Wednesday 30 April 2014

Rahsia ALLAH Penuh Hikmah

Bismillahirrahmanirrahim…

Salam 1 Rejab 1435H bersamaan 1 Mei 2014M. Al-Hamdulillah...berkat kasih sayangNya ALLAH memberi kita hambaNya merasai & samapi pada bulan Rejab. Bulan yang penuh kemuliaan. Moga kita semua bisa sampai pada bulan Sya’ban & bulan Ramadhan universiti tarbiah bagi setiap muslim. Al-Hamdulillah berkat kasih sayanNya juga kita masih bisa merasai nikmat Islam &nikmat iman yang merupakan nikmat terbesar dalam kehidupan kita sebagai manusia. Nikmat yang terindah buat penulis & sahabat semua. Sepatutnya kita menjadi insan yang bersyukur. Tanpa kasih sayangNya, kita seolah-olah ibarat layang-layang yang terputus dari talinya. Bergerak tanpa arah, & terus menjunam jatuh.

Layang-layang bila dia gah? Ya, saat dia meninggi, mengharung badai di angkasa. Namun dia tetap berpegang teguh pada bumi, insan yang setia memandu layang-layang menggunakan tali. Semakin jauh layang-layang pergi, semakin kagum tuannya. Yalah, layang-layangnya terbang tinggi. Begitulah analogi manusia. Walau sejauh manapun dia pergi, mengembara di alam ini dia tetap berpegang teguh pada ALLAH Yang Maha Menciptakannya. Dia sedar dirinya hanya sementara di dunia ini. Kelak, dia mahu bertemu Tuhannya dalam keadaan diredhaiNya.



Baiklah, hari ini penulis nak bercerita tentang rahsia ALLAH. Em, agaknya apakah rahsia yang ALLAH sembunyikan dari kita, tapi nanti kita pasti akan mendapatkannya? Jom main teka-teki!
Rahsia ALLAH lepas penulis tenung, belek al-Quran, baca buku-buku berkaitan, baca pandangan sahabat-sahabat, ada tiga rahsia ALLAH iaitu jodoh pertemuan, rezeki & ajal maut. Setuju tak? Jodoh, rezeki & mati tiga perkara yang mesti dilalui oleh seorang manusia tapi dia tidak tahu bagaimana keadaannya. Tinggal lagi dia berusaha & berikhtiar untuk mendapatkannya.

Rahsia ALLAH punya hikmah berharga buat manusia yang berfikir. Rahsia ALLAH tersembunyi kasih sayangNya pada muslim yang mendamba ALLAH bersamanya di setiap helaan nafasnya. ALLAH itu Maha Penyayang, dek kerana itu ALLAH merahsiakan bila kita bakal bertemu jodoh, bila & bagaimana kita mendapatkan rezeki dariNya, & bila kita bakal bertemu denganNya.

Usah pertikai atau merungut kenapa jodoh aku belum sampai? Kenapa aku tak kahwin lagi sedangkan sahabat-sahabatku dah ramai yang mendirikan rumahtangga? Kenapa aku miskin, rezeki tak macam orang lain? Kenapa & kenapa? Bila aku nak mati? Semua persoalan yang timbul itu tidak penting sekarang. Itu semua rahsia ALLAH. Apa yang penting, persoalkan apa usaha kita, mendapatkan jodoh yang baik & rezeki yang baik. Bagaimana bekalan kita untuk menuju hari mati nanti? Cukupkah bekalan & amalan yang di bawa untuk bertemu ALLAH? Jika cukup adakah diterima denganbaik oleh ALLAH? Koreksi & muhasabah diri sebelum diri saling menyalahkan takdir yang sebenarnya dah tersusun indah buat diri yang lemah di bawah penguasaanNya.

Rahsia ALLAH yang pertama, JODOH PERTEMUAN. Kita tahu kita bakal berkahwin & punya teman yang halal sama ada di dunia @ di akhirat itu rahsia ALLAH. Kita tidak tahu siapa jodoh kita & bila tiba masanya? Cuma yang perlu kita tahu adalah berdoa & terus berdoa agar dikurniakan jodoh yang baik di sisiNya. Cuma yang perlu kita buat adalah berusaha menjadi sebaik hamba & khalifah di sisiNya. Berusaha menjadi yang terbaik itu lebih baik dari kita terus mencari siapakah gerangan jodoh kita. Betul tak?

Pengajaran pasti dituju khas buat penulis sendiri. Sedang membelek sms kata-kata dari sahabat baiknya, penulis terpana dengan kata-kata sahabatnya yang berbunyi: “Di saat hati mulai pasrah..ALLAH hadirkan jawapan yang tak terduga. Di saat hati mula tabah...ALLAH menguji jiwa & raga...ALLAH tak pernah salah..ALLAH hanya minta kita tak mengalah..ALLAH tak pernah lupa..ALLAH hanya mengharapkan kita tidak alpa..Mintalah fatwa dariNya..Moga akhirnya kita temui jawapan dariNya..” Terima kasih sahabat di atas kata-kata yang indah ini. Lagi hebat ALLAH ceritakan rahsiaNya dalam bab jodoh dalam kalam CINTANya iaitu al-Quran dalam surah An-Nuur ayat 26 yang bermaksud:

26. (lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia.

Jadi, usah risau wahai diri yang bergelar muslim lagi satu ayat al-Quran dalam surah An-Nuur ayat 32 & 33 yang memberi penjelasan tentang bab nikah yang bermaksud:

32. dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.
33. dan orang-orang Yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) Yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran Yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu Dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat Yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah Yang telah dikurniakan kepada kamu. dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. dan sesiapa Yang memaksa mereka, maka Sesungguhnya Allah - sesudah paksaan Yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

ALLAH tidak pernah menganiaya hamba-hambaNya. Terang lagi bersuluh dalam al-Quran panduan untuk bernikah dalam bab jodoh & bagi yang tidak mampu belum tiba masanya lagi teruslah berusaha.

Rahsia ALLAH yang ke dua adalah REZEKI. Bila bicara tentang rezeki, ramai manusia yang mahukan harta dunia kan? Sebab sekarang ini semua perkara nak guna duit hatta nak masuk tandas pun kena bayar. Usah risau ada juga manusia yang memburu rezeki kerana ALLAH & tidak mengejar harta dunia semata-mata tetapi kerana mahu mendapatkan redhaNya. Rezeki ALLAH ada di mana-mana, usah kita risau. Cuba hayati doa dhuha ini: Ya ALLAH sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMu, kecantikannya kecantikanMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu, perlindungannya perlindunganM. Ya ALLAH jika rezeki masih di langit turunkanlah, jika di bumi keluarkanlah, jika sukar permudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

Indah bait susunan kata doa yang dipanjatkan selepas mengerjakan solat sunat dhuha. Jadi, jika kita nak rezeki kita berkat & bertambah, tambahkan juga usaha kita menuju ALLAH dengan mengerjakan solat sunat dhuha. Banyak kelebihan & manfaatnya. Tak percaya? Just do it & you can admit it. Believe me. ALLAH give what you want because ALLAH knows everything.

ALLAH juga ada berfirman dalam surah at-Talaaq ayat 2 & 3 yang bermaksud:

2. Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) Dengan cara Yang baik, atau lepaskan mereka Dengan cara Yang baik; dan adakanlah dua orang saksi Yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum Yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),
3. serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Rahsia ALLAH yang terakhir adalah MATI. Kita bertuah kerana kita tahu bila detik kelahiran kita, & hampir setiap tahun kita akan ingat tarikh lahir kita yang semakin bertambah seiring dengan tahun yang berlalu. Rahsia ALLAH menyembunyikan detik kematian seorang manusia. Jika kita tahu sudah tentu hidup kita di hiasi dengan bekalan berguna untuk akhirat. Jadi apa guna ALLAH ciptakan syurga & neraka jika semua makhluknya masuk syurga tanpa dihisab? Sedangkan setiap ciptaan ALLAH tidak pernah sia-sia semuanya ada membawa matlamat & sebab tersendiri.

ALLAH suruh kita sebagai hambaNya berhati-hati hidup di dunia ini, usah kita leka kerana bila-bila masa malaikat maut akan menjemput kita, tidak terlambat walau sesaat, tidak tertangguh walau seminit. Untung, kita tidak tahu bila kita akan mati, kerana ALLAH telah melimpahkan berjuta rahmat kepada kita. Ada masa untuk bertaubat, selagi tidak terlambat, selagi mata tidak terpejam rapat, selagi nyawa tidak dijemput saat sakratul maut. Ingatlah, pahat dalam qalbu kita...hidup ini bukan untuk dunia semata tapi juga ada bahagiannya untuk akhirat kerana matlamat akhir kita bertemu ALLAH Yang Maha Esa.


Setakat ini dahulu perkongsian penulis untuk hari ini. Seperti biasa sebelum pena ini berhenti menulis, mohon jasa baik insan-insan yang terpilih membaca entri ini untuk sama-sama menghadiahkan surah al-Fatihah & doa untuk ayahanda penulis yang masih bertarung melawan sakitnya. Kekuatan ayah yang selama ini penulis sentiasa perhatikan sepanjang hayatnya bergelar anak telah terhad & terbatas. Doakan juga moga mama penulis diberi kekuatan & kesabaran untuk sama-sama mengharungi ujian dari ALLAH bersama suaminya yang tersayang. Berat rasanya di hati membayangkan ayah yang sedang sakit di kampung, sedang penulis jauh berada di perantaun. Kiriman doa dari sahabat-sahabat sangat diperlukan. Jazakumullah khaira jaza’. Siiru ‘alaa barakatillah...

Tuesday 29 April 2014

Dilema Sang Pengembara (Cerpen siri 3)

Bismillahirrahmanirrahim....

Al-Hamdulillah...nikmat Islam & iman masih menjadi milik penulis & sahabat-sahabat masakan tidak hari ini kita masih menikmati udara milik ALLAH dengan percuma. Syukur padaMu Ya Rabb. Baiklah, hari ini kita sambung cerpen kita sebelum ini bertajuk dilema sang pengembara. InsyaALLAH ini episod akhir untuk cerita kali ini. Moga memberi manfaat kepada jiwa yang mendambakan cinta Ilahi mewarnai kehidupannya.



Dilema Sang Pengembara (Cerpen siri akhir)

Bila sibuk dengan persatuan masa yang ada untuk belajar adalah terhad yalah...masanya bukan hanya untuk belajar, tapi Adham Zahiruddin bijak menguruskan masanya. “Hai...fokus betul Din mendengar kuliah pensyarah! Kawan-kawan kat sebelah dia dah lentok melayan mimpi indah.” “Padanlah Din fokus masa belajar sebab banyak masa dia digunakan untuk segala macam aktiviti yang mesti dihadirinya. Naqib, presiden (SPMM), pelajar, AJK program-program ceramah semua dia baham.” “Tak mengapalah, dia nak bekerja untuk Islam. Jika tiada orang sepertinya, semakin banyaklah berlaku kemungkaran di universitinya. Bayangkan jika semua mahasiswa bersikap sepertinya, amar ma’aruf, nahi mungkar, sudah tentu dah tak berlaku masalah-masalah sosial kat universiti ini.”

Cuti pertengahan semester pertama telah bermula. “Assalamu’alaikum, ibu...” ucap Adham Zahiruddin ketika mendapat panggilan telefon dari ibunya.Dia sudah dapat mengagak tujuan ibunya menelefon. “Wa’alaikumussalam...Along sihat ke? Macam mana belajar?” Tanya ibunya. “Al-Hamdulillah sihat. Belajar semua baik ibu. Berkat doa seorang ibu, Along dapat belajar dengan tenang walaupun masa along tidak sama dengan kawan-kawan lain. Ibu pula macam mana sihat? Adik-adik? Abah?” Jawab Adham Zahiruddin sambil bertalu soalan menerjah pendengaran ibunya. “Ibu dan adik-adik sihat al-hamdulillah, cuma ayah Along je yang kurang sihat. Sakit goutnya menyerang lagi.”

“Ayah sakit lagi? Subhanallah, allahuakbar. Ibu tengok-tengokkan ayah ya. Ayah tentu tak cukup rehat bekerja sepanjang masa. Ibu nanti kirim salam rindu Along kat ayah tau.” “InsyaALLAH pasal ayah along tak payahlah risau, pandailah ibu jaga ayah. Ha...Bila Along nak balik kampung ni? Adik-adik along dah sibuk bertanya, tak sabar kata mereka  nak jumpa dan peluk Along.” Bunyi bising suara adik-adik di corong telefon membuatkan Adham sebak seketika seraya menarik nafas panjang dan menyusun bicara, “Maaf ibu, Along tak dapat balik cuti ini. Banyak kerja dan tugasan yang perlu Along selesaikan segera. Along sangat merindui ibu, ayah dan adik-adik, tapi nak buat macam mana along kena korbankan masa dengan keluarga untuk seketika.” “Tak mengapalah Along. Ibu faham situasi along sekarang, tapi along jangan lupa telefon kami selalu, tak adalah adik-adik along merengek nak cakap dengan Along. Ibu sentiasa doakan yang terbaik untuk along.”

Firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud:

214. “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan atau ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

“Enta sedih ya, tak dapat balik kampung? Pengorbanan itu menuntut keikhlasan hati” Soal Amir Hamzah. “Taklah sedih cuma sedikit terkilan sebab tak dapat jumpa keluarga cuti ini. Tak mengapalah demi keberlangsungan gerak kerja dakwah Islam, ujian ini tak dapat tidak ana kena hadapinya. Tadhiyyah...lagipun, perjuangan Islam memerlukan pengorbanan dari berterusan da’ei. Enta dah makan?” kata Adham Zahiruddin. “Dah pagi tadi.”

“Ana tak nampak pun enta makan. Nak kata puasa sunat ari ini bukan hari isnin atau khamis. Enta makan belum ini?” “Ana belum makan sebenarnya.” Kata Amir Hamzah lantas tertunduk memandang lantai. Adham Zahiruddin memahaminya lantas mengeluarkan sekeping duit kepada sahabatnya. “Enta dah banyak tolong ana. Cukuplah hutang yang sebelum ini belum dibayar.” “Ambil jelah. Anggap aje ALLAH nak tolong enta melalui ana. ALLAH itu Maha Pengasih dan Penyayang. Ada masa ana pula yang memerlukan pertolongan enta.”

Sikap suka menolong sahabat, biarpun diri sendiri dalam kesempitan membuatkan dia sentiasa disenangi lawan dan kawan. Dia insan yang sangat menghargai kewujudan sahabat. Bukan bersahabat kerana harta, kekuatan atau kepandaian yang dikurnia ALLAH tetapi bersahabat kerana ALLAH. Bukan hanya terkenal kerana sikap ramahnya pada semua masyarakat tetapi sikap terbuka dan menegur orang yang melakukan kesilapan dengan berhikmah membuatkan dia dikenali ramai. Dia juga adalah insan yang sangat merendah diri bila mana ada sahabat yang memuji kebaikannya, dia pantas mengucap Al-Hamdulillah...semua kelebihan dan kebaikan adalah milik hakiki ALLAH. ALLAH Maha Sempurna dan manusia itu fitrahnya tetap tidak sempurna.

Hati Adham Zahiruddin pernah berbicara, “Ya ALLAH...pengorbanan apa lagi yang perlu aku laksanakan demi menanam bunga-bunga dakwah Islam dan tarbiyah dalam diriku dan sahabat-sahabat sekelilingku? Apa lagi yang dibutuhkan oleh hatiku dalam menghadapi ujian-ujianMu? Jika jalan dan petunjuk untuk menyintaiMu adalah jalan yang sukar penuh duri yang bakal melukai diriku, nescaya aku masih mahu mendekati kasih sayangMu kerna padaMu tersirna segala ketenangan dan kesenangan hakiki. Jika pengorbanan menjadi galang- ganti kasihnya ALLAH kepadaku, aku sanggup meletakkan pengorbanan sebagai usahaku mendekatiNya. Biarlah ALLAH yang menilai dan menjadi kayu ukur ke mana kasih dan cintaku tertumpah.”

Inilah antara dilema yang dihadapi oleh seorang pengembara CINTA ALLAH. Adham Zahiruddin antara watak yang dibawakan oleh ramai mahasiswa. Andai CINTA ALLAH yang dikejar, CINTA ALLAH juga yang bakal menyinari kehidupan insan yang bergelar sebagai hamba ALLAH.   

TAMAT....

Bukan mudah mahu mencipta sebuah cerpen & bergelar seorang penulis. Sungguh pengalaman ini sangat manis bagi insan yang suka meluahkan kata-katanya melalui penulisan. Bukan hanya minat yang perlu digarap tetapi juga cetusan idea & kebergantungan kepada ALLAH menentukan sejauh mana langkah penulis beraksi dalam medan dakwah melalui dunia penulisan. & penulis yakin sahabat2 juga begitu rentaknya. Moga dipermudah segala urusan dunia & akhirat kita dalam menuju matlamat akhir menemui Tuhan dalam husnul khatimah. Siiru 'aalaa barakatillah...


  

Monday 28 April 2014

Dilema Sang Pengembara (Cerpen siri 2)

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdulillah...syukur pada ALLAH yang masih memberi penulis peluang & nyawa untuk terus bernafas di bumi ini. Moga penulis masih punya waktu untuk berbakti & menyumbang sesuatu demi kegemilangan Islam di bumi ini. Moga ALLAH terus merahmati kalian. Jom kita ikuti kisah seterusnya cerpen hasil karangan penulis memandangnya dia tidak punya banyak waktu untuk menghadap blognya.



“Din...ana tengok enta sibuk memanjang. Orang lain seronok je belajar, enta pulak sibuk ‘meeting’ sana sini. Enta sibuk dengan apa?” Soal rakan baiknya, Amir Hamzah. “Betul kata Amir tu, enta sibuk dengan apa? Camne pulak dengan jadual belajar enta?” Sampuk yang lain. “Enta tak dengki ke dengan kitaorang, masa belajar adalah sepanjang masa? Sia-sia je enta ke sana ke mari semata-mata menyertai kokurikulum” Kata-kata kawannya betul-betul membekas di hati. “Sabar duhai hati. Mereke tidak tahu akan kesibukan masaku. Tanggungjawabku banyak dan melebihi masa 24 jam yang aku ada.” Monolog Adham Zahiruddin sambil melemparkan senyuman manis kepada kawan-kawannya seraya berkata, “Biasalah, amanah ana banyak bukan hanya tertumpu pada pelajaran sahaja. Kita tengok sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w dahulu, mereka pakar dalam semua bidang yang diceburi tidak tertumpu pada akademik sahaja. Ana nak jadi macam diorang, barulah Islam dijulang."

“Erm...dah masuk bab Rasulullah s.a.w itu zaman Nabi Muhammad. Kita sekarang di zaman dunia tanpa sempadan. Kami tak mahu tengok enta ketinggalan dalam pelajaran semata-mata enta aktif dalam kerja. Ke enta gila jawatan?” “Astaghfirullahal’azim...belajar bukan tempat pertama dan kerja dakwah juga bukan tempat kedua...tidak pernah terdetik di hati ana mahu memegang jawatan-jawatan ini. Ini semua kuasa ALLAH.” “Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Hati ini hanya ALLAH yang tahu kedudukannya. Apa yang terdetik di hati enta kami tidak tahu. Entah-entah enta sahaja memegang jawatan ini kerana mahu menunjuk pada semua tentang kehebatan enta.”

Masuk kali ini sudah bermacam tuduhan yang dibuat ke atas Adham Zahiruddin dan Adham menerimanya dengan redha. Namun, hati manusia tidak selamanya tenang dengan ujian terkadang hati itu rapuh menahan taufan, rebah tersungkur menyembah bumi kerna nafsu telah menguasai.  Hati Adham Zahiruddin dipagut keresahan, tidurnya tidak lagi selena kanak-kanak kecil. Makannya tidak lagi sekenyang anak remaja. Adakah keresahannya kerana hilangnya keikhlasan diri untuk menerima qada’ dan qadar ALLAH? “Bilakah semua ini bakal berakhir Ya ALLAH? Sukarnya untuk aku melalui jalan perjuangan ini...Ya ALLAH. Ya ALLAH...kurniakanlah aku hati yang tabah untuk menghadapi ujian-ujian dariMu.”


“Shutt...diam. Orang dakwah kita dah sampai. Kali ini nak banteras apa pulak? Sukalah buat kerja-kerja dakwah ini.” “Susah ada orang suka berdakwah kat universiti ini, hidup terkongkong, asyik nak suruh kami ikut peraturan ALLAH. Apa salahnya kami buat salah sikit, lepas tu bertaubatlah.” “Islamkan agama yang mudah, kenapa nak menyusah perkara yang senang?” “Kerja dakwah ini tanggungjawab kita bersama. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu yang utama. Lagipun, peraturan ALLAH itu peraturan yang termaktub dalam al-Quran tak usah mencari alasan ALLAH Maha Pengampun, jadi kita sewenang-wenangnya nak melakukan kesilapan dan bertaubat.” Bicara Adham Zahiruddin.

BERSAMBUNG...


Sunday 27 April 2014

Dilema Sang Pengembara (Cerpen siri 1)


Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdulillah, berkat kasih sayangNya penulis masih bisa menatap 'notebook'nya. Hari ini penulis mahu berkongsi sebuah cerpen yang telah lama tersimpan dalam 'notebook'nya yang bertajuk 'Dilema Seorang Pengembara'. Mungkin ada sahabat yang telah membaca & meneliti tentangnya. & yang pasti cerpen ini tiada berkait antara manusia yang masih hidup atau yang telah mati. Mari sama-sama kita membaca kisahnya moga memberi manfaat pada semua.

DILEMA SEORANG PENGEMBARA  (Cerpen siri 1)

Aku bukanlah seperti mahasiswa lain. Aku mengakui diriku mempunyai masa dua puluh empat jam sehari. Namun ku rasakan masa itu terlalu laju untuk ku kejar, dan terlalu berharga hingga aku merasakan seperti masa itu terlalu mencemburui diriku. Ada masanya aku sibuk dengan belajar. Ada masa aku sibuk dengan amanahku sebagai Presiden Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM). Ada masanya aku aktif dalam bersukan dan berkomunikasi dengan ramai orang. Ada masa aku aktif berprogram, hadir dalam banyak ceramah, buat kajian itu dan ini serta ada masanya aku sibuk beribadah kepada ALLAH.  

Entah bila masanya aku benar-benar peruntukkan masa untuk merehatkan diriku dan menenangkan hatiku yang gelisah. Pantas mindaku teringat pada kata-kata seorang sahabat, “Biarlah waktu kita hidup ini kita gunakan sepenuhnya untuk Islam kerna nanti bila kita telah pergi meninggalkan dunia ini, kita tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Biarlah kita mampu membina istana dan waktu rehat kita nikmati semasa di syurga sana.”

Aku terkadang dihinggap kelelahan, merungut kepenatan, pening memikir masalah sendiri yang tak pernah menemui titik penyelesaian. Benarlah seperti apa yang ALLAH S.W.T telah bersumpah dalam surah Al-‘Ars ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

“1. Demi masa. 2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, 3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Bergelar seorang mahasiswa, memerlukan diriku cukup kuat mengharung badai yang menghempas. Pengorbanan masa sangat dibutuhkan dalam kehidupan mahasiswa. Bertimbun amanahku pikul demi Islam...amanah sebagai seorang pelajar, amanah sebagai seorang anak, amanah sebagai seorang abang, amanah sebagai umat Nabi Muhammad s. a.w, amanah sebagai individu dalam masyarakat, dan yang paling penting amanahku sebagai hamba ALLAH. Semua amanah itu memerlukan pengorbanan dariku yang ikhlas lahir dari sudut hatiku.

Aku cuba meniti hidupku menjadi insan yang bersyukur dengan nikmat dan segala aturan ALLAH terhadapku. Biarlah penat lelahku hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui. Biarpun pada setiap pengorbanan tu terselit sejuta keperitan, aku masih mahu meneruskan kehidupanku sebagai hamba ALLAH. Pengorbanan hanya bisa dimengertikan oleh insan yang betul-betul mempraktikkannya...mahu dibilang korban itu susah, tidaklah susah...mahu dikatakan korban itu senang tidak semudah yang dibicarakan. Manis dan pahitnya sebuah perjuangan hanya dirasai dengan kemanisan sebuah pengorbanan.  BERSAMBUNG.....


Thursday 24 April 2014

Permata Buat Anakanda

Bismillahirrahmanirrahim...

Salam Jumaat Kareem buat semua insan yang sudi meneliti setiap bait kata dalam blog ini. Moga semuanya memberi manfaat pada ummah. Al-hamdulillah, ALLAH masih memberi peluang kepada penulis untuk berkongsi ceritanya di sini. Kisahnya bukan berniat untuk mencari publisiti atau populariti bukan juga kerana nak membuka pekung di dada bukan juga kerana sahaja nak bercerita, tetapi penulis mahu berkongsi keindahan bergelar sebagai muslimah.




Al-hamdulillah, ALLAH membuka hati sahabat-sahabat untuk memerhati & membaca isi cerita dalam blog ini. Terima kasih. Moga ALLAH membalas segala kebaikan kalian. Pagi Jumaat ini penulis mencari-cari isi apa yang mahu dilakar dalam blog ini. Al-hamdulillah, jumpa satu puisi yang telah lama tersimpan kemas dalam fail ‘notebook’nya bertajuk permata buat anakanda. Puisi sungguh indah dan senang untuk direkayasa cuma tinggal kita mencari gali idea dan mengolahnya penuh rasa. Jom di pagi Jumaat ini kita tengok puisi ini. Mana tahu boleh mengingat & mengubat rindu kita pada ibu ayah tercinta. Sebelum itu pastikan kalian dah baca surah Yaasin atau surah al-Kahfi di pagi Jumaat banyak kelebihannya. Mengingat kita pada ALLAH Yang Maha Esa.

Permata Buat Anakanda

Susuk tua itu
Kelihatan kuat membanting tulang
Memasak semangat tinggi
Mahu melihat anak berjaya dunia & akhirat
Biar lelah menyapa diri
Biar peluh membasahi bumi
Biar sukar perlu ditempuhi
Diri mu cuba menguat diri

Susuk tubuh itu
Yang selalu ku rindui
Kalian
Permata berharga buat anakanda
Melimpah sayang tanpa tara
Menukil ketenangan kala duka
Doamu mengiring kehidupan kami
Lidahmu penyegar fikiran kami
Suaramu mengulit hati kami
Tanpamu dan takdir Ilahi
Tiadalah kami di dunia ini
Permata buat anakanda
Duhai bonda ayahanda
Doa ku panjat agar kalian
Di limpahi keberkatan berganda
Di kurnia pahala seluasnya
Di kasihi ALLAH sentiasa
Kerana ku tahu
Kalian permata buat anakanda
Selamanya hingga ke syurga

Doaku
Moga ALLAH sentiasa memelihara
Permata berharga anakanda
Moga kalian bahagia dunia akhirat
Moga kalian bahagia punya anak soleh solehah
Bisa mendoakan kebaikan kalian
Bisa menyapu air mata kesedihan
Bisa berkongsi kasih sayang
Hingga akhir usia mama & ayah


Wednesday 23 April 2014

Segenggam Tabah

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdulillah, berkat kesabaran & kasih sayangNya penulis bisa titipkan sesuatu di blognya hari ini biarpun masa seolah-olah cemburu melihat keterbatasan waktu penulis. Namun, masa itu harus pandai dinikmati oleh individu Muslim. Rutin penulis singgah di blognya bila berkelapangan menjadikan penulis sedar bahawa cerita hidupnya al-Hamdulillah, sepatutnya penulis jadi insan yang bersyukur kerana rahmat & kasih sayangNya sentiasa melimpah pada penulis. Ya, sahabat-sahabat juga begitu, jika tidak anggap sahaja ALLAH mahu menguji iman kita. Kita tak boleh selamanya berada di atas nanti lama-kelamaan kita bakal sombong dengan nikmat yang melimpah. Ada kalanya, kita perlu berada di bawah merasai kepedihan, kusakaran & maslah-masalah dalam kehidupan.



Itu warna sebuah kehidupan. Itu tanda ALLAH Maha Penyayang. Itu mematangkan kita menjadi manusia bersyukur & dekat dengan Tuhan. Al-Hamdulillah, sepanjang dua bulan lebih bergelar pelatih PPD Kuala Langat, banyak pengalaman yang mematangkan penulis, banyak pengalaman yang menjadikan penulis sedar ALLAH sangat menyayanginya. REDHA & SYUKUR adalah rahsia keberadaan penulis di sini. IKHLAS juga antara resipi mendapat kebahagiaan dunia & akhirat. Bila tiga resipi utama ini di adun bersama dalam kehidupan seorang muslim, insyaALLAH, kita bakal mendapat ketenangan dalam mengharungi kehidupan di alam fana ini. Jom, kita hayati setiap bait kata dalam lirik nasyid di bawah ini:

Lirik Lagu Segenggam Tabah - InTeam

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu

Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya





Tuesday 22 April 2014

Kembara Keluarga Bahagia

Bismillahirrahmanirrahim…

Al-Hamdulillah, setelah puas mencari idea apa yang mahu dicurahkan di laman ini, penulis menemui titik akhir pencarian topik perbincangannya hari ini. Kembara keluarga bahagia idea & ilham yang diperoleh hari ini selepas melihat beberapa keping gambar dalam FB sebelum ini. Gambar kakak sekeluarga yang pergi melancong ke Paris. Seronok dapat peluang melancong ke luar negara.

Kak Long & family...

Firdaus & Balkis (Anak2 saudara penulis)

Sungguh penulis cemburu melihat keberadaan mereka di sana. Yalah, dapat melancong ke luar negara. Paris pulak pilihan tempat kembara mereka. Tapi penulis bahagia meihat keluarga bahagia ini bersama. Bahagia bila melihat kebahagiaan manusia lain itulah sifat yang sepatutnya ada dalam diri setiap insan yang bergelar muslim. Kak long adalah merupakan kakak sebapa penulis. Dia seorang kakak yang baik terhadap adik-adiknya. Kasih sayangnya melimpah terhadap kami adik-beradik. Sewajarnya penulis bercerita tentang kak long sekeluarga.

Kak long punya 3 orang anak. Sulungnya lelaki sama umur dengan bapa saudara berusia 16 tahun. Anak ke dua & ketiga kak long adalah perempuan. Masih kecil dan comel secomel ibunya. Jadi penulis ada 3 orang anak saudara sebelah kakak. Belum cerita anak saudara penulis sebelah abang seramai 3 orang jugak. Kakak ipar penulis baru sahaja melahirkan seorang bayi perempuan yang comel bertarikh 21.04.2014 jam 9.52 pagi seberat 2.47kg. jadi, penulis dapat anak saudara baru. Tahniah penulis ucapkan buat abang sebapanya dan kak iparnya. Moga kalian bisa hidup bahagia hingga kes syurga.  

Kakak ipar & anak-anaknya. Lagi sorang tak dapat gambar lg.



Bila penulis dan adik datang bertandang ke rumahnya, kak long tak pernah lupa membawa kami berjalan-jalan menikmati keindahan alam. Dia suka bawa kami jalan-jalan, melancong mengenal bumi yang kami pijak ketika itu iaitu Johor. Kakak seorang yang penyayang walaupun dia jarang melimpahkan kasihnya pada kami adik-beradik hanya kerana kami berjauhan. Dia suka menelefon & bertanya khabar tentang kami. Paling seronok  kak long suka tegur penulis & adik-adik dalam FB.

Kak Long & keluarga bahagianya...


Walaupun kami berlainan ibu, tapi kami tetap sama ayah. Macam mana pun kami tetap bergelar adik-beradik dan sepatutnya kami saling mendoakan kebaikan antara kami. Ayah selalu pesan adik-beradik tak boleh gaduh, walau macam mana pun air di cincang ia takkan putus. Ya betul kata ayah. Adik-beradik tempat kita bersama-sama, susah senang adik-beradik ada bersama-sama. Bukan hanya mementingkan diri sendiri. Penulis mahu ceritakan pada dunia betapa hubungan adik-beradik itu sangat mempengaruhi kehidupan kita. Baik atau jahat mereka tetap adik-beradik kita. Kita yang bertanggungjawab terhadap ahli keluarga kita. Jadi, sayangilah ahli keluarga yang masih setia di sisi kita saat kita susah atau senang.  Sungguh kembara keluarga bahagia ini menemui titik kebahagiaannya. Al-Hamdulillah...Ya ALLAH.


Sekali lagi penulis memohon jasa baik sahabat-sahabat semua untuk terus mendoakan & menghadiahkan surah al-Fatihah kepada ayah penulis yang masih diuji kesihatannya. Ayah sedang tabah menghadapi penyakitnya. Moga ayah kuat untuk menghadapi ujian dari ALLAH ini. Doa kalian amat penulis hargai & terima kasih moga ALLAH permudahkan segala urusan kalian. Sungguh penulis sangat rindukan ayah, susuk tubuh badannya, keringatnya, suara nyaring ayah mengalunkan ayat suci al-Quran, suara pesanannya yang sangat menusuk kalbu, gelagat lawak ayah bila dia membuat kami ketawa. Setakat ini dahulu coretan hati mengingati Ilahi. Terima kasih Ya ALLAH di atas peluang yang ALLAH kurniakan buat penulis untuk mempunyai keluarga yang sangat penyayang dan ayah yang sangat bertanggungjawab terhadap anak-anaknya. Siiru ‘alaa barakatillah...

Monday 21 April 2014

Cinta Ilahi Cinta Hakiki

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah...berkat rahmatNya penulis masih punya ruang untuk menitip pesan terutama pada diri yang sentiasa lemah mengharap kekuatan dari ALLAH Yang Maha Esa. Cinta Ilahi cinta hakiki takkan sesekali penulis mungkiri kerana dengan cinta ALLAH dia masih bisa berdiri di bumi ini. ALLAH Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya cuma terkadang kita terleka dengan keindahan dunia. Cinta ALLAH memaniskan segala cinta kita di dunia malah kita turut mendapat cinta ALLAH di penghujung hayat kita di dunia hinggalah matlamat akhir kita bertemu ALLAH Yang Mah Esa.

Hari ini penulis tak berhajat berbicara panjang cuma mahu berkongsi puisi yang dah lama penulis tulis untuk dirinya dan tatapan sahabat-sahabat semua. Mungkin dengan puisi ini bakal merungkai segala kata. Mungkin dengan puisi ini menambah ketenangan di jiwa menguat cinta kita kepada ALLAH Yang Maha Kuasa. Rekayasa puisi menjadi salah satu minat penulis selain menulis cerpen dan artikel-artikel untuk kepuasan sendiri. Ya, minat itu memungkinkan semuanya terjadi. Minat itu yang menghiasi warna-warni kehidupan penulis kerana masing-masing punya minat sendiri. Betul tak? Tepuk dada tanya iman kita ya.


KU DAMBA CINTA ABADI

Cinta…
Fitrah insani selamanya
Cinta ALLAH
Cinta keluarga
Cinta suami isteri
Kerana cinta itu abstrak
Sukar digambar rupanya

Hidup insan,
Berpaksi tauhid & cinta
Cinta kerana ALLAH
Mengatasi cinta manusia
Terkadang tanpa cinta
Lesunya dunia
Umpama hilang semua warna
Terkadang tanpa cinta
Dunia bisa huru-hara
Keganasan menguasai perlakuan
Pembunuhan merobek kebahagiaan
Tanpa cinta
Adam Hawa
Mustahil bersama
Selepas berpisah di syurga

Ku damba cinta abadi
Bersemi di hati selamanya
Mengharap kasih ALLAH Maha Esa

Ku damba cinta abadi
Bisa memimpinku hingga ukhrawi
Bisa membawaku menuju Ilahi

Ku damba
Kemanisan mencintai ALLAH
Ketenangan mengingati Sang Pencipta
Kebahagiaan mengikuti suruhanNya

Siapalah aku
Mengejar cinta manusia
Sedang cintaku padaNya
Tuhan penciptaku dan alam
Masih belum sempurna
Kerna ku tahu
Diriku mendamba cinta abadi

Penulis abadikan puisi ini untuk semua yang pernah singgah di blog yang serba kekurangan. Moga dapat menjentik hati untuk lebih mencinta Ilahi. Cinta ALLAH itu yang lebih utama dari segala cinta dunia. ALLAH Maha Penyayang, jadi usah kita persiakan cinta ALLAH terhadap kita. Jadilah hambaNya yang sentiasa bersyukur. Al-Hamdulillah...