Sunday 31 August 2014

Lambaian Kaabah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Al-Hamdulillah Ya ALLAH, penulis masih diberi izin olehNya untuk menulis sesuatu pada blog ini. Kekuatan & ilham yang dikurniakan ALLAH membuatkan penulis tak pernah merasa jemu untuk menaip kata menjadi bicara indah buat tatapan generasinya. Al-Hamdulillah, berkat sokongan & dorongan dari semua sahabat penulis masih setia pada blog kesayangannya walau cerita tak seindah harapan manusia. Namun penulis harus gagahkan diri memberi peringatan buat dirinya yang sering alpa dengan dunia.

Al-Hamdulillah pejam celik pejam celik kita sudah berada pada bulan September & Zulhijjah. Tanda kita semakin mendekat pada bulan umat Islam beribadah haji di tanah suci Makkah. Bulan umat Islam mengerjakan haji di Makkah. Bulan ini ada dua insan istimewa yang bakal penulis ceritakan tentang mereka. Istimewanya kerana mereka mulai menginjak dewasa sudah tiba pada umurnya & bakal menyambut ulang tahun kelahiran mereka. Insan istimewa itu adalah adik lelaki penulis bernama Asraf Wajdi tarikh lahirnya 5 September 1995 & sahabat baik penulis bernama Nur Farhanani Che Aznan bertarikh 19 September 1990. Cepat benar masa berlalu.

Setiap kali tiba musim haji, penulis merenung jauh pada masa hadapannya. Adakah ruang untuk aku bergelar tetamu ALLAH suatu hari nanti. Impian melihat & menikmati kebesaran ALLAH ketika Kaabah berada di hadapan matanya sangat menggamit hati. Impian itu tersimpan kemas dalam qalbunya mengharap suatu saat dia bisa menjejak kaki ke Makkah. Andai penulis punya kesempatan itu, dia pasti tidak akan melepaskan peluang mahu mendoakan kebahagiaan insan-insan yang disayanginya kerana ALLAH. Saat melihat saudara-mara bersiap-siap untuk menjadi tetamu ALLAH, hatinya dipagut sayu yang amat dalam, bilakah peluang ini menyusuriku? Sabar duhai hati, insyaALLAH yakin pada janjiNya, kamu bakal bertemu Ilahi.



Teman-teman yang disayangi ALLAH...usah risau jika kita tidak berkemampuan untuk menjejakkan kaki ke Makkah menjadi tetamu ALLAH, tetapi risaukan terlebih dahulu amalan-amalan yang kita lakukan adakah diterima oleh ALLAH? Perbaiki diri kita untuk menjadi hamba & khalifahNya yang lebih baik. Andai ALLAH memberi kesempatan kepada kita untuk menjadi tetamuNya, Alhamdulillah. Andai tidak, insyaALLAH kita bertemuNya di alam yang lebih kekal abadi. ALLAH amat menyayangi kita duhai hati. Jika tidak mana mungkin kita dapat hidup dilimpahi dengan nikmat yang pelbagai ini. Jadilah hamba yang sentiasa bersyukur, redha & bersangka baik dengan ALLAH, InsyaALLAH ada bahagian untukmu.

Lambaian kaabah menggamit memori penulis saat dia menghantar saudara maranya ke lapangan terbang. Tergambar kegembiraan di wajah ibu saudaranya yang berpeluang menjadi tetamu ALLAH. Ya, penulis yakin semua umat Islam punya impian menjadi tetamu ALLAH di Makkah. Moga kita berpeluang mengerjakan haji di Makkah sebelum mata terpejam rapat, sebelum roh terpisah dari jasad, sebelum segala-galanya terlambat, sebelum malaikat maut datang menjemput.

Mari kita baca puisi yang pernah penulis nukilkan dalam blog ini suatu ketika dulu bertarikh 24 Oktober 2012 http://qalamwardahzinnirah.blogspot.com/2012/10/merindui-untuk-menjadi-tetamu-allah.html. Sungguh penulis pernah menukilkan kata-kata tentang lambaian kaabah pada blognya 1 tahun yang lalu. Apa pun sahabat-sahabat bisa membacanya melalui link ini  http://qalamwardahzinnirah.blogspot.com/2012/10/aku-merinduimutuhan-allah.html

Setakat ini dahulu bicara ringkas penulis untuk hari ini. Moga kehadiran 'post' kali ini terus mengajak hati penulis & sahabat-sahabat untuk mengingati ALLAH. Sungguh indah hidup berlandaskan Islam & cintaNya. kerana pengharapan & kebergantungan penuh pada ALLAH memberi ruang yang besar untuk kita terus hidup tenang, bahagia & bebas dari belenggu manusia. Islam itu mudah & tak pernah menyusahkan penganutnya. Islam itu indah buat yang mengamalkannya. Islam itu sempurna & sebaik-baik agama yang ada di sisi ALLAH. Jadi tunggu apa lagi, ayuh kita hidupkan diri kita dengan mengamalkan segala suruhan ALLAH & meninggalkan segala laranganNya. Ingat ALLAH amat menyayangi diri kita. 

Moga impian kita untuk menjadi tetamu ALLAH di tanah suci Makkah akan termakbul jua berkat doa seluruh umat Islam terutamanya sahabat-sahabat yang membaca blog ini. Doakan senjata umat Islam. Usah risau, usah takut, usah sedih, ingatlah sesungguhnya ALLAH sentiasa bersama kita.

Salam kasih sayang kerana ALLAH & siiru 'alaa barakatillah...


No comments:

Post a Comment