Sunday 26 April 2015

Mutiara Ilmu di Rumah ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...kesempatan untuk kali ke 293 telah ALLAH anugerahkan kepada penulis blog ini untuk mencoret perkongsian pengalaman hidupnya. Al-Hamdulillah ucapan syukur sering menutur laju saat memuhasabah diri betapa bertuah & beruntungnya dia lahir sebagai individu yang beragama Islam. Padanya ada iman & Islam, padanya ada akidah yang perlu dimantapkan, padanya ada akhlak yang perlu sentiasa diperbaiki & dihiasi dengan kebaikan, pada ada kelemahan yang membuatkan dia sedar kelemahan diri itu tanda ALLAH amat menyayanginya.
Kesempatan dan ruang yang terbuka luas ini bukan hanya hadir sebagai artikel picisan, tetapi hadir untuk menyedarkan diri betapa manisnya hidup di bawah kasih sayang ALLAH. 

Hujung minggu sebagai seorang guru walau hanya guru anak-anak sekitar umur 4,5, & 6 tahun perlu diisi dengan ilmu agama & sosial kemasyarakat yang lebih terbuka. Jadi menyahut kata hati yang berbisik baik, dia mengisi paginya dengan melangkah walau berat ke masjid berdekatan. Al-Hamdulillah, kerjayanya, membawanya mendekat pada ALLAH dengan mengimarahkan rumah ALLAH.

Hari ini di rumah ALLAH bersaksikan para malaikat, ustaz berbicara bagaimana nak dapatkan mahabbatullah (kasih sayang ALLAH)? Pada permulaan bicaranya, ustaz bertanya pada ahli jemaah masjid, “Apa matlamat sebenar kehidupan kita?” sambil bertanya ustaz terus menjawab, “Ya, untuk mendapatkan mahabbatullah. & bagaimana caranya untuk kita sentiasa mendapat kasih sayang ALLAH? Manusia takkan pernah puas dengan manusia lain, kasih sayang manusia juga terhad, sampai waktu mati memisahkan manusia dengan orang yang disayanginya. Kasih sayang ALLAH Maha Luas. Mari kita tengok bagaimana antara cara untuk kita mendapatkan kasih sayang ALLAH?”

1) Firman ALLAH S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 31 yang bermaksud:


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku(Nabi Muhammad s.a.w), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


Erti kata lain, kita sebagai hambaNya perlu mengikut  jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w bagi mendapatkan kasih sayang ALLAH. Buatlah sunnah Nabi Muhammad s.a.w di samping memperkukuh amalan-amalan wajib.

2) Firman ALLAH S.W.T dalam surah Al-Maidah ayat 54 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang Yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya.”

Beberapa ciri golongan yang dikasihi ALLAH telah terpapar jelas dalam ayat al-Quran ini:
a) bersifat lemah lembut terhadap orang beriman
b) bersifat tegas terhadap orang kafir bukan keras tetapi tegas berprinsip
c) berjihad di jalan ALLAH
d) tidak takut dengan celaan orang-orang yang mencela.

3) Firman ALLAH S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 7 yang bermaksud:

“Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? kecuali orang-orang (musyrik) Yang kamu telah mengikat perjanjian setia Dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertaqwa.

Taqwa di sini bermaksud, melakukan segala suruhan ALLAH & menjauhi segala laranganNya sama ada ketika hidup bersendirian atau dalam jemaah. InsyaALLAH kasih sayang sentiasa melimpahi kehidupan kita J

4) Firman ALLAH S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 146 yang bermaksud:

“dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang Dengan disertai oleh ramai orang-orang Yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa Yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang sabar.”

Sabar dengan maksud kekal dalam ketaatan kepada ALLAH walau dilanda ujian yang bertimpa kerana dia yakin dengan ujian yang datang itu tanda ALLAH sangat menyayangi hamba-hambaNya. Sabar mudah untuk dilafazkan tetapi terkadang memerlukan mujahada untuk dipraktikkan.

5) Firman ALLAH S.W.T dalam surah Ali-Imran ayat 148 yang bermaksud:

“oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia (Kemenangan dan nama Yang harum), dan pahala akhirat Yang sebaik-baiknya (Nikmat syurga Yang tidak ada bandingannya). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang berbuat kebaikan.

ALLAH sangat menyayangi hamba-hambaNya yang berbuat kebaikan @ ihsan. Ihsan terbahagi kepada dua ihsan terhadap ALLAH & ihsan terhadap manusia.

6) Firman ALLAH S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud:

“dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: "Darah haid itu satu benda Yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh Dengan isteri kamu) Dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan Yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.”

Dua perkara utama yang disentuh oleh ALLAH bagaimana untuk kita mendapatkan kasih sayangNya dalam ayat ini ialah, pertama kita mestilah bertaubat daripada dosa mengakui & memperbaiki kesilapan dosa & sentiasa mensucikan diri dengan berwudhuk.

7) Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang yang paling ALLAH sayang adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada manusia lain”

Memetik kata-kata Ustaz Harizal, “Erti Hidup pada Memberi”. Jadi, sentiasalah hidup dalam keadaan memberi bukan meminta. Bila kita memberi tanpa syarat insyaALLAH, ALLAH juga memberi kasih sayangNya pada kita tanpa syarat.

8) Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Orang yang berkasih sayang kerana ALLAH, maka layaklah dia mendapat kasih sayang kerana ALLAH.”

Jadi, mari kita mengambil pengajaran daripada perkara-perkara yang mendekatkan diri kita kepada kasih sayang ALLAH. Usah kita kalut berkejar nak dapatkan cinta manusia jika cinta kita kepada ALLAH belum lagi cukup sempurna & kuat menjadi benteng pertahanan untuk kita mencintai yang lain. Kejarlah cinta ALLAH terlebih dahulu dalam kehidupan kita, insyaALLAH cinta yang lain akan datang menyusul tanpa dipinta.

Moga kehadiran perkongsian kali ini memberi manfaat & ibrah bersama betapa hati amat dahagakan cinta Ilahi, kerana dengan kasih sayangNya kita bisa meneruskan kehidupan ini dengan baik dalam redhanya. Mahabbatullah dicari, redhaNya ditemui.



Siiru ‘alaa barakatillah...


No comments:

Post a Comment