Friday 24 April 2015

Satu Hari Sebuah Buku

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran diucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan nikmat kasih sayangNya, penulis masih diberi kesempatan & kekuatan untuk meneruskan penulisannya di blog ini. Ucapan syukur tak terhingga ini terlafaz tanpa paksa kerana dengan kasih sayangNya juga penulis bisa menikmati nikmat terbesar iman & Islam. Iman & Islam ini yang membentuk dirinya menjadi manusia yang menghargai rasa bertuhan.

Al-Hamdulillah di samping rancaknya usaha sahabat-sahabat seperjuangan memastikan pihak yang benar menang dalam Pilihan Raya di Rompin, Pahang, ALLAH memberinya peluang untuk menghabiskan pembacaan bukunya yang tertangguh. Satu hari sebuah buku kini kembali menghiasi blog ini yang telah lama sepi tanpa kata dan luahan idea. Buku bertajuk, "PEMIKIRAN TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT- Karangan: Mohd Aizat Mohd Salleh Al-Hafiz- Terbitan: PTS Publishing House Sdn. Bh" ini benar-benar menyentuh emosinya.



Buku ini punya cerita tersendiri tentang Allahyarham TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT. Mengingatkan penulis tentang kehebatan susuk tubuh allahyarham. Setiap kali membaca bait kata untaian rasa yang terlakar dalam buku ini, air matanya tumpah menahan sebak. Bait katanya bukan sahaja mengajak pembaca mengenal susuk tubuh bernama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tapi juga mengajak pembaca mengenali & menjiwai dunia perjuangan Islam yang dilalui oleh allahyarham. Setiap kali membaca buku ini ada sahaja muka surat buku yang ditandanya, penuh seolah-olah mahu dikongsi semua rasa ketika membaca buku ini. Sekali pandang, penulis terus membelinya tanpa berfikir panjang, kerana niatnya memang mahu mengetahui & menelusuri kisah hidup insan hebat bernama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dengan hiasan gambar-gambar Allahyarham Tuan Guru lagi menambah sebak di dada penulis sewaktu membacanya.

Tertarik dengan bicara kata Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dipetik dalam buku ini pantas tangannya menekan 'key board note booknya': "Masalah (orang kata) Kelantan juga ada dadah, ada pembunuhan, dan sebagainya. Bagi memudahkan pemahaman, saya misalkan Kelantan ini umpama sekeping tanah padi yang sekelilingnya tanah terbiar. Ada tikus, ada makhluk perosak di dalamnya. Yang kalau dibuat tanaman padi, tikus-tikus akan keluar malam-malam makan padi dan sebagainya. Tanah terbiar ini maksudnya tanah kerajaan-kerajaan (negeri) lain di Malaysia  yang tidak menggunakan agama untuk memerintah negeri..."

Memetik satu lagi 'link internet' berkaitan buku ini:

http://bukuislamikdiskaun.blogspot.com/2015/03/pemikiran-tuan-guru-nik-abdul-aziz-nik.html

Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ~ Mohd Aizat Mohd Salleh Al-Hafiz

Tuan Guru,
Pemikirannya luar biasa,
Meneliti bukan sekadar menuruti,
Menghalusi bukan sekadar meneladani,
Meneliti masalah, menuruti syariah,
Menghalusi mehnah, meneladani sunah.
Tuan Guru,
Peribadinya santun lagi mulia,
Meraikan setiap keturunan Adam,
Dijaganya lelaki mahupun wanita,
Tidak kira Islam mahupun bukan,
Pada wajah semua, terukir senyuman.
Tuan Guru,
Kepimpinannya terpandu dan istimewa,
Terselit tegas dalam kelembutan,
Cukup kaya dengan kesederhanaan,
Beroleh taulan kerana kesantunan,
Agungnya Tuhan menjadi pengakhiran.
Melihat wajah Tuan Guru...,
Terasa nyaman dalam jiwa,
Terhening sejuk pandangan mata,
Beliau permata antara semua,
Sinarnya berkilauan nan luar biasa.
Pemikiran Tuan Guru ini menyusuri sejarah hidup Dato' Nik Aziz Nik Mat serta sejarah
 pergerakan Islam yang lain. Buku menarik ini menumpukan kepada prinsip-prinsip agama yang
 mendasari keputusan politik Tuan Guru.
Antara isu yang diketengahkan dalam buku ini termasuklah isu nama Allah, 
perlaksanaan hukum hudud di Kelantan, pengharaman arak dan judi di Kelantan,
 isu artis ke Kelantan, isu 'Allah Samseng', isu orang bukan Islam 
membaca Quran dan isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid.
Buku yang ditulis oleh Tuan Mohd Aizat Mohd Salleh ini melihat rasional ilmiah 
daripada keputusan Tuan Guru Nik Aziz. Menariknya buku ini menyediakan
 32 halaman berwarna termasuk gambar-gambar unik 
yang diambil khusus sewaktu menziarahi tuan guru.
Istimewanya, buku ini juga dimuatkan dengan pantun
 indah karangan Tuan Guru Nik Aziz sendiri.


Ini bicara dari hati penulis saat usai membaca buku ini selepas maghrib tadi. Hatinya memberontak untuk ditamatkan pembacaan buku ini secepatnya, agar nanti ada sesuatu yang bisa dia kongsi hasil pembacaannya. 

Rasa rindu mencengkam di jiwa
Saat menelusuri kisah dalam buku ini
Beliau bagaikan hidup subur
Dalam setiap jiwa insan yang mengenalinya
Membaca & terus membaca
Memberi ruang pada diri
Memberi ruang pada akal
untuk lebih memahami perjalanan hidup insan hebat ini
untuk merasai kewujudan jasanya.

Sebak menjengah di kalbu
Saat cuba memahami setiap langkah yang dibuat oleh beliau
Hanya demi keagungan Islam
Setiap usaha & keringat Tuan Guru
Tumpah melimpah hanya kerana ALLAH

Diriku mengenalinya
Saat jasadnya bersemadi aman
Saat suara tenangnya tiada lagi kedengaran
Saat rohnya telah bertemu Tuhan

Membaca buku ini
Mengajak aku memahami perjuangan Islam
Mengetuk hatiku untuk teruskan langkah
Menghargai insan sehebat ulama' ini
Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Sungguh,
Setiap insan merindui susuk tubuhnya
Mahu sekali mendengar suaranya berbicara lagi
Menutur laju kata nasihat buat semua
Amanlah Tuan Guru di lam sana
Moga perjuangannya untuk ummah
Takkan pernah terhenti
Memberi rahmat
Moga diriku bisa menurut...bisa mengikut jejak
Walau sekelumit tentang dirinya

Baiklah...setakat ini sahaja perkongsian penulis untuk hari ini 5 REJAB 1436H. Moga kehadiran Satu Hari Sebuah Buku ini dapat memberi nilai manfaat buat ummah umumnya. Moga hatinya terus terdidik dengan Islam, moga sahabat semua terus thabat & istiqamah di jalan perjuangan Islam ini. Siiru 'alaa barakatillah.


No comments:

Post a Comment