Friday 1 May 2015

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH, penulis memulakan langkah. Segan pada diri sendiri yang tidak istiqamah meneruskan pembacaannya & meneruskan kecintaannya pada buku. Pesta Buku Antarabangsa yang sedang berlangsung sekarang & bakal berakhir esok, hanya dipandang sepi oleh penulis. Dia tidak mampu untuk meneruskan langkah ke tempat yang dipenuhi dengan buku. Biasanya setiap tahun pasti pesta buku ini menjadi tempat ziarah untuk dia menambah koleksi bacaannya. Cuma seketika kesempatan itu mungkin tiada untuk tahun ini. Sedihnya ayat, tapi tak mengapa dia masih bisa meneruskan kehidupannya asalkan dia ada kasih sayang ALLAH...dia ada iman & Islam yang sentiasa memandunya ke jalan yang benar.

Baiklah, hari ini penulis meneruskan perkongsian pembacaan buku baharu yang bertajuk, "Puteriku Nasihat Abah Untukmu- karangan: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, terbitan: Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd." Buku yang turut dibeli tanpa berfikir terlebih dahulu. Dibeli di Masjid Putra Nilai usai pengajian dari Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Subhanallah...ucapan zikir menutur laju saat dapat membaca halaman pertama buku ini. 


'copy dari FB Pustaka Cahaya Kasturi'

Al-Hamdulillah...usai membaca buku ini hanya dalam masa dua hari. Tempoh sebentar tetapi penuh terisi dengan ilmu yang padat & ilustri buku yang menarik. Syabas & tahniah diucapkan kepada penulis buku ini kerana bisa membangkitkan rasa hati seorang anak. Benar, dia merasakan seolah-olah ayahnya yang sedang berbicara dengannya melalui pembacaan buku ini. Memberi nasihat seolah-olah ayah sangat dekat dengannya. 

Pada awal & akhir isi pembacaan buku ini, dia menitis air mata tanpa dipinta, menyentuh isu ayah yang ayah juga tak kurang jasanya pada seorang anak. Menyentuh pengorbanan ayah yang sama dengan ibu, usah lupa anak juga ada seorang ayah yang perlu dikasihi & disayangi seperti ibu. Akhir penceritaan buku ini, penulis buku menamatkan penulisannya dengan kisah teladan buat puterinya iaitu kisah Serikandi Zainab al-Ghazali. Kisah di saat Zainab al-Ghazali ditangkap & diseksa kejam oleh rejim Presiden Jamal Abdul Naser ketika itu benar-benar menyentuh kalbu penulis blog ini. Mengingatkan dia betapa serikandi-serikandi Islam sangat mempertahankan Islam yang bertapak di hati & masyarkat setempat, sedang kita wanita Islam yang bergelar muslimah pada zaman yang penuh cabaran ini masih mencari identiti diri, masih hanyut dengan cinta dunia takut mati (wahn).

Sebak saat menelitibait doa yang dilafazkan oleh Zainab al-Ghazali ketika berdepan dengan anjing-anjing ganas yang disajikan kepada beliau. Kebergantungannya penuh pada ALLAH. Subhanallah, sampai begitu sekali Zainab Al-Ghazali mempertahankan imannya kerana ALLAH. Seronok sangat dapat membaca buku ini! Serius ini dari hati! Jom, sahabat-sahabat yang bernama muslimah bergelar & memegang amanah sebagai anak perempuan baca buku ini & selami isi hati seorang ayah. 

Buku berhalaman 166 ini dipenuhi dengan 25 kata nasihat istimewa untuk cahaya permata bernama puteri. Benar berkesan buat hati yang mendambakan nasihat seorang ayah. Inilah harapan yang digarapkan oleh insan yang bernama ayah buat puteri anakanda tercinta. 

Nak tahu apa isinya? Jap, penulis blog ini senaraikan satu per satu untuk tujuan menarik sahabat semua memilikinya.

N1: Jelaskan Matlamat
N2: Ikuti Nasihat Abah
N3: Mulianya Penghafaz al-Quran
N4: Kejayaan Kita Mengikut Pengorbanan kita
N5: Jangan Putus Asa
N6: Sabarlah Dalam Menuntut Ilmu
N7: Faqih dalam Agama
N8: Sejarah Iamm Al-Syafie
N9: Bacalah...
N10: Peliharalah Waktu
N11: Bijak Membahagi Masa
N12: Hidupkan Qiamullai
N13: Pengulangan al-Quran
N14: Jauhi Hasad Denki
N15: Perbaharui Hidupmu
N16: Jaga Kebersihan
N17: Hormati Guru
N18: Sentiasa Bersyukur
N19: Kejayaan Milik Kita
N20: Bacalah Sejarah Kecerdikan Aisyah
N21: Semangat Seseorang Boleh Menggoncangkan Sebuah Gunung!
N22: Peliharalah Maruah Diri
N23: Hidup Hanyalah Sekali. Justeru, Hidup Biarlah Bererti
N24: Rancanglah Untuk Berjaya Dengan Cemerlang
N25: Inilah Harapan Abah & Doa

Nak tahu cerita lebih perincian, jemput-jemputlah baca buku ni! Terima kasih tidak terhingga kepada penulis buku ini, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri kerana melapangkan waktu & pengorbanan lain untuk menyiapkan buku 'Puteriku Nasihat Abah Untukmu'. Sekurang-kurangnya kehadiran buku ini menjentik hatinya untuk terus mendekati kebaikan. Memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, "Kita buat baik bukan kerana kita sudah menjadi orang yang baik, tetapi itulah usaha kita untuk menjadi orang yang baik." Moga kita terus menjadi puteri yang diimpikan oleh seorang ayah...yang bisa membahagiakannya dunia & akhirat. Bila di dunia menyenangkan hati ibu ayah, bila di akhirat dia menjadi saham kebaikan buat insan istimewa ini. Sebelum tiba masa puterimu ini diserahkan kepada yang hak dengan lafaz akad nikah yang diwalikan oleh mu, ayah...ada baiknya puterimu ini mendengar setiap bait kata nasihat & marah serta rajukmu.

Jadi, jom sahabat semua nak tahu apa cerita menarik dalam buku ini teruskan pembacaan kita! Usah berhenti untuk melabur dalam menuntut ilmu walau ilmu yang hanya terdapat dalam sebuah buku. Jadikan membaca buku bukan hanya sebagai hobi semata tetapi juga sebagai teman rapat yang sentiasa meneman & menunjuk jalan benar. Tidaklah kita merasa keseorangan saat ditinggalkan sendirian oleh makhluk ALLAH yang bernama manusia.

Al-Hamdulillah...berpuas hati sebaik menyelesaikan pembacaan buku ini. Masih banyak buku-buku yang perlu dihabiskan pembacannya. Nantikan episod Satu Hari Sebuah Buku yang seterusnya ya! Moga ALLAH terus mengurniakan rahmat & kasih sayangNya kepada kita. Moga kita sentiasa hidup dalam Islam sehingga penghujung hayat kita ditamatkan dengan husnul khatimah (sebaik-baik pengakhiran). Moga kehadiran entri kali ini memberi sesuatu yang berharga buat diri & sahabat semua. 

Terima kasih kerana masih meneruskan pembacaan sahabat-sahabat semua di blog ini. Andai ada kurangnya, andai ada salahnya, andai ada yang terluka, andai ada yang menyimpan dendam kesumat di jiwa, andai bicaranya mengundang sejuta duka, mohon maaf dipinta. & berharap moga ada yang menegurnya ikhlas kerana tidak sanggup membiarkan sahabatnya ini terkapai-kapai meminta tolong di akhirat nanti.  

Siiru 'alaa barakatillah...



No comments:

Post a Comment