Tuesday 29 April 2014

Dilema Sang Pengembara (Cerpen siri 3)

Bismillahirrahmanirrahim....

Al-Hamdulillah...nikmat Islam & iman masih menjadi milik penulis & sahabat-sahabat masakan tidak hari ini kita masih menikmati udara milik ALLAH dengan percuma. Syukur padaMu Ya Rabb. Baiklah, hari ini kita sambung cerpen kita sebelum ini bertajuk dilema sang pengembara. InsyaALLAH ini episod akhir untuk cerita kali ini. Moga memberi manfaat kepada jiwa yang mendambakan cinta Ilahi mewarnai kehidupannya.



Dilema Sang Pengembara (Cerpen siri akhir)

Bila sibuk dengan persatuan masa yang ada untuk belajar adalah terhad yalah...masanya bukan hanya untuk belajar, tapi Adham Zahiruddin bijak menguruskan masanya. “Hai...fokus betul Din mendengar kuliah pensyarah! Kawan-kawan kat sebelah dia dah lentok melayan mimpi indah.” “Padanlah Din fokus masa belajar sebab banyak masa dia digunakan untuk segala macam aktiviti yang mesti dihadirinya. Naqib, presiden (SPMM), pelajar, AJK program-program ceramah semua dia baham.” “Tak mengapalah, dia nak bekerja untuk Islam. Jika tiada orang sepertinya, semakin banyaklah berlaku kemungkaran di universitinya. Bayangkan jika semua mahasiswa bersikap sepertinya, amar ma’aruf, nahi mungkar, sudah tentu dah tak berlaku masalah-masalah sosial kat universiti ini.”

Cuti pertengahan semester pertama telah bermula. “Assalamu’alaikum, ibu...” ucap Adham Zahiruddin ketika mendapat panggilan telefon dari ibunya.Dia sudah dapat mengagak tujuan ibunya menelefon. “Wa’alaikumussalam...Along sihat ke? Macam mana belajar?” Tanya ibunya. “Al-Hamdulillah sihat. Belajar semua baik ibu. Berkat doa seorang ibu, Along dapat belajar dengan tenang walaupun masa along tidak sama dengan kawan-kawan lain. Ibu pula macam mana sihat? Adik-adik? Abah?” Jawab Adham Zahiruddin sambil bertalu soalan menerjah pendengaran ibunya. “Ibu dan adik-adik sihat al-hamdulillah, cuma ayah Along je yang kurang sihat. Sakit goutnya menyerang lagi.”

“Ayah sakit lagi? Subhanallah, allahuakbar. Ibu tengok-tengokkan ayah ya. Ayah tentu tak cukup rehat bekerja sepanjang masa. Ibu nanti kirim salam rindu Along kat ayah tau.” “InsyaALLAH pasal ayah along tak payahlah risau, pandailah ibu jaga ayah. Ha...Bila Along nak balik kampung ni? Adik-adik along dah sibuk bertanya, tak sabar kata mereka  nak jumpa dan peluk Along.” Bunyi bising suara adik-adik di corong telefon membuatkan Adham sebak seketika seraya menarik nafas panjang dan menyusun bicara, “Maaf ibu, Along tak dapat balik cuti ini. Banyak kerja dan tugasan yang perlu Along selesaikan segera. Along sangat merindui ibu, ayah dan adik-adik, tapi nak buat macam mana along kena korbankan masa dengan keluarga untuk seketika.” “Tak mengapalah Along. Ibu faham situasi along sekarang, tapi along jangan lupa telefon kami selalu, tak adalah adik-adik along merengek nak cakap dengan Along. Ibu sentiasa doakan yang terbaik untuk along.”

Firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud:

214. “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan atau ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

“Enta sedih ya, tak dapat balik kampung? Pengorbanan itu menuntut keikhlasan hati” Soal Amir Hamzah. “Taklah sedih cuma sedikit terkilan sebab tak dapat jumpa keluarga cuti ini. Tak mengapalah demi keberlangsungan gerak kerja dakwah Islam, ujian ini tak dapat tidak ana kena hadapinya. Tadhiyyah...lagipun, perjuangan Islam memerlukan pengorbanan dari berterusan da’ei. Enta dah makan?” kata Adham Zahiruddin. “Dah pagi tadi.”

“Ana tak nampak pun enta makan. Nak kata puasa sunat ari ini bukan hari isnin atau khamis. Enta makan belum ini?” “Ana belum makan sebenarnya.” Kata Amir Hamzah lantas tertunduk memandang lantai. Adham Zahiruddin memahaminya lantas mengeluarkan sekeping duit kepada sahabatnya. “Enta dah banyak tolong ana. Cukuplah hutang yang sebelum ini belum dibayar.” “Ambil jelah. Anggap aje ALLAH nak tolong enta melalui ana. ALLAH itu Maha Pengasih dan Penyayang. Ada masa ana pula yang memerlukan pertolongan enta.”

Sikap suka menolong sahabat, biarpun diri sendiri dalam kesempitan membuatkan dia sentiasa disenangi lawan dan kawan. Dia insan yang sangat menghargai kewujudan sahabat. Bukan bersahabat kerana harta, kekuatan atau kepandaian yang dikurnia ALLAH tetapi bersahabat kerana ALLAH. Bukan hanya terkenal kerana sikap ramahnya pada semua masyarakat tetapi sikap terbuka dan menegur orang yang melakukan kesilapan dengan berhikmah membuatkan dia dikenali ramai. Dia juga adalah insan yang sangat merendah diri bila mana ada sahabat yang memuji kebaikannya, dia pantas mengucap Al-Hamdulillah...semua kelebihan dan kebaikan adalah milik hakiki ALLAH. ALLAH Maha Sempurna dan manusia itu fitrahnya tetap tidak sempurna.

Hati Adham Zahiruddin pernah berbicara, “Ya ALLAH...pengorbanan apa lagi yang perlu aku laksanakan demi menanam bunga-bunga dakwah Islam dan tarbiyah dalam diriku dan sahabat-sahabat sekelilingku? Apa lagi yang dibutuhkan oleh hatiku dalam menghadapi ujian-ujianMu? Jika jalan dan petunjuk untuk menyintaiMu adalah jalan yang sukar penuh duri yang bakal melukai diriku, nescaya aku masih mahu mendekati kasih sayangMu kerna padaMu tersirna segala ketenangan dan kesenangan hakiki. Jika pengorbanan menjadi galang- ganti kasihnya ALLAH kepadaku, aku sanggup meletakkan pengorbanan sebagai usahaku mendekatiNya. Biarlah ALLAH yang menilai dan menjadi kayu ukur ke mana kasih dan cintaku tertumpah.”

Inilah antara dilema yang dihadapi oleh seorang pengembara CINTA ALLAH. Adham Zahiruddin antara watak yang dibawakan oleh ramai mahasiswa. Andai CINTA ALLAH yang dikejar, CINTA ALLAH juga yang bakal menyinari kehidupan insan yang bergelar sebagai hamba ALLAH.   

TAMAT....

Bukan mudah mahu mencipta sebuah cerpen & bergelar seorang penulis. Sungguh pengalaman ini sangat manis bagi insan yang suka meluahkan kata-katanya melalui penulisan. Bukan hanya minat yang perlu digarap tetapi juga cetusan idea & kebergantungan kepada ALLAH menentukan sejauh mana langkah penulis beraksi dalam medan dakwah melalui dunia penulisan. & penulis yakin sahabat2 juga begitu rentaknya. Moga dipermudah segala urusan dunia & akhirat kita dalam menuju matlamat akhir menemui Tuhan dalam husnul khatimah. Siiru 'aalaa barakatillah...


  

No comments:

Post a Comment