Monday 4 August 2014

Hadiah Buat Mama

Bismillahirrahmanirrahim...   
             
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah syukur padaNya penulis masih punya kesempatan untuk membuat coretan pada blog kesayangannya ini. Al-Hamdulillah setelah lama menyepi sibuk dengan tugas sebagai anak di kampung menyambut hari raya Aidilfitri bersama-sama keluarga kini penulis punya kesempatan & kekuatan untuk meneruskan penulisannya. Penulis mengakui agak janggal meninggalkan dunia blognya dalam tempoh masa yang agak lama. Maaf buat semua sahabat yang mengharapkan sesuatu dari blog ini. Kekangan internet yang lambat menyukarkan penulis untuk berblog.

Apa pun alasannya, al-Hamdulillah dia akhirnya bisa mengisi blognya kembali. Moga ALLAH terus memberinya kekuatan, kemampuan & ilham untuk berkongsi semua perasaannya dalam blog ini. Waktu ini penulis masih berada di kampung & bakal bergelar musafir untuk kali yang ke-10 mungkin apabila dia berhasrat meneruskan pemusafirannya bukan setakat untuk belajar tetapi untuk merasa pengalaman bekerjaya di perantauan.

Belum terlambat rasanya bagi penulis untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 9 Syawal 1435H ini. Al-Hamdulillah, setelah sebulan kita berpuasa akhirnya kita melangkah masuk ke bulan Syawal, bulan kemenangan untuk umat Islam. Bulan Syawal bukan hanya bulan untuk kita berpakaian serba baru, tetapi bulan di mana kita boleh meningkatkan ketaqwaan kita kepada ALLAH setelah sebulan menghadapi madrasah bulan tarbiah bulan Ramadhan.

Bagaimana hari raya sahabat-sahabat sekalian? Tentu meriah sambutannya kan? Penulis? Al-Hamdulillah, walau tak semeriah tahun-tahun sebelumnya, kami masih punya kesempatan untuk menyambut bulan Syawal. Usai sahaja solat sunat hari raya Aidilfitri penulis bersama-sama keluarganya menuju ke kubur menziarahi kubur allahyarhamah nenek & ibu saudara. Pagi itu dirasakan sangat sayu menyentuh hati mengingatkan penulis pada detik kematiannya nanti. Kemudian seperti biasa kami akan berhari raya di rumah saudara-mara yang ada.

Bulan Syawal ialah bulan kita kembali kepada fitrah. Fitrah manusia yang dekat pada kebaikan. Fitrah manusia yang dekat pada Tuhan sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH. Fitrah manusia yang suci dari dosa, hatinya ibarat kain putih yang langsung tidak tercemar dengan suasana sekeliling. Fitrah manusia yang sangat sukakan kasih sayang & penuh dengan cinta. Syawal adalah bulan kasih sayang, bulan menyebar kebaikan & bulan kemenangan bagi umat Islam yang berjaya berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan.

Hari ini sebenarnya penulis nak bercerita tentang kelahiran seorang insan penting dalam kehidupannya. Hari raya kita dah cerita jadi jom kita masuk tajuk kita hari ini, ‘Hadiah buat Mama’. Tanggal 5 Ogos 1961 lahirlah seorang bayi perempuan bongsu dalam keluarganya. Kelahirannya di sambut meriah oleh keluarga & insan sekeliling. Dia membesar menjadi insan yang baik & penuh kesopanan.

Bayi perempuan ini membesar seperti kanak-kanak lain, menjadi muslimah yang insyaALLAH didambakan oleh syurga abadi. Ibu & ayahnya mencorakkannya menjadi muslimah yang mentaati agama. Hinggalah dia berkerjaya setelah tamat pembelajaran di sekolah agama Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan.

Dia bergelar pekerja di KEMAS sebagai pemaju masyarakat KEMAS(Kemajuan Masyarakat) di bahagian pejabat pengurusan. Dia bertemu jodohnya pada usia 24 tahun melangsungkan perkahwinan pada 24 Februari 1990, tahun yang sama dia melahirkan puteri sulungnya pada tarikh 30 November 1990. Kini usianya telah mencecah umur 53 tahun. Punya anak seramai lima orang. Punya suami yang penyayang & setia serta bertanggungjawab. Punya sebuah kereta kancil berwarna biru DAD 7579 yang banyak berbakti sepanjang kehidupannya. Dia juga pernah mendapat anugerah khidmat cemerlang dalam kerjayanya. Tak banyak yang penulis tahu tentang dia, tapi penulis yakin insan ini adalah insan kesayangannya. Insan ini yang telah melahirkannya pada tahun 1990. Insan ini yang telah membesarkannya & membentuknya menjadi manusia seperti sekarang.

Dia ialah mama. Insan itu adalah insan yang dipanggil mama. Selamat ulang tahun kelahiran ke- 53 buat mama tersayang. Anakmu sangat menyayangimu kerana ALLAH. Cepat benar masa berlalu, umur mama dah menjangkau 53 tahun. Moga ALLAH terus memberi kekuatan & kebahagiaan buat mama dunia & akhirat. Mama punya banyak keistimewaan sebab itu mama adalah insan berharga bagi anak-anaknya.

Mama & Chik

Penulis sangat berharap suatu saat penulis dapat berbakti sepenuhnya kepada mama yang banyak berkorban untuk kami. Pengorbanan mama tak pernah hilang, kasih sayang mama sentiasa mekar walau terkadang kami tak tahu mama sayang kami atau tidak. Mama sangat pandai memasak & bagi penulis mama adalah tukang masak terbaik dalam kehidupannya. Kebolehan memasak mama sangat mengujakan penulis & adik-adik kerana kami bisa makan apa sahaja yang kami nak dah tentu mama akan masakkan untuk kami. Bukan hanya pandai memasak, mama juga pandai menjahit. Kebanyakan baju anak-anak perempuannya, mama yang menjahitnya. Setiap kali hari raya ada sahaja baju baharu yang mama jahit sendiri untuk anak-anak perempuannya.

Mama, you are the best for me! Believe me that my mum is the best person that I have forever and ever. So, mama happy birthday to you for the 53 years. I always love you because of ALLAH & absolutely I proud with you my dear mum. I praise to ALLAH because I had mum just nice like you. Thank you mum for all love, all sacrifice that you have done for me and my siblings and all kinds that you gave to us. May ALLAH always bless you, my dear mum. I only can talk and write in my blog hope that one day you will read it my dear mum.

Hari ini hari ulang tahun kelahiran mama, jadi penulis ada hadiah untuk mama melalui susunan kata yang dikait indah menjadi bait-bait kata penuh makna melalui puisi yang dibuat khas untuk mama bertajuk, ‘Hadiah Buat Mama’. Mari kita baca bersama-sama!

Mama,
Kiriman doa buat mama
Tak pernah sesekali putus
Menghiasi onak badai kehidupan
Mama insan hebat
Berjasa terusan pada kami
Pengorbanannya maha hebat
Kasih sayangnya
Ibarat aliran air sentiasa mengalir
Ibarat laut indah terbentang
Mama,
Kau anugerah terindah
Kau heroin kami
Membelai saat disunti kesedihan
Menasihati saat dipersalah
Memujuk saat sendiri
Tersenyum bahagia saat kami gembira
Ibarat burung
Sifatnya terbang bebas
Membelah langit nan biru
Demi sesuap makanan buat anak
Pengorbanan dipertaruh
Risiko ditempoh penuh sabar
Ingin aku
Hadiah burung kebebasan
Buat insan sehebatmu mama
Hadiah burung ketenangan
Buat insan seistimewamu mama
Hadiah burung kebahagiaan
Buat insan seindah nama mama
Mama,                                
Hadiah kejayaan puterimu
Menanti buat mama
Selamat hari lahir ke-53
Buat mama tersayang
Limpahan kasih sayang ALLAH
Sentiasa menemanimu duhai mama.

Setakat ini dahulu coretan hati luahan rasa penulis untuk perkongsian kali ini. Moral terbaik di sini hargailah insan-insan yan menyayangi kita tak pernah rugi pun. Terutamanya ibu yang sentiasa mencurah kasih sayang pada kita. Apa salahnya kita apriseasikan rasa cinta itu walau hanya dengan penulis, sekurang-kurangnya kita tak sesekali membenci dia walau dia pernah melakukan kesilapan. Walau bagaimana pun ibu & ayah kita, mereka tetap insan yang melahirkan kita. Jadi kesempatan yang ada ini penulis mahu memohon jasa baik sahabat-sahabat yang membaca ‘entri’ ini untuk menghadiahkan surah al-Fatihah & doa khususnya buat mama penulis & seluruh umat Islam di dunia ini terutamanya saudara-saudara seIslam kita di Gaza, Syiria, Afghanistan, Iraq, Somalian & seluruh dunia. Moga memberi manfaat pada ummah, moga menjentik hati kita untuk terus menghargai insan-insan yang ada di sekeliling kita.


Siiru ‘alaa barakatillah...

No comments:

Post a Comment