Tuesday 8 July 2014

Aku Anak Kampung

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah ucapan syukur sepatutnya menutur laju saat kita terbangun dari tidur ketika mahu bersahur pagi ini. Syukur kerana aku masih Islam ada iman di hati, syukur kerana aku dilahirkan dalam suasana keluarga yang amat menitikberatkan ilmu agama. Al-Hamdulillah, hari ini sudah 11 Ramadhan 1435H bersamaan 9 Julai 2014M. Minggu kerahmatan telah berlalu, kita dah masuk minggu keampunan. Minggu pertengahan dalam bulan Ramadhan. Terus berdoa moga kita punya kesempatan untuk meneruskan bulan Ramadhan ini.

Aku anak kampung, cerita yang penulis mahu ‘highlight’kan di sini buat tatapan generasinya moga mereka tak lupa nenek moyang mereka berasal dari kampung. Segalanya ada pada anak kampung yang mesti tak sama dengan anak bandar. Kasih sayang yang melimpah, kenal hidup bersederhana, usaha apa yang dimahukan, berdikari, & kadang-kadang suasana kampung mencoraknya begitu. Itulah anak kampung & sudah pasti penulis bangga dengan kelahirannya sebagai anak kampung.

Walau anak kampung tetap ada pendidikan, walau anak kampung tetap ada akhlak & peribadinya tersendiri, walau anak kampung tetap tak mundur macam yang selalu kita dengar bila bicara negatif tentang anak kampung. Ayah & ibu pencorak terbaik penulis hingga membesar dia menjadi muslimah yang dekat dengan agama. Ayah & ibu juga contoh terbaik yang membawa anak kampung kenal dunia yang penuh fatamorgana ini.

Bukan niat nak membuka pekung di dada tetapi inilah hakikat anak kampung yang telah diberi didikan duniawi & ukhrawi oleh ibu & ayahnya. Tanpa usaha ibu & ayah aku anak kampung ini takkan ke mana. Tanpa pilihan ALLAH terhadapnya sebagai da’ie mata rantai perjuangan Nabi Muhammad s.a.w, penulis takkan capai tahap ini. Tanpa usaha & kasih sayang sahabat-sahabat yang baik mencorak persekitarannya, penulis takkan jadi sebaik ini. Ya, insan-insan yang berada di sisinya banyak membantunya hidup di dunia ini, ALLAH, Rasulullah s.a.w, ibu, ayah, adik-beradik, guru-guru, sahabat-sahabat yang ramai & masyarakat.

Hari ini kita cerita tentang anak kampung supaya penulis sedar walau sejauh mana dia melangkah dia tetap anak kampung yang padanya ada harapan & cita-cita ibu ayah yang mahu melihat anaknya berjaya bukan hanya di dunia juga cemerlang di akhirat sana. Dah ada kat kampung ini, kita cerita tentang kampunglah yer!

Ramadhan tahun 1435H ini sangat istimewa kepada penulis membawa makna yang sangat berharga tentang pengertian rahmat ALLAH melimpahinya. Ya ada tiga senarai pendek tentang kenapa Ramadhan tahun ini sangat istimewa baginya? Nak tahu? Teruskan membaca ya. Pertama, Ramadhan tahun ini sangat istimewa kerana penulis punya kesempatan menghabiskan masa selama hampir seminggu bersahur & berbuka dengan keluarga tersayang.


Bersahur & berbuka bersama keluarga sangat manis untuk dikenang. Ya di situ terletak keakraban & eratnya sesebuah keluarga. Ibu, ayah, adik, kakak, abang semua ada makan bersama, menyediakan makanan berbuka bersama. Di situ kasih sayang terserlah. Cubalah sahabat semua ambil masa walau satu hari berbuka & bersahur bersama keluarga pasti detik itu yang sentiasa bermain di minda. Ketika inilah kita nak kenal watak setiap ahli keluarga, ketika ini juga kita bisa melihat pelbagai gelagat anak-anak yang perlu seorang ibu layan. Penat, cuba bayangkan anak sepuluh orang dengan sepuluh ragam ibu kena layan. Jadi, hargailah kewujudan ibu & ayah kita.

Waktu berbuka paling seronok boleh belajar memasak bersama ibu chef yang tiada tandingannya. Apa sahaja permintaan anak, nak makan apa, cuba untuk dibuatnya. Walaupun benda yang senang tapi itu amat berharga di sisi ibu. Cakap je nak makan apa, pasti di masak dengan penuh kasih sayang. Ha, masa inilah nak jadi pembantu chef, tolong apa yang patut, ringankan beban ibu.tak kira kita lelaki atau perempuan, ingat perempuan je ke yang kena masuk dapur, lelaki pun kena pandai kat dapur. Lelaki pandai masak bonus untuk dirinya, keluarganya & bakal isterinya.

Ke dua Ramadhan ini sangat istimewa pada penulis sebab dia punya kesempatan bersolat jemaah dengan ibu ayah & adik-adiknya di rumah. Kami tidak punya kesempatan ke masjid kerana keuzuran ayah tidak bisa duduk @ berdiri lama-lama kesan sakit goutnya (bengkak sendi). Jadi, ayah ambil kesempatan ini untuk solat isyak & terawih berjemaah di rumah. Aktiviti solat berjemaah ini sungguh dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan penulis. Gelagat adik bongsunya juga memeriahkan suasana bila dia cuba untuk ponteng terawih dengan pelbagai alasan. Datang masa rajin dia, suka je buat terawih sampai witir bersorak riang dia, “Yeah dah witir.” J


Tak perlu tunggu pergi masjid, asal kita ada niat nak buat terawih berjemaah di rumah pun dibenarkan cuma digalakkan mendirikan solat terawih di masjid. Terima kasih ayah kerana bagi peluang kat anak-anak merasa tarawih berimamkan ayah sendiri. Sayang ayah kerana ALLAH. Kalian jangan cemburu ya. Ayah penulis menjadi imam tarawihnya di rumah. Jika kalian nak, mintalah dengan ayahanda kalian. Tak susah cuma perlu praktis. J J J

Terakhir, kenapa Ramadhan tahun ini sangat istimewa di sisi penulis kerana, kerinduannya pada suara ayah melantun ayat-ayat suci al-Quran akhirnya terubat. Ya, ayah yang mengajarnya mengenal alif, ba ta hinggalah dia khatam al-Quran. Pahit manis dalam belajar al-Quran dengan ayah masih segar di ingatannya. Ayah sangat tegas dalam mengajar anak-anaknya membaca & mengenal al-Quran. Setiap hari kami belajar al-Quran daripada tak tahu apa-apa sampai dah boleh baca sendiri. Ayah tak lupa mengajar kami kitab suci penawar segala penyakit ini.

Firman ALLAH S.W.T dalam surah Yunus ayat 57 yang bermaksud:

57. Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran Yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan Yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin Yang ada di Dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang Yang beriman.

Al-Quran itu datang sebagai nasihat & pengajaran dari ALLAH untuk kita hamba-hambaNya. Di dalamnya terkandung penawar segala penyakit batin, menjadi hidayah petunjuk kepada kita, & membawa rahmat yang melimpah kepada orang-orang yang beriman. Tidak hairanlah bila penulis melihat ayahnya sering membaca & mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran terutamanya pada bulan Ramadhan ini. Ayah acap kali dilihat menghabiskan masanya dengan al-Quran memahami & meneliti setiap bait kalam ALLAH padanya memberi ketenangan pada ayah.

Penulis tentunya paling bahagia kerana dia masih bisa mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran dari mulut ayahnya. Bacaan ayah menenangkan penuh tartil & bermakhraj. Ya makanan rohani ayah dan anak-anaknya adalah isi al-Quran tersebut. Penulis berdoa moga dia masih punya kesempatan untuk terus mendengar bacaan alunan al-Quran dari ayahnya. Teruskan membaca & memahami isi al-Quran ini bermula bulan Ramadhan 1435H hinggalah tahun-tahun akan datang.



Sungguh al-Quran memberi seribu satu penawar kepada pengamalnya. Mendekatkan diri kepada ALLAH & antara amalan yang mudah untuk di amalkan. Dalamnya terdapat bermacam kisah yang memberi pengajaran bermakna kepada kita. ALLAH Maha Penyayang menghadiahkan kepada kita sebuah kita yang memberi petunjuk dalam perjalanan menuju ALLAH. Inilah antara kisah anak kampung....

Anak kampung ini yang tak pandai menipu dalam kisah hidupnya, yang ‘lurus’ dalam kehidupannya, anak kampung ini yang hidupnya biasa-biasa mahu jadi luar biasa pada pandangan ALLAH, tak kira manusia pandang dia pelik dengan pemakaian. Anak kampung ini nak manusia lain rasa manisnya berada dalam Islam, anak kampung ini nak ajak dirinya & semua kepada kebaikan. Biar manusia tak suka, asal ALLAH suka. Insan-insan yang dekat anak kampung ini sudah tentu tahu & masak benar dengan perangainya yang pelik. Walau dia anak kampung dia tetap hamba & khalifah ALLAH, itu yang perlu dia sedar.

Setakat ini sahaja coretan hati anak kampung untuk entri hari ini. Walau apa pun pandangan sahabat-sahabat, penulis menerimanya dengan hati terbuka kerana dia tahu manusia punya perasaan & pemikiran yang berbeza. Perbezaan itu kita raikan bersama. Moga entri ini membuka mata hati insan-insan yang berasal dari kampung. Bersyukurlah kalian kerana dilahirkan di kampung, bersyukur juga kerana kalian dilahirkan di bandar yang pasti kita dah jadi manusia berjaya saat kita berjaya lahir ke dunia sebagai individu Muslim.

Usah rasa rendah diri dengan gelaran anak kampung ini kerana aku memang anak kampung. Tiada beza antara manusia di sisi ALLAH melainkan TAQWA. Kisah hidup anak kampung takkan berhenti di sini selagi ALLAH memberinya ruang untuk hidup di dunia selagi roh masih di jasadnya, aku anak kampung.


Siiru ‘alaa barakatillah...salam Ramadhan kareem.

Anak kampung ini bakal bergraduasi...InsyaALLAH

No comments:

Post a Comment