Saturday 30 May 2015

Satu Hari Dua Buah Buku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah...dengan nama ALLAH penulis masih bisa merekayasa sesuatu di blog ini. Mengambil setiap baris kata diuntai menjadi satu perkongsian bersama. Al-Hamdulillah keindahan Islam & iman sentiasa menghiasi kehidupannya & dia sentiasa berharap agar ALLAH sentiasa menthabatkannya & sahabat semua di jalan Islam ini. Makin didekatkan diri pada ALLAH, makin tenang & bahagia setiap detik kehidupan yang dihadapinya. 

Kehadiran kali ini membawa seribu makna dalam kehidupan. Slot Satu Hari Sebuah Buku kembali menjadi topik hangat yang selalu penulis paparkan. Ini kerana minatnya yang mendalam pada helaian kertas yang namanya buku sering menjadi teman setianya tika susah & senang, mengajaknya mengenal ALLAH & diri, menegurnya secara 'direct' tanpa ada penghalang, peneman dikala sendirian, penyembuh di kala terluka. Namun penulis tak pernah lupa, kita umat Islam punya kitab yang lebih berharga, iaitu Al-Quran yang menjadi penawar sebenar hatinya.

Buku penuh dengan ilmu, buku setia pada pencintanya, buku punya kisah tersendiri yang menjadikan pencintanya lebih mengenal dunia melalui pengalaman membaca. Walau hanya membaca jika diperhatikan alim ulama zaman kegemilangan Islam dahulu sentiasa mementingkan pembacaan hingga membawa kepada keunggulan Islam. Moga kita bisa meneruskan usaha ini memandangkan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang 'iqra' bacalah dengan nama Tuhanmu. 

Menyahut seruan ini, penulis terpanggil berkongsi serba sedikit tentang buku2 yang dibacanya. Bukan nak membangga diri, aku dapat baca banyak buku, tetapi niatnya hanya cuma mahu berkongsi, kerana mana tahu perkongsian ini membawa kepada perubahan dirinya sendiri juga sahabat yang sering memerhati kehidupan insani lainnya. Andai sikit je yang boleh disumbangkan untuk Islam, biarlah sikit itu dapat memberi sesuatu impak pada diri & masyarakat. Biar sikit asal memberi & terus memberi.

Panjang sekali mukaddimahnya, baik kita masuk topik kita hari ini, Satu Hari Dua Buah Buku. Hari ini penulis nak kongsi 2 buah buku yang sempat dihabiskannya. Buku bertajuk, "Di Jalan Dakwah Aku menikah- karangan: Cahyadi Takariawan" & "Izinkan Aku Meminangmu- Karangan: Cahyadi Takariawan." Kedua-dua buku ini adalah terbitan PT ERA ADICITRA INTERMEDIA.




Cerita tentang awal peminangan hinggalah menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Biarpun bahasa yang digunakan maksimum dengan bahasa Indonesia, penulis masih mampu menghayati pembacaannya & mengambil isi-isi penting dalam pembacaan kedua-dua buah buku ini. Tahniah kepada penulis buku ini, Cahyadi Takariawan kerana mampu mengolah & berkongsi dengan masyarakat bagaimana olahan sebenar tentang majlis peminangan hinggalah melayari bahtera kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Isi buku-buku ini sesuai bagi mereka yang bakal mendirikan rumahtangga sebagai perispan awal menghadapinya.

Mari kita telusuri buku pertama bertajuk, "Izinkan Aku Meminangmu" sangat sesuai bagi muslimin yang sudah siap mendirikan rumahtangga. Ini kerana meminang bukan untuk menghalalkan yang sedia haram. Status 'menjadi tunang orang' tidak sesekali menghalalkan apa yang telah diharam oleh hukum ALLAH. Haram tetap haram, jadi jangan ingat ikatan pertunangan itu, boleh menghalalkan segalanya. Tidak selagi akad nikah tidak dilafazkan dengan kewujudan wali & saksi serta beberapa rukun nikah lain. 

Memetik kata bicara Cahyadi Takariawan, "Menikah adalah peristiwa fitrah, fiqhiyyah, dakwah, tarbiyah, sosial & budaya. Penyatuan dua buah keluarga yang besar, penyatuan dua hati melayari bahtera membina keluarga Islami yang berteraskan Islam. Daftar isi dalam buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian utama iaitu 1) IZINKAN AKU MEMINANGMU. 2) MAAF KU TOLAK PINANGANMU 3) ALASAN-ALASAN MENOLAK PINANGAN 4) KU TERIMA PENOLAKANMU 5) AGAR PEMINANGAN DITERIMA.

Bukan mudah mahu meminang seseorang yang mungkin bakal mengubah pola kehidupan kita. Meminang & menjadi tunangan orang bukan semudah memetik jari, jika diizinkan ALLAH hubungan pertunangan itu berakhir dijinjing pelamin dengan sekali akad sahlah mereka bergelar suami isteri menggalas tugas & amanah baharu. Sahabat semua boleh membaca sendiri setiap isi buku ini kerana penulis blog hanya membuat ringkasan hasil pembacaannya. Setiap bab telah diulas sedalam-dalamnya oleh Cahyadi Takariawan. Membaca buku ini terkadang menambah takut di dada, sediakah kita menjalani kehidupan baharu? Berkongsi hidup dengan insan yang kita tidak pernah kenal, berkongsi segalanya dengan orang baharu yang kedatangannya sama ada membawa bahagia atau menambah kesabaran jiwa.

Di sini izinkan penulis berkongsi beberapa isi penting dalam bab "AGAR PINANGAN DITERIMA". Sesuai dengan musim cuti sekolah yang padanya ada banyak sekali majlis walimah (kenduri perkahwinan). Dikesempatan ini izinkan juga penulis mengucapkan selamat pengantn baharu kepada beberapa orang sahabatnya yang bakal bertukar status lebih kurang seminggu lagi. Yang dah selesai majlis juga selamat pengantin baharu semoga berbahagia hingga ke syurga. Selamat menjalani kehidupan bahtera perkahwinan yang tentu lebih kebertanggungjawaban.

Penulis memilih untuk menyenaraikan isi-isi penting dalam bab terakhir buku ini:

# Melengkapi persiapan diri- bagi yang bakal berkahwin, lengkapkan diri dengan persiapan yang sebaiknya baik dari segi mental, fizikal terutama rohani. Jaga kesihatan tau!
# Memilih calon yang sekufu - ha, jangan lupa pilihlah pasangan hidup yang setaraf dengan kita moga dengannya kita bahagia dunia & di akirat lagi dilimpahi keberkatan hidup.
# Berbekal restu orang tua - apa pun yang kita buat mesti mendapat restu orang tua ibu & ayah kita barulah hidup diberkati & segala pilihan yang kita buat akan sentiasa terarah pada kebaikan.
# Memperkenalkan diri - bagi yang nak bertunang, & memilih untuk melangsungkan perkahwinan bersama perkenalkan diri (ta'aruf) terlebih dahulu terutamnya dengan keluarga bakal pasangan hidup kita. Tak kenal maka tak cinta, jadi kena kenal dulu tapi kenal tak bermakna sampai melanggar hukum-hukum yang ALLAH telah tetapkan kepada kita sebagai umat Islam. Cubalah dekati keluarga bakal pasangan kita dengan hati yang ikhlas mahu menghubung silaturrahim yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.
# Berdoa & bertawakal - jangan dilupakan berdoa & terus  berdoa pada ALLAH moga kita dikurniakan pasangan hidup yang bisa berpimpin tangan bersama di dunia demi menegakkan Islam & berpimpin tangan menuju ke syurga bersama kerana Di Jalan Dakwah Aku Menikah.

Usai sudah buku pertama, jom masuk buku ke-2, "Di Jalan Dakwah Aku Menikah" seolah-olah melengkapkan pembacaan penulis daripada khitbah, peminangan, majlis akad nikah hinggalah ke bahtera perkahwinan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri. Membaca buku ini terkadang menghenjut rasa takut di hati penulis menyebabkan dia terkadang bermonolong dengan diri, Nikah itu bukan mudah perlu persiapan yang maha dahsyat dari sudut kesihatan fizikal, kesediaan mental, kemantapan rohani (ini berkait hubungan kita dengan ALLAH), ketenangan hati & persiapan ekonomi yang baik. 

Daftar isi buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian, 1) Kusiapkan Diri Menuju Pernikahan. 2)Di Jalan Dakwah Aku Menikah. 3) Perjanjian yang Kuat Telah Terikrarkan. 4) Ketika Hari Bersejarah Itu Tiba. 5) Tahun Pertama Yang Mendebarkan. Di jalan dakwah ini aku memilih untuk bernikah. Ya kerana ALLAH kerana dakwah & kerana menginginkan Islam sentiasa menyinari alam ini, kita memilih untuk menikah. Menikah bukan semudah kita membina rumah. Menikah punya olahan tersendiri dari seringan-ringan perkara hinggalah seberat-berat perkara. Semuanya perlu dititikberatkan oleh kita yang mengaku tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH & Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh ALLAH. Banyak hal yang dibicarakan dalam buku ini walau menggunakan bahasa Indonesia tetapi tetap boleh difahami oleh penulis blog ini.

Tahniah sekali lagi kepada penulis buku, Cahyadi Takariawan kerana berjaya membuka mata masyarakat tentang perkahwinan yang diredhai ALLAH bukan hanya mewah pada zahirnya semata-mata tetapi turut mengamalkan pengamalan Islam sebelum, semasa & selepas majlis perkahwinan berlangsung. Sederhana, mengamalkan nilai Islam seperti memisahkan tempat makan antara lelaki perempuan, pengantin perempuan tidak terlalu menampakkan perhiasan pada tetamu, tiada unsur-unsur hiburan melampau. Itu sudah cukup membuatkan majlis itu dilimpahi dengan keberkatan ALLAH. Majlis pernikahan bukan untuk kita bangga-banggakan tetapi untuk kita ambil pengajaran apa langkah awal bagi menghadapi kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

Selebihnya, penulis harap sahabat semua yang telah membaca entri ini dapat meneruskan pembacaan melalui buku-buku di atas. Tak semua penulis mengulas nanti tak pasal-pasal kena saman. Cukup penulis memberitahu & berkongsi apa asas buku ini. Serius buku ini sangat sesuai bagi mereka yang mahu mendirikan rumah tangga yang Islami di dalam sebuah keluarga yang mengamalkan sepenuhnya Islam dari awal khitbah, majlis pertunangan, majlis akad nikah, kenduri, hinggalah melayari bahtera bersama sebagai suami isteri. 

Satu tips buat sahabat yang bakal mendirikan rumah tangga belajarlah mencintai & dicintai, belajar untuk saling memahami & pada halaman 201 buku ini ada menyenaraikan beberapa perkara yang sebaiknya dilakukan bila bergelar suami isteri, 1) Bersikap terbuka & sering bermusyawarah dengan pasangan. 2) Memulai terlebih dahulu segala komunikasi atau kasih sayang. 3) Tidak mengabaikan hal yang kecil dalam rumahtangga. 4) Saling berlumba untuk melakukan kebaikan bersama. 5) Berdoa & kembalikan semuanya kepada ALLAH. 

Baiklah dengan berakhirnya bicara perkongsian di atas, maka berakhirlah slot 'Satu Hari Sebuah Buku' hari ini. Penulis sangat berharap moga kehadiran entri ini memberi suatu manfaat buat ummah walau terkadang bicaranya hanya di angin lalu. Niatnya hanya mahu memberi, & dia tidak tahu cara terbaik untuk berkongsi kecuali dengan penulisan ini.

SELAMAT PENGANTIN BAHARU KEPADA SEMUA YANG BERGELAR RAJA SEHARI. MOGA BERBAHAGIA & BAHAGIAMU ITU BUKAN HANYA TERHENTI DI DUNIA TETAPI BERTERUSAN HINGGA KE SYURGA. MOGA BISA MELAHIRKAN MUJAHID & MUJAHIDAH UMMAH YANG BAKAL MENERUSKAN PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W. INI.

Siiru 'alaa barakatillah.

Saturday 16 May 2015

Selamat Hari Guru

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH penulis memulakan penulisan ini sebagai tanda syukurnya dia bergelar seorang Muslim. Padanya ada iman & Islam yang sentiasa memandunya. Padanya ada ikatan mahabbatullah yang tidak pernah padam selagi mana ALLAH menyanyangi & memeliharanya. Dengan nama ALLAH juga dia memulakan langkah berada & terus istiqamah di jalan perjuangan ini walau ramai memilih yang lain. 



Al-Hamdulillah, tidak terlambat rasanya bagi penulis untuk mengucapkan Selamat Hari Guru terutamanya buat mama & ayah yang menjadi guru pertama penulis sepanjang hayatnya. Ya benar ibu & ayahlah orang yang pertama kita patut ucapkan Selamat Hari Guru bila mengingatkan merekalah yang bersusah payah mengajar kita bertatih hingga mampu berjalan sendiri, mengajar kita cara berjalan yang betul, mengajar kita mengenal dunia yang penuh tipu daya, mengajar kita solat mengenal Tuhan, mengajar kita membaca al-Quran, mengajar kita hidup aman dengan kebergantungan pada ALLAH.

Jadi, topik perbualan utama hari ini tentang guru. Selamat Hari Guru juga tidak dilupakan pada sahabat-sahabat seperjuangan & rakan sekerja muaddibah-muaddibah sekalian yang disayangi kerana ALLAH. Ya, dengan kalian penulis belajar banyak hal. Kita ramai & ibarat sebuah keluarga yang besar saling membantu & saling menegur. Bila memegang amanah sebagai muaddibah @ guru, kita memegang amanah mendidik anak bangsa ke arah kebaikan. Didikan Islam diterap semampu boleh agar generasi akan datang imannya lebih perkasa dari pendidik @ berkemungkinan sama.

Mendidik itu memerlukan kesabaran, pengorbanan, yang bukan sedikit. Sabarnya seorang guru, tabahnya seorang pendidik, ikhlasnya seorang muaddibah tidak hanya diukur dengan nilain gaji yang mereka dapat sepanjang hujung bulan. Guru itu kerjaya yang sangat mulia, mereka terus memberi walau dihina, mereka terus berbakti walau terpaksa menelan peritnya berhadapan dengan anak-anak yang ramai. Ya benar, penulis belajar menjadi ibu sebelum bergelar ibu sebenar, menjadi seperti lagak seorang ayah yang bijak menelaah kelakuan anak, menjadi seperti pencuci tandas yang kerjanya membersihkan tandas juga automatik membersih & memuhasabah hati, memegang watak seorang guru disiplin bila anak-anak melakukan kesalahan besar, menjadi seperti seorang ibu yang naluri keibuannya memungkinkan dia melakukan segalanya untuk anak tersayang. menjadi seperti seorang pengawal peribadi bila dirasa keselamatan anak terusik. 

Al-Hamdulillah, penulis seorang muaddibah. Pengalaman sebagai seorang muaddibah tidak mungkin luput dalam ingatannya. Muaddibah mengajarnya banyak perkara, mengajarnya sabar dengan karenah anak yang pelbagai, terkadang bahagia mengukir senyum saat memandang keasyikan anak-anak bermain. Terkadang, melihat anak-anak didiknya mengingatkan zaman kanak-kanaknya yang tak seceria mereka. Al-Hamdulillah Ya ALLAH Engkau telah memilih penulis untuk berada di posisi ini, posisi mendidik anak bangsa dengan didikan agama yang sebenar.

Penulis dedikasikan rasa cinta & sayang serta Selamat Hari Guru buat semua sahabat muaddibahnya yang sentiasa ada di sisinya saling membahu & melengkapi, saling menegur & memberi. Terima kasih muaddibah, All of you are the best muaddibah that I have meet. 


Selamat Hari Guru 2015 buat semua guru-guru khususnya buat semua guru penulis daripada dia di sekolah tadika 6 tahun hinggalah dia bergraduasi dari universiti. Pengorbanan kalian tiada terhingga hanya ALLAH yang bisa membalasnya. Kenangan belajar & mengenal kalian sebagai guru adalah kenangan terindah.

SIIRU 'ALAA BARAKATILLAH...


Friday 1 May 2015

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH, penulis memulakan langkah. Segan pada diri sendiri yang tidak istiqamah meneruskan pembacaannya & meneruskan kecintaannya pada buku. Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung sekarang & bakal berakhir esok, hanya dipandang sepi oleh penulis. Dia tidak mampu untuk meneruskan langkah ke tempat yang dipenuhi dengan buku. Biasanya setiap tahun pasti pesta buku ini menjadi tempat ziarah untuk dia menambah koleksi bacaannya. Cuma seketika kesempatan itu mungkin tiada untuk tahun ini. Sedihnya ayat, tapi tak mengapa dia masih bisa meneruskan kehidupannya asalkan dia ada kasih sayang ALLAH...dia ada iman & Islam yang sentiasa memandunya ke jalan yang benar.

Baiklah, hari ini penulis meneruskan perkongsian pembacaan buku baharu yang bertajuk, "Puteriku Nasihat Abah Untukmu- karangan: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, terbitan: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd." Buku yang turut dibeli tanpa berfikir terlebih dahulu. Dibeli di Masjid Putra Nilai usai pengajian dari Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Subhanallah...ucapan zikir menutur laju saat dapat membaca halaman pertama buku ini. 


'copy dari FB Pustaka Cahaya Kasturi'

Al-Hamdulillah...usai membaca buku ini hanya dalam masa dua hari. Tempoh sebentar tetapi penuh terisi dengan ilmu yang padat & ilustri buku yang menarik. Syabas & tahniah diucapkan kepada penulis buku ini kerana bisa membangkitkan rasa hati seorang anak. Benar, dia merasakan seolah-olah ayahnya yang sedang berbicara dengannya melalui pembacaan buku ini. Memberi nasihat seolah-olah ayah sangat dekat dengannya. 

Pada awal & akhir isi pembacaan buku ini, dia menitis air mata tanpa dipinta, menyentuh isu ayah yang ayah juga tak kurang jasanya pada seorang anak. Menyentuh pengorbanan ayah yang sama dengan ibu, usah lupa anak juga ada seorang ayah yang perlu dikasihi & disayangi seperti ibu. Akhir penceritaan buku ini, penulis buku menamatkan penulisannya dengan kisah teladan buat puterinya iaitu kisah Serikandi Zainab al-Ghazali. Kisah di saat Zainab al-Ghazali ditangkap & diseksa kejam oleh rejim Presiden Jamal Abdul Naser ketika itu benar-benar menyentuh kalbu penulis blog ini. Mengingatkan dia betapa serikandi-serikandi Islam sangat mempertahankan Islam yang bertapak di hati & masyarkat setempat, sedang kita wanita Islam yang bergelar muslimah pada zaman yang penuh cabaran ini masih mencari identiti diri, masih hanyut dengan cinta dunia takut mati (wahn).

Sebak saat menelitibait doa yang dilafazkan oleh Zainab al-Ghazali ketika berdepan dengan anjing-anjing ganas yang disajikan kepada beliau. Kebergantungannya penuh pada ALLAH. Subhanallah, sampai begitu sekali Zainab Al-Ghazali mempertahankan imannya kerana ALLAH. Seronok sangat dapat membaca buku ini! Serius ini dari hati! Jom, sahabat-sahabat yang bernama muslimah bergelar & memegang amanah sebagai anak perempuan baca buku ini & selami isi hati seorang ayah. 

Buku berhalaman 166 ini dipenuhi dengan 25 kata nasihat istimewa untuk cahaya permata bernama puteri. Benar berkesan buat hati yang mendambakan nasihat seorang ayah. Inilah harapan yang digarapkan oleh insan yang bernama ayah buat puteri anakanda tercinta. 

Nak tahu apa isinya? Jap, penulis blog ini senaraikan satu per satu untuk tujuan menarik sahabat semua memilikinya.

N1: Jelaskan Matlamat
N2: Ikuti Nasihat Abah
N3: Mulianya Penghafaz al-Quran
N4: Kejayaan Kita Mengikut Pengorbanan kita
N5: Jangan Putus Asa
N6: Sabarlah Dalam Menuntut Ilmu
N7: Faqih dalam Agama
N8: Sejarah Iamm Al-Syafie
N9: Bacalah...
N10: Peliharalah Waktu
N11: Bijak Membahagi Masa
N12: Hidupkan Qiamullai
N13: Pengulangan al-Quran
N14: Jauhi Hasad Denki
N15: Perbaharui Hidupmu
N16: Jaga Kebersihan
N17: Hormati Guru
N18: Sentiasa Bersyukur
N19: Kejayaan Milik Kita
N20: Bacalah Sejarah Kecerdikan Aisyah
N21: Semangat Seseorang Boleh Menggoncangkan Sebuah Gunung!
N22: Peliharalah Maruah Diri
N23: Hidup Hanyalah Sekali. Justeru, Hidup Biarlah Bererti
N24: Rancanglah Untuk Berjaya Dengan Cemerlang
N25: Inilah Harapan Abah & Doa

Nak tahu cerita lebih perincian, jemput-jemputlah baca buku ni! Terima kasih tidak terhingga kepada penulis buku ini, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri kerana melapangkan waktu & pengorbanan lain untuk menyiapkan buku 'Puteriku Nasihat Abah Untukmu'. Sekurang-kurangnya kehadiran buku ini menjentik hatinya untuk terus mendekati kebaikan. Memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, "Kita buat baik bukan kerana kita sudah menjadi orang yang baik, tetapi itulah usaha kita untuk menjadi orang yang baik." Moga kita terus menjadi puteri yang diimpikan oleh seorang ayah...yang bisa membahagiakannya dunia & akhirat. Bila di dunia menyenangkan hati ibu ayah, bila di akhirat dia menjadi saham kebaikan buat insan istimewa ini. Sebelum tiba masa puterimu ini diserahkan kepada yang hak dengan lafaz akad nikah yang diwalikan oleh mu, ayah...ada baiknya puterimu ini mendengar setiap bait kata nasihat & marah serta rajukmu.

Jadi, jom sahabat semua nak tahu apa cerita menarik dalam buku ini teruskan pembacaan kita! Usah berhenti untuk melabur dalam menuntut ilmu walau ilmu yang hanya terdapat dalam sebuah buku. Jadikan membaca buku bukan hanya sebagai hobi semata tetapi juga sebagai teman rapat yang sentiasa meneman & menunjuk jalan benar. Tidaklah kita merasa keseorangan saat ditinggalkan sendirian oleh makhluk ALLAH yang bernama manusia.

Al-Hamdulillah...berpuas hati sebaik menyelesaikan pembacaan buku ini. Masih banyak buku-buku yang perlu dihabiskan pembacannya. Nantikan episod Satu Hari Sebuah Buku yang seterusnya ya! Moga ALLAH terus mengurniakan rahmat & kasih sayangNya kepada kita. Moga kita sentiasa hidup dalam Islam sehingga penghujung hayat kita ditamatkan dengan husnul khatimah (sebaik-baik pengakhiran). Moga kehadiran entri kali ini memberi sesuatu yang berharga buat diri & sahabat semua. 

Terima kasih kerana masih meneruskan pembacaan sahabat-sahabat semua di blog ini. Andai ada kurangnya, andai ada salahnya, andai ada yang terluka, andai ada yang menyimpan dendam kesumat di jiwa, andai bicaranya mengundang sejuta duka, mohon maaf dipinta. & berharap moga ada yang menegurnya ikhlas kerana tidak sanggup membiarkan sahabatnya ini terkapai-kapai meminta tolong di akhirat nanti.  

Siiru 'alaa barakatillah...