Saturday 13 May 2017

Selamat Hari Ibu

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Al-hamdulillah...dengan namaNya penulis memulakan penulisan blog kali ini. Memandangkan kita berada di bulan Mei dan bulan Islam Syaaban izinkan penulis berkongsi kisah tentang Hari Ibu. Syukur yang tidak terhingga penulis lafazkan pada qudrat dan iradat Ilahi kerana dengan kuasaNya penulis masih mampu berdiri dan menikmati keindahan Islam serta iman dalam kehidupannya. Betapa besarnya nikmat Islam dan iman yang ALLAH anugerahkan kepadanya yang jika dihitung sudah tentu tidak terkira besarnya nikmat tersebut. Al-Hamdulillah...Terima kasih Ya ALLAH kerana telah mengurniakan kepada penulis seorang ibu yang sangat penyayang dan bertanggungjawab terhadap anak-anaknya juga keluarganya.

Jadilah kita manusia yang sentiasa bersyukur dan cukup dengan apa yang ada (qana’ah) insyaAllah hidup kita akan sentiasa bahagia. J 14 Mei 2017 sudah tiba. Apa istimewanya tarikh tersebut? Sudah tentu sangat istimewa untuk insan-insan yang bergelar dan memegang amanah sebagai seorang ibu. Pada pandangan penulis Hari Ibu adalah setiap hari yang kita lalui dalam kehidupan bukan hanya tertumpu pada tarikh 14 Mei. Hari-hari adalah Hari Ibu hari untuk kita sentiasa menghargai pengorbanan seorang ibu sebab kita hanya dianugerahkan Allah dengan seorang ibu kandung yang pasti tiada gantinya.

Tahun ini Hari Ibu sangat istimewa...kenapa? Ini kerana penulis juga sudah menggalas amanah sebagai seorang ibu. Dah jadi ibu pun pada penghujung tahun 2016. Alhamdulillah...akhirnya telah ku temui bagaimana dahsyatnya pengorbanan seorang ibu untuk melahirkan anak-anaknya. Bukan satu perkara yang mudah sebab ia bermula sewaktu mengandungkan anak sehinggalah melahirkan, waktu berpantang dan tempoh masa membesar dan mendidik anak-anak sehinggalah anak-anak benar-benar matang dan menjadi hamba serta khalifahNya yang berguna.

Jadi tidak terlambat rasanya bagi penulis untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada mama tercinta yang jauh nun di kampung bernama Mek Nab binti Ibrahim. Mama puteri sulung mama ini sangat merindui mama selamanya. Moga segala pengorbanan, jasa, kasih sayang, cinta dan segala yang mama curahkan pada kami sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang dari ALLAH. Mama adalah ibu terbaik yang sangat bermakna dalam kehidupan saya. Mama adalah guru terbaik yang sentiasa mencurah kasih sayang untuk puteri sulung mama ini. Kehadiran mama mengajar banyak perkara pada saya. Kesabaran, kekuatan, kemahiran, kasih sayang,kelembutan dalam ketegasan dan sebagainya. Mama sempena Hari Ibu ini puterimu memohon segala kemaafan atas segala kekhilafan dan terima kasih yang tidak terhingga atas segala pengorbanan yang mama buat untuk kami adik-beradik. Kini baru anakmu ini sangat mengerti bagaimana perasaan menjadi seorang ibu berat sekali amanah sebagai ibu ini, mama.

My lovely mom forever.

Selamat Hari Ibu juga penulis tujukan kepada ibu mertua tersayang (Zainap binti Sarman) yang menyayangi dan menerima penulis sebagai menantunya. Alhamdulillah mak seorang ibu mertua yang sangat baik. Alhamdulillah ALLAH telah mengurniakan seorang ibu mertua yang sangat memahami dan menerima menantunya seadanya. Melayan penulis seperti anaknya sendiri. Saat menantunya sakit dialah yang mengubati dan merawat. Saat penulis dalam tempoh berpantang, mak mertua inilah yang merawati dan memberi yang terbaik untuk menantu dan cucu barunya. Saat penulis dirundum duka, mak mertua inilah yang sentiasa memberi kata nasihat untuk terus sabar. Terima kasih mak kerana telah menjadi mak mertua yang terbaik untuk saya. Terima kasih mak kerana menerima cucu mak dengan seadanya dan menjadi nenek yang terbaik untuk puteri pertama penulis. Terima kasih mak kerana menerima segala buruk baik penulis sebagai menantu perempuan mak. Bertuahnya diri ini kerana telah dikurniakan ibu mertua yang sangat baik. Drama-drama Melayu yang kebanyakannya mengangkat watak ibu mertua yang jahat sama sekali meleset dan tidak sesekali mempengaruhi penulis kerna dia ada ibu mertua yang sangat baik...Al-Hamdulillah Ya ALLAH. Maaf yer mak andai menantu mak ini banyak buat silap, banyak khilaf pada pandangan mak kerna menantu mak ini hanyalah manusia biasa yang sering terkhilaf. Mak, teruslah membimbing penulis menjadi menantu yang baik pada ibu mertua dan menjadi isteri solehah pada anakmu serta menjadi ibu mithali utuk cucu-cucumu.


My dear mother in law.

Selamat Hari Ibu penulis ucapkan kepada kakak sebapa (Che Hasniza bt Yaakob). Terima kasih kak long untuk segala nasihat dan kata semangat yang kak long kongsikan dengan adik perempuan kak long ni. Moga kak long menjadi ibu yang sangat kuat dan tabah dalam meniti kehidupan dan amanah sebagai ibu. Penulis doakan kak long bisa menguruskan kehidupan dunia dan akhirat dengan baik. Ibu yang terbaik untuk anak-anak dan isteri yang solehah untuk suami tercinta. Kak long ada tiga orang anak, ibu kepada ketiga-tiga anak buahku. Pastinya kak long memberikan yang terbaik untuk mereka. Jadilah ibu yang sentiasa menyayangi anak-anakmu kerana ALLAH.

Holiday with kak long's family.

Selamat Hari Ibu juga penulis lakarkan buat kakak-kakak ipar yang disayangi kerana ALLAH (Norzi bt MAT So dan Normi bt Mat So). Kalian kakak ipar yang sangat baik untuk penulis. Kalian juga adalah kakak-kakak yang sangat baik dan penulis sangat menghargai kalian sejak kali pertama kita berjumpa pada 07122014. Tarikh pertunangan penulis. Sesungguhnya kalian kakak yang sangat baik untuk adik ipar seperti penulis. Akhirnya merasa juga penulis untuk ada kakak-kakak ipar yang baik menerima adik ipar dengan seadanya. Kalian sudah tentu menjadi ibu mithali untuk anak-anak kalian. Penulis doakan moga kakak-kakak iparnya bisa menjalani kehidupan berkeluarga dengan baik dan sentiasa dilimpahi dengan kasih sayang ALLAH walau di mana kalian bertapak di bumi ini.

My sister in law, Kak Norzi and family.

My sister in law, kak normi with my mother in law and sumayyah.

Ucapan terakhir, tidak dilupakan kepada semua pembaca blog ini yang setia dan memegang amanah sebagai seorang ibu ‘Selamat Hari Ibu’ untuk kalian semua. Juga tidak dilupa kepada semua mama, ibu, ummi, mak, mummy, mom, mek ‘Selamat Hari Ibu’ untuk kalian semua. Moga kita sama-sama menjadi seorang ibu mithali yang baik untuk anak-anak. Didiklah anak-anak kita untuk sentiasa mengenal ALLAH, kerana didikan agama itu sangat penting.

Sebelum menutup kata, selamat menyambut bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Kita hanya menghitung hari untuk menghadapi bulan puasa yang menentukan kita untuk menjalani ibadah puasa hanyalah ALLAH. Jadi banyakkan berdoa moga kita punya kesempatan untuk berpuasa pada tahun ini. Ameen.


Setakat ini dahulu coretan hati bicara kata penulis pada Hari Ibu ini. Ingat hari ibu adalah setiap hari. Hargailah kehadiran ibu dengan sebaiknya. Mama saya sayang mama kerana ALLAH.  

No comments:

Post a Comment