarahan ibu dan ayah. Betul tak???

Bila kita cinta pada ILMU…apa kita buat? Kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu ilmu tak kira kita terpaksa menghabiskan duit yang agak banyak tapi semata demi memenuhkan ilmu di dada kita cuba buat sesuatu. Belajar dalam kelas, bertalaqqi dengan ulamak-ulamak, bertanya pada orang yang pakar, mengkaji sesuatu ilmu dengan baik, belajar hingga faham dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan ilmu tersebut. Betul tak???

Bila kita cinta pada HARTA…kita akan berusaha untuk mendapatkan duit yang banyak bukan? Bekerja dengan sebaiknya dan terkadang mengambil risiko bekerja dengan macam-macam kerjaya, tanya orang bagaimana tips nak dapatkan duit yang banyak, berniaga, pelaburan dan sebagainya. Betul tak???





Bila kita cinta pada AL-QURAN…kita berusaha untuk membacanya pada setiap hari. AL-Quran sentiasa dibelek dan kita cuba untuk mentadabburnya. Belajar al-Quran dengan ustaz-ustaz yang bertauliah, menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran, memahami isi kandungan al-Quran dan memperoleh ketenangan yang tak mungkin kita dapat masa kita baca novel atau buku-buku biasa. Betul tak???

Bila kita cinta pada BAKAL SUAMI @ BAKAL ISTERI…kita berusaha untuk menjadi yang terbaik pada pandangan ALLAH bukan? Sebab kita mahukan yang soleh dan solehah jadi usaha kita berganda dan tentunya berbeza dengan cinta biasa dalam novel cinta. Kita tak putus berdoa moga ALLAH anugerahkan kepada kita bakal suami @ isteri yang soleh @ solehah, istikharah setiap malam menghiasi kamus kehidupan kita, ubah diri menjadi yang terbaik sebab kita nak bina generasi-generasi yang boleh berjuang demi Islam. Betul tak???

Itu tanda cinta kita pada ALLAH, ibu ayah, ilmu, harta, Al-Quran dan bakal suami @ bakal isteri…kita cuba zahirkan rasa cinta itu dengan tindakan kita…tapi bagaimana cinta kita pada Rasulullah s.a.w? Adakah kita kata kita cinta Rasulullah s.a.w tanpa berbuat apa-apa? Renung kembali dalam dua puluh empat jam yang ALLAH anugerahkan kepada kita ada tak masa kita peruntukkan untuk memperingati Rasulullah s.a.w? Tak kiralah bagaimana cara dan wasilahnya.

Bila kita kata kita cinta RASULULLAH S.A.W…kita cuba berusaha meluangkan masa walau sebentar untuk mengingati Baginda s.a.w dengan berselawat kepada Rasulullah s.a.w…duduk menunggu kawan, tengah tunggu bas, menaiki bas, mengisi masa kosong, sambil menolong ibu dan ayah, sambil menonton tv, sambil melayan adik-adik di rumah. Nak seribu daya tak nak seribu dalih. Cinta Rasulullah s.a.w? Usah buang masa berselawat pada Baginda s.a.w dan membaca buku-buku berkenaan sirah Rasulullah s.a.w.
InsyaALLAH…rasa cinta dan rindu kita pada Rasulullah s.a.w akan terhias indah seiring dengan tindakan kita. Kita kata kita cinta Rasulullah s.a.w, jadi mulakan langkah kita menuju cinta ALLAH dan Rasulullah s.a.w.

Sunday 17 February 2013

Teristimewa buat Sahabat


Cintakan Ilmu, Cintakan Akhirat
Salam kasih sayang kerana ALLAH…
Al-Hamdulillah…tarikh 17 Februari 2013 (Ahad) menjadi hari pemula untuk QalamWardahZinnirah berusaha menjadi pencinta ilmu. Nak tahu kisah di sebalik tarikh ini? Jom teruskan pembacaan! Perkongsian bersama tentang pengisian majlis ilmu.

Kisahnya bermula dengan mendapat mesej pesanan ringkas daripada seorang sahabat, “Kuliah dhuha perdana kat Masjid Putra Nilai.Kol 8 sampai kol 12. Dr. Zulkefli al-Bakry dengan ustaz Haslin Bahrin…jom2! Kita p skali. Sok ada bas nak p kampus. Kita naik skali…^^”
 QalamWardahZinnirah mulai tertanya-tanya sama ada mahu memenuhi ajakan sahabatnya atau tidak. Syaitan mulai membisik kata tak payah pergilah…hati kecil mulai menyusun bicara jomlah pergi majlis ilmu banyak faedahnya.

Keesokan paginya hati kecil membisikkan kata “Aku kena pergi selain memenuhi ajakan sahabat, ini tandanya aku melafaz kata cinta pada ALLAH.” Pantas kami bersiap dan menaiki bas menuju ke majlis ilmu.

Hatiku mulai bersorak kegembiraan yalah berjaya menewaskan kehendak hawa nafsu. Masjid ku langkah masuk penuh kerendahan hati, “Al-Hamdulillah…akhirnya ku sempat melangkah ke rumah ALLAH yang penuh dengan keberkatan.”

Ketenangan meresap dalam jiwaku. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui situasi diriku ketika itu. Nak rasa betapa tenangnya berada di masjid? Apa kata kita sama-sama memenuhkan saf di masjid. Senang sahaja, mujahadah tinggi bawa kereta, atau tunggang motor pergi ke masjid. Berjalan kaki pun boleh…pahala pun banyak. ^_^

Dalam jam 9 pagi Ustaz Dr. Zulkefli al-Bakry memulakan bicaranya. SubhanaALLAH… girang hati mendengar suara ustaz yang sangat hebat dengan ilmu-ilmu agama. Setiap butir patah katanya sangat bermanfaat untuk semua yang mendengar bicara beliau. Ustaz membicarakan tentang tiga buah buku yang berbeza dalam masa satu jam.

Antara isi penting yang dibicarakan ustaz adalah:
-       Tayammum sebagai ganti mandi wajib
-       Bab nafkah dalam buku Fiqh manhaji (nafkah bapa kepada anak & nafkah anak terhadap seorang bapa)
-       Pengisian rohani (Buku Tasawwuf) – kemanisan dalam beribadah dan kehidupan (kisah Uwais Al-Qarni yang sangat menitikberatkan tentang ibadahnya)

Bertemankan sahabat di sisi diriku cuba mencari kekuatan menuntut ilmu dan mencari keberkatan dalam mencari gali ilmu yang ada. Jazakillah khaira jaza’ buat Azizah dan Aimi yang menemaniku bersama-sama dalam menuntut ilmu di masjid Putra Nilai.

Dalam kegembiraan menuntut ilmu, diriku sempat menemui sahabat-sahabat yang sangat aku rindui kerana ALLAH. Nak katanya perasaan hati kami kuat bertaut kerana ALLAH, sampai boleh terjumpa pulak kat masjid. Kami saling bertanya khabar dan tidak menyangka kami akan berjumpa di majlis ilmu. Berkongsi sedikit cerita di sepanjang kejauhan kami sebelum ini. Majlis ilmu kembali bersambung dengan forum antara Ustaz Dr. Zulkefli al-Bakry dan Ustaz Haslin. Sekali lagi hatiku berbunga dan tidak sabar menuntut ilmu dari ustaz-ustaz yang sangat hebat.

“Kebahagiaan Dunia dan Akhirat” menjadi tajuk pilihan untuk forum kali ini. Kehadiran jemaah masjid juga agak menggalakkan. Meriah Masjid Putra Nilai dengan kehadiran muslimin dan muslimat serta anak-anak comel yang dahagakan ilmu.

Ustaz Dr. Zulkefli al-Bakry menyusun bicara menarik nafas mahu mengumpul tenaga mencari kekuatan untuk menyampaikan ilmu untuk para hadirin. Banyak pengisian yang dikongsi bersama kami dan banyak ilmu yang dicurahkan oleh insan yang sangat mencintai ilmu. Antara pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Zulkefli al-Bakry:

1)    Hati yang baik dimulai dengan niat dan matlamat yang jelas untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. (kerana mencari keredhaan ALLAH dan mahu menjadi hamba ALLAH yang soleh dan solehah)
2)    Kebijaksanaan dan berstrategi dalam mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. (Lipatgandakan usaha mendapatkan pahala dan berusaha memperoleh pahala yang berpanjangan)
Forum tersebut diteruskan dengan kehadiran Ustaz Haslin. Kehadiran ustaz lagi menggamitkan majlis ilmu tersebut. Ustaz Haslin memulakan bicaranya dengan membaca surah al-Mukminuun ayat 1-11. Kemudian, disambung dengan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Ada dalam kalangan manusia yang dipilih ALLAH menjadi pembuka kepada pintu kebaikan dan penutup kepada pintu kejahatan. Dan ada dalam kalangan manusia yang dijadikan ALLAH sebagai pembuka pintu kejahatan dan penutup pintu kebaikan. Beruntunglah bagi mereka yang membuka pintu kebaikan dan menutup pintu kejahatan. Dan celakalah bagi mereka yang membuka pintu kejahatan dan menutup pintu kebaikan.”

Ustaz Haslin menyambung lagi dengan membaca surah Asy-Syam ayat 7-10 yang bermaksud:
7. Demi jiwa serta penyempurnaannya(ciptaan)Nya
8. Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan & ketaqwaan
9. Sugguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu)
10. & sungguh rugi orang yang mengotorinya

Ustaz Haslin menyambung lagi dengan membahaskan mengenai surah Al-Mukminun ayat 1-11. Banyak isi penting yang digariskan oleh beliau melalui surah tersebut dan penambahan daripada ustaz antaranya:
1)    Khusyuk ketika solat yang membawa kepada kebahagiaan dunia & akhirat
2)    Menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna
3)    Berjaya menjalankan syariat ALLAH di muka bumi ini
4)    Menunaikan zakat
5)    Memelihara kemaluan
6)    Berjaya melahirkan keluarga yang bertaqwa
7)    Memelihara amanat & janji-janji
8)    Memelihara solat
9)    Merekalah orang yang layak mewarisi (syurga) Firdausi

Di bawah QalamWardahZinnirah kongsikan terjemahan surah al-Mukminun ayat satu hingga sebelas dalam bahasa Inggeris. Ya sambil menyelam minum air, sambil menuntut ilmu sambil belajar bahasa baru. Moga beroleh manfaat untuk diri yang lemah ini.
In the name of ALLAH, the Most Gracious, the Most Merciful
1.    Successful indeed are the believers
2.    Those who offer their solat (prayer) with all solemnity and full submissiveness
3.    & those who turn away from al-Laghw (dirty, false, evil vain talk, falsehood, & all that ALLAH has forbidden)
4.    & those who pray the Zakat
5.    & those who guard their chasity (i.e. private part, from illegal sexual acts)
6.    Except from their wives or (the slaves) that their right hands possess, - for then, they are from blame
7.    But whoever seeks beyond that, then those are the transgressors
8.    Those who are faithfully true to their amanat (all the duties which ALLAH has ordained, honesty, moral responsibility and trusts) & to their covenants
9.    & those who strictly guard their (five compulsory congregational) salawat (prayers) (at their fixed stated hours)
10. Those who indeed the inheritors
11.  Who shall inherit the Firdaus (Paradise). They shall dwell theirin forever

Tamat sahaja ucapan Ustaz Haslin disambung dengan penutup oleh Ustaz Dr. Zulkefli al-Bakry. Majlis ilmu yang sangat berilmu. Penuh terisi dengan tazkirah-tazkirah yang mendekatkan diri kepada ALLAH. ‘Ala kulli hal, nak berjaya dunia akhirat kena letak ALLAH nombor satu dalam semua matlamat kehidupan kita.

Kami pulang ke rumah dengan semangat yang mencintai ilmu ada nada mengajak untuk kembali datang ke Masjid Putra Nilai untuk kali ke dua dan kali ke seterusnya. Diriku cukup tersentuh bila ada sahabat yang mengingatkan aku untuk dating menghadari majlis ilmu. Dia mengingatkan diriku pada ALLAH, apa salahnya diriku menghargai kehebatan dirinya mengajakku ke arah kebenaran dan kebaikan. Jadi, satu mesej ku layangkan pada sahabatku,

 “Indahnya hidup bersahabat kerana ALLAH, walaupun hati kita pernah gundah, waktu rehat jarang indah, kerja pula makin bertambah…tapi bersahabat tetap indah…dengan shbt ada yang memberi nasihat & tazkirah…ada yg mengajak menuntut ilmu, ada ruang untuk memuhasabah…ada shbt untuk kita berkongsi masalah…ada masa utk kita fikir masalah ummah…sungguh indah hidup bersahabat kerana ALLAH…Ya ALLAH syukur kerna kami bershbt krnMu, walhal dosa kami beribu2, pahala pula hanya tumpang lalu…wahai Nabi, kami rindu padamu, kami rindu utk bertemumu:-D Terima kasih sepanjang kita bersama, kenangan yang sangat bermaknaJ

Sahabatku membalas dengan menghantar mesej yang berbunyi, “Ya ALLAH…akak, jujur its really touch me…luv you so much because of ALLAH.” SubhanALLAH, diriku terkesan sambil tersenyuk membaca mesejnya.

Hari ini mengajar diriku erti menghargai kehadiran sahabat yang sangat baik mengajak sahabatnya kepada kebaikan dan satu lagi belajarlah mencintai ilmu dan tetap hadir ke masjid yang dilimpahi keberkatan. Sayang sahabat anda kerana ALLAH & selalulah mujahadah diri untuk datang ke masjid dan menuntut ilmu.^_^ ^_^^_^



  

Thursday 14 February 2013

SubhanALLAH...Hebatnya Ciptaan ALLAH


Indahnya ciptaan ALLAH

Al-Hamdulillah…ALLAH memberiku peluang untuk menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi. Selama ku menghirup oksigen anugerah ALLAH, diriku sempat melihat keindahan alam di kawasan pesisir pantai, pulau, kawasan bandar, kawasan kampung, air terjun, tasik, dan hutan rimba. Tempat yang paling kerap dilihat oleh diriku dan sangat sesuai untuk merasa betapa agungnya ALLAH adalah kawasan kampung dan pesisir pantai.

SubhanALLAH…damainya hati saat diriku asyik menikmati keindahan alam ini. Ya ALLAH…jika berpeluang izinkan aku untuk terus menikmati keindahan alam ciptaanMu. Ya ALLAH…jika berkesempatan aku tidak ingin berjauhan dari keindahan alam ini. Alam ini membuatkan aku mulai terfikir, Ya ALLAh betapa agungnya ciptaanMu…betapa kerdilnya diriku yang hanya menjadi hamba ALLAH. Alam ini membuat aku menjadi insan yang sentiasa berfikir betapa hebatnya kuasa ALLAH.

SubhanALLAH…damainya jiwaku saat aku berpeluang singgah ke pesisir pantai. Ombak yang menghempas pantai menenangkan jiwaku yang resah. Bunyi ombak yang berdesir di pantai membuatkan aku lupa pada permasalahan. Luas mata memandang bila melihat laut yang sangat indah. Laut membiru, awan memutih burung pula tidak kurang turut berdendang merdu. Bila melangkah di pesisir pantai, subhanALLAH…pepasirnya sangat lembut ibarat permaidani tebal membelai kaki yang menyusun langkah. Sungguh diriku jatuh cinta pada pantai dan Penciptanya.

SubhanALLAH...damainya sanubari saat melangkah pulang ke kampung halaman. Kenangan membesar di kawasan kampung bermain di fikiran. Udara segar mengusap pipi…burung berkicauan seolah-olah menyambut kehadiran si perantau…pokok-pokok melambai indah seolah-olah menyukai kehadiran anak watan…ibu ayah sudah pasti menunggu kepulangan anak kesayangannya. Bila di kampung nikmatnya sangat banyak, nak buah panjat sahaja pokok, nak sayur petik sahaja belakang rumah, nak bermain badminton halaman rumah menjadi mangsa, jiran-jiran juga peramah dan ambil berat sesama mereka. Sungguh diriku jatuh cinta pada kampung dan Penciptanya.

SubhanALLAH…damainya qalbu saat menziarah kawasan air terjun bersama-sama sahabat-sahabat. Bunyi air terjun yang sangat mengulit rasa bahagia pada pencintanya…air yang mengalir deras tanpa henti walau disekat batu-batu yang besar memberi makna yang cukup besar kepada manusia yang sentiasa berfikir…burung turut riang bernyanyi menjadi melodi yang cukup indah bagi pendengarnya…udara segar menyegar pemikiran…pokok-pokok tumbuh segar di sisi air terjun menjadi hiasan yang sangat indah…Ya ALLAH hebatnya penciptaanMu. Aku jadi kagum dan menghargai kasih sayangMu.
SubhanALLAH…tenangnya fikiranku saat aku melangkah ke pulau. Ingin sahaja ku bisikkan pada pulau bahawa aku mahu tinggal di situ. Pasirnya halus saat aku memijaknya…udaranya juga masih belum dicemari asap berganda…

SubhanALLAH… diriku sempat menikmati keindahan alam di dalam air yang dalam( ada banyak ikan yang ceria berenang, ada batu karang yang hidup senang dan ada panorama yang tidak mungkin aku dapat di daratan)…ombaknya juga bisa menenangkan jiwaku yang kusam…yang pasti semua keindahan alam yang diriku nikmati menggetarkan jiwaku untuk mengingati ALLAH…mengajak aku zikrullah saat melihat keindahan ciptaanNya. Sungguh diriku jatuh cinta pada pulau dan Penciptanya.

Indahnya ciptaan ALLAH walau masih banyak lagi alam yang belum bisa diriku lihat. Sahabat-sahabat bila berpeluang melihat dan menikmati keindahan alam ciptaan ALLAH, nikmatilah sepuasnya kerna alam mengajar kita mendekatkan diri pada ALLAH. Lihatlah sebaiknya kerna alam ini mendatang rasa cinta yang sangat agung pada ALLAH. Ini salah satu cara kita mendekatkan diri padaNya.

Jika diriku diberi kesempatan aku ingin melangkah kaki ke Tanah suci Makkah…melihat keindahan agung di hadapan mataku…beribadah mendekatkan diri padaNya…meletakkan diriku pada tahap ketenangan yang sangat luar biasa.

Jika diriku diberi kesempatan ingin sahaja aku bermusafir mencari cinta ALLAH ke Tanah Arab, Negara Barat dan Asia…melihat kebesaranNya pada sudut pandang yang berbeza…melihat keindahan alam di setiap sudut dunia.

Walau apapun impian kita duhai sahabat…biarlah kita pasakkannya kerana mencari keredhaan ALLAH. Moga doa kita dimakbulkan Tuhan.


Pantai yang indah:-)


Kawasan air terjun yang menyamankan:-)


Kawasan sungai yang mendamaikan:-)

Istimewa buat Pejuang Agama


Berjuang kerana ALLAH

Jalan perjuangan tidak pernah di hamparkan dengan permaidani merah yang mewah…
Jalan perjuangan demi kegemilangan Islam tidak dihiasi dengan manis pandangan manusia juga penghargaan mereka…
Jalan perjuangan penuh dengan duri dan liku yang panjang…
Jalan perjuangan dipenuhi dugaan
Menuntut pengorbanan dan keikhlasan
Dari insan bergelar pejuang Islam…

Dia sanggup syahid menanti ke syurga…
Dia sanggup berkorban perasaan, harta, pangkat, masa, keluarga dan diri…
Dia sanggup menadah telinga mendengar cemuhan dan kemarahan manusia yang tidak suka kebaikan melingkari kehidupan makhluk
Dia sanggup berpenat lelah demi keberlangsungan Islam
Dia berjuang kerana ALLAH…Dia berperang demi Islam

Duhai diri dan sahabat…
Bersabarlah saat kita diuji pada jalan perjuangan ini
Berdoalah moga hati dan jasad kita masih tetap pada jalan perjuangan ini
Berlapang dada menerima dugaan yang mendatang
Bertenanglah diri saat orang lain resah menanti rebah
Nak dapatkan sesuatu yang berharga tinggi…usahanya juga perlu berganda
Nak tengok kerajaan Islam dipraktik secara keseluruhan di seluruh pelusuk bumi, umat Islamnya mesti mempunyai kekuatan hati yang berganda usahanya juga perlu berganda.

Kita tak pantas bergelar pejuang Islam bila saat sahabat kita hilang kita terus jatuh tersungkur menyembah bumi…adakah kita berjuang kerana sahabat?
Kita tak pantas bergelar pejuang Islam bila tiba saat kita diuji dengan dugaan bertimpa kita tak tahu nak mengadu pada siapa…sedangkan sedarkah kita? Kita ada ALLAH  yang sentiasa menemani setiap nafas dan detik kehidupan kita…kita terus menghilang dari jalan perjuangan dek kerna tak tahan dengan ujian.




ALLAH tidak melihat setakat mana usaha kita untuk Islam tapi ALLAH memandang apa sumbangan kita demi kegemilangan Islam di muka bumi. Tak kisah apa usaha kita asalkan kita punya langkah untuk membumikan Islam di negara kita. Biar semua makhluk merasai manisnya dan amannya dengan kehadiran Islam yang syumul. Semua Muslim berperanan besar dalam menyampaikan dakwah Islam kepada semua makhluk.

Firman ALLAH S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud:
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar (Makruf ialah segala perbuatan yang mendekatkan diri kepada ALLAH, sedangkan mungkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan diri dari ALLAH). Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Berjuanglah duhai sahabat…saat yang lain seronok melayari kehidupan sebagai orang biasa…kita mahu menjadi luar biasa pada pandangan ALLAH bukan? Biar kehidupan kita bersulam perjuangan Islam, biar matlamat kita adalah kehidupan akhirat yang bahagia, biar hari-hari kita penuh dengan pengabdian kepada Tuhan, dan biar tenaga, wang, diri, keluarga dan masa menjadi sumbangan kepada perkembangan Islam kerna pada pengakhiran kita akan ada kebahagiaan yang sukar diperoleh tanpa usaha kita pada jalan ALLAH.
Berjuang bukan bermakna kita mengangkat senjata sahaja, tapi menuntut ilmu…membantu gerak kerja Islam…mengajak kepada yang makruf…mencegah kemungkaran…mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran ilmu dan sebagainya juga merupakan salah satu jalan kita berjuang. Asal kita meletakkan matlamat utama kita adalah kerana ALLAH dan Islam. Jom kita selak Al-Quran yang mengandungi banyak ayat-ayat mengenai jihad dan perjuangan!

Firman ALLAH S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi ALLAH orang-orang yang berjihad (Jihad dalam erti kata: a) Berperang untuk menegakkan Islam dan melindungi orang Islam. b) Memerangi hawa nafsu. c) Mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam. d) Membanteras kejahatan dan menegakkan kebenaran) di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.” 

Selamat Kembali Belajar di Madrasah Universiti


Belajar kerana ALLAH
Menuntut ilmu adalah sangat penting pada zaman yang serba moden ini. Apa itu ilmu? Ilmu yang membuat kita kenal ALLAH…kita kenal ilmu dunia…kita kenal agama…hidup dalam keberadaban yang tinggi…bila ada ilmu semua orang pun suka. Tanpa ilmu seseorang hanya digelar orang yang tiada apa-apa walau dia seorang yang kaya. Tanpa ilmu seseorang tidakkan mudah hidup di dunia selalu di tipu dan mudah dihina manusia lain. Walau demikian, ilmu ini menuntut pengorbanan jua menuntut keikhlasan.

Sejak kecil kita diajar oleh ibu dan ayah untuk belajar merangkak, bertatih, berjalan, nak makan juga perlu belajar dan nak minum juga perlu belajar. Itu ketika kita masih kanak-kanak. Sejak lahir kita disuruh belajar. Mengerti kehendak ibu ayah mahu kita menjadi manusis yang berguna dan pandai pantas kita belajar ketika berumur enam tahun. Walau pada permulaannya, kita asyik menangis mahu ibu temankan dan lama-kelamaan kita biasa ditinggalkan ibu di sekolah. Kita belajar kenal a, b, c dan alif, ba, ta. Di sekolah kita mulai kenal kawan-kawan dan guru-guru.

Kita mulai memasuki sekolah rendah. Kehidupan sebagai seorang pelajar semakin mencabar. Ketika ini kita seronok belajar bermacam-macam perkara daripada matapelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris hinggalah Lukisan. Kawan mulai pandai membawa pengaruh sama ada baik atau buruk. Waktu ini tahap kenakalan semakin memuncak bila tiada yang memberi tunjuk ajar. Pelajar yang pasif tetap dengan sikap pendiamnya, pelajar yang nakal cuba membuat huru-hara jika tidak dibendung awal. Kita masih digelar seorang pelajar dan masih belajar.

Tiba masanya kita melangkah pula ke alam persekolahan menengah. Usia menginjak ke tiga belas tahun. Usia ini biasanya seorang remaja bertindak sesuka hatinya andai tiada pengawasan berterusan dari ibu ayah. Sikap ingin tahu pada awal remaja membarah dalam diri mereka. Bila sikap ingin tahu di luah pada perkara yang baik itu tidak dirisaukan, tapi jika sifat ingin tahu itu menjebaknya ke arah perkara yang tidak baik itu yang perlu diambil serius. Waktu jiwa muda sedang memberontak inginkan sesuatu yang baru, belajar menjadi matlamat utama bila ibu ayah pandai mendidiknya menyatakan belajar dan ilmu sangat penting untuk kehidupan kamu akan datang.

Sukarnya hidup sekarang bila ibu ayah tidak mampu memberi kasih sayang dan nasihat-nasihat berguna kepada anak-anak. Akibatnya ramai remaja yang hidup bebas bersosial tanpa ada tercalit rasa berdosa kepada ALLAH dan ibu ayah. Ada yang mencintai ilmu terus tenggelam dalam mencari gali dan mengkaji ilmu-ilmu yang wujud. Dia mahu menjadi insan yang berguna pada bangsa dan agama. Dia mahu menjadi pembela kepada agamanya, dia tidak mahu dikata pembawa malang bagi agamanya. Dia tidak mahu dikata penganut agama Islam yang tidak menyumbang apa-apa kepada perkembangan Islam.

 Jadi, dia cuba untuk menguasai pelbagai sudut bidang ilmu, akademik, keduniaan, dan keagamaan…kerna dia yakin itu keperluan umat Islam sekarang. Itu situasi pemuda yang berjiwa besar tahu dan yakin matlamat hidupnya untuk Islam. ALLAH sendiri telah menceritakan dalam Al-Quran mengenai kedudukan orang yang berilmuadalah lebih tinggi di sisiNya berbanding orang yang tidak berilmu.
Firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Mujadilah ayat 11 yang bermaksud:
“ALLAH meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat.”

            Bila tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masing-masing sibuk berkira mahu melanjutkan pelajar di peringkat universiti atau masih mahu menjadi calon STAM atau STPM. Ada yang masih belum membuat sebarang persediaan untuk memasuki alam universiti meneruskan perjuangan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Di situ dah banyak ibu ayah keluarkan duit untuk perbelanjaan pembelajaran kita. Betapa ibu ayah mahu melihat anak-anaknya berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran menjadi insan yang berilmu. Biarpun si ibu dan si ayah tidak dapat melanjutkan pelajaran seperti anak-anaknya kerana kekangan duit. Cukup sekadar melihat si anak dapat belajar hingga ke peringkat yang paling tinggi.

            Semakin banyak yang kita belajar, semakin banyak pula yang kita tidak tahu. Yalah…ilmu ALLAH ini Maha Luas. Lihat sahaja buktinya pada Kalamullah, terang lagi bersuluh tentang kehebatan ilmu-ilmu ALLAH.
Firman ALLAH S.W.T dalam surah Al-Kahf ayat 109 yang bermaksud:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).”

`           Al-Hamdulillah…ALLAH masih memberi kita peluang untuk belajar di peringkat universiti. Wah lagi banyak ilmu yang kita kena belajar dan kita kena tahu yang menjadi teori dan akan dipraktik nanti. Kita cuba terjun dalam kepimpinan, menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk badan beruniform, badan induk universiti, persatuan-persatuan semata mahu menambah bonus dan kemahiran pada diri kita. Kita belajar cara berkomunikasi dengan baik, kita belajar keindahan bahasa Arab, kita belajar bahasa-bahasa yang banyak, kita belajar bahagian ekonomi dan muamalat, kita belajar ilmu sains dan teknologi, kita belajar kesenian Islam, kita mendalami ilmu Al-Quran dan As-Sunnah, kita belajar ilmu-ilmu Feqh yang sangat banyak mendorong kita menjadi muslim yang berpegang teguh pada agama Islam, kita belajar menjadi seorang hakim yang adil dan ilmu-ilmu lain.

            Masa di universiti adalah masa yang terbaik untuk kita belajar banyak perkara. Pengalaman yang banyak juga bisa dikutip ketika kita belajar di universiti. Belajar itu seronok bila kita letakkan pada hati betapa hebatnya ulamak-ulamak dan ilmuwan-ilmuwan terdahulu mengejar ilmu hingga sanggup bermusafir dan mereka menjadi pakar dalam pelbagai sudut bidang ilmu.

            Usah dilupa bila kita belajar kita mesti nak letakkan ALLAH sebagai matlamat utama kita. Bila kita belajar kerana ALLAH segala dugaan, ujian, mehnah ketika menuntut ilmu dah tentu kita dapat atasinya kan? Belajar kerana ALLAH sangat berkait rapat dengan NIAT. Apa maksud niat? Kata orang lintasan hati atau bisikan hati yang hanya diketahui oleh diri dan ALLAH.

Bila bicara pasal niat dan hati terus terlintas pada hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs, Umar bin Khattab r.a berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana ALLAH dan RasulNya, dan barangsiapa berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau wanita yang hendak dinikahinya, maka dia akan mendapat apa yang dia tuju.” {HR BUKHARI}

Jadi, usah tunggu lama-lama betulkanlah niat belajar kita sama ada kerana ALLAH atau kerana manusia kerna niat yang menjadi pemula segala sesuatu sama ada pemulanya baik atau buruk itu terpulang pada diri kita. Orang selalu kata, ‘letakkan impian kita setinggi bintang, kerna impian yang tinggi biasanya beroleh kejayaan.’ Sama juga dengan niat kita belajar kerana apa? Letakkan niat belajar kita kerana ALLAH…InsyaALLAH manisnya ketika belajar akan kita kecapi dengan mudah. Proses belajar takkan terhenti sehingga terhentinya nafas kita di dunia ini.