Saturday 19 July 2014

Ibarat Kain Putih

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah...dengan izinNya penulis masih bisa menghirup nafas segar nikmat kurniaan ALLAH padanya. Alhamdulillah berkat kasih sayangNya penulis masih bisa menyusun bicara, menyusun langkah menjadi musafir & pengembara di bumi ALLAH ini. Al-Hamdulillah berkat kesabaran penulis, dia akhirnya sampai menggabung tali persahabatannya yang jauh terpisah di Seremban. Hari ini dah 22 Ramadhan 1435H...cepat betul masa berlalu ya...



Rindu pada sahabat yang dianggap sahabat dunia akhiratnya ada pada waktu susah & senang sungguh menebal dalam jiwa. & persahabatan kerana ALLAH itu memungkinkan yang jauh menjadi dekat. Biar perlu merentas masa, biar beku kaki menunggu waktu, biar kebas pinggang menanti saat bertemu, biar jauh perjalanan memakan masa yang lama, semua ujian dalam persahabatan itu terangkum dalam erti kata sebuah pengorbanan.

Bertuah penulis punya ramai sahabat yang berkawan dengannya kerana ALLAH, bertuah kalian punya sahabat yang tinggi imannya, bisa menjaga saat kita rapuh, bisa memeluk saat kita sejuk, bisa menghulur saat kita jatuh, bisa menenangkan saat jiwa kita resah, mengingatkan kita kepada ALLAH Yang Maha Esa. Bersyukurlah kerana kalian punya sahabat yang mengambil berat tentang diri kalian termasuklah penulis sendiri.

Tanpa sahabat dia seakan hilang arah, tiada kawan yang mahu membimbing, tiada teman yang mahu memimpin. Tanpa sahabat seolah hidup kosong tanpa roh kasih sayang. Tanpa sahabat mungkin tiada kebaikan yang datang mendekat. Sahabat menjadi cerminan diri kita. Dek kerana itu penulis sanggup lakukan apa sahaja semata-mata mahu melihat sahabatnya bahagia dunia akhirat. Jika doa yang dipinta, doalah yang diberi, jika kasih sayang yang dimohon, kasih sayanglah yang dikongsi, jika perkongsian itu meringankan, berkongsilah walau sedih atau bahagia. Itulah sahabat hingga ke syurga.



Mengembara adalah salah satu cara untuk penulis meluangkan masanya bersama-sama sahabat. Ya, jika dengan mengembara & bergelar musafir itu banyak mendatangkan ketenangan & kebahagiaan pada sahabatnya, dia sanggup asal tidak melanggar hukum ALLAH. Ya, jika dengan bergelar musafir itu menyenangkan hati sahabat & membuat dia tersenyum bahagia tanpa dipaksa, itulah kebahagiaan hakiki bagi penulis.

Kali ini pengembaraannya membawanya bertemu dengan insan-insan yang ibarat kain putih. Siapa mereka? Malaikatkah? Atau manusia luar biasa? Cuba kalian teka apa jawapannya siapa ya yang ibarat kain putih? Sungguh penulis rindu pada zaman dia ibarat kain putih. Kanak-kanak ibarat kain putih & ibu bapalah yang mencorakkan mereka menjadi corakan yang baik atau sebaliknya.



Ya, penulis sempat berbual-berbual & bertemu beberapa orang kanak-kanak sekolah tahfiz. Mereka sangat bijak. Yalah jadi anak yang rapat dengan al-Quran ini sangat banyak kelebihan mereka. Banyak benda yang mereka mahu ceritakan pada penulis & mendengar celoteh mereka sangat membahagiakan penulis. Entah kenapa setiap kali berhadapan dengan kanak-kanak seperti mereka duduk selama mungkin pun tak mengapa mesti ada satu ulitan rasa bahagia & tenang sekali gus membuang terus segala masalah yang bersarang di jiwa.

Mereka ibarat kain putih, & tiada terpalit walau satu dosa pada kanak-kanak ini. Memang pantas penulis rasa tenang & bahagia di samping mereka paling bahagia bila dapat peluk cium mereka dengan sepenuh hati sepenuh kasih sayang. Sudah tentu mendengar cerita mereka yang tiada dosa banyak mengajar penulis untuk jujur dengan insan yang disayanginya.


Bermula satu cerita hingga bersambung ke cerita seterusnya. Kanak-kanak paling seronok bila kita menjadi pendengar yang baik pada mereka & menyukai apa yang mereka suka. Sebagai contoh mereka asyik bercerita pasal makanan & kita turut sama suka pada makanan yang digemari mereka, apa lagi semakin rancaklah perbualan mereka. Tambahan penulis memang sangat suka mendengar cerita kanak-kanak, lagi dilayan & didengar seolah-olah seorang ibu mendengar bicara kata anak-anaknya.

Penulis ibarat berada di alam kanak-kanak mendengar mereka bercerita, berbual-bual, memeluk, bermain-main dengan mereka bukan tujuan menunjuk atau mahu memanjakan kanak-kanak ini tetapi memang suka pada gelagat lucu kanak-kanak. Ibarat hilang segala duka & ujian yang menimpa dirinya. Ya ALLAH andai penulis bisa memutar masa ingin sahaja dia hidup di alam kanak-kanak buat selamanya.

Menjadi kanak-kanak yang periang & dapat membahagiakan insan-insan sekelilingnya cukup memberi manfaat berharga bagi mereka yang mengetahui & berfikir dengan nikmat pemberian ALLAH ini. ALLAH menjadikan kita terdiri dari bermacam-macam usia, daripada bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, tua & meninggal dunia semuanya punya hikmah yang sangat berharga.


Ada tujuan ALLAH ciptakan kanak-kanak untuk kita saling memikirkan dengan sifat keanak-anakan merekalah mereka bisa jadi sangat pintar, bisa berlaku jujur pada semua manusia, bisa membahagiakan sesiapa sahaja yang melihatnya, punya keinginan yang tinggi untuk belajar & tahu sesuatu yang baharu. Itulah kanak-kanak ibarat kain putih.

Bagaimana mahu penulis corakkan anak-anak kandungnya yang ibarat kain putih yang bakal menjadi generasinya nanti? Ya, dengan mencorakkan dirinya dengan corakan Islam terlebih dahulu. Memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik di sisi ALLAH itu yang lebih utama sekarang ini. Sambil-sambil tu boleh intai-intai macam mana nak memahami kanak-kanak yang ibarat kain putih ini, supaya nanti senang untuk berdepan dengan mereka kelak. Sungguh memang jiwa kanak-kanak masih menebal dalam diri penulis.

Bilang sahaja bagaimana nakal pun kanak-kanak tersebut mesti ada suatu keistimewaan yang bisa membuatkan penulis jatuh cinta pada kanak-kanak ini. Kasih sayang antara punca pengikat hati antara penulis dengan kanak-kanak. Mereka sangat comel, mereka sangat bahagia, tiada istilah sedih dalam kamus hidup mereka, apa yang mereka tahu nak buat itu nak buat ini tak kisah apa yang bakal terjadi.



Jika diizinkan ALLAH penulis mahu zuriat yang sangat ramai memeriahkan kehidupannya, berbakti pada Islam & menjadi mujahid, mujahidah Islam, membahagiakan dirinya, menjadikannya ibu yang mithali pada pandangan ALLAH. Dia nak mencurahkan sepenuh kasih sayang pada anak-anaknya nanti. Sementara masih tiada anak ini, dia gunakan kesempatan ini untuk mengenali watak-watak mereka. Ya benar, kanak-kanak sangat suka dibelai dengan kasih sayang. & bila dia benci sesuatu dia akan benci sesungguhnya. Kanak-kanak tak pandai untuk menipu walau perasaan sekalipun mereka bakal tahu.

Setakat ini dahulu pengembaraan penulis tentang kanak-kanak ibarat kain putih. Cubalah untuk kita mencontohi sifat-sifat mulia yang ada pada kanak-kanak. Fahamilah mereka, usahlah kita mudah melenting bila mereka tidak memahami segala arahan & percakapan kita. Mungkin ada silap dari sudut penyampaian kita. Sungguh dari lubuk hati yang paling dalam kanak-kanak sangat memberi kesan pada penulis dalam kehidupannya. Banyak pengalaman yang ditimba penulis saat bersama insan yang ibarat kain putih ini. Belajarlah dari kewujudan mereka.

Salam Ramadhan kareem 22 Ramadhan 1435H buat semua pembaca setia blog ini. Hargailah kanak-kanak yang ada di samping kita. Kerana kita semua juga bermula kehidupan dengan kanak-kanak & kita pernah jadi kanak-kanak. Setakat ini dulu ya coretan hati mainan rasa penulis untuk hari ini. Moga memberi manfaat pada ummah. Moga kita semua bisa belajar sesuatu dari coretan ringkas ini. Sesungguhnya kita adalah pengembara & musafir di bumi ALLAH, & gelaran musafir itu tidak sesekali mematahkan semangat kita untuk terus belajar sesuatu yang baik. 

Siiru ‘alaa barakatillah...

No comments:

Post a Comment