Wednesday 5 April 2017

Kamu Anugerah Terindah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah setelah lama penulis blog ini menyepi, akhirnya pada tarikh ini dia memulakan penulisan blog. Rindunya pada penulisan blog. Banyak sekali kisah dan peristiwa yang tak dapat dirakamkan dalam blog ini sepanjang tempoh Oktober 2016 hingga Mac 2017. 

Mesti ramai yang menantikan isi entri kali ini memandangkan ini adalah penulisan pertama penulis untuk tahun 2017. Al-Hamdulillah...terima kasih ya ALLAH kerana telah mengurniakan kepada penulis masa dan kesempatan serta ruang untuk berkongsi rasa dan keindahan hidup dalam Islam. Syukur tidak terhingga kerana peluang ini memberikan masa untuk penulis bercerita tentang tanggungjawabnya yang baru sebagai ibu.

Entri kali ini berkisar tentang Anak Anugerah Terindah...Al-hamdulillah diam-diam ubi berisi. Diam-diam penulis rupanya sedang sibuk menguruskan tanggungjawab dan amanah sebagai ibu. Akhirnya setelah  lebih 9 bulan menunggu penulis bergelar seorang mama.

Al-Hamdulillah tepat pada 31 Disember 2016 pada jam 9:42malam penulis telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan (muslimah...insyaAllah bakal menyinarkan agama Islam) seberat 3.45kg. hujan renyai yang membasahi bumi menyambut kelahiran puteri sulungnya. Al-Hamdulillah...Ya ALLAH. Terima kasih di atas segala nikmat dan anugerah yang Engkau berikan kepada kami. Puteri comel ini diberi nama Nur Khadijah Zulaikha binti Noriskandar. 

Buat anakanda tersayang mama ada titipkan kata buatmu. Moga puteri sulung mama ini bisa mengerti perjalanan berliku sebuah kehidupan di dunia. Moga puteri sulung mama ini bisa mengharungi segala badai dan ujian yang mendatang dengan hati yang tenang dan redha. Moga puteri mama ini sentiasa di bawah naugan dan kasih sayang ALLAH:

Anakanda tersayang
kasih tercurah padamu
hanya kerana ALLAH semata
kamu anugerah terindah mama
mama bersyukur adanya kamu di sisi mama
menemani saat duka suka mama
gelagatmu menceriakan mama
tawamu membahagiakan mama
comelmu menambah rasa syukur mama
gerak gayamu bisa menenangkan mama
tangismu mengundang resah mama

Anakanda tercinta
moga kamu membesar menjadi anak solehah mama
moga kamu sentiasa memenuhi kehendak agama
utamakan ALLAH dalam kehidupanmu
utamakan Rasulullah s.a.w dalam harimu
uatamakan Islam dalam setiap langkahmu
kamu anugerah terindah buat mama

Anakanda 
jadikan dirimu hamba ALLAH
menelusuri kehidupanmu dengan keindahan Islam
muslimah yang dicemburui bidadari syurga
muslimah yang dikasihi sahabat-sahabatnya
muslimah yang berani menegakkan keadilan dan kesaksamaan
Mama...doakan yang terbaik untuk anakanda

Puteri sulung mama....
Bicara kata ini mama nukil 
saat kamu masih berusia 3 bln 6 hari
saat kamu masih kecil untuk mengerti tentang dunia
mama sayang kamu kerana ALLAH
Kamu anugerah terindah buat mama


gambar kenangan di pantai.







No comments:

Post a Comment