Saturday 8 April 2017

Kamu Hadiah Terindah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah ucapan syukur ini penulis garapkan dalam setiap karangan ceritanya terus menerus dan berharap tidak sesekali putus. Moga ucapan ini sentiasa menghiasi kehidupan penulis dan keluarga. Al-Hamdulillah...Ya ALLAH atas kurniaan iman dan Islam yang sentiasa membuat kehidupan penulis bahagia dan bersederhana dalam kehidupan.

Al-Hamdulillah...kamu hadiah berharga mama, sayang. Saat kamu lahir ke dunia hingga lah sekarang kamu sudah berusia 3 bulan 9 harikamulah hadiah terindah mama. Masih kukuh di ingatan mamabagaimana rasa sakit yang mama tanggung saat melahirkan kamu, nak. Saat dan detik itu juga mengingatkan mama pada ibu kandung mama semasa melahirkan mama hampir 27 tahun yang lalu. Al-Hamdulillah kamu cukup bertuah kerana babamu menemani mama dari mama sakit  di tahan di bilik bersalin hinggalah mama dimasukkan ke dalam wad selepas selamat melahirkan kamu secara normal. Terima kasih baba.

Betapa bahagia dan ‘excited’ nya baba mahu menerima kehadiran kamu sehingga dia sanggup tidur dalam kereta, solat dan membersihkan diri di masjid, makan di kedai, ulang alik dari masjid ke hospital sepanjang tempoh menunggu kelahiranmu, nak. Kamu memang hadiah terindah buat kami yang telah lama menanti detik indah bersama-sama baba, mama dan baby. Dek kerana itu, mama dan baba tak pernah putus mengucap syukur al-hamdulillah padaNya.

Kamu hadiah terindah, saat melihat dan memegang tubuhmu buat pertama kali mama tak putus menutur al-Hamdulillah. Air mata mama mengalir tanpa di minta bukan hanya kerana menahan sakit tetapi diiringi air mata kegembiraan. Kamu memang comel, kulit mu putih melepak tiada cacat mahupun cela. Kamu juga sihat walafiat. Hadirmu tidak pernah menyusahkan kami tambahan kamu memberi rahmat pada semua yang menyayangimu, menambah bahagia dan kemudahan pada mama dan baba.

Bicara ini mama coret untukmu puteri sulung mama. Moga kamu bisa membacanya nanti:

Mama menyayangimu kerana ALLAH. Saat minggu pertama kita bersama kamu sentiasa menangis dan meragam. Mama hilang arah dan kematian akal tertekan pun ada jugak. Lama-kelamaan mama semakin faham bahasa tangis puteri sulung mama ini. Mama sangat bersyukur dikurniakan puteri yang sihat walafiat dan tak pernah menyusahkan mama dan baba. Kamu anak mama. Kamu hadiah terindah mama. Dalam banyak-banyak hadiah yang mama dapat sepanjang 27 tahun kehidupan mama kamulah hadiah terindah, paling indah yang mama pernah dapat.  Walau terkadang baba hanya membiarkan mama menguruskan kamu seorang diri...walau terkadang mama dipagut resah dan tertekan...walau terkadang air mata kesedihan mama menitis laju dek kerana tidak mampu menahan keperitan ujian ini...Mama cuba untuk kuat sayang dan mama cuba untuk memahami keadaan ini. Cuba memahami keadaan baba yang kepenatan bekerja mencari duit untuk kehidupan kita. Cuba untuk menghadapi masalah dengan ketenangan dan kesabaran. Hanya ALLAH penguat mama. Mama sentiasa doakan kamu, Nur Khadijah Zulaikha binti Noriskandar. Moga kasih, sayang, cinta dan rindu kita berkekalan hingga ke syurga. Ameen ya Rabb.

Setakat ini sahaja coretan chinta mama dan baba buat puteri tersayang. Coretan ini mama nukilkan untuk kamu, sayang. Sekalung terima kasih diucapkan buat pembaca setia blog ini, terima kasih atas sokongan dan kesetiaan kalian untuk menziarahi blog ini. Moga kalian sentiasa di bawah rahmat dan kasih sayang ALLAH.

Maaf andai blog ini banyak membuat kalian terluka atau cemburu. Maaf andai blog ini banyak memberi susah pada kalian. Maaf andai kisah perkongsian ini menambah duka di hati kalian. Niat penulis hanya mahu berkongsi dan bercerita keindahan Islam dalam kehidupan.

Pesanan buat sahabat-sahabat yang belum dikurniakan anak, usah risau tabahlah kalian. InsyaAllah ada rezeki kalian yang akan ALLAH berikan, usah khuwatir. Usaha dan terus berdoa pada ALLAH. Jangan sesekali merungut dengan qada’ qadar ALLAH. Terimalah dengan hatinya tenang dan terus berusaha tak lupa bertawakkal. Penulis juga merasai apa yang kalian rasa. Perasaan bila lambat dikurniakan anak dengan soalan-soalan yang bertalu-talu menimpa bila nak dapat anak. Usah peduli kata manusia, nanti lama-lama tutuplah mulutnya.


Ikuti diari mama dan baba sepanjang tempoh menanti kelahiran puteri sulung mama dan baba dalam entri akan datang.  

Gambar mahal...ketika dalam bilik bersalin.
Khadijah baru lahir tanggal 31.12.2016.

Nur Khadijah Zulaikha binti Noriskandar sudah berusia 3 bulan 9 hari hari ni.
Anak manja intan payung baba ni!



No comments:

Post a Comment