Friday 29 August 2014

Bicara Sang Rama-rama

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...dengan nama ALLAH, penulis memulakan tulisan ini selepas lama blog ini menyepi, sunyi dari kata-kata. Mungkin ada yang nak dikongsi tetapi hanya berlegar di imaginasi. Alhamdulillah, dengan namaNya salam Jumaat kareem buat semua pembaca setia blog ini. Terima kasih yang tidak terhingga buat semua insan yang menyokong kewujudan blog yang serba kekurangan ini.

Memandangkan hari ini adalah hari Jumaat, penulis ucapkan salam Jumaat kareem kepada semua sahabat. Moga Jumaat kali ini memberi ruang & peluang kepada penulis & sahabat-sahabat untuk mendekatkan lagi diri kepada ALLAH. Tidak kiralah apapun pangkat kerja kita di dunia, kita tetap sama pada pandangan ALLAH yang membezakan hanyalah TAQWA. Walau berjuta ujian yang kita tanggung, percayalah itu tanda ALLAH amat menyayangi kita. Bersangka baiklah dengan ALLAH.

Izinkan penulis bercerita tentang sebuah kisah yang tentu disukai oleh ramai manusia terutamanya insan-insan yang menghargai kewujudan makhluk ALLAH yang lain. Tentu ramai yang menyukai haiwan bernama rama-rama. Teringat penulis pada salah satu kata-kata sahabatnya tentang rama-rama. “Rama-rama tak pernah tahu warna sayapnya, tetapi orang tahu betapa indahnya dia. Dia juga seperti dirimu, kamu tidak tahu betapa indahnya dirimu, tetapi ALLAH paling tahu betapa istimewanya dirimu di mataNya ketika engkau taat & patuh pada suruhanNya, ikhlas dengan semua yang engkau alami, tersenyum tika saat sukar, tegar dalam ujian, & tetap teguh dalam iman yang engkau miliki. Semoga kalian adalah insan terpilih& terindah di hadapanNya.”

Ya ingin sekali penulis menjadi si rama-rama yang indah bukan hanya luarannya cantik tetapi juga indah dalam hatinya. Pagi-pagi tadi penulis bersama-sama anak muridnya seramai 25 orang sempat menikmati video tentang kitaran hidup rama-rama sambil mendengar suara merdu anak-anak menyanyikan lagu si rama-rama. “Dari ulat jadi kepompong, tidur lena dalam kelongsong, tidak lama kepompong pecah, jadilah rama-rama yang indah, rama-rama terbang merata, sungguh indah aneka warna, hisap madu di taman bunga tapi sayang hidup tak lama.”      
Subhanallah...ciptaan ALLAH Maha Hebat mengatasi akal fikiran manusia. Kehadiran & kewujudan rama-rama bukan sekadar untuk menghiasi bumi & bertasbih pada ALLAH semata, tetapi kehadiran mereka memberi peluang kepada manusia untuk sentiasa berfikir akan kebesaran ALLAH. Biarpun hidup sang rama-rama tidak lama, dia tetap memberi nikmat buat insan yang mencintai keindahannya. Kisah si rama-rama yang indah bermula dari hanya seekor ulat, bertukar dalam kepompong & berubah menjadi rama-rama yang sangat cantik mengingatkan kita pada kisah kelahiran manusia bermula dari bayi, kanak-kanak, dewasa, tua hinggalah meninggal dunia. Kitaran hidup ini adalah sunnatullah yang hakikatnya membuatkan kita semakin mendekat pada ALLAH.

 Jika berpeluang ingin sekali penulis menjejakkan kaki ke taman rama-rama yang dipenuhi dengan rama-rama yang indah & pasti menenangkan jiwanya. Menikmati keindahan alam adalah pengalaman yang paling berharga buat penulis, kerana dengannya penulis dapat merasakan ALLAH sangat dekat denganNya. Tergambar betapa ALLAH sangat menyayanginya dengan mengurniakan pelbagai macam nikmat. Pandanglah rama-rama dengan pandangan kasih sayang dah tentu kita akan temui ketenangan, pandanglah ujian & mehnah dengan pandangan redha sudah tentu akhirnya kita temui titik penyelesaian & tenang dalam membuat keputusan.

Ketepikan dahulu ego kita, jauhkan hati dari buruk sangka kata nak jadi macam rama-rama yang indah & baik dalaman serta luarannya. Rama-rama sangat indah, & tengok ia suka mendekati keindahan iaitu bunga yang cantik. Samalah seperti kita fitrah penciptaan manusia adalah indah & sangat suka mendekati keindahan. Bohong jika kita sukakan keburukan & busuk. Wujudnya rama-rama menghias alam sama seperti manusia kewujudannya menambah seri dunia bukan untuk memusnahkan bumi.


Mari kita tengok puisi apa yang sempat penulis rakam untuk kisah kita hari ini? Puisi bertajuk ‘Bicara Sang Rama-rama’ bakal menghiasi blog kali ini. Jom baca sama-sama!

Dirimu lahir
Menghias keindahan dunia
Menyeri bersama si bunga
Walau mulamu
Penuh kehodohan terselit
Sejuta kecantikan rama-rama

Si cantik rama-rama
Ingin aku terbang
Sebebas dirimu menjelajah alam
Hinggap menghisap madu
Melebar keindahanmu
Walau persinggahanmu sebentar cuma

Dirimu
Kurang mengerti
Adakah aku cantik penciptaanya
Hingga ada mahu menangkapku
Benarkah aku makhluk kecil
Memberi makna manusia memikir
Aku tahu
Mengabdi serta bertasbih padaNya
Tuhan yang menciptaku

Duhai manusia
Kalian bertuah
Lahir punya akal fikiran
Punya kasih sayang
Punya sifat kehambaan
Punya segala-gala
Sedang aku si rama-rama penuh kekurangan
Bakal menempuh saat kematian

Bicara sang rama-rama
Tentang manusia tak pernah henti
Tentang diri bukan memuji
Mahu menjentik hati insani
Memikir semula cinta Ilahi
Tak pernah padam pada makhluk-makhlukNya.

Setakat ini dahulu perkongsian penulis pada hari Jumaat yang mulia ini. Moga memberi manfaat buat diri yang merindui saat bertemu Ilahi. Moga kehadiran artikel ini memberi peluang kepada penulis untuk menelan tazkirah pengisian rohani. Ya ada masa senggang blog ini yang dibukanya. Meneliti kembali apa yang pernah penulis coret dalam blog ini. Sebelum terlupa izinkan penulis ucapkan selamat menyambut tarikh kemerdekaan Malaysia kali ke-57. Moga kemerdekaan ini memberi makna & pengajaran berharga buat kita.

Usah lupa mengucap syukur pada ALLAH yang telah mengurniakan nikmat keamanan pada negara kita, negara Malaysia. Kita masih mampu melakukan segala kerja kita, kita juga masih mampu menikmati kebahagiaan bersama-sama keluarga, bisa bercuti, bisa membuka jendela tanpa ada tujahan bom-bom dari musuh. Usah lupa untuk mengucap syukur padaNya atas segala nikmat & anugerah ALLAH kepada kita semua. Ada masa kita berjumpa lagi pada masa akan datang, insyaALLAH...


Siiru ‘alaa barakatillah. May ALLAH bless all of the Muslim.

1 comment:

  1. Alhamdulillah,indahnya Bahasa,semoga Allah SWT merahmati kamu dan pembaca sekalian amin. <3 dari saya.

    ReplyDelete