Thursday 14 February 2013

Selamat Kembali Belajar di Madrasah Universiti


Belajar kerana ALLAH
Menuntut ilmu adalah sangat penting pada zaman yang serba moden ini. Apa itu ilmu? Ilmu yang membuat kita kenal ALLAH…kita kenal ilmu dunia…kita kenal agama…hidup dalam keberadaban yang tinggi…bila ada ilmu semua orang pun suka. Tanpa ilmu seseorang hanya digelar orang yang tiada apa-apa walau dia seorang yang kaya. Tanpa ilmu seseorang tidakkan mudah hidup di dunia selalu di tipu dan mudah dihina manusia lain. Walau demikian, ilmu ini menuntut pengorbanan jua menuntut keikhlasan.

Sejak kecil kita diajar oleh ibu dan ayah untuk belajar merangkak, bertatih, berjalan, nak makan juga perlu belajar dan nak minum juga perlu belajar. Itu ketika kita masih kanak-kanak. Sejak lahir kita disuruh belajar. Mengerti kehendak ibu ayah mahu kita menjadi manusis yang berguna dan pandai pantas kita belajar ketika berumur enam tahun. Walau pada permulaannya, kita asyik menangis mahu ibu temankan dan lama-kelamaan kita biasa ditinggalkan ibu di sekolah. Kita belajar kenal a, b, c dan alif, ba, ta. Di sekolah kita mulai kenal kawan-kawan dan guru-guru.

Kita mulai memasuki sekolah rendah. Kehidupan sebagai seorang pelajar semakin mencabar. Ketika ini kita seronok belajar bermacam-macam perkara daripada matapelajaran Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris hinggalah Lukisan. Kawan mulai pandai membawa pengaruh sama ada baik atau buruk. Waktu ini tahap kenakalan semakin memuncak bila tiada yang memberi tunjuk ajar. Pelajar yang pasif tetap dengan sikap pendiamnya, pelajar yang nakal cuba membuat huru-hara jika tidak dibendung awal. Kita masih digelar seorang pelajar dan masih belajar.

Tiba masanya kita melangkah pula ke alam persekolahan menengah. Usia menginjak ke tiga belas tahun. Usia ini biasanya seorang remaja bertindak sesuka hatinya andai tiada pengawasan berterusan dari ibu ayah. Sikap ingin tahu pada awal remaja membarah dalam diri mereka. Bila sikap ingin tahu di luah pada perkara yang baik itu tidak dirisaukan, tapi jika sifat ingin tahu itu menjebaknya ke arah perkara yang tidak baik itu yang perlu diambil serius. Waktu jiwa muda sedang memberontak inginkan sesuatu yang baru, belajar menjadi matlamat utama bila ibu ayah pandai mendidiknya menyatakan belajar dan ilmu sangat penting untuk kehidupan kamu akan datang.

Sukarnya hidup sekarang bila ibu ayah tidak mampu memberi kasih sayang dan nasihat-nasihat berguna kepada anak-anak. Akibatnya ramai remaja yang hidup bebas bersosial tanpa ada tercalit rasa berdosa kepada ALLAH dan ibu ayah. Ada yang mencintai ilmu terus tenggelam dalam mencari gali dan mengkaji ilmu-ilmu yang wujud. Dia mahu menjadi insan yang berguna pada bangsa dan agama. Dia mahu menjadi pembela kepada agamanya, dia tidak mahu dikata pembawa malang bagi agamanya. Dia tidak mahu dikata penganut agama Islam yang tidak menyumbang apa-apa kepada perkembangan Islam.

 Jadi, dia cuba untuk menguasai pelbagai sudut bidang ilmu, akademik, keduniaan, dan keagamaan…kerna dia yakin itu keperluan umat Islam sekarang. Itu situasi pemuda yang berjiwa besar tahu dan yakin matlamat hidupnya untuk Islam. ALLAH sendiri telah menceritakan dalam Al-Quran mengenai kedudukan orang yang berilmuadalah lebih tinggi di sisiNya berbanding orang yang tidak berilmu.
Firman ALLAH S.W.T dalam surah al-Mujadilah ayat 11 yang bermaksud:
“ALLAH meninggikan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan akan darjat.”

            Bila tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), masing-masing sibuk berkira mahu melanjutkan pelajar di peringkat universiti atau masih mahu menjadi calon STAM atau STPM. Ada yang masih belum membuat sebarang persediaan untuk memasuki alam universiti meneruskan perjuangan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Di situ dah banyak ibu ayah keluarkan duit untuk perbelanjaan pembelajaran kita. Betapa ibu ayah mahu melihat anak-anaknya berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran menjadi insan yang berilmu. Biarpun si ibu dan si ayah tidak dapat melanjutkan pelajaran seperti anak-anaknya kerana kekangan duit. Cukup sekadar melihat si anak dapat belajar hingga ke peringkat yang paling tinggi.

            Semakin banyak yang kita belajar, semakin banyak pula yang kita tidak tahu. Yalah…ilmu ALLAH ini Maha Luas. Lihat sahaja buktinya pada Kalamullah, terang lagi bersuluh tentang kehebatan ilmu-ilmu ALLAH.
Firman ALLAH S.W.T dalam surah Al-Kahf ayat 109 yang bermaksud:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).”

`           Al-Hamdulillah…ALLAH masih memberi kita peluang untuk belajar di peringkat universiti. Wah lagi banyak ilmu yang kita kena belajar dan kita kena tahu yang menjadi teori dan akan dipraktik nanti. Kita cuba terjun dalam kepimpinan, menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk badan beruniform, badan induk universiti, persatuan-persatuan semata mahu menambah bonus dan kemahiran pada diri kita. Kita belajar cara berkomunikasi dengan baik, kita belajar keindahan bahasa Arab, kita belajar bahasa-bahasa yang banyak, kita belajar bahagian ekonomi dan muamalat, kita belajar ilmu sains dan teknologi, kita belajar kesenian Islam, kita mendalami ilmu Al-Quran dan As-Sunnah, kita belajar ilmu-ilmu Feqh yang sangat banyak mendorong kita menjadi muslim yang berpegang teguh pada agama Islam, kita belajar menjadi seorang hakim yang adil dan ilmu-ilmu lain.

            Masa di universiti adalah masa yang terbaik untuk kita belajar banyak perkara. Pengalaman yang banyak juga bisa dikutip ketika kita belajar di universiti. Belajar itu seronok bila kita letakkan pada hati betapa hebatnya ulamak-ulamak dan ilmuwan-ilmuwan terdahulu mengejar ilmu hingga sanggup bermusafir dan mereka menjadi pakar dalam pelbagai sudut bidang ilmu.

            Usah dilupa bila kita belajar kita mesti nak letakkan ALLAH sebagai matlamat utama kita. Bila kita belajar kerana ALLAH segala dugaan, ujian, mehnah ketika menuntut ilmu dah tentu kita dapat atasinya kan? Belajar kerana ALLAH sangat berkait rapat dengan NIAT. Apa maksud niat? Kata orang lintasan hati atau bisikan hati yang hanya diketahui oleh diri dan ALLAH.

Bila bicara pasal niat dan hati terus terlintas pada hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafs, Umar bin Khattab r.a berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana ALLAH dan RasulNya, maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana ALLAH dan RasulNya, dan barangsiapa berhijrah kerana dunia yang akan diperolehinya atau wanita yang hendak dinikahinya, maka dia akan mendapat apa yang dia tuju.” {HR BUKHARI}

Jadi, usah tunggu lama-lama betulkanlah niat belajar kita sama ada kerana ALLAH atau kerana manusia kerna niat yang menjadi pemula segala sesuatu sama ada pemulanya baik atau buruk itu terpulang pada diri kita. Orang selalu kata, ‘letakkan impian kita setinggi bintang, kerna impian yang tinggi biasanya beroleh kejayaan.’ Sama juga dengan niat kita belajar kerana apa? Letakkan niat belajar kita kerana ALLAH…InsyaALLAH manisnya ketika belajar akan kita kecapi dengan mudah. Proses belajar takkan terhenti sehingga terhentinya nafas kita di dunia ini.


No comments:

Post a Comment