Saturday 13 May 2017

Selamat Hari Guru

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah dengan izin dan limpahNya penulis dapat meneruskan penulisan blog ini. Rahmat ALLAH sentiasa memayungi kehidupannya sebagai seorang hamba dan khalifahNya. Memegang amanah sebagai seorang anak, menantu, kakak, anak saudara, isteri dan ibu merupakan amanah yang sangat berat bagi penulis tanpa bantuan dan pertolongan daripada ALLAH. Moga kehidupan yang ditelusurinya akan sentiasa mengingatkannya kepada ALLAH Yang Maha Esa.

16 Mei 2017 merupakan tarikh keramat bagi insan-insan yang menggalas amanah sebagai seorang guru. Selamat Hari Guru penulis ucapkan untuk semua guru di Malaysia khususnya guru-guru yang mengajarnya daripada memasuki alam persekolahan di Tadika KEMAS al-Hakim, Pasir Pekan Kelantan berusia 6 tahun. Kemudian, penulis memasuki sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan, Kelantan selama 6 tahun 1997-2002. Tamat sekolah rendah penulis melangkah masuk ke sekolah menengah di SMU (A) Maahad Muhammadi (P) Pasir Pekan, Kelantan selama 7 tahun dari tahun 2003-2009. Melangkah ke menara gading di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan selama 4 tahun 2010-2014. Bermula daripada sekolah tadika hinggalah masuk universiti guru-guru silih berganti mengajar penulis banyak perkara. Kenangan pahit manis belajar terpahat kemas di hati penulis. Zaman belajarlah zaman yang sangat menyeronokkan.

Masih utuh di ingatan bila tiba je Hari Guru kami bersusah payah mencari hadiah yang terbaik untuk guru-guru kami. Masing-masing bersaing mahu memberi hadiah kepada guru-guru. Al-Hamdulillah penulis dikurniakan guru yang sangat ramai dan yang penting guru-gurunya sangat ikhlas mengajarnya. Tanpa guru dia tidak mungkin dapat melepasi menara gading di samping berkat doa dan usaha ibu dan ayah tercinta.

Penulis juga pernah menyandang amanah sebagai seorang guru selama hampir 2 tahun dengan mengajar anak-anak 4, 5, dan 6 tahun di sekolah tabika. Bergelar muaddibah adalah amanah yang menjadi kenangan manis buat penulis. Belajar bagaimana mahu menjaga anak seramai 20 orang dan mendalami serta memahami perangai anak-anak ini. Secara tidak langsung penulis menjadi ibu, ayah serta segalanya buat anak-anak muridnya. Muaddibah gelaran yang sangat baik dan pertama kali penulis mendekati dunia kanak-kanak. Juga berpengalaman menjadi guru ganti selama 3 bulan di Sekolah Rendah Dr. Sulaiman merupakan kenangan indah sebagai seorang guru.

Jadi, izinkan penulis mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia sama ada guru secara tidak langsung atau guru secara langsung. Terima kasih untuk semua jasa guru.

Izinkan juga penulis melakar kata bicara deklamasi puisi khas untuk semua guru.

Terima kasih cikgu
Jasamu sentiasa ku kenang hingga akhir hayatku
Mengajarku banyak perkara
Suka duka dirimu telan demi anak bangsa
                              Pahit manis menyampaikan ilmu            
Menjadikan dirimu begitu berharga bagiku
Bermula aku tidak mengetahui
Hingga kini aku bisa mengerti kehidupan
Dirimu tidak pernah mengenal lelah
Dalam perjuangan.

Terima kasih cikgu
Moga kehidupanmu sentiasa di rahmati olehNya
Moga hidupmu dilimpahi kasih sayangNya
Moga keberkatan dariNya akan sentiasa menerangi kehidupanmu
Teruskanlah perjuangan
Perjuangan mendidik anak bangsa hingga berjaya
Dunia dan akhirat.

Lilin yang sentiasa membakar diri
Akan sentiasa diingati
Walau apa pun gelaranmu duhai guru
Kamu tetap memegang amanah
Menyampaikan ilmu dan kebaikan
kepada semua anak-anak muridmu
Itulah amanah guru


Setakat ini sahaja coretan rindu bicara hati penulis buat semua guru. Moga kalian sentiasa dilimpahi kasih sayangNya dan jadilah guru yang bertanggungjawab dan melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Moga amanah sebagai guru menjadi titik langkah kalian untuk mudah memasuki syurgaNya kelak. Ameen.  

Kenangan menyambut hari guru.

Nice roses

chantek2 muaddibah ohsem.

No comments:

Post a Comment