Sunday 28 September 2014

Musibah & RahmatNya

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...penulis masih dikurnia nikmat bernafas & menghirup oksigen milik ALLAH dengan percuma. Al-Hamdulillah...kasih sayang ALLAH sentiasa melimpah padanya walau terkadang diri di himpit musibah bertimpa itu resam insan bernama manusia. Manusia tak boleh lari dari musibah & ujianNya. Cuma manusia perlu bijak memikirkan cara bagaimana mahu mendepani masalahnya.




Setelah puas mencari ilham apa yang mahu dikongsi dalam blog ini penulis nekad memetik salah satu artikel dalam IluvIslam.com tentang ujian dariNy. Mari kita baca bersama-sama moga memberi manfaat pada hati yang sentiasa merindui Tuhan!


Sab, 28 Mei 2011 13:30 | Zalikha | Editor: mawaryangtinggiDescription: Print
Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. 
Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita.
Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.
Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!
Bila bicara tentang ujian & musibah teringat penulis pada keluarga terdekatnya yang diuji hebat oleh ALLAH. Mengharung dugaan seorang diri, mujur ALLAH sentiasa di sisi. Teringat pada dirinya, apalah sangat jika dibandingkan orang lain yang lagi besar ujian yang perlu mereka tempuhi. Perjalanan hidup manusia penuh dengan warna-warna, ada kala kita suka ada kala mengundang derita. 

Apapun yang ALLAH tetapkankan itulah yang terbaik untuk diri kita. Usah risau sahabat jika kita diuji ingat ALLAH lebih menyayangi kita. Ujian itu datang membawa sejuta rahmat kepada kita. Itulah uniknya seorang muslim bila dirinya senang & bahagia dia lebih banyak bersyukur, bila dirinya diuji dengan musibah yang bertimpa dia redha. Doa penulis untuk semua insan yang disayanginya kerana ALLAH termasuklah sahabat2 blog semoga kita sentiasa terpelihara imannya. Kerana dengan iman & Islam kita terpelihara dari segala noda. Al-Fatihah untuk semua.

Setakat ini dahulu coretan ringkas penulis hari ini setelah lama menyepikan diri. Moga memberi manfaat untuk ummah & menyumbang kebaikan untuk semua. Usah puas untuk berubah & menjadi baik pada pandangan ALLAH. Usah kalah dalam mengekalkan peribadi muslim dalam diri kita membumikan Islam dalam diri & masyarakat. Usah takut untuk sentiasa berfikiran positif & sentiasa memikirkan detik kematian kita kerana matlamat akhir kita adalah bertemu ALLAH dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Siiru 'alaa barakatillah...


Road to Makkah...my dream place.

Tuesday 23 September 2014

Doa Seorang Kekasih


Bismillahirrahmanirrahim

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ALLAH sentiasa melimpahkan kasih sayang pada penulis. Walau terkadang dirasakan amanah melebihi 24 jam masa yang dia ada. Al-Hamdulillah, ALLAH memberi & menganugerahkan sebaik-baik nikmat pada penulis iaitu nikmat Islam & iman yang sangat berharga melebihi nilai isi dunia. Al-Hamdulillah juga kerana diberi peluang & kesempatan oleh ALLAH untuk memegang amanah sebagai muaddibah.

Muaddibah yang padanya punya banyak tugas & kerja. Bukan hanya mengajar serta mendidik anak, tetapi tugas muaddibah juga seperti 'guard', seperti ibu & ayah, janitor, & mestinya seperti pendidik. Banyak kerja yang kami lakukan dalam satu satu masa, tetapi langsung tidak pernah membebankan kami. Malah tugas muaddibah memberi pengalaman berharga kepada penulis. Ya, dengan banyaknya kerja yang kami kena lakukan maka banyaklah kemahiran secara tidak langsung yang kami belajar antara belajar menjadi suri rumah sebelum menjadi suri rumah dalam rumah tangga. Belajar memahami jiwa kanak-kanak sebelum bergelar seorang ibu. Paling penting belajar mendisiplinkan diri sendiri sebelum tiba masanya kita kena mendisiplinkan keluarga.

Duit & harta kita boleh cari tetapi pengalaman berharga seperti ini kita tak boleh beli di mana-mana kedai pun. Jadi, usahakan diri untuk memberi & terus memberi walau apa pun gelaran yang terpikul di pundak kita. Rasa bahagia menjalankan tanggungjawab & amanah akan menambah rasa manis dalam pengalaman kita. 

Tengah syok mengelamun tentang pengalaman sendiri & melihat wajah-wajah suci anak-anak yang sedang tidur pagi tadi , tiba-tiba terdengar nasyid bertajuk 'Doa seorang Kekasih-Inteam' berkumandang dalam 'note book'nya yang banyak berjasa. Jadi, layan jelah nasyid yang menjadi halwa telinga. Tak tahu nak 'share' apa kat dalam blog ini. Banyak je idea yang nak disumbangkan tetapi masa sangat mencemburui penulis. Jom hayati lirik di bawah! Maaf jika tak kena pada jiwa sahabat semua ya. 

Lirik Doa Seorang Kekasih - Inteam


Oh Tuhan, seandainya telah Kau catatkan
Dia milikku, tercipta untuk diriku
Satukanlah hatinya dengan hatiku
Titipkanlah kebahagiaan

Ya Allah, ku mohon
Apa yang telah Kau takdirkan
Ku harap dia adalah yang terbaik buatku
Kerana Engkau tahu segala isi hatiku
Pelihara daku dari kemurkaanMu

Ya Tuhanku, yang Maha Pemurah
Beri kekuatan jua harapan
Membina diri yang lesu tak bermaya
Semaikan setulus kasih di jiwa

Ku pasrah kepadaMu
Kurniakanlah aku
Pasangan yang beriman
Bisa menemani aku
Supaya ku dan dia
Dapat melayar bahtera
Ke muara cinta yang Engkau redhai

Ya Tuhanku, yang Maha Pengasih
Engkau sahaja pemeliharaku
Dengarkan rintihan hambaMu ini
Jangan Engkau biarkan ku sendiri

Agarku bisa bahagia
Walau tanpa bersamanya
Gantikanlah yang hilang
Tumbuhkan yang telah patah
Ku inginkan bahagia
Di dunia dan akhirat
PadaMu Tuhan ku mohon segala




Teruskan berdoa agar MENJADI yang terbaik & MENDAPAT yang terbaik. ALLAH dah tentukan yang terbaik untuk kita, tinggal lagi usah putus asa & terus berusaha. Berusaha bukan hanya dengan doa tetapi dengan tindakan yang menjurus ke arah gerbang perkahwinan. Ada masa kita kena fikir juga tentang masa hadapan, ya masa hadapan umat Islam yang lebih gemilang dengan melahirkan generasi-generasi yang sanggup berjuang demi Islam. 

Setakat ini sahaja coretan ringkas & padu untuk semua pada hari ini. Walau kehadirannya mungkin tidak memberi apa-apa manfaat, moga terdetik walau sekelumit rasa kebertanggungjawaban untuk melahirkan generasi Islam yang lebih baik pada masa akan datang...InsyaALLAH...

Saturday 20 September 2014

Satu Hari Sebuah Buku Majalah SOLUSI ISU 71

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...kasih sayang & ujian ALLAH mewarnai kehidupan penulis. Warna-warni pelangi kehidupan sentiasa memberi peluang kepada penulis untuk bernyawa dalam Islam & iman. Betapa beruntungnya diri penulis punya iman & Islam yang mengindahkan kehidupannya. Kalian bagaimana? Tepuk dada tanya hati ya.

Sejauh mana kita memegang gelaran sebagai muslim & melaksanakan amanah sebagai individu muslim? Hati ini terdetik & terkesan, akal mulai memikir bila mendengar persoalan yang keluar dari mulut sahabat, “Blog awak ada cerita pasal isu semasa tak?” Bagai diketuk dengan tukul, bagai tersentak dari mimpi yang indah, bagai dihiris dengan sembilu tajam, persoalan itu menghantui diri. Jawapan penulis mudah tidak. Isu semasa?

Ya, penulis mengakui blognya hanya dipenuhi dengan cerita peribadi, pengalaman sementara yang mungkin tidak memberi manfaat @ cetusan idea membina untuk pembangunan Islam, langsung tidak menyentuh isu semasa yang berlaku sekarang ini. Entah bagaimana mahu dilakar kisah tentang isu semasa, mungkin salah satu sebab utamanya penulis kekurangan sumber tentang isu semasa menyebabkan blognya hanya terisi dengan kisah hidup sendiri.

Betul kata orang, pembacaan mencerminkan peribadi seseorang. Penulis suka hidup dengan buku, suka membaca pengalaman-pengalaman insan lain, hidupnya banyak dihabiskan dengan membaca & menulis. Sayangnya isu semasa tidak menjadi topik utama penulis dalam blog ini.

Isu politik semasa, isu negara, isu besar Palestin yang menggugat keamanan rakyatnya menimbul kemarahan semua, isu menyebarkan dakwah Islam secara lebih kreatif & inovatif, isu pendidikan negara, isu perkauman, isu keamanan negara, isu hukum hakam Islam & berbagai lagi isu yang timbul tidak dapat dihadam sepenuhnya oleh penulis walaupun dia memang suka menulis untuk kepuasan diri sendiri. Bukan sahaja kurang dihadam tetapi juga kurang diteliti & diperdalami sesuatu ilmu. Penulis ingin sekali menghiasi blognya dengan isu-isu semasa agar dapat membuka mata semua bahawa Islam itu syumul (menyeluruh sifatnya). Sekali gus dapat mengelakkan dia dari bersifat seperti katak di bawah tempurung. Impian itu ada cuma idea & ilham itu masih beku.

ALLAHUAKBAR...cabaran besar bagi penulis sebenarnya. Mahu dicoret apa blognya agar terus memberi & memberi manfaat buat ummah? Agar tidak dipandang sebagai blog picisan semata...agar kehadirannya tidak dipandang sebelah mata sahaja...biar dalam banyak-banyak ‘bintang’, ‘bintang’ ini yang berkerlipan kerana ALLAH. Ya, dengan memberi penulis rasa bahagia, dengan memberi terlepas segala seksa, dengan memberi ketenangan mendekatinya, dengan memberi musibah seakan-akan mudah dilaluinya, setiap persoalan & permasalahan terlerai akhirnya. Itulah kuasa memberi.

Tak tahu bagaimana mahu digarap blog ini agar tiada hati yang terluka ketika membacanya, tiada manusia yang rasa terpinggir bila menziarah blog ini, agar blog ini terus memberi cahaya Islam bersinar menyinari semua. Biar indah & buruknya tetap memberi manfaat buat semua. Selain memenuhi masa lapang, biarlah kewujudan blog ini memberi satu titik perubahan kepada penulis sendiri khususnya & kepada semua yang sudi menziarahi blog ini. Sejujurnya penulis tidak pandai mengulas tentang isu semasa tempatan atau global. Apa yang pasti penulis mahu memberi & berkongsi dengan apa yang dia ada walau cuma dengan pena.

Satu hari sebuah buku antara ‘post’ popular & menabur manfaat buat semua yang sering penulis garapkan dalam blog ini. Sudah lama penulis tidak membedah buku, sudah lama juga penulis kurang membaca buku-buku yang dibelinya padahal sebelum ini penulis begitu ghairah mencintai buku & menjadikan buku sebagai teman rapatnya. Malah jika ada sahabat yang menghadiahkan buku padanya, ucapan syukur & terima kasih pantas mengukir laju di bibirnya menyatakan betapa gembiranya dia menerima sebuah buku. Bila dapat membaca balik, timbul satu keseronokan yang luar biasa hebat. Mindanya terisi.

Banyak ilmu baharu diperolehinya, banyak juga kata-kata yang terkadang ‘kena atas kepala sendiri’. Menyedarkan penulis ketika membaca buku, menjentik hati yang keras ibarat batu. Mari kita bedah buku Majalah SOLUSI Isu 71! Bersama ALLAH tidak gelisah...ALLAH itu hampir mengapa kita meminggir. Antara bicara kata dalam SOLUSI 71.

Majalah yang padat dengan ilmu & isu semasa. Bahagia dapat membelek & membaca dari satu helaian hingga helaian seterusnya. Isu utama indah hidup bersama ALLAH. Isu yang mungkin dilupakan oleh ramai individu. Mendekat pada ALLAH hanya pada saat susah & ditimpa ujian, sedang masa bahagia, kita lupa mengucap syukur padaNya.

Memetik kata-kata, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi pada halaman 15 majalah SOLUSI ISU 71: “Di mana jua kedudukan kita di mata masyarakat, namun jika hidup bersama ALLAH, kita akan mencapai ketenangan, keberanian & kebebasan yang tiada tandingan. Ketenangan yang menyebabkan si miskin hidup bagaikan hartawan & jutawan. Keberanian yang menyebabkan buruh lebih cekal berbanding majikannya. Kebebasan yang menyebabkan hamba sahaya lebih bahagia daripada tuan yang memilikinya.” Sudah lama tidak membelek buku majalah ini, akhirnya hati kembali terisi. Penulis rindukan buku-bukunya. Teman pasifnya, teman kala fikiran rasa kosong, kala rindu bertamu pada insan-insan yang disayanginya kerana ALLAH. Kalam ALLAH juga sering menemaninya.

Mungkin bukan olahan isu semasa yang penulis ketengahkan dalam blognya, cukup persinggahan ‘bedah buku’ membuat dirinya & generasi akan datang mendekat pada Ilahi, kembali pada jalanNya. Apa yang penting penulis dah melangkah setapak dalam matlamat penulisannya. Moga terus mendapat ilham untuk meneruskan perjuangan dalam penulisan ini biar nanti ada yang membenci, biar nanti mungkin ada yang tidak suka, biar nanti ada yang mempersoal usahanya.

Bersama ALLAH tidak gelisah pada halaman 18 Majalah SOLUSI ISU 71 membuka mata penulis ketika membacanya. Digariskan bersama empat cara untuk kita menghampiriNya, 1) Bersangka baik kepada ALLAH & berzikir. 2) Bertawakal. 3) Berdoa & solat. 4) Melaksanakan amalan wajib & memperbanyakkan amalan sunat. Penulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sangat membekas di hati penulis, bicaranya seolah-olah terus masuk ke qalbu penulis. Inilah hasil penulisan dari hati ke hati. Penulisan yang tenang & mudah untuk difahami cepat membekas di hati pembacanya.

Antara kolum yang menarik pembacaan penulis PERSONALITI: Malu Pada Steve Jobs halaman 94 & 95 & KEMBARA: Dari Negeri Nabi Yusuf ke Tasik Qarun halaman 108-110. Jom kita telusuri perbincangan tentang 2 kolum ini yang mungkin memberi pengalaman baru buat semua pembaca blog ini! Tersusun kemas kolum-kolum dalam buku majalah Solusi ini semata-mata mahu memberi ilmu kepada pembacanya. Agar yang songsang kembali benar, yang salah kembali betul, yang tak tahu mendapat ilmu baharu, yang tahu bertambah tahu. Walau isinya agak berat, tapi usah risau untuk membacanya.

Kolum PERSONALITI membuka fikiran penulis untuk terus berfikir. Artikel ini adalah penulisan Ustaz Muhammad Luqman Makhtar. Mari kita baca apa kata Steve Jobs dalam ucapan perasmiannya kepada graduan Stanford! “Mengingatkan bahawa saya akan mati tidak lama lagi ialah teknik paling penting yang membantu saya dalam membuat keputusan besar dalam kehidupan. Ini kerana hampir semua perkara harapan orang pada kita, perasaan bangga, perasaan takut akan kegagalan & dimalukan akan lenyap begitu sahaja di hadapan kematian. Yang kekal hanya yang benar-benar penting.” “Tiada siapa yang ingin mati. Bahkan orang yang berimpian ke syurga juga tidak ingin mati untuk ke sana. Meskipun begitu, kematian destinasi kita bersama. tiada sesiapa punya yang terlepas. & begitulah sepatutnya pun, kerana kematian hasil cipta kehidupan yang terbaik. Kematian ejen perubahan dalam kehidupan. Kematian mengenyahkan yang lama demi memberi ruang untuk yang baharu.” ( Inside Steve’s Brain, Leander Kahney)

Betapa hebatnya pemikiran orang barat. Bukan untuk kita memuja mereka tetapi untuk kita mencontohi sikap cintakan ilmu. Hebat bukan orang yang bukan Islam meletakkan kematian sebagai matlamat akhirnya untuk dia membuat anjakan paradigma dalam kehidupannya. Kita sebagai muslim sepatutnya meletakkan kematian sebagai satu titik perubahan. Mari kita tengok contoh individu yang mempunyai penyakit tiada harapan untuk sembuh, & dia diberitahu oleh doktor kesempatan hidupnyan hanya setahun. Apa yang dilakukan olehnya? Adakah masih seronok dengan kemewahan dunia? Adalah masih bahagia dengan nikmat-nikmat yang berbaki? Bagaimana amalan & ibadahnya hanya sekadar atau luar biasa hebatnya?

Itu masa dia tahu detik kematian dia, sedang kita sebenarnya tidak tahu bila kita akan mati. Cakap pasal mati ini, sungguh mati bagi diri penulis makin mendekat bila mana semalam dia mendapat khabar sedih tentang kehilangan seorang pemuda Islam yang hebat iaitu Allahyarham Ustaz Safrizal. Penulis pernah mendengar taujihatnya, penulis pernah mengenali susuk tubuh bernama Ustaz Safrizal. Perjuangannya menaburkan kebaikan Islam berhenti di situ setelah ALLAH mengambil nyawanya bersama ibunya dalam satu kemalangan tragis. Tidak banyak yang penulis tahu tentang dirinya, cuma kematian beliau membekas di jiwa penulis. Memberi peluang kepada akal penulis berfikir, bagaimana jika aku yang diambil nyawa oleh ALLAH dalam sekelip mata sahaja? Adakah aku sempat bertaubat? Adakah aku sempat menggembirakan ibu ayah & insan-insan yang aku sayangi? Paling penting soalan ini muncul dibenakku, adakah aku sempat memberi sumbangan pada Islam mempertahan iman di dadanya & orang sekeliling?

Ya ALLAH...Engkau tempatkanlah allahyarham bersama-sama orang yang soleh. Limpahkanlah kasih sayangMu padanya. Mari sama-sama kita menghadiakan al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Safrizal! Kita bakal menyusurinya nanti, cuma kita tidak tahu bila detiknya tiba, bila malaikat maut datang menjemput ruh kita. Moga ALLAH mengampuni setiap dosanya, moga ALLAH terus merahmatinya. Abadilah allahyarham bertemu ALLAH yang Maha Penyayang. Kepada ALLAH kita kembali & kepada ALLAH kita berserah diri.

Ingat mati memberi ruang pada diri kita untuk terus melakukan kebaikan & mahu melakukan yang terbaik dalam kehidupan. ‘Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, & beribadahlah seolah-olah kamu akan mati keesokan hari.’ Lagi satu kolum dalam buku majalah ini yang menarik perhatian penulis ialah kolum KEMBARA. Memandangkan memang suka jalan-jalan bermusafir, jadi kolum ini memberi peluang kepada penulis untuk meneliti negara-negara lain melalui pembacaan. Penulis artikel ini, Dato’ Hj. Muhammad Zakaria sering memaparkan penulisan kreatif melalui penelitian pengalaman kembaranya. Seronoknya dapat mengembara bermusafir mengutip ibrah di negara-negara lain. Penulis juga punya impian untuk menjadi pengembara musafir di bumi ALLAH suatu hari nanti. Itupun jika diiznkanNya. Sudah tentu blog ini dipenuhi dengan cerita-cerita indah di bumi kembaranya. InsyaALLAH...Biiznillah.

Mesir & Makkah dua buah negara yang diceritakan oleh penulis artikel kolum kembara ini. Pantas cerita tentang Tasik Qarun menarik pembacaan penulis bila mana diceritakan betapa indahnya tasik itu dari jauh tetapi bila dekat hitam pekat & kotor. Itulah musibah yang diterima oleh Qarun yang tamak dengar harta. Pengajaran berguna buat manusia yang mahu memikirkannya. Jadi, jom kita baca buku majalah SOLUSI ISU 71 untuk mengetahui cerita seterusnya. Penulis hanya berkongsi setitik daripada ilmu dalam buku tersebut. Selebihnya, cuba dapatkan dalam buku majalah SOLUSI ISU 71.


Setakat ini dahulu coretan penulis untuk hari ini. Panjang umur kita jumpa lagi di lain masa & ketika. Bersyukurlah kerana kita adalah individu muslim yang hidup dalam petunjuk ALLAH. Bahagiakan dirimu dengan Islam di dada. Siiru ‘alaa barakatillah.

Thursday 18 September 2014

Happy Birthday to my Beloved Friend

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...ALLAH masih menyayangi penulis & memberi peluang kepada penulis untuk sekali lagi mencoret kata dalam blognya. Salam Jumaat kareem buat semua pembaca blog ini. Moga kehadiran Jumaat ini memberi sejuta barakah kepada seluruh umat Islam. Tiada kata sebaik rasa sayang kerana ALLAH. Tiada rasa mampu diluahkan oleh pembaca selain dari bentuk penulisan ini. Al-Hamdulillah iman & Islam masih bertapak di dada & dia berdoa moga iman & Islam yang ada menemaninya hingga hujung hari akhirat.

Lama merenung alam, penulis mulai menghitung hari terlupa rupa-rupanya pada tarikh 19 September 1990 adalah hari lahir yang ke 24 bagi sahabat baiknya yang bernama Nur Farhanani bt Che Aznan. Seperti kebiasaan penulis suka merekayasa cerita tentang insan-insan yang di sayanginya terutamanya ketika tarikh kelahiran mereka. Tiada hadiah yang mampu dikirimkan hanya tulisan & penghargaan dalam blog mampu menjadi pengganti diri.

Tanggal 19 September 1990 lahir seorang bayi perempuan dalam sebuah keluarga bahagia. Dia seperti penulis ditakdirkan lahir sebagai anak sulung dalam keluarga. Dia membesar menjadi anak yang solehah & comel. Di sekolah rendah dia mulai mengenal kawan & di situ detik pertama dia mengenali penulis. Dia diberi nama Nur Farhanani bt Che Aznan. Empat sahabat tak pernah terpisah walau jasad & jarak memisahkan mereka. Sungguh ketika ini penulis merindui wajah suci sahabatnya yang telah menjangkau umur 24 tahun. Bagaimana rupanya? Bahagiakah dia? Bila dia bakal mendirikan rumah tangga & bergelar seorang isteri? Semua persoalan bermain di benak fikiran penulis.

Happy Birtday 24 Nani...


Andai Nani membaca tulisan ini, bahagia membalut diri penulis. Hanya hadiah ingatan tulus ikhlas dari penulis yang mampu digarap dalam luahan rasanya. Nani sahabat yang sangat baik kami kongsi segala-galanya bersama. Cuma bila tiba masa masing-masing mahu memenuhi impian diri, perpisahan itu direlakan jua dalam keterpaksaan. Hari ini hari lahirmu sahabatku, Nur Farhanani bt Che Aznan. Kamu dah berusia 24 tahun & sudah lama kita tidak berjumpa betapa penulis memendam rasa rindu ini padamu. Penulis tak pernah lupa kirimkan doa & al-Fatihah untuk sahabatnya agar hidupmu bahagia dunia & akhirat. Penulis tak pernah lupa mengenang kembali detik-detik kndah kita bersama. Ketegasanmu, senyumanmu, titisan air matamu, tangis bahagiamu. Semua terakam indah di hati penulis.

Biar kita bersahabat kerana ALLAH & kita bisa ketemu di syurga. Andai perpisahan ini menambah rasa rindu penulis pada si kecil Nani, takdir ini penulis harus terima dengan redha. Tidak banyak cerita yang mampu penulis karang tentang dirimu sahabatku, Nani namun ini tidak bermakna penulis langsung melupakanmu.



Pesanan terakhir kepada Nur Farhanani bt Che Aznan: Peliharalah imanmu walau di mana pun kamu berada. Terus dekatkan diri pada ALLAH terus bergantung padaNya & redha dengan segala ketentuanNya, nescaya sahabatku bisa mengatasi segala musibah & nikmat yang tiba. Penulis hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk kamu. Cepat-cepat kahwin tau bila jodoh dah menjemput. Tak sabar penulis nak merasa nasik minyak kenduri Nur Farhanani bt Che Aznan. Kalam terakhir buatmu sahabat teruskan usaha menjadi muslimah solehah dambaan syurga! Zhu ni sheng re kuai le wo de peng tou Nani...

Memetik kata-kata pada muka hadapan majalah SOLUSI ISU 71: "ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Tidak boleh ada dua cinta dalam satu jiwa. Dalam hati yang satu itulah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika cinta selain ALLAH yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Kegelisahan pun menghampir."




Langkah Si Hamba

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan izinNya penulis masih punya waktu dalam kesibukan melayan anak-anak. Blog kesayangannya ini takkan pernah sunyi dari kata-kata kecuali ajal terlebih dahulu menjemputnya. Bahagia bersama-sama anak-anak didiknya membuatkan pengisian blognya sepi sekejap. Kebahagiaan sangat dirasai bila mana melihat wajah-wajah comel mengisi ruang masanya. 

Sekarang baru penulis mengerti bagaimana perasaan menjadi seorang ibu yang bukan menyara seorang anak tapi 12 orang anak. Keletah anak-anak benar menguji kesabaran penulis. Ya kerjaya muaddibah memberi pengalaman berharga kepada penulis sebelum dia benar-benar berumahtangga punya anak dari darah daging sendiri. Baharu seminggu rasanya penulis menyertai Kursus Pra-Perkahwinan yang di anjurkan oleh USIM & JAKIM sungguh membuka mata penulis tentang ilmu berkeluarga. Ambil kursus kahwin bukan bermakna nak kahwin terus tetapi sebagai persediaan menghadapi gerbang perkahwinan. Banyak ilmu baharu yang penulis dapat sepanjang kursus tersebut berlangsung.

Terkadang rasa takut nak kahwin pun menjelma. Ada baiknya kahwin masa kat akhirat sahaja. Maklum sahaja banyak persediaan diperlukan dalam pembinaan baitul muslim. Bukan hanya sedia mental, fizikal, rohani, kewangan juga semua yang berkaitan dengan kehidupan. Ya bila hidup bujang semuanya satu, tak payah fikir banyak, senang konon. Bila dah kahwin perancangan kena mantap, persediaan ibarat pahlawan nak menyertai medan peperangan. Jadi, kesimpulan kat sini, kahwin bukan perkara main-main ia melibatkan bukan hanya penyatuan dua jiwa bernama suami & isteri tetapi juga melibatkan pembentukan sebuah keluarga ke arah memartabatkan Islam di alam ini & penyatuan dua buah keluarga besar.

Baiklah, tadi masa tengah cari ilham nak buat apa kat dalam blog ini, penulis terserempak dengan satu rangkap puisi yang dikarang sendiri oleh penulis masa dia meluangkan masa di rumah ALLAH. Tak tahu nak tulis apa, & nak karang cerita apa, jadi daripada biar blog ini sepi baik penulis hiaskan ia dengan puisi bertarikh 9 September 2014 pada jam 8:10PM bertajuk, "Langkah Si Hamba". 



Resah itu
Menjengah kembali
menambah kusut di dada
Menggugah iman yang ada
Aku terkadang hilang arah
Terbiar dalam kegelapan
Mencari sinar Ilahi
Menerang alamku ini

Mujur
Resah itu bisa dirawat
Cepat membaik bersama balutan
Cinta suci nan abadi
Cinta ALLAH nan menenangkan
Biar langkah terkadang jatuh
Biar iman terkadang menurun

ALLAH
UjianMu Maha Hebat
Bersama kepahitannya
Ku telan kemanisan berganda
Terus balut hatiku
Tersu pujuk jiwaku
Terus mencintai ALLAH Yang Satu

Tiada kata
Bisaku ungkap
Tiada rasa
Mampuku bicara
Tiada tingkah
Bisaku lakar
Selain terus mendekat padaMu
Terus melangkah dalam kegelapan
Hingga terlihat sirna
Di penghujung langkah si hamba


Setakat ini dahulu coretan hati penulis untuk malam ini. Salam Jumaat kareem buat semua pembaca setia blog yang serba kekurangan ini. Mohon maaf atas segala kekhilafan penulis sehingga membuat ada sahabat yang tergores atau mungkin bicara penulis ada yang salah, kehadiran hanya sekadar berkongsi buat tatapan generasinya nanti. & insyaALLAH memberi ruang pada diri untuk terus tazkiyah an-Nafs (memuhasabah & memperbaiki diri) sebab penulis lahir bukannya sempurna cuma mahu mendapat kesempurnaan di sisiNya. Jika sahabat-sahabat juga begitu usah putus untuk terus menghadiahkan doa & al-Fatihah kepada penulis & insan-insan yang disayanginya kerana ALLAH.

Jika jalan penulisan blog ini adalah jalan yang memberi aku peluang menyumbang pada Islam, berkongsi tentang kebenaran, bercerita tentang pengalaman sebagai individu muslim, walau hanya senipis kulit bawang & jalan inilah yang penulis pilih & rakamkan dalam sejarah kehidupannya sebagai muslimah. Memang penulis sedar dia tak pernah sempurna & ada masa dia bukan sebaik malaikat kerana dia juga manusia biasa. Tetapi sedarlah diri, aku bukan baik sangat untuk melakukan kebaikan tetapi aku nak terus berada dalam kebaikan & kasih sayang Tuhan yang menciptakan aku iaitu ALLAH. Aku tak nak hilang dari pandangan ALLAH.

Siiru 'alaa barakatillah. Salam kasih sayang atas dasar Islam & iman.

Wednesday 10 September 2014

Zhu Ni Sheng Re Kuai Le, Wo De Pengyou...Wira

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...berkat kasih sayangMu ALLAH penulis masih menghirup udaraNya & menikmati keindahan dalam Islam & iman. Nikmat terbesar yang sepatutnya umat Islam syukuri bersama. Rindu bertamu bila melihat blognya kosong dari kata-kata. Kebetulan ada sesuatu yang istimewa ingin penulis kongsikan dengan anak-anak generasinya. Tentang harga sebuah persahabatan yang terbina keranaNya.

Banyak sekali cerita tentang sahabat telah penulis lakarkan dalam blog kesayangannya. Sahabat antara insan yang memberi pengaruh besar dalam kehidupannya, bukan bermakna penulis bergantung sepenuhnya kepada mereka tetapi fitrah manusia saling memerlukan antaranya. Al-Hamdulillah Ya ALLAH, Engkau telah mengurniakan penulis sahabat-sahabat yang baik menjadi cerminan peribadi sebenar penulis. Ya, tanpa kebaikan sahabat penulis tidak akan menjadi sebaik ini.





Tanggal 11 September 1991 lahir seorang bayi perempuan yang diberi nama Siti Zawiroh Daud. Bayi comel ini lahir di negeri jelapang padi. Membesar menjadi puteri dalam keluarganya yang sungguh aktif dalam sekolah. Penglibatannya dalam pengawas semasa di sekolah menengah & pencapaian akademiknya yang memberangsangkan serta cemerlang memungkinkan dia menjadi insan yang hebat. Tidak salah rasanya penulis memuji insan ini sebab setiap manusia punya kehebatan & kelebihan tersendiri. Inilah insan yang penulis kenal semasa di alam universiti. Walau kami berlainan negeri, kami saling mengenali. Masih kekal di ingatan penulis bagaimana kali pertama kami berkenalan pada semester pertama pengajian di universiti. Zawiroh sibuk mencari rakan belajarnya untuk subjek komunikasi yang memang memerlukan penekanan dalam bentuk belajar berkumpulan. Kebetulan penulis berada bersebelahan dengannya, & dari situ kami mengikat persahabatan.


Kami bersahabat walau berlainan kelas belajar. Kami makan & belajar  bersama-sama. Kenangan paling manis bila tiba musim peperiksaan akhir semester, bersungguh benar kami belajar bersama-sama sehingga lewat malam. Siapa yang dapat markah tinggi? Dah tentu Wira. Dia pelajar pintar & aktif dalam kelas ataupun kuliah. Daripada hanya kawan biasa kami semakin rapat bila terlibat dengan organisasi kolej kediaman yang menempatkan kami di posisi yang sama. Sungguh banyak kenangan kami bersama hingga tak terbilang rasanya. Kami memang berlainan negeri, ya sudah tentu berlainan loghat bahasa seorang Kedah, seorang Kelantan.  Kami juga berbeza perangai & tingkah laku. Seorang pasif seorang aktif, seorang cantik seorang biasa-biasa. Tetapi bagi kami semua itu tiada bezanya.




Sanah helwah yang ke-23 buat Wiraku. Moga kehidupanmu sentiasa dilimpahi kasih sayang ALLAH. Moga bahagia sentiasa mendampingi jendela kehidupanmu. Moga kesedihan terus menghilang dari benak fikiranmu. Moga Wira berjaya dunia & akhirat. Hanya kiriman doa & al-Fatihah yang mampu penulis sampaikan kepada sahabatnya yang di kasihi kerana ALLAH biar doa itu menjadi pengganti diri. Kamu jauh dari mataku sahabat, tapi usah sedih kamu tak pernah jauh dari relung hatiku yang paling dalam.



Istimewa untukmu Wiraku, sebuah puisi penulis lakarkan untukmu. Moga menambah ikatan kasih sayang kita kerana ALLAH. Terimalah, ‘Warkah Buat Sahabat’!

Sahabat
Masih basah di ingatanku
Saat pertama kita bertemu
Mengikat janji berupa sahabat
Tersemat kemas di syurgaNya
Biar terpisah dek masa
Biar terlerai dek cita-cita
Warkah ini buatmu
Biar madah cinta kita tersu bersemi
Tak layu ditelan zaman ini
Kukuh ibarat awan memayungi bumi
Setia ibarat ombak bersama pantai
Sayang ibarat ibu bersama anak
Bukan kerana indah dunia
Ini kerana ALLAH semata
Sahabat
Maaf atas kekhilafanku
Maaf atas keterlanjuranku
Maaf atas tingkah kasarku
Maaf aku bukan sahabat baik untukmu
Hadirnya aku Cuma mahu
Menumpang kasih kerana ALLAH
Merasa manis dalam keredhaanNya
Sahabat
Warkah ini istimewa buatmu
Menghargai persahabatan suci kita
Mengingati ulang tahun kelahiranmu
Biar bicara pena ini membukti segala
Cinta aku hanya keranaNya
Tidak mengharap engkau memahami
Tidak menanti engkau kaya
Tidak menunggu engkau bahagia
Cuma mahu berkongsi kasih keranaNya
“Selamat Ulang Tahun Kelahiran Ke-23, Wiraku...”


Bicara pena kasih seorang sahabat yang mendamba persahabatannya berkekalan hingga ke syurga...Ameen. Sahabat penulis ini dah berusia 23 tahun, sudah matang dalam membuat keputusan, sudah berani memikul amanah, sudah lantang bersuara mematah segala angan-angan, sudah bijak menilai masa hadapan, sudah punya impian setinggi bintang yang mahu digenggamnya. Senyumannya, ketawa & dukanya semua terakam indah dalam benak fikiran penulis. Dia peneman kala penulis dirundung duka, dia pemberi semangat kala jatuh, dia memang baik. Biar kami pernah berselisih, akhirnya kami bertemu titik penyatuan. Adat dalam bersahabat.



Kami seolah-oleh adik-beradik. Seorang kakak seorang adik. Ibarat ada satu tali ukhuwwah yang sangat kukuh kami pegang hingga menjadikan kami seperti adik beradik. Cubit paha kiri, paha kanan turut terasa. Itulah indahnya persahabat kerana ALLAH. Terkadang kami diuji, ujian dalam persahabatan mematangkan kami. Sanah helwah & selamat hari lahir Siti Zawiroh Daud. Terima kasih kerana telah menjadi sahabat sejati penulis. Moga persahabatan kita berkekalan hingga ke syurga. Biar generasi kita tahu Kelantan & Kedah tak pernah berbalah boleh sahaja bersatu seperti kita. Tak lupa jom tengok gambar-gambar kami bersama-sama. Setakat ini dahulu coretan perkongsian penulis untuk hari ini. Moralnya, hargailah insan-insan & sahabat yang sudi menghulurkan persahabatan kepada kita. 


Siiru ‘alaa barakatillah. May ALLAH bless all of the Muslim.

Friday 5 September 2014

Zhu ni sheng re kuai le Chik ^__^

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Wah lama benar blog ini sunyi dari kalam Wardah Zinnirah! tiba masa untuk kembali aktif selepas hampir seminggu senyap tanpa berita. Kesibukan melanda diri penulis memandang dia sudah bergelar seorang muaddibah sekarang ini. Al-Hamdulillah, akhirnya penulis berpeluang mencoret sesuatu dalam blognya. Sikit pun jadilah daripada terus sunyi.

Al-Hamdulillah, suasana tempat kerja menenangkan penulis walaupun kadang-kadang kesabarannya tercabar dengan karenah yang pelbagai ragam yang ditunjukkan oleh anak-anak didiknya. 12 orang anak dua belas macam ragam. paling bersyukur bila dapat tengok anak-anaknya riang bermain bersama-sama kawannya. Paling sejuk mata memandang saat melihat satu persatu wajah suci anak-anak ini yang tiada tercalit walau satu dosa & titik hitam di dada mereka ketika mendirikan solat jemaah. Sungguh pengalaman ini sangat berharga bagi penulis. Manisnya pengalaman ini tak dapat diulang kembali untuk masa akan datang.

Biarpun penulis terpaksa membuat keputusan dalam membuat pilihan kerjaya, dia kena telan ujian & mehnah ini. Cuba mengkoreksi dirinya yang dia hanya insan & hamba ALLAH, tidak pantas untuk mengharap segala impian terlaksana. Hanya ALLAH Yang Maha Tahu apa yang tersirat & tersurat di hatinya. Harapan penulis moga ada sekelumit redha & ikhlas dalam lubuk hati paling dalam baginya & sahabat dunia akhiratnya. Mungkin ini pilihan yang terbaik & hikmah yang hebat di sisi ALLAH. ALLAH tidak sesekali membebani hambaNya.

Erm, malam ini sebenarnya penulis nak buat ucapan 'Zhu ni sheng re kuai le'. Tanggal 5 September 1995 lahirnya seorang bayi lelaki sulung dalam keluarga kami. Menambah seri keluarga kami dengan kehadiran adik lelaki. Bayi comel yang seingat penulis lahir tidak cukup berat ini membesar dengan baik depan mata penulis. Al-Hamdulillah berkat didikan mama & ayah. Penulis dah lupa macam mana mukanya waktu kecil, tetapi penulis tak pernah lupa pada wajah si adik lelaki pertamanya bila dia meningkat remaja. 

Dia diberi nama yang cukup indah, Asraf Wajdi Yaakob secomel & seindah tuannya. Dia membesar di sekolah rendah seperti kanak-kanak lain tetapi zaman kanak-kanaknya di kawal ketat oleh ayah. Yalah, semasa kawan-kawan seusianya sibuk bermain permainan kampung seperti main guli, layang-layang, memburu burung, panjat pokok, teng teng, tuju kasut, terompah gajah, batu selambut & sebagainya pada waktu petang, dia perlu membaca al-Quran. 

Ayahlah yang sibuk mendidik anak lelakinya daripada hanya mengenal alif, ba, ta hinggalah dah khatam al-Quran. Sungguh perjuangan mendidik anak itu sangat butuh kepada pengorbanan. Biar orang kata ayah terlalu kawal anak, ayah sangat tegas & garang dengan anak-anak. Asal dia tahu yang terbaik untuk anaknya. Ayah tidak pernah manjakan kami, apa yang adik-adik nak ada ketikanya tak dapat. Teringat masa kecik2 dulu kami adik-beradik suka sangat bergaduh. Asal gaduh mesti perang, tapi sekali dengar suara ayah berdehem terus diam tanpa kata. Hilang macam tu je pergaduhan besar kami. Apa yang penting kasih sayang ayah tak pernah padam untuk anak-anaknya. 

Asraf Wajdi kami panggil dengan nama Chik. Gelaran yang melekat sejak dia kecil. Terus hilang nama Asraf Wajdi dalam keluarga. Sekarang dia dah berumur 19 tahun. Cepat benar masa berlalu, sekarang adik dah lebih tinggi dari kakak. Lebih berisi & matang daripada kakaknya. Namun satu je yang tak pernah berubah pada diri Chik adalah dia seorang yang kelakar. Ada sahaja modal 'lawyer buruknya' bila bersama-sama dengan keluarga. Dia pun suka bantu & tolong adik beradik lain. 

Ya sifat kematangan & kebertanggungjawabannya terserlah kini memandangkan dia dah meningkat remaja. Moga tempoh tiga tahun dia belajar di sekolah menengah agama arab terus memberi aura kebaikan kepadanya. Melimpahkan rahmat & kasih sayang ALLAH padanya. Dia adik yang penulis sayang kerana ALLAH. Bukan bermakna adik-adik lain penulis tak sayang, tetapi sikapnya sentiasa memeriahkan susana keluarga kami. Andai dia marah, wah, agaknya satu rumah suram & mendung. Bila adik-adik bergaduh, Chiklah antara pelerainya. Sikap penyayangnya pada kanak-kanak juga terserlah bila dia bersama-sama dengan anak-anak saudaranya. 

Chik, tiada hadiah yang mampu Kak Yong berikan untuk adik tersayang. Hanya hadiah al-Fatihah sentiasa Kak Yong kirimkan buatmu adik moga Chik sentiasa di bawah hidayah & kasih sayang ALLAH. Sungguh Kak Yong merindui seorang insan bernama Asraf Wajdi bin Yaakob. Moga Chik bisa menghabiskan saki-baki pengajian dengan cemerlang. Kak Yong hanya mampu kirimkan doa yang terbaik dari jauh.

Oklah, mata dah mengantuk, badan pun minta rehat. Sebelum terlupa selamat hari ulang tahun kelahiran yang ke-19 kepada Asraf Wajdi Yaakob. Hadiah teristimewa buat insan yang disayangi penulis kerana ALLAH. Jom kita tengok gambar-gambar Chik!

Penulis & Chik

Chik bersama anak saudara, Sara.

Chik bersama adik lelaki kami...

Chik bersama adik bongsu kami.

Chik (tengah) bersama adik-adik lelaki.

Gaya seorang lelaki...nak tunjuk macho 
mentang2 duk depan kamera.


Baiklah, setakat ini dahulu coretan penulis untuk hari ini. Siiru 'alaa barakatillah..