Monday 1 June 2015

Sanah Helwah Ya Akhi Soghir ^__^

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah thumma al-Hamdulillah...dengan izinNya penulis masih mampu berdiri & menghirup udaraNya secara percuma tanpa perlu bayaran yang tinggi. Al-Hamdulillah ALLAH memberinya kesempatan untuk singgahan ke 297. Setinggi-tinggi kesyukuran dilafazkan bila mana dirinya dibaluti iman & Islam. Nikmat terbesar & sangat berharga baginya demi kelangsungan kehidupannya selepas ini. ALLAH tidak sesekali melupakannya, ALLAH tidak sesekali membebankannya, ALLAH tidak sesekali membencinya...cuma terkadang ALLAH mahu menguji kesabaran imannya. Cuma terkadang ALLAH mahu melihat bagaimana tingkahnya bila berdepan dengan ujian. 

Ujian menjadi sang perindu pada keluarga tercinta, ujian berjauhan dengan keluarga, ujian berdepan dengan kerjaya yang membutuhkan pengorbanan maha tinggi, ujian dalam membina persahabatan, ujian fitrah insani yang tak mungkin putus singgah di jendela kehidupannya sebagai manusia. Ujian itu terkadang mematangkan hidup, mencerna minda menjadi lebih kehadapan, memikir cara terbaik menyelesaikan. Namun terkadang ujian itu membuatnya jatuh tersemban, jatuh terduduk yang membutuh bantuan. Dirinya juga manusia punya hati & perasaan yang terkadang imannya naik terus semangat, imannya turun terus penat. Di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan, bicara azimat ALLAH yang takkan dilupakannya, terpahat kemas di qalbu.

Sudah lama tidak bicara tentang cinta. Cintanya kepada ahli keluarga dirungkai melalui kiriman 'Selamat Hari Lahir'. Blog ini terkadang penuh dengan ucapan hari lahir buat insan-insan yang disayanginya kerana ALLAH. Menghargai kewujudan mereka dalam kehidupan penulis, dia terdetik melafaz bicara cinta dengan rentak begini...

Tanggal 2 Jun 2003, lahirlah seorang bayi lelaki bongsu dalam sebuah keluarga bahagia. Bayi itu diberi nama Ahmad Hambali bin Yaakob. Seindah namanya dia membesar menjadi anak yang baik. Walau terkadang rentaknya nakal namun dia bisa membahagiakan keluarganya. Masih basah di ingatan sang kakak saat kekalutan berlaku ketika mana ibunya mahu melahirkan si bongsu. Si bongsu ini menjadi peneman paling setia buat ibu ayah ketika mana kakak-kakak & abang-abangnya sibuk menyambung pelajaran & kerjaya di luar bumi serambi Makkah. Dia dah membesar sekarang seiring usianya genap 12 tahun bertarikh 2 Jun 2015. 

UPSR peperiksaan besar yang bakal dihadapinya, memegang amanah sebagai pengawas sekolah, dedikasinya tinggi mengikut jejak sang kakak juga pengawas di sekolahnya. Dia seorang pelajar yang baik. Jarak rumah & sekolah yang dekat menyebabkan dia antara pelajar terawal datang ke sekolah. 6:45 pagi, dia sudah sedia mengayuh basikal menuju ke sekolah. Itulah rutin harian si bongsu yang sempat dirakam penulis saat dia pulang ke kampung halaman seminggu dua. 

Bila kakak sulungnya menjejak kaki di rumah, siaplah si kakak memenuhi segala permintaan si bongsu menemannya bermain badminton atau bola di halaman rumah, menemannya menonton televisyen, menemannya menyiapkan kerja-kerja sekolah & yang paling manis mengajarnya membaca al-Quran. Alunan bacaan al-Quran yang menusuk kalbu yang mendengarnya, biar terkadang banyak yang salah, namun dia masih belajar. 

Hambali, esok hari ulang tahunmu yang ke-12, adikku. "Selamat Hari Lahir" semoga Hambali berjaya & bahagia dunia akhirat. Rindu pada susuk tubuhnya yang sentiasa membahagiakan. Rindu pada suaranya yang sentiasa petah mengatur bicara, rindu pada tingkahnya yang terkadang mengundang marah & suka. Rindu pada senyumannya yang menyumbang tenang di jiwa. Rindu menemannya setiap detik di kampung. Rindu pada kata marahnya yang terkadang mengusik hati. Rindu pada permintaanya, rengekan manjanya al-maklum anak bongsu dalam keluarga. Rindu pada gelagatnya 'berposing' di depan kamera. Rindu juga pada alunan bacaan ayat suci al-Quran yang meniti laju di bibirnya walau terkadang banyak yang salah. Kakakmu tersangat RINDU, & RINDUNYA KERANA ALLAH semata.

Gambar kat kampung.

Picture terbaru si bongsu

Si bongsu bersama abang-abangnya.

InsyaALLAH panjang umur cuti nanti kita jumpa yer. Selamat hari lahir, moga Hambali terus menjadi kebanggaan keluarga & sentiasa di sayangi ALLAH. Sanah helwah ya akhi soghir, Ahmad Hambali bin Yaakob. Dah tahun 6, tak boleh manja-manja dah. Jadi anak soleh yer sayang! Jangan lupa solat! Jangan lupa sentiasa bantu mama & ayah! Rajin-rajin buat latihan sekolah yer kan nak jadi pelajar target 5A sekolah. InsyaALLAH kak yong doakan yang terbaik.

Moga kehadiran entri ini mengingatkan kita bahawa sejauh mana pun kita merantau & mengembara, ingatlah pada insan tersayang yang hubungannya ibarat air yang takkan putus walau dicincang. Baik buruk dia tetap saudara kita & ingatlah jangan kerana harta kita sekeluarga berpecah derita. Peliharalah hubungan kekeluargaan kita hingga ke jannah abadi. Ameen. Sayang kalian kerana ALLAH :-) 

Siiru 'alaa barakatillah...




No comments:

Post a Comment