Wednesday 4 October 2017

Sanah Helwah Habibi Mahbubati (041088-041017)

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan izinNya penulis masih berkesempatan mencoret rasa berkongsi indahnya iman kerana ALLAH. Al-Hamdulillah dengan kesempatan yang ada hari ini penulis mahu berkongsi sesuatu yang istimewa baginya. Menghargai insan-insan yang hidup menyayangi penulis kerana ALLAH adalah satu kepuasan dan nikmat serta anugerah terindah bagi penulis. Menghargai mereka itu tanda syukur dengan kurniaanNya. Menghargai mereka itu tanda sayang penulis pada mereka. Menghargai mereka itu tanda kebahahagiaan paa setiap insan-insan yang dianugerahkan ALLAH pada penulis. Kalian sebagai pembaca juga merupakan hadiah ALLAH kepada penulis. Syukur Al-Hamdulillah...

Al-Hamdulillah...tanggal 04 Oktober 1988 lahir seorang bayi lelaki bongsu dalam sebuah ahli keluarga menggantikan kakaknya yang telah dijemput Ilahi menghadap ALLAH pada tahun yang sama. Allahyarhamah kakaknya sempat berpesan agar adik lelakinya nanti diberi nama Noriskandar Shah. Meraikan permintaan anak perempuannya si ibu meletakkan nama Noriskandar bin Mat So yang lahir seberat 4.8kg memaksa ibunya melahirkan dengan cara pembedahan. Pengorbanan seorang ibu yang tiada tandingannya. Hargailah ibu yang telah melahirkan dan membesarkan kita.

Dia membesar sebagai seorang lelaki yang baik. Walau terkadang kenakalannya memeningkan kepala ibu dan ayahnya, biasalah anak lelaki bongsu pulak tu. Dia sering bertukar-tukar sekolah kerana dirasakan sekolah tersebut tidak serasi dengan jiwanya ditambah dengan kehadiran saudara-maranya yang majoriti mengajar di sekolah itu. Noriskandar sangat dikenali oleh orang kampung kerana keramahannya dan dia sangat memilih kawan dalam erti kata lain cerewet orangnya. Dia tidak berkawan dengan orang sembarangan. Benar kata orang, nak tengok seseorang, lihatlah dengan siapa dia berkawan. Andai baik kawannya, maka baiklah dia, andai buruk kawannya maka sebaliknya.

Bukan setakat sering bertukar sekolah, Noriskandar juga kerap bertukar-tukar kerja kerana tanggungjawabnya pada ibu yang ketika itu sedang sakit. Dia orangnya sosial dan berfikiran terbuka. Tak banyak yang penulis tahu tentang dirinya, tapi cukup untuk membuktikan bahawa dialah Noriskandar bin Mat So. Penulis masih dalam proses memahami dan mengenali yang namanya Noriskandar bin Mat So. Usia 27 tahun, dia memilih untuk menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini seorang gadis perempuan yang berasal dari Kelantan. Tampin dan Tumpat. Nama kampung yang hampir sama.

Sekejap sungguh masa berlalu, tanpa diduga kita dah melangkah masuk ke bulan Oktober. 04 Oktober 2017 bersamaan 14 Muharram 1439H genap usia 29 tahun Noriskandar bin Mat So hidup di dunia ini. Dia telah memegang amanah sebagai seorang suami pada usia 27 tahun. Dia juga dikurniakan 6 orang adik beradikdan dua orang telah meninggal dunia berbaki empat orang. Dua lelaki dan dua perempuan. Dia merupakan anak bongsu dalam keluarganya. Dia juga seorang yang bertanggungjawab dalam setiap amanah yang dipikulnya. Dia kaki masjid. Menunaikan solat berjemaah menjadi keutamaannya bila berkesempatan.

Hasil perkahwinan, dia dikurniakan puteri cantik bernama Nur Khadijah Zulaikha binti Noriskandar. Masih kekal di ingatan ketika mana si mama sedang mengandungkan anak sulungnya, babanya mengalami alahan yang agak teruk. Ketika mama sedang menunggu masa untuk melahirkan anak, baba bahkan tak berganjak tetap berada di sisi mama melihat satu per satu detik kelahiran cahaya mata pertama mereka. Dek kerana itu mungkin, puteri sulung mereka yang lahir mengikut jejak baba hampir 90%. Anak baba.

Bila di tanya apa perasaan penulis bila dikurniakan seorang lelaki bernama suami (Noriskandar bin Mat So)? Perasaan al-Hamdulillah sangat bersyukur walaupun kami dari negeri yang berbeda. Al-Hamdulillah, diri ini diberi peluang dan rezeki untuk menikmati kehidupan berumah tangga walaupun terkadang banyak sekali ujian datang menimpa kami saat ini. Dikurniakan seorang suami yang bertanggungjawab, penyabar dan penyayang sangat memberi kesan pada penulis terutamanya dalam meneruskan kehidupan untuk masa akan datang. Dia memahami walau tekadang saling tidak mengerti. Dia penyabar walau terkadang pemarah. Dia penyayang walau terkadang dia benci. Bila dah nama lelaki sudah tentu dia berbeda dengan perwatakan perempuan. Ada masa berlaku juga perselisihan faham, bergaduh dan perang mulut. Terkadang mengalah, terkadang “win-win situation”, terkadang menang dan itu lumrah warna-warni kehidupan suami isteri.

Nak kata hidup suami isteri ini selalu bahagia itu mustahil. Yang ada hanya cerita-cerita novel yang direka penuh khayalan yang membahagiakan sahaja, sedang realiti yang kita hadapi penuh liku dan ujian mendatang tanpa kita minta. Kahwin itu memang best, tapi kita harus matang dalam melayari bahtera perkahwinan. Kahwin kita bukan terhenti setakat majlis pernikahan yang meriah, resepsi yang mewah, tapi perkahwinan itu butuh amanah dan cinta. Cinta kerana ALLAH itu yang bakal membawa kita berpimpin tangan ke syurga. Kita bukan semata nak hidup atas dunia je, tapi bila kita kahwin kita nak bawa pasangan dan ahli keluarga turut sama merasa keindahan syurga bila dunia ini telah tiada. Ini kerana matlamat hidup kita tak terhenti hanya di dunia tetapi berpanjangan hingga ke akhirat sana.

Teristimewa buat suami yang disayangi kerana ALLAH...bicara ini lahir tulus dari hati...bicara ini demi Ilahi...bicara ini dimulai dengan basmalah diakhir dengan Alhamdulillah...

“Buat suami yang dikasihi kerana ALLAH...
Izinkan hati ini berbicara...sanah helwah habibi mahbubati.
Moga kehidupanmu sentiasa disinari cahaya Ilahi...
Moga segala kesempitan yang dilalui bakal tersuluh dengan nur Ilahi...
Moga segala kesusahan dan keperitanmu bakal berganti dengan ketenangan...
Bersabarlah duhai suami...                    
Kehidupan kita bukan derita yang dicari...
Malah derita itu menyinggah untuk memberi kita kesedaran...
Bahawa ALLAH Maha Dekat dengan kita...
Setiap pengorbanan yang kamu lakukan buat kami...
Moga ada ganjaran dari Ilahi...
Moga terselit ketenangan dan keredhaan di hati...
Setiap titik peluh yang kamu lalui...
InsyaAllah tak tersia walau seinci...
Tiada hadiah mampu ku berikan di hari kelahiranmu...
Cuma doa restu sebagai isteri mengiringi setiap langkah perjuanganmu...
Cuma al-Fatihah ku kurim lewat doa moga terhapus segala dukamu...
Walau sesusah mana kamu...
InsyaAllah...biiznillah...isterimu sentiasa berada di sisimu selalu...
Moga di hari kelahiranmu...
Dipenuhi bahagia dan ketenangan...
Dilimpahi dengan kasih sayangNya...
Diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan...
Dianugerahkan penyejuk mata penawar hati yang membahagiakan...
Duhai suami...
Moga kamu terus amanah dalam melaksanakan amanah ini...
Moga kamu terus tabah berdepan ujian yang menimpa diri...
Ingatlah di setiap kesusahan ALLAH telah janjikan kesenangan nanti...
Moga ikatan cinta kita kerana ALLAH ini berkekalan hingga ke syurga firdausi...


Setakat ini sahaja bicara cinta penulis pada hari ini. Moga memberi manfaat dan mengusik hati kita untuk terus menghargai setiap insan yang menyayangi diri kita kerana ALLAH. Bukan niat penulis untuk bercerita betapa bahagianya kami, kerana kami juga ada kehidupan yang penuh dengan kesusahan, kami juga melalui setiap ujian penuh keperitan tinggal lagi kami tidak mampu untuk bercerita di laman ini. Biarlah ALLAH yang menilai setiap ujian kami. Benar, hidup berumah tangga itu penuh dengan ujian suka duka kehidupan. Oleh itu kita seharusnya mengambil iktibar dan pengajaran agar kita mampu melangkah walau dalam kesusahan. Andai berkesempatan pun, hanya air mata yang mampu berbicara dan setiap manusia punya kesusahan tersendiri. Ada baiknya kita bercerita tentang kebahagiaan sesebuah perkahwinan daripada kita terus menelan peritnya sebuah perkahwinan. Mari kita hayati kata-kata ini, “What you give, you get back.”

Noriskandar bin Mat So.


Masa raya haji kat rumah along Fizah..

Ni masa baby girl belum ada...

Thursday 28 September 2017

Dari Tumpat Ke Tampin (180915-180917)

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Kami mulai berkenalan
Sama menyertai Kem Bestari Solat
Bukan mahu bermain cinta ketika itu
Cuma ada rasa benci maha dahsyat
Kami membawa anak-anak kecil
Mengenal Tuhan dengan solat
Menyusun pelbagai aktiviti
Agar mereka tidak bosan dan ralat.

Tidak menyangka
Soalan cepu emas muncul jua
“Bila awak nak kahwin?”
Pada ketika mata sahaja yang nampak
Wajah terselindung rapi di sebalik niqab
Sahabat tersenyum mengangguk
Pantas jawapan laju menutur
“Bukan tahun depan, lima tahun akan datang.”
“Calon sudah ada?”
Air liur ditelan penuh tanda tanya
“Apa kena mamat ini?” hati berkata
“Calon dengan mak ayah.”
Pantas jawapan itu yang terkeluar

Tidak pernah dalam hayat
Dibuat sebegitu rupa
Tidak pernah dalam program
Dibuli teruk menitis air mata
Apa pun diredhakan sahaja
Tunjuk marah bila perlu bertindak
Hingga perut dibiar kosong
Ketika itu hanya Tuhan yang tahu
Bagaimana rasa bercampur-baur

Tidak pernah dikenal yang namanya lelaki
Ketika itu tamat sudah pembelajaran di universiti
Tinggal belum konvokesyen lagi
Sifat pesimis pada lelaki
Memaksa diri membenci kaum ini
Cuma yang ada kasih abadi
Seorang lelaki bernama ayah sendiri
Juga adik beradik lelaki yang sangat disayangi

Banyak dugaan diharungi
Sehingga kami menjadi tunangan
Tempoh bertunang tempoh ujian
Biar sekejap hubungan pertunangan
Harus dijaga mengikut batas-batas Islam
Usah dipermain hukum Tuhan
Kelak diri merana dek penyesalan

Andai dah jodoh tak ke mana
Tapi boleh ke Tumpat bersatu dengan Tampin
Satu Kelantan satu lagi Negeri Sembilan
Mulanya ma ayah tak setuju
Yalah negerinya lain jauh pulak tu
Tapi entah bagaimana
Kuasa ALLAH takdir Yang Esa
Sekali lafaz akad kami sah sebagai suami isteri jua
Al-Hamdulillah...

Masa merisik
Pemuda datang bertemankan sahabat seorang
Bertandang pula di bulan Ramadhan
Tiada hidangan bisa dijamah
Cuma halwa telinga dari ayah
Bermacam nasihat diterima
Angguk eleng kekadang bersuara
Menjadi suami bukan mudah
Pesan bakal mertua penuh berhikmah

Masa bertunang
Pemuda datang sekeluarga
Memenuhi adat meraikan agama
Kita orang Melayu penuh adat dan beragama
Kalau dah suka tanya ibu ayah
Usah banyak berdolak-dalih
Kata nak suka-suka dulu
Usah melanggar hukum agama
Tanya ALLAH dengan istikharah
Tanya keluarga dengan musyawarah
Tanya diri dengan persiapan rapi dan muhasabah
InsyaALLAH segala persoalan terjawab dengan mudah

Bila bujang rasa nak kahwin
Bila dah kahwin sibuk pula
Nak ada anak
Bila dah ada anak mulalah
Macam-macam ujian datang bertimpa
Itu fitrah manusia
Bukan selamanya hidup bahagia
Ada ketika kita bahagia gembira
Ada masa kita sedih berduka durja
Ada detik kita rasa dunia ini kita yang punya
Ada tahap kita rasa dunia ini
Tidak pernah adil dengan kita
Ketika itu baru kita menghargai
Yang namanya hubungan kerana ALLAH
Yang namanya cinta ALLAH mengatasi segala

Kami tak saling mengenali
Apatah lagi memadu kasih sebelum masanya
Sudah jodoh tiba
Tidak pernah terlewat walau sesaat
Tidak pernah terawal walau sedetik
Kami sungguh berbeda
Dia lelaki diri ini perempuan
Sifat pula macam langit dan bumi
Bertelagah itu biasa
Cuma usah dibiasakan
Parah pula akibatnya nanti

Dua tahun sudah usia perkahwinan ini
Banyak sekali momen indah dirindui
Banyak juga ujian mengiringi
Setiap langkah kami sama-sama harungi
Kadang-kadang bisa bertongkat
Terkadang jatuh tersungkur
Cuma ALLAH tempat mengadu
Memohon pertolongan juga perlindungan
Agar rumah tangga kami kekal abadi
Mengharum mewangi hingga
Ke taman syurga firdausi

Dua tahun genap usia penyatuan
Dalam sendu menghadapi perjalanan yang panjang
Dikurnia anugerah terindah yang menyenangkan
Penyejuk mata penawar hati mama baba
Puteri cantik seindah namanya
Nur Khadijah Zulaikha binti Noriskandar
Lahirnya diiringi rahmat
Kesyukuran tiada batasan
Kamu seolah mengerti tentang kami
Kamu matang pada usia yang sangat muda
Memahami serta sangat menyayangi
Hati yang gundah bisa terubat
Amarah yang menyerang bisa sejuk
Sedih yang menyapa bisa hilang
Bila menatap wajah puteri kecil mama ini

Dari Tumpat ke Tampin
Mama berhijrah
Menumpang kasih di negeri orang
Nun jauh daripada negeri sendiri
Mencari diri yang kehilangan arah
Mencipta sejarah dalam penghijrahan
Moga ada sinar di pertengahan jalan
Sinar kebahgiaan dan ketenangan
Melerai sengketa keluarga
Menjamin bahagia hingga ke syurga
Biar susah senang dihadapi bersama
Biar suka duka ditempuhi jua
Demi menggapai redhaNya

Dua tahun perjalanan yang singkat
Penuh tersusun ujian dan mehnah
Menguji kehidupan berumahtangga
Setia atau penuh hipokrit
Bahagia atau derita
Benci atau sayang
Sabar atau amarah
Putus asa atau terus bangkit
Semua di canai dalam satu rasa
Bergandingan dalam dua jiwa

Kisah cinta dua jiwa
Rasa sayang
Terkadang meningkat ada kala menurun
Rasa benci terkadang menyinggah
Rasa susah menyesak diri
Membunuh rasa sayang seketika
Terkadang fikiran melayang
Sampai bila hidup sebegini
Seolah di himpit kiri dan kanan
Seolah di cucuk depan dan belakang
Hanya kerana diri ini insan biasa

Mujur ada ALLAH
Datang memujuk untuk seketika
Lumrah hidup berumah tangga
Bahagia bukan selamanya
Ujian terkadang datang menyapa
Bukan untuk menambah benci
Bukan jua dilayan dengan emosi
Malah ujian yang tiba
Bakal mengikat kasih yang ada
Moga amarah bisa reda
Moga benci bisa sayang
Moga sedih bisa suka
Moga derita bertukar bahagia

Ya ALLAH
Kurniakan kami kekuatan
Anugerahkan kami kesabaran serta ketabahan
Berikan kami kasih sayangMu
Agar kami bisa utuh dalam cinta
Cinta terbina keranaNya
Moga keluarga yang dibina ini
Bisa memberi ketenangan
Sakinah, mawaddah wa rahmah
Buat insan-insan yang menyayangi kami
Moga kehadiran kami
Bisa menambah bahagianya
Keluarga yang terbina dalam acuan Islam
Demi cinta
Dari Tumpat ke Tampin

Hubungan ini terbina keranaNya...

Selamat ulang tahun perkahwinan yang memasuki tahun ke-2 buat suami tercinta, Noriskandar bin Mat So. Moga setiap bait kata yang disusun bisa memberi pengajaran buat semua yang menyinggah di blog ini. Sudah lama sekali rasanya diri ini meninggalkan dunia penulisan blog yang sudah tentunya mengundang rindu untuk mengisi sesuatu di blog QalamWardahZinnirah.blogspot.com. Moga kehadiran entri ini memberi manfaat untuk penulis sendiri juga untuk semua yang sudi menziarahi blog yang serba kekurangan ini. 

  

Saturday 24 June 2017

Selamat Hari Lebaran 1438H

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan nama ALLAH penulis masih berkesempatan untuk meneruskan penulis blog ini. Al-Hamdulillah syukur dan pujian untuk segala nikmat yang ALLAH kurniakan pada hambaNya ini. Bulan Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya untuk tahun 1438H ini. Sedih, sayu semua perasaan ini bercampur baur melahirkan rasa yang entah bagaimana mahu diungkapkan. Ramadhan datang seolah-olah dalam sekelip mata perginya dalam keadaan sedetik cuma. Pejam celik dah sampai penghujung Ramadhan. Esok lusa dah nak raya eidulfitri. 

Al-Hamdulillah Ramadhan tahun 1438H ini penulis berkesempatan menyambutnya dengan kehadiran cahaya mata buah hati pengarang jantung puteri sulung bernama Nur Khadijah Zulaikha binti Noriskandar. Al-Hamdulillah tahun lepas berpuasa dan beraya berdua kini bertambah tiga orang sangat berbeza suasananya. Moga Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Ramadhan yang pergi sangat memberi kesan pada hati penulis dirasakan seolah-olah kehilangan separuh jiwanya. Ramadhan tahun ini benar menyentuh hatinya tambahan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menjaga anak perempuannya yang punya pelbagai ragam. Hujung bulan ini cukuplah 6 bulan Nur Khadijah Zulaikha dibesarkan oleh mama baba dan 6 bulan juga dia melihat dunia yang penuh fatamorgana ini. Al-Hamdulillah Ya ALLAH terima kasih atas anugerah terindah ini walau terkadang dia sering menguji kesabaran mama.


Di kesempatan yang ALLAH berikan ini, izinkan penulis mencoret kata ucapan Selamat Hari Raya Eidulfitri Maaf Zahir dan Batin terutama untuk keluarga tersayang nun jauh di bumi serambi Makkah. Sungguh penulis sangat merindui kalian dan penulis tak kan pernah sesekali lupa setiap detik kita pernah bersama sama ada dalam keadaan duka atau bahagia. Kalian mencoret kanvas hidup penulis sebelum penulis punya suami dan cahaya mata. Kalian sangat berharga untuk penulis kerana kalian pernah mencoret pelbagai rasa dalam kehidupan penulis sebelum ini dan sekarang. Ingatlah walau kita hidup berjauhan, doa dan Al-Fatihah tak pernah penulis putus hadiahkan untuk kalian keluarga tersayang. Setiap kali Syawal tiba, penulis tak pernah lupa kenangan bagaimana kita menyambut 1 Syawal. Ayah dan ma pasti akan sentiasa membawa kita ke masjid bila tiba 1 Syawal. Lepas tu kita ziarah kubur nenek dan atuk. Kemudian terus kita pergi beraya ke rumah saudara-mara. Hari raya seterusnya kita tinggal kat rumah je tunggu tetamu datang beraya pulak. Tak pun kalau takde orang datang kita tengok tv sama-sama masa tu kita dah jelajah semua rumah saudara-mara. Salam rindu di perantauan.



Tak dilupa ucapan hari raya ini juga ditujukan kepada keluarga mertua. Al-Hamdulillah...Terima kasih kerana kalian sudi menerima penulis dalam kehidupan kalian. Penulis bersyukur dianugerahkan keluarga mertua yang baik dan penyayang. Kalian sangat baik buat penulis. Kalian sudah penulis anggap macam keluarga sendiri dan sudah tentu penulis doakan yang terbaik untuk kebahagiaan dunia akhirat kalian. Maaf andai banyak khilaf penulis pada kalian sama ada yang tidak disengajakan atau yang disengajakan. Terima kasih sekali lagi kerana sudi menerima penulis blog ini dalam hidup kalian. Maaf andai kewujudan penulis banyak memberi susah dan menambah beban pada kalian. Selamat Hari Raya Eidulfitri buat keluarga mertua. Kalian sangat baik untuk penulis.


Terakhir, ucapan Selamat Hari Raya Eidulfitri ini juga diucapkan khusus untuk semua pembaca blog ini sama ada yang menjadi pengikut setia atau yang sekadar singgah sementara. Maaf andai penulis banyak terkhilaf bahasa. Impian nak jadi penulis suatu masa nanti,mohon doa kalian. Terima kasih kerana menyokong penulisan yang serba kekurangan ini. Moga Syawal yang tiba memberi suntikan semangat kepada kita untuk meneruskan amal ibadah di bulan-bulan seterusnya. Syawal bulan penuh kesyukuran setelah sebulan kita berpuasa dan perbanyakkanlah ucapan syukur dan tahmid kepada ALLAH. Moga kita tergolong dalam kalangan yang sentiasa mengingati ALLAH. Sambutlah 1 Syawal 1438H ini dengan penuh kesederhanaan dan tidak melupakan insan yang dalam kesusahan.

Salam Syawal 1438H... 

Tuesday 6 June 2017

Sanah Helwah Ukhti Mahbubah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ucapan syukur atas nikmat terindah yang ALLAH anugerahkan kepada kita iaitu antaranya nikmat iman dan Islam. Al-Hamdulillah kita telah memasuki bulan tarbiah bulan madrasah Ramadhan. DenganNya kita hidup terpandu. DenganNya kita sentiasa ada tempat bergantung. DenganNya kita bisa menghadapi hidup ini bersama tegar. Al-Hamdulillah, moga nikmat-nikmat ini sentiasa memayungi kehidupan kita. Bertuah dan bersyukurlah kita hidup dalam nikmat iman dan Islam yang hanya dinikmati oleh insan yang benar-benar muslim dan mukmin. Jom, kita mengajak diri kita dan semua manusia untuk mengenal ALLAH! Walau di mana kita berpijak, ingat biar ALLAH yang menjadi segalanya untuk kita.

Andai dihitung nikmat-nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita sudah tentu tidak terkira betapa banyaknya nikmat-nikmat itu. Jadi, ajaklah diri untuk berusaha menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa bersyukur. Biar terkadang kita jatuh hanyut dalam ujian-ujian yang menimpa. Biar terkadang kita tersasar dari landasan ketahuilah ALLAH Maha Penyayang dan sentiasa memerhati kehidupan kita. Ya, kita bukan manusia yang sempurna ada kalanya baik dan ada masa jahat seketika, tetapi itu bukan penghalang untuk kita berubah memperbaiki diri menjadi hambaNya yang lebih baik. Bukan selamanya kita mahu menjadi pengikut syaitan dan bukan selamanya kita menjadi baik.

Al-Hamdulillah...penulis dikurniakan sahabat yang baik di sekelilingnya. Punya sahabat baik juga merupakan satu nikmat. Sahabat-sahabat yang membantunya untuk terus hidup dalam panduan Islam. Inilah antara nikmat yang disyukurinya. Nikmat punya sahabat baik yang sentiasa mengajak kepada kebaikan. Itulah nikmat yang paling membahagiakan dalam hidupnya. Bila terleka, ada yang mengingatkan. Bila jatuh, ada yang membangkitkan. Bila sedih, ada yang meneman memberi semangat kebenaran. Bila gembira bahagia, ada yang sudi berkongsi kebahagiaan ini. Bila tersasar dari landasan, ada yang menariknya kembali ke landasan yang benar.

Tanggal 8 Jun 1990, lahir seorang puteri dalam sebuah keluarga bahagia. Puteri comel ini diberi nama Nor Amira binti Ibrahim. Lahir sebagai anak ke-2 dalam empat beradik. Semuanya perempuan. Nor Amalina binti Ibrahim, Nor Amira binti Ibrahim, Nor Atiqah binti Ibrahim dan yang bongsu Nor Athirah binti ibrahim. Keluarga bahagia ini sangat gembira dan bersyukur di atas kurniaan ALLAH. Anugerah anak perempuan yag sangat berharga, walau ayahnya tahu kelak anak-anak perempuannya akan menjadi milik menantu-menantunya.

Angah Mira.

Dia membesar dengan baik. Pergaulannya terjaga. Menjadi anak solehah buat ibu dan ayahnya. Menjadi sahabat yang baik dan ‘happy-go-lucky’ untuk teman-temannya. Nor Amira bt Ibrahim bersahabat dengan penulis menyulam persahabatan mereka sejak berusia 11 tahun lagi. Belajar bersama-sama sehingga mereka masih bersahabat bila melangkah masuk ke alam remaja di SMU (A) MAAHAD MUHAMMADI (P) PASIR PEKAN, KELANTAN.

Dia seorang yang baik hati, rajin membantu dan sering merendah diri. Perwatakannya yang baik memungkinkan dia diserap masuk menjadi pengawas sekolah bersama-sama penulis blog ini. Bermulalah kepimpinan mereka sebagai pengawas sekolah. Pahit manis dalam persahabatan di era sekolah menengah di telan bersama-sama. Kenangan menjadi pengawas sekolah  bersama-sama Nor Amira Ibrahim dan beberapa orang sahabat lagi  sentiasa terngiang-ngiang di ingatan terutama bila menjelangnya ulang tahun kelahiran Nor Amira Ibrahim.

Kisah persahabatan mereka tidak terhenti setakat itu, bahkan bersambung di alam universiti di mana mereka menyambung pelajaran di universiti tempatan yang sama cuma berbeza fakulti dan bidang. Sorang bidang Quran dan Sunnah. Sorang bidang Bahas Arab dan Komunikasi. Biarpun sibuk dengan tugasan di universiti, mereka masih berhubung seperti biasa sama ada lewat telefon atau berjumpa sesama mereka. Bila tiba alam kerjaya, mereka juga memilih untuk menjadi muaddibah, kerjaya yang sama untuk beberapa tahun lamanya.

Angah Mira dan suami.

Hampir 17 tahun mereka menyulam persahabatan. Tamat belajar di universiti, Nor Amira binti Ibrahim mengambil keputusan untuk menikah. Sahabat mana tak bahagia tengok sahabatnya bakal menamatkan zaman bujang dengan teruna pilihan hatinya. 6 Jun 2015, mereka sah bergelar suami dan isteri. Selamat ulang tahun perkahwinan kali ke-2 tahun duhai sahabat dunia akhirat, Nor Amira binti Ibarim. Moga rumahtangga yang kalian bina kini disirami sakinah mawaddah wa rahmah sentiasa dan kekal bahagia hingga ke syurga. Penulis masih ingat, penulis siap buat video hadiah sempena perkahwinan sahabatnya ini. Tiada hadiah yang berharga mampu penulis berikan cuma hadiah doa dan video mampu disediakan.

 bersama baby iyyadh.

Al-Hamdulillah...berkat kehidupan berumahtangga, Nor Amira binti Ibrahim dan suami dikurniakan cahaya mata penyejuk hati penyeri rumah tangga diberi nama Iyyadh Abdullah Akhtar. Bertambah bahagia mereka punya hero kecil ini. Al-Hamdulillah...dia bahagia. Itu yang selalu penulis doakan untuknya. Kehidupan mereka sentiasa diberkati ALLAH, melimpah dengan rezeki pemberian dariNya. Melimpah dengan kasih sayang kerana ALLAH. Al-Hamdulillah...


keluarga bahagia.

Sanah helwah ke-27 ukhti mahbubah, Nor Amira binti Ibrahim. Sudah 27 tahun dirimu hidup di dunia ini pastinya banyak menabur bakti. Pastinya banyak amal kebajikan yang melimpahi kehidupanmu. Aku sahabatmu. Terima kasih untuk persahabatan kita yang bersulam selama hampir 17 tahun. Ya 17 tahun lama tu. Kini kita berjauhan punya kehidupan tersendiri yang harus diuruskan dengan baik.

Tanggal 8 Jun 2017, cukup sudah umurmu 27 tahun. Pada usia ini, kamu sudah punya anak, suami, dan kerjaya membina keluarga bahagia disirami sakinah, mawaddah wa rahmah. Walau kita berjauhan beribu batu, namun ulantahun kelahiranmu yang ke-27 ini , diriku masih punya kesempatan dan ruang untuk mengucapkan ‘happy birthday, sanah helwah’ padamu, sahabat. Bukan sekadar ucapan hari lahir biasa akan ku nukilkan juga kata bicara pengubat rindu kita berjauhan sebagai pengganti diri yang sentiasa merinduimu sahabat.

Setiap kenangan pahit dan manis yang pernah kita lalui bersama-sama sebagai sahabat sentiasa terpahat indah dan biarlah menjadi bahan bualan anak cucu generasi kita nanti. Indahnya bersahabat bila bersulam kerana ALLAH. Bermula dari diri kita hinggalah ahli keluarga kita, kita saling mengenali antara satu sama lain. Moga ada generasi kita yang turut mewarisi persahabatan ini. 10 Jun 2014, penulis pernah menukilkan ucapan selamat hari lahir buat sahabatnya, Nor Amira binti Ibrahim kali ke-24 tahun dalam bicara santai blognya. Kali ini penulis mengulang ucapan sanah helwah istimewa buat sahabatnya Nor Amira untuk kali ke-27 tahun. Tahun 2017 ini ucapan dengan rentak berbeza mungkin.
Sungguh, penulis blog ini menghargai kehadiran dan kewujudan sahabat-sahabatnya. Walau di mana pun mereka berada, ucapan rindu pada sahabat sentiasa meniti di bibir. Bila rindu pa nak buat, bertanya khabar atau membaca apa-apa dari tulisan mereka di media sosial. Bila rindu AL-Fatihah dihadiahkan pada sahabat moga kehidupan mereka baik-baik sahaja hendaknya.

Nukilan kata bicara pengubat rindu ini penulis hadiahkan buat sahabat yang disayangi kerana ALLAH, Nor Amira binti Ibrahim. Tiada hadiah yang mampu ku beli untuk setiap detik ulangtahun kelahiranmu, harapnya hadiah kata bicara ini mampu menggantikan segala hadiah lain:

Sahabatku tercinta
17 tahun sudah
Kita menyulam ikatan persahabatan
Ukhuwwah kerana ALLAH
Bersahabat sampai syurga
Kita laungkan bersama-sama
Kini usia kita melangkah 27 tahun
Sudah punya keluarga sendiri
Sibuk melayan bahagianya hidup kita
Hingga terkadang kita terleka
Bagaimana rentaknya sahabat kita
Sihatkah dia? Tenangkah dia?
Bahagiakah dia? Sedihkah dia?
Sedang rindu bertamu segera
Membuat kenangan menjelma tiba-tiba

Sahabatku tersayang
Ucapan doa juga Al-Fatihah
Ku kirim lewat rinduku yang menggunung
Mengharap moga ALLAH sentiasa
Memayungi kehidupanmu sekeluarga
Mengharap moga kamu baik-baik aja
Mengharap moga kita tidak sesekali lupa
Kita pernah menyulam tali ini
Menjadi tali ukhuwwah kerana ALLAH

Sahabatku kasih
Selamat ulangtahun kelahiranmu ke-27
Seluruh doa juga kebaikan ku kirim
Buatmu bahagia setiap detik dan masa
Ingatlah ALLAH sentiasa ada bersama-sama kita
Ingatlah kita pernah melakar bahagia sedih bersama-sama
Terima kasih untuk persahabatan ini
Mohon maaf juga untuk semua kekhilafanku.