Friday 8 August 2014

Ikhlas Sekeping Hati

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Al-Hamdulillah...berkat kasih sayangNya penulis masih bisa meneruskan penulisannya, masih punya nyawa untuk terus menyebar kebaikan, masih punya kesempatan untuk mengucap syukur pada ALLAH di atas setiap nikmat & musibah pemberianNya. Al-hamdulillah Ya ALLAH penulis bangun dari tidur bersama syahadahNya. Islam & iman masih berbunga di hatinya walau terkadang ia naik & terkadang turun.

Doa dikirim buat semua sahabat yang sudi ziarah blog yang serba kekurangan ini. Ketahuilah bahawa kehadiran penulisan ini adalah untuk mengisi masanya sebagai seorang Muslimah kerana dia hanya manusia biasa yang terdetik di hati mahu mengajak diri & semua manusia kepada kebaikan & Islam terutamanya. Doa buat kalian moga sentiasa mendapat kebahagiaan, kebebasan & ketenangan dunia akhirat. Ameen.

Ya ALLAH, hati penulis sedih bertambah pilu kerana sekali lagi dia bakal & kena berjauhan dengan keluarganya serta bergelar musafir atas sebab kerja. Hari terakhir di kampung penulis. Meninggalkan kampung halaman tercinta. Ini adalah takdir yang tertulis padanya jadi, penulis kena telan walaupun pahit. Yalah, nak sihat kena telan ubat yang pahit kan? Nak kaya kena usaha lebihkan? Nak dapat cinta ALLAH bukan boleh duduk goyang kaki sahaja kan? Jadi, sahabat-sahabat terus mendoakan penulis semoga musafirnya di bumi ALLAH ini memberi kebaikan pada ummah sekelilingnya.

Terima kasih atas peluang untuk penulis terus berkarya di blognya Ya ALLAH, walau nanti tiada siapa yang mahu membaca bait-bait katanya. Hari ini penulis terpanggil mengisi blognya dengan ‘entri’ tentang ikhlas sekeping hati setelah mendapat khabar yang kurang baik daripada sahabat-sahabatnya. Sebelum itu izinkan penulis berkongsi salah satu kata-kata sahabat yang disimpan kemas dalam telefonnya yang berbunyi: “Perasaan ditemani ALLAH merupakan penghibur dalam kesepian, pelindung dalam ketakutan, perencah keamanan diri, pencorak keceriaan jiwa, penawar segala duka, peneman di kala senang & payah...hati terdetik diketuk rasa rindu padaNya, hati redha menerima segala ketentuanNya...itulah erti tawakal yang sebenar...Hiasi nurani diri dengan amal ibadah & munajat kepadaNya...Semoga rahmatNya sentiasa bersamaMu.”

Al-Hamdulillah, usai meneliti keputusan peperiksaan Bahasa Inggeris atau dengan kata lain UEPT yang dikhaskan kepada graduasi-graduasi USIM yang tidak melepasi ‘band 3’ dalam MUET. Al-Hamdulillah untuk peperiksaan kali ini keputusan penulis adalah baik, tetapi itu tidak menjamin untuk dapat melepasi Hari Konvokesyen nanti. Penulis sebenarnya takut bertambah debar hanya kepada ALLAH diserahkan segala urusan setelah berusaha pada awalnya. Moga penulis redha walau apapun keputusannya nanti.

Sedihnya bila mendapat khabar ramai antara sahabat penulis yang tidak mendapat keputusan yang baik. Bukan kerana mereka tak berusaha, bukan kerana mereka malas. Ini semua kerja Tuhan. Pantas al-Fatihah & doa dihadiahkan kepada sahabat-sahabatnya moga mereka sabar & tenang menghadapi ujian ini. Izinkan penulis memetik kata-kata dalam buku pada halaman 18 & 20 buku bertajuk, ‘Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah Satira’ karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd yang berbunyi:

“Hidup adalah silih berganti antara nikmat & musibah. Apa yang penting hati kita mesti selalu bersangka baik dengan takdir tanpa mengurangkan sedikit pun kesungguhan kita untuk mentadbir. Pujuklah hati kita dengan selalu berbisik, insyaALLAH apa sahaja yang berlaku pasti ada hikmahnya.”

“Jangan sesekali mempersoalkan apa yang telah ALLAH tetapkan untuk kita. ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Boleh jadi sesuatu yang kita pandang hari ini sebagai musibah merupakan sesuatu yang memberi keuntungan di kemudian hari.”

Moga kata-kata di atas dapat membalut luka & kesedihan sahabat-sahabat penulis. Ingatlah, ALLAH menguji hamba-hambaNya bukan kerana benci, tetapi kerana terlalu sayangkan kita & ALLAH pasti mengetahui bahawa setiap hambaNya mampu menghadapi setiap ujian & mehnah yang telah diaturNya. Tengah bersedih dengan khabar sahabat-sahabat, datang satu lagi berita tentang kemalangan seorang sahabat lain. Al-Hamdulillah, bersyukur kepadaNya kerana sahabat penulis tidak mengalami sebarang kecederaan cuma mungkin terkejut dengan kemalangan yang diatur itu. Kembali penulis membelek memuhasabah diri, betapa kuasa doa untuk sahabat mampu mengelak sahabatnya dari musibah.

Kembali pada buku bertajuk, ‘Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah Satira’ karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd pada halaman 43 tajuk kecilnya adalah ‘Doaku untukmu’. Kisah tentang dua orang sahabat karib yang tinggal berjiran bernama Ahmad & Ali. Masing-masing dihimpit dengan kesempitan hidup tetapi tak pernah putus berdoa pada ALLAH setiap kali singgah di masjid.

Ahmad bertanya pada sahabatnya apa doa dia hari ini? Ali menjawab dia minta dimurahkan rezeki, Ali bertanya semula kepada Ahmad & Ahmad hanya mengukir senyuman. Esoknya, Ali menceritakan berita gembira bahawa doanya dimakbulkan dengan dia mendapat bonus dari majikannya. Ahmad bertanya kembali hari ini Ali doa apa pula, pantas Ali menjawab dia berdoa moga isterinya selamat bersalin. Seperti kebiasaan Ali kembali bertanya soalan yang sama tetapi Ahmad hanya tersenyum.

Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu bahawa isterinya selamat bersalin & doa keduanya juga dimakbulkan Tuhan. Ali berdoa untuk kali ke tiga agar disembuhkan penyakit anak bongsunya. Ahmad dengan tenang memberi nasihat supaya Ali berdoa dengan bersungguh-sungguh & istiqamah. Setelah beberapa hari keadaan anak bongsu Ali bertambah baik. Berkatalah Ali, “Aku tak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau...” Ali mengatakan doa Ahmad tak mustajab.

Ali bertanya, “Aku hairan doa kau tidak makbul tetapi kau masih boleh tersenyum?” Pantas Ahmad menjawab, “Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan ALLAH. Syukur al-Hamdulillah.” Ali masih belum berpuas hati apa doa Ahmad yang dimakbulkan ALLAH? Mari kita tengok apa jawapan Ahmad yang menyentap jiwa kecil penulis, “Doaku sejak dulu hanya untuk kau, sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar ALLAH makbulkan setiap apa yang kau doakan kepadaNya.”

Apa moral di sini? Doa kita untuk sahabat, saudara-mara & orang lain sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH. Apatah lagi jika kita berdoa tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Itulah keikhlasan. Sayangnya, hal ini jarang kita buat. Manusia selalu mementingkan diri, walaupun dalam doanya kepada ALLAH.

Sekali lagi izinkan penulis berkongsi sebuah puisi yang direkanya bertarikh, 12052014 bertajuk, ‘Ikhlas Sekeping Hati’. Moga memberi manfaat pada hati yang sentiasa merindui bertemu ALLAH & mengharapkan keredhaaNya dalam setiap helaan nafasnya.



Lubuk hati paling dalam
Menyimpan aneka perasaan
Mewarnai kehidupan
Seketul daging itu
Punya kuasa sama badan
Punya kuasa sama akal
Berjalan seiring apa ditelan

Lubuk hati paling dalam
Merungkai cetusan rasa
Mewarnai kehidupan mengelak kelam
Sekeping hati itu
Butuh keikhlasan menggunung
Butuh pengorbanan nan setia
Butuh sabar menggugah dunia
Biar bisa bertatih
Pantas berlari laju menuju ALLAH

Ikhlas sekeping hati
Dipersoal Ilahi
Bagaimana perimu melayan dunia
Suka duka kadang berganti
Ikhlas itu diperlukan
Mengoyak robek segala keresahan
Menghempas badai kemarahan

Hati itu
Tingkahnya tenang menongkah badai
Rianya meniti kesulitan
Bukan kerana hipokrit meronta
Kerana ikhlas berputik di jiwa
Bila ikhlas
Merajai hati memakna penuh sejati
Hati berentak senang
Pahit manisnya hanya ditelan
Dia tahu akhir kehidupan bila ikhlas & redha
Berpimpin tangan menuju syurga
Membawa si jasad menghadap Tuhan



Keikhlasan kunci utama sebuah kebahahagiaan. Bila miskin kita ikhlas itu tanda hati kita tenang. Bila kaya kita ikhlas itu tanda hati kita senang. Bila sakit kita ikhlas itu tanda Allah sayang. Semoga kehadiran ‘entri’ ini mmberi pengajaran berguna terutamanya kepada penulis, sahabat-sahabat juga generasi yang bakal dilahirkan penulis untuk Islam. Kehadiran ‘entri’ ini bukan untuk berbangga-bangga, bukan juga untuk membuka aib manusia, bukan sekadar memenuhi pengisian blog semata tetapi untuk diri ini yang lemah sentiasa mengharap ada kata nasihat & tazkirah sebagai penghadang dari terus terjerumus dalam kejahatan @ kemungkaran.

Dek kerana saya sayang sahabat-sahabat kerana ALLAHlah hati saya meronta-ronta untuk menyiapkan ‘entri’ ini. Al-hamdulillah akhirnya selesai berkat petunjuk dari ALLAH & doa sahabat-sahabat yang tak pernah putus untuk penulis. Ya, sayang kerana ALLAH itu memungkinkan segala kebaikan mewarnai kehidupan. Setakat ini dahulu coretan hati luahan rasa insan serba kekurangan dalam blog QalamWardahZinnirah ini. Moga memberi manfaat buat ummah. Moga menjentik hati kita untuk terus mencintai ALLAH.


Siiru ‘alaa barakatillah...salam 12 Syawal 1435H. 

*Selamat bergelar musafir di bumi ALLAH. Meneruskan penulisan blog di tempat baharu nanti.

No comments:

Post a Comment