Friday 25 July 2014

Satu Hari Sebuah Buku (SOLUSI ISU 69)

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...Ya ALLAH penulis masih punya kesempatan & kekuatan untuk meneruskan penulisan dalam blog kesayangannya setelah beberapa hari ini dia ketandusan idea & ilham. Al-Hamdulillah nikmat Islam & iman masih menjadi miliknya & sepatutnya dia menjadi hamba ALLAH yang bersyukur.

Kasih sayang ALLAH sentiasa melimpah padanya walau terkadang perit menelan ujianNya kerana dia yakin setiap musibah yang menimpanya adalah semata-mata tanda ALLAH menyayanginya. Al-Hamdulillah penulis kini telah berada di kampungnya, menunggu Syawal di sambut bersama-sama keluarga tercinta. Sekali lagi dia bisa menghirup udara segar kampung, mendengar burung-burung berkicauan, kambing-kambing mengembek, ayam-ayam berkokok, apa yang penting kehijauan kampung yang sentiasa terpelihara.

Baiklah, hari ini penulis nak kongsi tentang apa ya? Sudah lama rasanya penulis tidak berkongsi tentang bahan bacaannya dek kerana kesibukannya melayan kehidupan mungkin. Namun, buku tetap menjadi teman setia penulis, tanpa buku mungkin tiada idea & ilham untuk dia tuliskan dalam blog ini. Sudah agak lama dia meninggalkan bedah buku. Sekarang tiba masa untuk dia kembali membaca & membedah buku-buku yang dia ada.

Membaca akan melapangkan dadanya, membaca menambah pengetahuannya, membaca menjadikannya asyik dalam dunia pembacaan, membaca menjadikannya insan yang berilmu, membaca menjadikan dia boleh menyampaikan sesuatu dalam blog atau kepada sahabat-sahabatnya. Baca & baca tak rugi pun walau seketika. Hari ini kita ‘share’ tentang buku majalah Solusi isu ke 69 yang bertemakan ilmu sedekah paling barakah.

Memetik kata-kata yang ada pada muka hadapan majalah ini, “Memerangi kejahilan sama pentingnya dengan memerangi kedegilan. Jika kedegilan diperangi dengan senjata, kejahilan pula mesti diperangi dengan ilmu. Bahkan banyak kedegilan berpunca daripada kedangkalan ilmu. Sebab itu tinta para ulama setara dengan darah para syuhada. Malah, ada kalanya lebih utama ketajaman pena daripada ketajaman pedang.”

Seperti kebiasaan majalah SOLUSI menambah banyak ilmu pengetahuan baharu kepada pembacanya. Isunya tidak hanya tertumpu pada isu semasa sahaja, tetapi mencakupi seluruh isu kehidupan. Bermula dari Tafsir: Jangan Sampai ALLAH Murka, Beduk di Ketuk: DNA Rasuah vs DNA Babi, Hai Anak: Besarkan Puasa Daripada Hari Raya, Mithali: Nasihat Ayah Mithali Mendamba Kasih Ilahi, Warisan: Kelestarian Pondok Moden Membina Generasi Pelapis, Selebriti: Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti, Jejak Sahabat: Sebernas Keluarga Anas, Kembara: Memoir dari Beijing, Sihat ‘Afiat: Rahmat Susuan Ibu, Kiasan: Umpama Memakai Baju Besi, Tekno Da’i: Letakkan Gajet & Berkomunikasilah & banyak lagi isu yang dibincangkan dalam majalah tersebut.

Halaman 97 hingga 118 adalah khas untuk Ramadhan yang terbaik. Mencari gali tentang Ramadhan yang bakal berakhir lagi lebih kurang dua hari. Hari ini dah 28 Ramadhan 1435H. Sedar tak sedar Ramadhan tahun ini bakal berakhir tak lama lagi. Terkadang rasa terkilan jugak sebab rasa macam banyak lagiperkara yang penulis belum lakukan di bulan Ramadhan ini. Sekelip mata sahaja bulan Ramadhan tahun ini.

Mari kita telusuri perbezaan antara ilmu & harta pada halaman 6 salam editor! Mari kita belajar sesuatu bahawa ilmu adalah lebih baik daripada harta tetapi kenapa masih ramai mahu mengejar harta semata? Tepuk dada tanya iman kita.

PERBEZAAN & PERBANDINGAN
ILMU                                             
HARTA
-Ilmu adalah pusaka nabi-nabi
-Harta adalah pusaka Qarun & Firaun
-Ilmu dapat memelihara kamu
-Kamu yang memelihara harta
-Orang yang berilmu ramai temannya
-Orang yang berharta ramai musuhnya
-Ilmu apabila dinafkahkan akan bertambah
-Harta apabila dinafkahkan akan berkurangan akhirnya
-Orang yang berilmu akan diseru dengan nama yang mulia
-Orang yang berharta akan diseru dengan nama bakhil
-Orang yang berilmu akan diberi syafaat di akhirat nanti
-Orang yang berharta akan dihisab hartanya kelak
-Ilmu tidak akan binasa
-Harta pula akan binasa
-Ilmu itu melembutkan hati
-Harta pula mengeraskan hati
-Berilmu mendakwa kehambaan
-Berharta mendakwa ketuhanan

Majalah Solusi sentiasa sarat dengan ilmu-ilmu berguna untuk para pembacanya. Jadi penulis mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua sahabat & pembaca blog ini untuk kita sama-sama membaca buku berilmiah seperti majalah solusi ini. Hanya RM10...ya mungkin dengan cara kita menginfaqkan duit RM10 untuk membeli majalah ini akan terus mendekatkan diri kita kepada ALLAH Yang Maha Esa. Jika kita tidak berkemampuan, cukup sekadar kita meminjam dari kawan tidak salahkan kita berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat kita mengalir juga pahala pada semua?

Setakat ini dahulu perkongsian penulis untuk hari ini. Moga memberi manfaat pada ummah walau sekelumit cuma usahanya. Teruskan usaha kita untuk meningkatkan amalan-amalan pada akhir Ramadhan ini. Salam Ramadhan Kareem 28 Ramadhan 1435H. 

Siiru ‘alaa barakatillah...

No comments:

Post a Comment