Saturday 20 September 2014

Satu Hari Sebuah Buku Majalah SOLUSI ISU 71

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...kasih sayang & ujian ALLAH mewarnai kehidupan penulis. Warna-warni pelangi kehidupan sentiasa memberi peluang kepada penulis untuk bernyawa dalam Islam & iman. Betapa beruntungnya diri penulis punya iman & Islam yang mengindahkan kehidupannya. Kalian bagaimana? Tepuk dada tanya hati ya.

Sejauh mana kita memegang gelaran sebagai muslim & melaksanakan amanah sebagai individu muslim? Hati ini terdetik & terkesan, akal mulai memikir bila mendengar persoalan yang keluar dari mulut sahabat, “Blog awak ada cerita pasal isu semasa tak?” Bagai diketuk dengan tukul, bagai tersentak dari mimpi yang indah, bagai dihiris dengan sembilu tajam, persoalan itu menghantui diri. Jawapan penulis mudah tidak. Isu semasa?

Ya, penulis mengakui blognya hanya dipenuhi dengan cerita peribadi, pengalaman sementara yang mungkin tidak memberi manfaat @ cetusan idea membina untuk pembangunan Islam, langsung tidak menyentuh isu semasa yang berlaku sekarang ini. Entah bagaimana mahu dilakar kisah tentang isu semasa, mungkin salah satu sebab utamanya penulis kekurangan sumber tentang isu semasa menyebabkan blognya hanya terisi dengan kisah hidup sendiri.

Betul kata orang, pembacaan mencerminkan peribadi seseorang. Penulis suka hidup dengan buku, suka membaca pengalaman-pengalaman insan lain, hidupnya banyak dihabiskan dengan membaca & menulis. Sayangnya isu semasa tidak menjadi topik utama penulis dalam blog ini.

Isu politik semasa, isu negara, isu besar Palestin yang menggugat keamanan rakyatnya menimbul kemarahan semua, isu menyebarkan dakwah Islam secara lebih kreatif & inovatif, isu pendidikan negara, isu perkauman, isu keamanan negara, isu hukum hakam Islam & berbagai lagi isu yang timbul tidak dapat dihadam sepenuhnya oleh penulis walaupun dia memang suka menulis untuk kepuasan diri sendiri. Bukan sahaja kurang dihadam tetapi juga kurang diteliti & diperdalami sesuatu ilmu. Penulis ingin sekali menghiasi blognya dengan isu-isu semasa agar dapat membuka mata semua bahawa Islam itu syumul (menyeluruh sifatnya). Sekali gus dapat mengelakkan dia dari bersifat seperti katak di bawah tempurung. Impian itu ada cuma idea & ilham itu masih beku.

ALLAHUAKBAR...cabaran besar bagi penulis sebenarnya. Mahu dicoret apa blognya agar terus memberi & memberi manfaat buat ummah? Agar tidak dipandang sebagai blog picisan semata...agar kehadirannya tidak dipandang sebelah mata sahaja...biar dalam banyak-banyak ‘bintang’, ‘bintang’ ini yang berkerlipan kerana ALLAH. Ya, dengan memberi penulis rasa bahagia, dengan memberi terlepas segala seksa, dengan memberi ketenangan mendekatinya, dengan memberi musibah seakan-akan mudah dilaluinya, setiap persoalan & permasalahan terlerai akhirnya. Itulah kuasa memberi.

Tak tahu bagaimana mahu digarap blog ini agar tiada hati yang terluka ketika membacanya, tiada manusia yang rasa terpinggir bila menziarah blog ini, agar blog ini terus memberi cahaya Islam bersinar menyinari semua. Biar indah & buruknya tetap memberi manfaat buat semua. Selain memenuhi masa lapang, biarlah kewujudan blog ini memberi satu titik perubahan kepada penulis sendiri khususnya & kepada semua yang sudi menziarahi blog ini. Sejujurnya penulis tidak pandai mengulas tentang isu semasa tempatan atau global. Apa yang pasti penulis mahu memberi & berkongsi dengan apa yang dia ada walau cuma dengan pena.

Satu hari sebuah buku antara ‘post’ popular & menabur manfaat buat semua yang sering penulis garapkan dalam blog ini. Sudah lama penulis tidak membedah buku, sudah lama juga penulis kurang membaca buku-buku yang dibelinya padahal sebelum ini penulis begitu ghairah mencintai buku & menjadikan buku sebagai teman rapatnya. Malah jika ada sahabat yang menghadiahkan buku padanya, ucapan syukur & terima kasih pantas mengukir laju di bibirnya menyatakan betapa gembiranya dia menerima sebuah buku. Bila dapat membaca balik, timbul satu keseronokan yang luar biasa hebat. Mindanya terisi.

Banyak ilmu baharu diperolehinya, banyak juga kata-kata yang terkadang ‘kena atas kepala sendiri’. Menyedarkan penulis ketika membaca buku, menjentik hati yang keras ibarat batu. Mari kita bedah buku Majalah SOLUSI Isu 71! Bersama ALLAH tidak gelisah...ALLAH itu hampir mengapa kita meminggir. Antara bicara kata dalam SOLUSI 71.

Majalah yang padat dengan ilmu & isu semasa. Bahagia dapat membelek & membaca dari satu helaian hingga helaian seterusnya. Isu utama indah hidup bersama ALLAH. Isu yang mungkin dilupakan oleh ramai individu. Mendekat pada ALLAH hanya pada saat susah & ditimpa ujian, sedang masa bahagia, kita lupa mengucap syukur padaNya.

Memetik kata-kata, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi pada halaman 15 majalah SOLUSI ISU 71: “Di mana jua kedudukan kita di mata masyarakat, namun jika hidup bersama ALLAH, kita akan mencapai ketenangan, keberanian & kebebasan yang tiada tandingan. Ketenangan yang menyebabkan si miskin hidup bagaikan hartawan & jutawan. Keberanian yang menyebabkan buruh lebih cekal berbanding majikannya. Kebebasan yang menyebabkan hamba sahaya lebih bahagia daripada tuan yang memilikinya.” Sudah lama tidak membelek buku majalah ini, akhirnya hati kembali terisi. Penulis rindukan buku-bukunya. Teman pasifnya, teman kala fikiran rasa kosong, kala rindu bertamu pada insan-insan yang disayanginya kerana ALLAH. Kalam ALLAH juga sering menemaninya.

Mungkin bukan olahan isu semasa yang penulis ketengahkan dalam blognya, cukup persinggahan ‘bedah buku’ membuat dirinya & generasi akan datang mendekat pada Ilahi, kembali pada jalanNya. Apa yang penting penulis dah melangkah setapak dalam matlamat penulisannya. Moga terus mendapat ilham untuk meneruskan perjuangan dalam penulisan ini biar nanti ada yang membenci, biar nanti mungkin ada yang tidak suka, biar nanti ada yang mempersoal usahanya.

Bersama ALLAH tidak gelisah pada halaman 18 Majalah SOLUSI ISU 71 membuka mata penulis ketika membacanya. Digariskan bersama empat cara untuk kita menghampiriNya, 1) Bersangka baik kepada ALLAH & berzikir. 2) Bertawakal. 3) Berdoa & solat. 4) Melaksanakan amalan wajib & memperbanyakkan amalan sunat. Penulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sangat membekas di hati penulis, bicaranya seolah-olah terus masuk ke qalbu penulis. Inilah hasil penulisan dari hati ke hati. Penulisan yang tenang & mudah untuk difahami cepat membekas di hati pembacanya.

Antara kolum yang menarik pembacaan penulis PERSONALITI: Malu Pada Steve Jobs halaman 94 & 95 & KEMBARA: Dari Negeri Nabi Yusuf ke Tasik Qarun halaman 108-110. Jom kita telusuri perbincangan tentang 2 kolum ini yang mungkin memberi pengalaman baru buat semua pembaca blog ini! Tersusun kemas kolum-kolum dalam buku majalah Solusi ini semata-mata mahu memberi ilmu kepada pembacanya. Agar yang songsang kembali benar, yang salah kembali betul, yang tak tahu mendapat ilmu baharu, yang tahu bertambah tahu. Walau isinya agak berat, tapi usah risau untuk membacanya.

Kolum PERSONALITI membuka fikiran penulis untuk terus berfikir. Artikel ini adalah penulisan Ustaz Muhammad Luqman Makhtar. Mari kita baca apa kata Steve Jobs dalam ucapan perasmiannya kepada graduan Stanford! “Mengingatkan bahawa saya akan mati tidak lama lagi ialah teknik paling penting yang membantu saya dalam membuat keputusan besar dalam kehidupan. Ini kerana hampir semua perkara harapan orang pada kita, perasaan bangga, perasaan takut akan kegagalan & dimalukan akan lenyap begitu sahaja di hadapan kematian. Yang kekal hanya yang benar-benar penting.” “Tiada siapa yang ingin mati. Bahkan orang yang berimpian ke syurga juga tidak ingin mati untuk ke sana. Meskipun begitu, kematian destinasi kita bersama. tiada sesiapa punya yang terlepas. & begitulah sepatutnya pun, kerana kematian hasil cipta kehidupan yang terbaik. Kematian ejen perubahan dalam kehidupan. Kematian mengenyahkan yang lama demi memberi ruang untuk yang baharu.” ( Inside Steve’s Brain, Leander Kahney)

Betapa hebatnya pemikiran orang barat. Bukan untuk kita memuja mereka tetapi untuk kita mencontohi sikap cintakan ilmu. Hebat bukan orang yang bukan Islam meletakkan kematian sebagai matlamat akhirnya untuk dia membuat anjakan paradigma dalam kehidupannya. Kita sebagai muslim sepatutnya meletakkan kematian sebagai satu titik perubahan. Mari kita tengok contoh individu yang mempunyai penyakit tiada harapan untuk sembuh, & dia diberitahu oleh doktor kesempatan hidupnyan hanya setahun. Apa yang dilakukan olehnya? Adakah masih seronok dengan kemewahan dunia? Adalah masih bahagia dengan nikmat-nikmat yang berbaki? Bagaimana amalan & ibadahnya hanya sekadar atau luar biasa hebatnya?

Itu masa dia tahu detik kematian dia, sedang kita sebenarnya tidak tahu bila kita akan mati. Cakap pasal mati ini, sungguh mati bagi diri penulis makin mendekat bila mana semalam dia mendapat khabar sedih tentang kehilangan seorang pemuda Islam yang hebat iaitu Allahyarham Ustaz Safrizal. Penulis pernah mendengar taujihatnya, penulis pernah mengenali susuk tubuh bernama Ustaz Safrizal. Perjuangannya menaburkan kebaikan Islam berhenti di situ setelah ALLAH mengambil nyawanya bersama ibunya dalam satu kemalangan tragis. Tidak banyak yang penulis tahu tentang dirinya, cuma kematian beliau membekas di jiwa penulis. Memberi peluang kepada akal penulis berfikir, bagaimana jika aku yang diambil nyawa oleh ALLAH dalam sekelip mata sahaja? Adakah aku sempat bertaubat? Adakah aku sempat menggembirakan ibu ayah & insan-insan yang aku sayangi? Paling penting soalan ini muncul dibenakku, adakah aku sempat memberi sumbangan pada Islam mempertahan iman di dadanya & orang sekeliling?

Ya ALLAH...Engkau tempatkanlah allahyarham bersama-sama orang yang soleh. Limpahkanlah kasih sayangMu padanya. Mari sama-sama kita menghadiakan al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Safrizal! Kita bakal menyusurinya nanti, cuma kita tidak tahu bila detiknya tiba, bila malaikat maut datang menjemput ruh kita. Moga ALLAH mengampuni setiap dosanya, moga ALLAH terus merahmatinya. Abadilah allahyarham bertemu ALLAH yang Maha Penyayang. Kepada ALLAH kita kembali & kepada ALLAH kita berserah diri.

Ingat mati memberi ruang pada diri kita untuk terus melakukan kebaikan & mahu melakukan yang terbaik dalam kehidupan. ‘Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, & beribadahlah seolah-olah kamu akan mati keesokan hari.’ Lagi satu kolum dalam buku majalah ini yang menarik perhatian penulis ialah kolum KEMBARA. Memandangkan memang suka jalan-jalan bermusafir, jadi kolum ini memberi peluang kepada penulis untuk meneliti negara-negara lain melalui pembacaan. Penulis artikel ini, Dato’ Hj. Muhammad Zakaria sering memaparkan penulisan kreatif melalui penelitian pengalaman kembaranya. Seronoknya dapat mengembara bermusafir mengutip ibrah di negara-negara lain. Penulis juga punya impian untuk menjadi pengembara musafir di bumi ALLAH suatu hari nanti. Itupun jika diiznkanNya. Sudah tentu blog ini dipenuhi dengan cerita-cerita indah di bumi kembaranya. InsyaALLAH...Biiznillah.

Mesir & Makkah dua buah negara yang diceritakan oleh penulis artikel kolum kembara ini. Pantas cerita tentang Tasik Qarun menarik pembacaan penulis bila mana diceritakan betapa indahnya tasik itu dari jauh tetapi bila dekat hitam pekat & kotor. Itulah musibah yang diterima oleh Qarun yang tamak dengar harta. Pengajaran berguna buat manusia yang mahu memikirkannya. Jadi, jom kita baca buku majalah SOLUSI ISU 71 untuk mengetahui cerita seterusnya. Penulis hanya berkongsi setitik daripada ilmu dalam buku tersebut. Selebihnya, cuba dapatkan dalam buku majalah SOLUSI ISU 71.


Setakat ini dahulu coretan penulis untuk hari ini. Panjang umur kita jumpa lagi di lain masa & ketika. Bersyukurlah kerana kita adalah individu muslim yang hidup dalam petunjuk ALLAH. Bahagiakan dirimu dengan Islam di dada. Siiru ‘alaa barakatillah.

No comments:

Post a Comment