Monday 22 May 2017

Ahlan Ya Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah ucapan syukur yang tidak pernah putus menghiasi bicara kata blog ini. Moga ucapan ini akan sentiasa menghiasi kehidupan penulisan dan semua sahabat. Dengan nama ALLAH penulis memulakan penulisan blog kesayangannya. Bila kerana ALLAH, semuanya bermula dan berakhir indah. Bicara syukur ini seharusnya diucapkan selalu oleh individu muslim tidak kira sama ada dalam keadaan senang apatah lagi susah. Ini kerana ALLAH sebaik-baik tempat perlindungan, ALLAH jua sebaik-baik tempat mengadu di saat semua menjauh hanya ALLAH yang sentiasa mendekat.

Berbaki beberapa hari lagi kita akan melangkah masuk ke bulan Ramadhan. Bulan yang dipenuhi keberkatan, keampunan dan kasih sayang ALLAH. Bulan yang dipenuhi ganjaran yang melimpah. Moga kita punya kesempatan untuk meneruskan hidup di bulan Ramadhan. Al-Hamdulillah Ramadhan kali ini kami sambut bertiga dengan kehadiran cahaya mata baru. Al-Hamdulillah akhirnya kami punya cahaya mata sendiri penyeri rumah tangga kami.

Moga kami punya kesempatan untuk menyambut Ramadhan yang penuh keberkatan. Tak sabar rasanya nak menjalani madrasah tarbiyah Ramadhan. Sekarang adalah langkah pertama untuk 'flash back' semula ilmu-ilmu tentang bulan Ramadhan. Bermula dengan niat puasa, rukun puasa, syarat sah puasa, dan ilmu yang berkaitan puasa semuanya perlu ditekuni untuk mendapat keberkatan bulan Ramadhan.

Ahlan Ya Ramadhan
Kehadiranmu sangat dinanti semua
Ketibaanmu seakan-akan melambai kami
Menambah amal bakti
Mengurang dosa dan noda
Tidak sabar rasanya
Mahu menelusuri madrasah Ramadhan ini
Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya

Ahlan Ya Ramadhan
Kewujudanmu membawa sinar abadi
Kepergianmu bakal ditangisi
Mari kita penuhkan ilmu di dada
Membawa bekal berguna di akhirat sana
Bersama bulan Ramadhan tercinta
Bulan berkat 
Bulan keampunan
Bulan kasih sayang
Bulan ganjaran melimpah
Bulan seribu bulan Lailatul Qadr
Ahlan Ya Ramadhan.

Setakat ini dahulu entri kali ini. Terimbau sudah kenangan menyambut Ramadhan di kampung sendiri. Terubat rindu pada ayah yang sentiasa mengalunkan ayat suci al-Quran terutama pada bulan Ramadhan. Terubat rindu pada masakan mama yang sangat dirindui. Terubat rindu pada adik-adik yang punya bermacam ragam. Rindunya pada mereka di saat kami solat terawih bersama-sama dengan ayah sebagai imam kami. Kini semuanya hanya tinggal kenangan manis yang sentiasa di ingati dalam qalbu penulis sendiri. Salam Ramadhan Kareem untuk semua pembaca blog ini khususnya dan kepada semua insan yang penulis sayangi kerana ALLAH. Kalian sentiasa di hati.

Rindunya kat juadah berbuka puasa masakan mama.

Anugerah terindah di bulan Ramadhan 1438H.



No comments:

Post a Comment