Thursday 3 April 2014

Hujan Nikmat Terindah

Bismillahirrahmanirrahim…

Al-Hamdulillah...penulis masih hidup & bisa merasai nikmat Islam & iman dalam kehidupannya. Salam Jumaat kareem buat semua sahabat yang sudi menatap setiap entri di blog ini. Moga ALLAH memberikan kebahagiaan dunia dan akhirat kepada semua sahabat. Moga kehadiran blog ini akan menambah sinar kebaikan & keindahan Islam kepada seluruh makhluk ALLAH.

Pagi yang menyegarkan dengan udara yang lembut menyapa diri saat membuka pintu rumah untuk menuju ke tempat kerja. Udara lembab bila bumi dibasahi hujan yang sangat di dambakan oleh manusia di Malaysia ini. Setelah kita menghadapi musim kemarau beberapa bulan, akhirnya bumi disimbah hujan yang lebat.

Hari ini penulis suka mahu bercerita tentang hujan nikmat terindah. Ya sudah lama penulis tidak melihat tempatnya dibasahi hujan. Bila hujan turun dengan lebatnya, ucapan syukur terungkap di bibir. Ringan mengucap al-Hamdulillah pada ALLAH. Sebelum ini ramai yang berdoa mohon hujan turun setelah lama tidak hujan dan menyebabkan sesetengah tempat ketiadaan air. Tengok, betapa kita sebagai manusia sangat memerlukan kepada ALLAH.

Jika tiada air, susah & sukar untuk kita hidup dengan baik. Sungguh kehidupan kita terganggu kerana ketiadaan air yang menjadi punca keperluan utama manusia. Yalah, daripaa nak mandi sampailah nak minum kita memerlukan air. Badan kita juga memerlukan air. Bila air tiada ramai yang bising. Resah dalam gundah. Itu baru satu nikmat yang ALLAH tarik untuk seketika mahu menguji kesabaran hambaNya.

Antara gambar-gambar yang sempat dirakam semasa hujan di kampung penulis:





Belajarlah dari peristiwa ini. Hujan adalah nikmat terindah buat manusia yang bergelar hamba & khalifahNya. Bila hujan lebat pulak, masing-masing merungut, nak bergerak tak boleh sebab hujan, nak jemur baju pun susah nanti baju tak kering bau hapak, nak berjalan-jalan pun tak boleh hujan basah nanti. Itulah fitrah manusia serba tidak kena. Padahal ALLAH dah bagi yang terbaik untuk kita.

Penulis paling bahagia bila dapat tengok hujan terutamanya bila merenung hujan yang menitis setitis demi setitis ibarat bumi menangis air mata. Mengimbau kenangan masa kecil dulu, penulis dan adik-adik suka main hujan. Bila tiba hujan sahaja masing-masing berlari ke telaga mahu merasai nikmat hujan yang turun. Berkejaran kami bermain air hujan sampai satu masa kena marah dah lama sangat main air hujan. Bila hujan turun je kami adik-beradik suka duduk tepi tingkap melihat air hujan yang menitis dari bumbung dan masa hujanlah hari yang paling kelam kabut bila adik-adik menjerit, “Mama, atap bocor. Tadah dengan bekas. Hujan lebat sangat.” Semua bergegas mencari bekas untuk tadah air hujan yang menembusi atap rumah lama kami. Rumah kami penuh dengan bekas untuk tadah air hujan. Kelakarkan?

Inilah kenangan paling manis yang penulis hadapi masa zaman kecilnya tentang hujan. Bila hujan rumah lama kami yang diperbuat dari kayu mesti sejuk yalah angin bertiup masuk ke dalam rumah kami. Rumah kampung terbuka sana sini. Sejuk ‘best’ untuk ulit tidur. Bila masa hujan waktu tidur kami jadi makin selesa. Itu zaman kecil-kecil. Sekarang kami dah berpindah ke rumah baru. Tiada lagi kenangan itu.

Hanya yang kami selalu buat sampai sekarang bila hujan turun je, kami pakat bertenggek di jendela. Melihat kebesaran ALLAH dengan turunnya hujan. Bumi seakan-akan segar bila disimbahi air hujan. Tumbuhan mekar bila air hujan turun dengan lebatnya. Ya, jika ada kesempatan adik yang bongsu suka bermain air hujan walau sekejap. Ayah pula asyik merenung air hujan yang turun. Ya, ada rahsia di sebalik kisah hujan. Ayah termenung panjang di pintu. Adik-adik lelaki tentunya sedih sebab tak dapat main bola sepak atau berjumpa dengan kawan bila hujan menjengah kami.

Sungguh, hujan adalah nikmat terindah buat penulis. Kalian bagaimana? Jika ya, jom sama-sama kita ucapkan al-Hamdulillah dengan nikmat ini. ALLAH sangat menyayangi kita, sebab tu bila hujan dah tiada terbit matahari di susuli pelangi yang indah menghiasi alam yang tersedia cantik dan subhanallah, Maha suci ALLAH yang menciptakan semua ini.


Setakat ini dahulu coretan hati di pagi Jumaat buat tatapan penulis sendiri dan sahabat-sahabat yang setia menjengah blog yang serba kekurangan ini. Mohon ditegur, dan komentar daripada sahabat-sahabat amat di alu-alukan agar penulis bisa memperbaiki penulisannya. Salam seceria alam selepas dibasahi hujan yang lebat.

No comments:

Post a Comment