Saturday 30 May 2015

Satu Hari Dua Buah Buku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah...dengan nama ALLAH penulis masih bisa merekayasa sesuatu di blog ini. Mengambil setiap baris kata diuntai menjadi satu perkongsian bersama. Al-Hamdulillah keindahan Islam & iman sentiasa menghiasi kehidupannya & dia sentiasa berharap agar ALLAH sentiasa menthabatkannya & sahabat semua di jalan Islam ini. Makin didekatkan diri pada ALLAH, makin tenang & bahagia setiap detik kehidupan yang dihadapinya. 

Kehadiran kali ini membawa seribu makna dalam kehidupan. Slot Satu Hari Sebuah Buku kembali menjadi topik hangat yang selalu penulis paparkan. Ini kerana minatnya yang mendalam pada helaian kertas yang namanya buku sering menjadi teman setianya tika susah & senang, mengajaknya mengenal ALLAH & diri, menegurnya secara 'direct' tanpa ada penghalang, peneman dikala sendirian, penyembuh di kala terluka. Namun penulis tak pernah lupa, kita umat Islam punya kitab yang lebih berharga, iaitu Al-Quran yang menjadi penawar sebenar hatinya.

Buku penuh dengan ilmu, buku setia pada pencintanya, buku punya kisah tersendiri yang menjadikan pencintanya lebih mengenal dunia melalui pengalaman membaca. Walau hanya membaca jika diperhatikan alim ulama zaman kegemilangan Islam dahulu sentiasa mementingkan pembacaan hingga membawa kepada keunggulan Islam. Moga kita bisa meneruskan usaha ini memandangkan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang 'iqra' bacalah dengan nama Tuhanmu. 

Menyahut seruan ini, penulis terpanggil berkongsi serba sedikit tentang buku2 yang dibacanya. Bukan nak membangga diri, aku dapat baca banyak buku, tetapi niatnya hanya cuma mahu berkongsi, kerana mana tahu perkongsian ini membawa kepada perubahan dirinya sendiri juga sahabat yang sering memerhati kehidupan insani lainnya. Andai sikit je yang boleh disumbangkan untuk Islam, biarlah sikit itu dapat memberi sesuatu impak pada diri & masyarakat. Biar sikit asal memberi & terus memberi.

Panjang sekali mukaddimahnya, baik kita masuk topik kita hari ini, Satu Hari Dua Buah Buku. Hari ini penulis nak kongsi 2 buah buku yang sempat dihabiskannya. Buku bertajuk, "Di Jalan Dakwah Aku menikah- karangan: Cahyadi Takariawan" & "Izinkan Aku Meminangmu- Karangan: Cahyadi Takariawan." Kedua-dua buku ini adalah terbitan PT ERA ADICITRA INTERMEDIA.




Cerita tentang awal peminangan hinggalah menjalani kehidupan sebagai suami isteri. Biarpun bahasa yang digunakan maksimum dengan bahasa Indonesia, penulis masih mampu menghayati pembacaannya & mengambil isi-isi penting dalam pembacaan kedua-dua buah buku ini. Tahniah kepada penulis buku ini, Cahyadi Takariawan kerana mampu mengolah & berkongsi dengan masyarakat bagaimana olahan sebenar tentang majlis peminangan hinggalah melayari bahtera kehidupan sebagai pasangan suami isteri. Isi buku-buku ini sesuai bagi mereka yang bakal mendirikan rumahtangga sebagai perispan awal menghadapinya.

Mari kita telusuri buku pertama bertajuk, "Izinkan Aku Meminangmu" sangat sesuai bagi muslimin yang sudah siap mendirikan rumahtangga. Ini kerana meminang bukan untuk menghalalkan yang sedia haram. Status 'menjadi tunang orang' tidak sesekali menghalalkan apa yang telah diharam oleh hukum ALLAH. Haram tetap haram, jadi jangan ingat ikatan pertunangan itu, boleh menghalalkan segalanya. Tidak selagi akad nikah tidak dilafazkan dengan kewujudan wali & saksi serta beberapa rukun nikah lain. 

Memetik kata bicara Cahyadi Takariawan, "Menikah adalah peristiwa fitrah, fiqhiyyah, dakwah, tarbiyah, sosial & budaya. Penyatuan dua buah keluarga yang besar, penyatuan dua hati melayari bahtera membina keluarga Islami yang berteraskan Islam. Daftar isi dalam buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian utama iaitu 1) IZINKAN AKU MEMINANGMU. 2) MAAF KU TOLAK PINANGANMU 3) ALASAN-ALASAN MENOLAK PINANGAN 4) KU TERIMA PENOLAKANMU 5) AGAR PEMINANGAN DITERIMA.

Bukan mudah mahu meminang seseorang yang mungkin bakal mengubah pola kehidupan kita. Meminang & menjadi tunangan orang bukan semudah memetik jari, jika diizinkan ALLAH hubungan pertunangan itu berakhir dijinjing pelamin dengan sekali akad sahlah mereka bergelar suami isteri menggalas tugas & amanah baharu. Sahabat semua boleh membaca sendiri setiap isi buku ini kerana penulis blog hanya membuat ringkasan hasil pembacaannya. Setiap bab telah diulas sedalam-dalamnya oleh Cahyadi Takariawan. Membaca buku ini terkadang menambah takut di dada, sediakah kita menjalani kehidupan baharu? Berkongsi hidup dengan insan yang kita tidak pernah kenal, berkongsi segalanya dengan orang baharu yang kedatangannya sama ada membawa bahagia atau menambah kesabaran jiwa.

Di sini izinkan penulis berkongsi beberapa isi penting dalam bab "AGAR PINANGAN DITERIMA". Sesuai dengan musim cuti sekolah yang padanya ada banyak sekali majlis walimah (kenduri perkahwinan). Dikesempatan ini izinkan juga penulis mengucapkan selamat pengantn baharu kepada beberapa orang sahabatnya yang bakal bertukar status lebih kurang seminggu lagi. Yang dah selesai majlis juga selamat pengantin baharu semoga berbahagia hingga ke syurga. Selamat menjalani kehidupan bahtera perkahwinan yang tentu lebih kebertanggungjawaban.

Penulis memilih untuk menyenaraikan isi-isi penting dalam bab terakhir buku ini:

# Melengkapi persiapan diri- bagi yang bakal berkahwin, lengkapkan diri dengan persiapan yang sebaiknya baik dari segi mental, fizikal terutama rohani. Jaga kesihatan tau!
# Memilih calon yang sekufu - ha, jangan lupa pilihlah pasangan hidup yang setaraf dengan kita moga dengannya kita bahagia dunia & di akirat lagi dilimpahi keberkatan hidup.
# Berbekal restu orang tua - apa pun yang kita buat mesti mendapat restu orang tua ibu & ayah kita barulah hidup diberkati & segala pilihan yang kita buat akan sentiasa terarah pada kebaikan.
# Memperkenalkan diri - bagi yang nak bertunang, & memilih untuk melangsungkan perkahwinan bersama perkenalkan diri (ta'aruf) terlebih dahulu terutamnya dengan keluarga bakal pasangan hidup kita. Tak kenal maka tak cinta, jadi kena kenal dulu tapi kenal tak bermakna sampai melanggar hukum-hukum yang ALLAH telah tetapkan kepada kita sebagai umat Islam. Cubalah dekati keluarga bakal pasangan kita dengan hati yang ikhlas mahu menghubung silaturrahim yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.
# Berdoa & bertawakal - jangan dilupakan berdoa & terus  berdoa pada ALLAH moga kita dikurniakan pasangan hidup yang bisa berpimpin tangan bersama di dunia demi menegakkan Islam & berpimpin tangan menuju ke syurga bersama kerana Di Jalan Dakwah Aku Menikah.

Usai sudah buku pertama, jom masuk buku ke-2, "Di Jalan Dakwah Aku Menikah" seolah-olah melengkapkan pembacaan penulis daripada khitbah, peminangan, majlis akad nikah hinggalah ke bahtera perkahwinan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri. Membaca buku ini terkadang menghenjut rasa takut di hati penulis menyebabkan dia terkadang bermonolong dengan diri, Nikah itu bukan mudah perlu persiapan yang maha dahsyat dari sudut kesihatan fizikal, kesediaan mental, kemantapan rohani (ini berkait hubungan kita dengan ALLAH), ketenangan hati & persiapan ekonomi yang baik. 

Daftar isi buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian, 1) Kusiapkan Diri Menuju Pernikahan. 2)Di Jalan Dakwah Aku Menikah. 3) Perjanjian yang Kuat Telah Terikrarkan. 4) Ketika Hari Bersejarah Itu Tiba. 5) Tahun Pertama Yang Mendebarkan. Di jalan dakwah ini aku memilih untuk bernikah. Ya kerana ALLAH kerana dakwah & kerana menginginkan Islam sentiasa menyinari alam ini, kita memilih untuk menikah. Menikah bukan semudah kita membina rumah. Menikah punya olahan tersendiri dari seringan-ringan perkara hinggalah seberat-berat perkara. Semuanya perlu dititikberatkan oleh kita yang mengaku tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH & Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh ALLAH. Banyak hal yang dibicarakan dalam buku ini walau menggunakan bahasa Indonesia tetapi tetap boleh difahami oleh penulis blog ini.

Tahniah sekali lagi kepada penulis buku, Cahyadi Takariawan kerana berjaya membuka mata masyarakat tentang perkahwinan yang diredhai ALLAH bukan hanya mewah pada zahirnya semata-mata tetapi turut mengamalkan pengamalan Islam sebelum, semasa & selepas majlis perkahwinan berlangsung. Sederhana, mengamalkan nilai Islam seperti memisahkan tempat makan antara lelaki perempuan, pengantin perempuan tidak terlalu menampakkan perhiasan pada tetamu, tiada unsur-unsur hiburan melampau. Itu sudah cukup membuatkan majlis itu dilimpahi dengan keberkatan ALLAH. Majlis pernikahan bukan untuk kita bangga-banggakan tetapi untuk kita ambil pengajaran apa langkah awal bagi menghadapi kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

Selebihnya, penulis harap sahabat semua yang telah membaca entri ini dapat meneruskan pembacaan melalui buku-buku di atas. Tak semua penulis mengulas nanti tak pasal-pasal kena saman. Cukup penulis memberitahu & berkongsi apa asas buku ini. Serius buku ini sangat sesuai bagi mereka yang mahu mendirikan rumah tangga yang Islami di dalam sebuah keluarga yang mengamalkan sepenuhnya Islam dari awal khitbah, majlis pertunangan, majlis akad nikah, kenduri, hinggalah melayari bahtera bersama sebagai suami isteri. 

Satu tips buat sahabat yang bakal mendirikan rumah tangga belajarlah mencintai & dicintai, belajar untuk saling memahami & pada halaman 201 buku ini ada menyenaraikan beberapa perkara yang sebaiknya dilakukan bila bergelar suami isteri, 1) Bersikap terbuka & sering bermusyawarah dengan pasangan. 2) Memulai terlebih dahulu segala komunikasi atau kasih sayang. 3) Tidak mengabaikan hal yang kecil dalam rumahtangga. 4) Saling berlumba untuk melakukan kebaikan bersama. 5) Berdoa & kembalikan semuanya kepada ALLAH. 

Baiklah dengan berakhirnya bicara perkongsian di atas, maka berakhirlah slot 'Satu Hari Sebuah Buku' hari ini. Penulis sangat berharap moga kehadiran entri ini memberi suatu manfaat buat ummah walau terkadang bicaranya hanya di angin lalu. Niatnya hanya mahu memberi, & dia tidak tahu cara terbaik untuk berkongsi kecuali dengan penulisan ini.

SELAMAT PENGANTIN BAHARU KEPADA SEMUA YANG BERGELAR RAJA SEHARI. MOGA BERBAHAGIA & BAHAGIAMU ITU BUKAN HANYA TERHENTI DI DUNIA TETAPI BERTERUSAN HINGGA KE SYURGA. MOGA BISA MELAHIRKAN MUJAHID & MUJAHIDAH UMMAH YANG BAKAL MENERUSKAN PERJUANGAN RASULULLAH S.A.W. INI.

Siiru 'alaa barakatillah.

No comments:

Post a Comment