Wednesday 30 April 2014

Rahsia ALLAH Penuh Hikmah

Bismillahirrahmanirrahim…

Salam 1 Rejab 1435H bersamaan 1 Mei 2014M. Al-Hamdulillah...berkat kasih sayangNya ALLAH memberi kita hambaNya merasai & samapi pada bulan Rejab. Bulan yang penuh kemuliaan. Moga kita semua bisa sampai pada bulan Sya’ban & bulan Ramadhan universiti tarbiah bagi setiap muslim. Al-Hamdulillah berkat kasih sayanNya juga kita masih bisa merasai nikmat Islam &nikmat iman yang merupakan nikmat terbesar dalam kehidupan kita sebagai manusia. Nikmat yang terindah buat penulis & sahabat semua. Sepatutnya kita menjadi insan yang bersyukur. Tanpa kasih sayangNya, kita seolah-olah ibarat layang-layang yang terputus dari talinya. Bergerak tanpa arah, & terus menjunam jatuh.

Layang-layang bila dia gah? Ya, saat dia meninggi, mengharung badai di angkasa. Namun dia tetap berpegang teguh pada bumi, insan yang setia memandu layang-layang menggunakan tali. Semakin jauh layang-layang pergi, semakin kagum tuannya. Yalah, layang-layangnya terbang tinggi. Begitulah analogi manusia. Walau sejauh manapun dia pergi, mengembara di alam ini dia tetap berpegang teguh pada ALLAH Yang Maha Menciptakannya. Dia sedar dirinya hanya sementara di dunia ini. Kelak, dia mahu bertemu Tuhannya dalam keadaan diredhaiNya.



Baiklah, hari ini penulis nak bercerita tentang rahsia ALLAH. Em, agaknya apakah rahsia yang ALLAH sembunyikan dari kita, tapi nanti kita pasti akan mendapatkannya? Jom main teka-teki!
Rahsia ALLAH lepas penulis tenung, belek al-Quran, baca buku-buku berkaitan, baca pandangan sahabat-sahabat, ada tiga rahsia ALLAH iaitu jodoh pertemuan, rezeki & ajal maut. Setuju tak? Jodoh, rezeki & mati tiga perkara yang mesti dilalui oleh seorang manusia tapi dia tidak tahu bagaimana keadaannya. Tinggal lagi dia berusaha & berikhtiar untuk mendapatkannya.

Rahsia ALLAH punya hikmah berharga buat manusia yang berfikir. Rahsia ALLAH tersembunyi kasih sayangNya pada muslim yang mendamba ALLAH bersamanya di setiap helaan nafasnya. ALLAH itu Maha Penyayang, dek kerana itu ALLAH merahsiakan bila kita bakal bertemu jodoh, bila & bagaimana kita mendapatkan rezeki dariNya, & bila kita bakal bertemu denganNya.

Usah pertikai atau merungut kenapa jodoh aku belum sampai? Kenapa aku tak kahwin lagi sedangkan sahabat-sahabatku dah ramai yang mendirikan rumahtangga? Kenapa aku miskin, rezeki tak macam orang lain? Kenapa & kenapa? Bila aku nak mati? Semua persoalan yang timbul itu tidak penting sekarang. Itu semua rahsia ALLAH. Apa yang penting, persoalkan apa usaha kita, mendapatkan jodoh yang baik & rezeki yang baik. Bagaimana bekalan kita untuk menuju hari mati nanti? Cukupkah bekalan & amalan yang di bawa untuk bertemu ALLAH? Jika cukup adakah diterima denganbaik oleh ALLAH? Koreksi & muhasabah diri sebelum diri saling menyalahkan takdir yang sebenarnya dah tersusun indah buat diri yang lemah di bawah penguasaanNya.

Rahsia ALLAH yang pertama, JODOH PERTEMUAN. Kita tahu kita bakal berkahwin & punya teman yang halal sama ada di dunia @ di akhirat itu rahsia ALLAH. Kita tidak tahu siapa jodoh kita & bila tiba masanya? Cuma yang perlu kita tahu adalah berdoa & terus berdoa agar dikurniakan jodoh yang baik di sisiNya. Cuma yang perlu kita buat adalah berusaha menjadi sebaik hamba & khalifah di sisiNya. Berusaha menjadi yang terbaik itu lebih baik dari kita terus mencari siapakah gerangan jodoh kita. Betul tak?

Pengajaran pasti dituju khas buat penulis sendiri. Sedang membelek sms kata-kata dari sahabat baiknya, penulis terpana dengan kata-kata sahabatnya yang berbunyi: “Di saat hati mulai pasrah..ALLAH hadirkan jawapan yang tak terduga. Di saat hati mula tabah...ALLAH menguji jiwa & raga...ALLAH tak pernah salah..ALLAH hanya minta kita tak mengalah..ALLAH tak pernah lupa..ALLAH hanya mengharapkan kita tidak alpa..Mintalah fatwa dariNya..Moga akhirnya kita temui jawapan dariNya..” Terima kasih sahabat di atas kata-kata yang indah ini. Lagi hebat ALLAH ceritakan rahsiaNya dalam bab jodoh dalam kalam CINTANya iaitu al-Quran dalam surah An-Nuur ayat 26 yang bermaksud:

26. (lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia.

Jadi, usah risau wahai diri yang bergelar muslim lagi satu ayat al-Quran dalam surah An-Nuur ayat 32 & 33 yang memberi penjelasan tentang bab nikah yang bermaksud:

32. dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.
33. dan orang-orang Yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) Yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran Yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu Dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat Yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah Yang telah dikurniakan kepada kamu. dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. dan sesiapa Yang memaksa mereka, maka Sesungguhnya Allah - sesudah paksaan Yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

ALLAH tidak pernah menganiaya hamba-hambaNya. Terang lagi bersuluh dalam al-Quran panduan untuk bernikah dalam bab jodoh & bagi yang tidak mampu belum tiba masanya lagi teruslah berusaha.

Rahsia ALLAH yang ke dua adalah REZEKI. Bila bicara tentang rezeki, ramai manusia yang mahukan harta dunia kan? Sebab sekarang ini semua perkara nak guna duit hatta nak masuk tandas pun kena bayar. Usah risau ada juga manusia yang memburu rezeki kerana ALLAH & tidak mengejar harta dunia semata-mata tetapi kerana mahu mendapatkan redhaNya. Rezeki ALLAH ada di mana-mana, usah kita risau. Cuba hayati doa dhuha ini: Ya ALLAH sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMu, kecantikannya kecantikanMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu, perlindungannya perlindunganM. Ya ALLAH jika rezeki masih di langit turunkanlah, jika di bumi keluarkanlah, jika sukar permudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

Indah bait susunan kata doa yang dipanjatkan selepas mengerjakan solat sunat dhuha. Jadi, jika kita nak rezeki kita berkat & bertambah, tambahkan juga usaha kita menuju ALLAH dengan mengerjakan solat sunat dhuha. Banyak kelebihan & manfaatnya. Tak percaya? Just do it & you can admit it. Believe me. ALLAH give what you want because ALLAH knows everything.

ALLAH juga ada berfirman dalam surah at-Talaaq ayat 2 & 3 yang bermaksud:

2. Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) Dengan cara Yang baik, atau lepaskan mereka Dengan cara Yang baik; dan adakanlah dua orang saksi Yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum Yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya),
3. serta memberinya rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Rahsia ALLAH yang terakhir adalah MATI. Kita bertuah kerana kita tahu bila detik kelahiran kita, & hampir setiap tahun kita akan ingat tarikh lahir kita yang semakin bertambah seiring dengan tahun yang berlalu. Rahsia ALLAH menyembunyikan detik kematian seorang manusia. Jika kita tahu sudah tentu hidup kita di hiasi dengan bekalan berguna untuk akhirat. Jadi apa guna ALLAH ciptakan syurga & neraka jika semua makhluknya masuk syurga tanpa dihisab? Sedangkan setiap ciptaan ALLAH tidak pernah sia-sia semuanya ada membawa matlamat & sebab tersendiri.

ALLAH suruh kita sebagai hambaNya berhati-hati hidup di dunia ini, usah kita leka kerana bila-bila masa malaikat maut akan menjemput kita, tidak terlambat walau sesaat, tidak tertangguh walau seminit. Untung, kita tidak tahu bila kita akan mati, kerana ALLAH telah melimpahkan berjuta rahmat kepada kita. Ada masa untuk bertaubat, selagi tidak terlambat, selagi mata tidak terpejam rapat, selagi nyawa tidak dijemput saat sakratul maut. Ingatlah, pahat dalam qalbu kita...hidup ini bukan untuk dunia semata tapi juga ada bahagiannya untuk akhirat kerana matlamat akhir kita bertemu ALLAH Yang Maha Esa.


Setakat ini dahulu perkongsian penulis untuk hari ini. Seperti biasa sebelum pena ini berhenti menulis, mohon jasa baik insan-insan yang terpilih membaca entri ini untuk sama-sama menghadiahkan surah al-Fatihah & doa untuk ayahanda penulis yang masih bertarung melawan sakitnya. Kekuatan ayah yang selama ini penulis sentiasa perhatikan sepanjang hayatnya bergelar anak telah terhad & terbatas. Doakan juga moga mama penulis diberi kekuatan & kesabaran untuk sama-sama mengharungi ujian dari ALLAH bersama suaminya yang tersayang. Berat rasanya di hati membayangkan ayah yang sedang sakit di kampung, sedang penulis jauh berada di perantaun. Kiriman doa dari sahabat-sahabat sangat diperlukan. Jazakumullah khaira jaza’. Siiru ‘alaa barakatillah...

No comments:

Post a Comment