Sunday 13 April 2014

Kenangan Bersama Nenek

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdulillah Ya Rabbi...Engkau telah melimpahkan rahmat yang tak terhingga buat hambaMu yang terkadang terlupa akan nikmat-nikmat pemberianMu. Peliharalah iman kami dari segala kejahatan yang mahu menghampiri. Terima kasih ALLAH, penulis masih diberi kesempatan ini. Kesempatan yang tak mungkin di sia-siakan walau pada sesetengah orang penulisan blog adalah tak lebih dari diari kehidupan semata. Namun, melalui blog ini banyak yang penulis belajar. Banyak juga penulis dapat kawan melalui blog. Melalui blog juga penulis berhubung dengan sahabat baiknya. Melalui blog juga penulis membaca blog-blog yang bermanfaat & menarik demi menambah pengetahuan yang kita terkadang tak tahu.

Ya, sekarang masing-masing dah punya ‘facebook’, ‘update’ sahaja semua cerita dalam ‘facebook’. Sungguh, penulis katakan ‘facebook’ dan blog adalah sesuatu yang berbeda bangat. Apa yang pasti di sini penulis sangat teruja mempunyai blog, & bersyukur kerana ALLAH memberinya peluang untuk menulis & menyampaikan idea-ideanya dalam blog kesayangannya ini. Masing-masing punya pilihan tersendiri. Pilihlah yang terbaik.

Hari ini sebenarnya penulis nak bercerita tentang allahyarhamah nenda sebelah ibu & sebelah ayah. Hehe, biasalah tadi muqaddimah dulu. Entah kenapa tiba-tiba teringat dekat nenda yang penulis panggil ‘mok’ & ‘tok’. Penulis dan adik beradik tak pernah merasa kasih sayang seorang datuk sama ada sebelah mama @ sebelah ayah kerana mereka terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi sebelum kami lahir ke dunia. Best kan kalian ada atuk & nenek yang boleh kalian dengar mereka bercerita. Mereka tak pernah berhenti bercerita. Berkongsi tips itu & ini dengan kita.

Masih segar di ingatan penulis masa awal-awal tinggal di Kuala Langat, Banting ini, penulis & sahabat di ajak hadir ke majlis kesyukuran akikah adik-beradik tuan rumah yang kami sewa. Kami memenuhi undangan tersebut. Meriah majlia aqiqah anak saudara mereka. Kami sempat mengenali nenek tuan rumah. Dia sangat peramah, baik hati & suka bercerita. Walaupun ceritanya berulang-ulang, penulis & sahabatnya mendengar dengan teliti. Kadang-kadang kami mencelah. Sekejap kedengaran gelak-tawa kami. Bahagia mendengar cerita nenek yang baru kami kenal.

Nenek bercerita sampai tak sedar sampai pukul dua pagi barulah kami berangkat pulang ke rumah sewa kami. Kata pemilik tuan rumah, “Nenek memang macam tu suka bercerita walaupun cerita yang sama. Dia nak ada orang teman untuk bercakap taklah dia rasa sunyi di usia senjanya.” Betul kata dia.

Penulis teringat satu firman ALLAH dalam surah al-Israa’ ayat 23 & 24 berkenaan insan yang digelar ibu & ayah yang bermaksud:

23. dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ahh", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

24. dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Sungguh penulis sangat mengingati insan yang bernama nenek. Arwah nenek sebelah mama & sebelah ibu meninggal dunia pada tahun yang sama 2009. Tahun di mana penulis mahu melangkah ke alam universiti. Bahagianya penulis kerana saat detik kematian nendanya, dia ada di sisi mereka. Al-Hamdulillah...ALLAH memberinya peluang itu. Melihat betapa sakitnya sakaratul maut meragut nyawa.

Kenangan bersama-sama nenek tak pernah luput di ingatan penulis. Memang benar, ke dua-dua nendanya suka bercerita & bercakap panjang lebar terutamanya ketika memarahi penulis & adik-beradik ketika kami melakukan kesalahan. Arwah nenek sebelah ibu adalah seorang guru mengaji al-Quran. Jadi setiap hari rumah kami dipenuhi oleh pelajar-pelajar yang mahu belajar Quran dengan arwah nenek. Jelas kedengaran alunan ayat suci al-Quran yang dibaca oleh nenek. Nenek juga seorang yang penyayang pada cucu-cucunya. Bila tiba hari raya semua cucunya dapat bahagian dua hari raya masing-masing dari nenek. Banyak tanda kasih sayang nenek pada kami cucu-cucunya & yang pasti nenek tak pernah pilih kasih dengan kami.

Nenek bukan orang kaya tapi sangat bersederhana dalam kehidupannya. Uniknya, nenek tak pernah punya penyakit seperti manusia hadapi sekarang ini. Dia sihat walafiat tanpa penyakit yang teruk, ini kerana nenek mengamalkan kehidupan yang sihat. Kerap minum air masak. Bila demam sikit, nenek akan makan tanaman ubat-ubatan herba yang ditanamnya. Nenek tak makan ubat hospital. Umur nenek panjang sehingga 90-an. Nenek sakit tak dapat bangun. Sakit tua orang kata.

Setelah hampir beberapa tahun nenek menderita sakit tua & lumpuh, nenek pergi meninggalkan penulis & ahli keluarganya. Mengimbau kembali kenangan sedih ketika nenek menghembus nafas terakhir, ayah penulis sempat membacakan surah al-Waqi’ah & pada ayat terakhir surah al-Waqi’ah, nenek nazak. Penulis ketika itu sedang asyik membaca surah Yaasin bersama-sama beberapa orang lagi sepupu. Nenek akhirnya pergi meninggalkan alam dunia yang penuh fana’. Kesedihan membelenggu kami. Dahlah tiada datuk, pergi pulak nenek tersayang cukup menguji man penulis & adik-beradik. Penulis sempat memandikan jenazah allahyarhamah nenek sebelah mama bersama-sama mama, emak saudara & beberapa orang sepupu. Tamat sudah kehidupan nenek di dunia.

Nenek sebelah ayah pula sama seorang yang suka bercerita terutamanya bila kami jarang datang menjenguk nenek. Nenek sebelah ayah suka menyuruh penulis mengurutnya bila nampak sahaja kelibat penulis. Maklumlah, penulis dikurnia anugerah & nikmat yang ALLAH juga anugerahkan kepada nenek iaitu pandai mengurut sekali gus melegakan sakit-sakit nenek. Al-Hamdulillah...sekurang-kurangnya itu kenangan terindah penulis dengan neneknya.

Kasih sayang nenek sebelah ayah tak pernah berbelah bahagi pada kami mungkin kerana kami jarang bertandang ke rumah nenek, penulis jarang nampak kasih sayangnya. Cuma penulis tahu nenek juga seorang yang penyayang. Hanya sekejap penulis dapat merasai kasih sayang seorang nenek kerana selepas itu, nenek jatuh sakit. Terbaring di katilnya & tidak lagi mengenali kami. Satu kalimah yang penulis ingat sampai sekarang, “Kalian belajar agama kan? Nanti kalian, cucu-cucu nenek sedekahkan al-Fatihah buat nenek yer. Tak pun rajin-rajinlah baca al-Quran untuk nenek.” Kata nenek yang tak pernah hilang di benak fikiran penulis.

Ya nenek mengharapkan doa seorang anak soleh & solehah untuknya aman di alam barzakh. Ketika nenek sebelah ayah sakit tenat, penulis di sisinya membaca surah Yaasin seperti lakunya ketika saat terakhir nenek sebelah mama. Bagaimana keadaan ‘mok’ & ‘tok’ sekarang? Adakah kalian bahagia di alam kubur sana. Sungguh penulis sangat merindui kalian sebagai nenek penulis. Selamanya kalian bergelar nenek bagi penulis. Wajah terakhir kalian di tatap penuh kasih sayang walau kedut wajah nenek tak pernah dirakam indah pada foto, tapi penulis masih mengingati wajah sayu seorang nenek. Kedut wajah kalian penuh dengan cerita derita sengsara, bahagia suka hidup di dunia ini.


Panjang sungguh penulis berceloteh hari ini. Maaf ya, ambik masa kalian. Ini sahaja masa yang penulis ada untuk bercerita tentang orang yang pernah hidup dalam kamusnya sebagai seorang cucu, orang yang pernah mencurah rasa sayang kepada penulis, orang yang suka berbagi cerita dengan penulis walau pada hakikatnya penulis sudah kehilangan kasih sayang nenek-neneknya. Hargailah nenek & datuk yang ada di samping kalian. Jangan menyesal di kemudian nanti kerana kasih sayang mereka sangat berharga. Setakat ini dahulu luahan hati perkongsian rasa pada hari ini. Siiru ‘alaa barakatillah...

No comments:

Post a Comment