Saturday 24 June 2017

Selamat Hari Lebaran 1438H

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan nama ALLAH penulis masih berkesempatan untuk meneruskan penulis blog ini. Al-Hamdulillah syukur dan pujian untuk segala nikmat yang ALLAH kurniakan pada hambaNya ini. Bulan Ramadhan sudah sampai ke penghujungnya untuk tahun 1438H ini. Sedih, sayu semua perasaan ini bercampur baur melahirkan rasa yang entah bagaimana mahu diungkapkan. Ramadhan datang seolah-olah dalam sekelip mata perginya dalam keadaan sedetik cuma. Pejam celik dah sampai penghujung Ramadhan. Esok lusa dah nak raya eidulfitri. 

Al-Hamdulillah Ramadhan tahun 1438H ini penulis berkesempatan menyambutnya dengan kehadiran cahaya mata buah hati pengarang jantung puteri sulung bernama Nur Khadijah Zulaikha binti Noriskandar. Al-Hamdulillah tahun lepas berpuasa dan beraya berdua kini bertambah tiga orang sangat berbeza suasananya. Moga Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Ramadhan yang pergi sangat memberi kesan pada hati penulis dirasakan seolah-olah kehilangan separuh jiwanya. Ramadhan tahun ini benar menyentuh hatinya tambahan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam menjaga anak perempuannya yang punya pelbagai ragam. Hujung bulan ini cukuplah 6 bulan Nur Khadijah Zulaikha dibesarkan oleh mama baba dan 6 bulan juga dia melihat dunia yang penuh fatamorgana ini. Al-Hamdulillah Ya ALLAH terima kasih atas anugerah terindah ini walau terkadang dia sering menguji kesabaran mama.


Di kesempatan yang ALLAH berikan ini, izinkan penulis mencoret kata ucapan Selamat Hari Raya Eidulfitri Maaf Zahir dan Batin terutama untuk keluarga tersayang nun jauh di bumi serambi Makkah. Sungguh penulis sangat merindui kalian dan penulis tak kan pernah sesekali lupa setiap detik kita pernah bersama sama ada dalam keadaan duka atau bahagia. Kalian mencoret kanvas hidup penulis sebelum penulis punya suami dan cahaya mata. Kalian sangat berharga untuk penulis kerana kalian pernah mencoret pelbagai rasa dalam kehidupan penulis sebelum ini dan sekarang. Ingatlah walau kita hidup berjauhan, doa dan Al-Fatihah tak pernah penulis putus hadiahkan untuk kalian keluarga tersayang. Setiap kali Syawal tiba, penulis tak pernah lupa kenangan bagaimana kita menyambut 1 Syawal. Ayah dan ma pasti akan sentiasa membawa kita ke masjid bila tiba 1 Syawal. Lepas tu kita ziarah kubur nenek dan atuk. Kemudian terus kita pergi beraya ke rumah saudara-mara. Hari raya seterusnya kita tinggal kat rumah je tunggu tetamu datang beraya pulak. Tak pun kalau takde orang datang kita tengok tv sama-sama masa tu kita dah jelajah semua rumah saudara-mara. Salam rindu di perantauan.



Tak dilupa ucapan hari raya ini juga ditujukan kepada keluarga mertua. Al-Hamdulillah...Terima kasih kerana kalian sudi menerima penulis dalam kehidupan kalian. Penulis bersyukur dianugerahkan keluarga mertua yang baik dan penyayang. Kalian sangat baik buat penulis. Kalian sudah penulis anggap macam keluarga sendiri dan sudah tentu penulis doakan yang terbaik untuk kebahagiaan dunia akhirat kalian. Maaf andai banyak khilaf penulis pada kalian sama ada yang tidak disengajakan atau yang disengajakan. Terima kasih sekali lagi kerana sudi menerima penulis blog ini dalam hidup kalian. Maaf andai kewujudan penulis banyak memberi susah dan menambah beban pada kalian. Selamat Hari Raya Eidulfitri buat keluarga mertua. Kalian sangat baik untuk penulis.


Terakhir, ucapan Selamat Hari Raya Eidulfitri ini juga diucapkan khusus untuk semua pembaca blog ini sama ada yang menjadi pengikut setia atau yang sekadar singgah sementara. Maaf andai penulis banyak terkhilaf bahasa. Impian nak jadi penulis suatu masa nanti,mohon doa kalian. Terima kasih kerana menyokong penulisan yang serba kekurangan ini. Moga Syawal yang tiba memberi suntikan semangat kepada kita untuk meneruskan amal ibadah di bulan-bulan seterusnya. Syawal bulan penuh kesyukuran setelah sebulan kita berpuasa dan perbanyakkanlah ucapan syukur dan tahmid kepada ALLAH. Moga kita tergolong dalam kalangan yang sentiasa mengingati ALLAH. Sambutlah 1 Syawal 1438H ini dengan penuh kesederhanaan dan tidak melupakan insan yang dalam kesusahan.

Salam Syawal 1438H... 

No comments:

Post a Comment