Tuesday 6 June 2017

Qana’ah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah...terima kasih ya ALLAH di atas nikmat dan kurniaanMu Yang Maha Luas. Hanya padaMu kami berserah dan kepadaMu jua kami kembali. Semuanya bermula dengan namaMu Ya ALLAH, insyaALLAH semuanya didapati indah. Semuanya butuh kekuatan yang tinggi barulah hidup sentiasa diberkati. Semuanya memerlukan pengorbanan barulah hidup penuh ketenangan. Tiada sengketa benci dan juga dendam yang ada Cuma kasih sayang, ketenangan dan kebahagiaan.

Al-Hamdulillah...terima kasih Ya ALLAH atas peluang dan ruang yang ALLAH anugerahkan kepada penulis untuk terus dapat menulis dalam ruangan blog ini. Hari ini izinkan penulis bercerita tentang perkataan arab ‘qana’ah’. Apa itu qana’ah? Kenapa qana’ah itu penting dalam kehidupan muslim? InsyaALLAH penulis akan huraikan bersama ilmu yang masih berbaki ada di dadanya. Qana’ah merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab yang bermaksud sifat bersederhana dalam kehidupan dan apa jua keputusan hidup yang dibuat oleh manusia.

Lelaki atau perempuan yang mempunyai sifat qana’ah ini pasti hidupnya penuh dengan kesederhanaan. Kesabaran dan pengorbanan yang tinggi sangat diperlukan oleh hati yang bersifat qana’ah. Kebergantungan kepada ALLAH melebihi dari segala-galanya. Sifat inilah yang cuba diterapkan dalam jiwa penulis supaya nanti bila dia dikurniakan nikmat yang melimpah dia tetap bersyukur dan bersifat dengan sifat qana’ah. Bila dia dikurniakan dengan musibah dan ujian yang bertimpa dia tetap bersabar dan bersifat dengan sifat qana’ah.

Kenapa qana’ah itu antara sifat atau perkara penting dalam kehidupan muslim? Jawapannya mudah ini kerana qana’ah atau bersederhana adalah perkara yang dituntut dan digalakkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Tengok pada contoh teladan sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w, baginda s.a.w sangat bersederhana dalam hidup dan tidak bermegah-megah jauh sekali riak dan membangga diri dengan apa yang ada pada baginda s.a.w. Hanya sifat qana’ah menghiasi peribadi Baginda s.a.w.

Alasan ke-2, sifat qana’ah dalam diri individu muslim dapat mencambah rasa dekatnya kebergantungan kita kepada ALLAH tidak kira di waktu kita susah ataupun senang. Membangkit rasa perhambaan dan mendekatkan diri padaNya secara berterusan.
Qana’ah antara sifat yang cuba penulis terapkan dalam dirinya memandangkan dia sedang menghadapi fasa kesusahan dan kesukaran dalam hidupnya. Yalah, sekurang-kurangnya bila ada sifat qana’ah tentu mendidik dia bersederhana contohnya dalam membeli-belah. Beli apa yang mampu, jika tidak mampu bersabarlah dulu insyaALLAH nanti ALLAH akan gantikan yang lebih baik berkat kesabaran kita. Kekadang, bila tengok WhatsApps, facebook, dan media sosial lain tentang banyaknya pilihan tudung, pakaian, dan buku tambahan barang-barang ‘baby’ penulis punya perasaan untuk memilikinya tetapi apakan daya kewangannya hanya mencukupi untuk kehidupan seharian. Tidak mengapa. Bersabarlah.

Biasalah manusia, tengok benda baru bertambah dengan cantik dan minatnya pasti dia punya rasa untuk memiliki. Tengok orang pakai baju-baju baru, kita pun nak pakai. Tengok orang pakai tudung-tudung yang cantik, kita pun nak bergaya. Tengok orang cantik dengan pelbagai jenis produk, kita pun mahu memiliki dan merasai kecantikan itu. Tengok buku-buku baru keluar di pasaran, bagi pencinta buku seperti penulis sudah tentu dia tergoda mahu memiliki buku-buku tersebut. Lumrah manusia katakan tetapi penulis tak boleh ikutkan sangat hatinya yang mahukan semua.

Ingatlah duhai diri bukan semua yang kita mahukan, akan dapat dalam sekelip mata. Kadang-kadang memakan masa yang cukup lama dan kadang-kadang kita akan memperolehnya tanpa usaha. Bersabarlah duhai diri. Sifat qana’ah ini dapat memacu hawa nafsu untuk bersederhana dan tidak bermewah cukup dengan apa yang ada. Tengok orang dapat merantau ke negara orang, kita pun teringin sama. Kadang ada rasa cemburu tapi tak mengapa sifat qana’ah itu menyapa dan menyedarkan dirinya hanya hamba ALLAH yang lemah. Bukan bererti dia mahu merendahkan dirinya sesuka hati tetapi sifat qana’ah ini membatasi segala kekurangan diri menyedarkan hati perlu lebih tarbiah lagi.

Cukuplah diri ini mengucap syukur dan bersederhana dalam kehidupannya sekarang. Didik diri untuk sentiasa bersifat qana’ah di saat nikmat ALLAH melimpah. Usah riak andai kita lebih segala-galanya dari orang lain dan usah terlalu merendah diri andai kita serba sederhana. Ini kerana yang sederhana itu terkadang lebih bahagia dan lebih disayangi pleh ALLAH Yang Maha Esa hanya berkat kesabaran kita.

Pemandangan yang cantik.

Biar orang lain lebih segala-galanya dari kita, asal kita tau untuk bersyukur pada ALLAH Yang Maha Kuasa. Biar orang lain bermewah dengan harta-harta mereka, asal kita cukup dengan apa yang ada. Biar orang lain bahagia dengan cara mereka, kita juga punya jalan tersendiri untuk mencapai kebahagiaan hakiki. Biar orang lain memandang serong akan kesusahan dan kesukaran kita, asal kita ada ALLAH yang sentiasa memberi semangat untuk kita menghadapi kesusahan dan kesukaran itu dengan cara solat dan sabar. Biar apa kata orang pada kita, asal ALLAH tahu apa yang terkandung dalam hati dan benak fikiran kita. Biarkan mereka, asal ALLAH sentiasa ada untuk kita.


Setakat ini dahulu coretan hati penulis untuk kali ini. Moga kehadiran entri ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada kita untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih bersyukur dan lebih baik dari semalam. Kita bukan sekadar tunggu hidayah ALLAH itu datang kepada kita baru kita nak berubah menjadi lebih baik tetapi kita juga harus punya langkah pertama untuk berubah ke arah kebaikan.

No comments:

Post a Comment